Isnin, September 12, 2011

Berpada-padalah .....

Imam Abu Dawud rahimahullah meriwayatkan bahawasanya satu hari ketika Junjungan Nabi SAW keluar berkeliling bersama-sama para sahabat di Kota Madinah al-Munawwarah, maka baginda telah melihat sebuah rumah yang berkubah. Baginda Nabi SAW langsung bertanya: "Apakah ini?", dijawab oleh para sahabat: "Ianya milik seorang lelaki daripada kaum Ansar." Maka baginda Nabi SAW diam, seolah-olah menyimpan sesuatu dalam hati baginda, kemudian pemilik rumah tersebut telah datang menemui baginda dan mengucapkan salam kepada baginda di sisi manusia banyak, tetapi Junjungan Nabi SAW berpaling daripadanya. Si Pemilik terus mengucapkan salam berkali-kali dan Junjungan SAW tetap sahaja berpaling sehingga diketahuinya bahawa Junjungan SAW murka dan berpaling daripadanya. Lalu Si Pemilik mengeluh kepada sahabat-sahabatnya: "Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mengingkari Rasulullah SAW." Sahabat-sahabatnya berkata: "Junjungan SAW tadi keluar lalu melihat kubahmu?" Maka pulanglah Si Pemilik kepada kubahnya lalu diruntuhkannya kubah tersebut sehingga rata ke tanah. Maka pada satu hari Junjungan Nabi SAW keluar lagi dan baginda tidak melihat kubah tersebut lalu baginda bertanya: "Apakah yang telah terjadi?" Para sahabat menjawab: "Pemiliknya mengadu kepada kami tentang berpalingnya Junjungan daripadanya, maka kami memberitahunya mengenai perkara kubah tersebut lalu dia pun meruntuhkannya." Junjungan Nabi SAW pun bersabda:
إن كل بناء وبال على صاحبه إلا ما لا إلا ما لا
"Sesungguhnya setiap bangunan / binaan itu akan menjadi sesalan bagi pemiliknya, kecuali apa yang dibangunkan untuk sesuatu keperluan yang mesti baginya (yakni yang dibina atas hajat keperluan dan bukannya untuk bermegah-megah atau bermewah-mewah".

Allahu ... Allah, hidup dalam dunia ini hanya sementara, rumah yang kita bina hanya untuk diduduki sekadar hayat kita kat muka bumi ini sebelum kita masuk ke dalam bumi. Ada manusia yang suka bermegah-megah dengan kediaman mereka atas bumi yang fana ini, dibinakanlah gedung megah secara bermewah-mewah dengan bilik-bilik yang banyak tanpa ada sesuatu keperluan. Sungguh ini juga satu bentuk pembaziran yang akan mengundang penyesalan di akhirat nanti. Ingatlah bahawa kebarangkalian untuk kita mendiami lubang kubur lebih lama daripada kita menduduki rumah kat muka bumi ini adalah tinggi. Ada  si fulan hanya sempat menduduki istana mewahnya untuk 4 tahun, namun hingga kini dia telah mendiami kuburnya sudah 140 tahun. Maka hendaknya kita ambil iktibar, sukakan rumah yang besar dan luas, maka jangan lupa untuk melapangkan kubur kita dengan amalan sholeh dan menjauhi segala perkara yang boleh menjadi kesempitan dan kegelapan di dalamnya. Ingat seawal-awal manzil akhirat itu kubur, jika mudah kehidupan di dalamnya, maka insyaAllah, akan mudahlah pula kehidupan seterusnya di alam akhirat. Mudah-mudahan Allah meluaskan kuburan yang bakal kini huni  dengan segala macam anugerah kenikmatan dan kelapangan sehingga duduknya kita nanti di dalamnya dalam keselesaan dan kenyamanan, aaamiin.

Jumaat, September 09, 2011

Istighatsah Shah Waliyullah

Beristighatsah dengan Junjungan Nabi SAW, terutamanya, adalah satu bentuk usaha dan wasilah dalam memohon kepada Allah SWT. Kaedah beristighatsah ini telah diterima baik oleh Ahlus Sunnah wal Jama`ah, bahkan menjadi amalan ramai para ulamanya. Maka seharusnya, tiada patut terbayang dalam fikiran kita untuk mengkafirkan seseorang muslim hanya semata-mata dia memohon kepada Allah dengan menyebut atau beristighatsah dengan Junjungan Nabi SAW dan para awliyaNya.

Di antara ulama yang dianggap sebagai tokoh reformis di Benua Kecil IndoPak adalah Shah Waliyullah ad-Dahlawi rahimahullah, yang memiliki ketokohan dalam berbagai bidang termasuklah bidang hadits dan tafsir. Beliau tidak segan silu dalam karya-karya tulisnya melantunkan ucapan-ucapan berintikan tawassul dan istighatsah dengan Junjungan Nabi SAW. Antaranya, apa yang dicatat dalam karya "Athyabun Naghm fi Madhi Sayyidil 'Arab wal 'Ajam", di mana beliau menyatakan:-

Allah bersholawat ke atasmu Wahai Sebaik-baik Ciptaan
Wahai Sebaik-baik Sandaran
Wahai Sebaik-baik Pemberi pemberian
Tiada yang sebaikmu jadi harapan menyingkap kepayahan
Tiada terkalah segala awan
Akan ketinggian sifat pemurahmu lagi dermawan

Maka janganlah lupakan wasilah yang 'udhzma ini yang menjadi harapan kita di sisi Allah SWT. Wasilah yang tiada padanya selain kasih-sayang dan rahmat bagi sekalian makhluk. Perbanyakkanlah bersholawat atas Wasilah yang agung ini, mudah-mudahan mendapat kita pandangannya dan juga pandangan Tuhannya yang Maha Mulia, yang dengannya menjadi kebahagiaan bagi kita di dunia dan di akhirat.

Selasa, September 06, 2011

Risalah Untuk Kaum Muslimin

Risalah untuk Kaum Muslimin ini adalah catatan kata lisan Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti itu. Ianya adalah karya yang berbentuk risalah (surat) yang diutuskan sebagai daya merungkai kecelaruan dan kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat akibat salah faham terhadap Islam sebagai pandangan hidup. Beliau turut menyentuh faktor yang berkait dengan fahaman pembaharuan yang dibawa oleh al-Afghani dan Abduh, di mana antara pandangan beliau mengenainya diutarakan dalam perenggan 60 risalah tersebut yang menyatakan antara lain:-
Meskipun dapat diakui benar bahawa ulama-ulama penggugat seperti ibn Taimiyyah dan beberapa ratus tahun kemudiannya, ibn 'Abd al-Wahhāb, yang bawaannya gemar mencabar kewibawaan yang sah dan menyamaratakan darjat yang cukup sempurna ke taraf yang kurang sempurna, dalam ajarannya masing-masing tiada menganjurkan perpisahan dari faham bermazhab. Bahkan mereka tetap mengisbatkan ajaran para imam dalam gelanggang Ahlu'l-Sunnah waʾl Jamāʿah, yang berpegang kepada ajaran sunnah dan para Sahabat dan Tabiin dan para Pengikut Tabiin. Akan tetapi kita lihat bagaimana perkembangan pengaruhnya, yang dibantu pula dengan terebutnya kuasa oleh para pengikutnya di negeri Arab lebih kurang dua ratus tahun ini, dan dengan timbulnya aliran baharu di Mesir akibat ajaran al-Afghani dan Muḥammad Abduh, maka semakin terjadi deras aliran yang menganjurkan perpisahan dari ajaran-ajaran ulama lama yang merupakan pelbagai pelita agung yang telah menerangi suasana Umat Islām berabad-abad.

Dengan ajaran al-Afghani dan Abduh mulai menyeludup masuk pengaruh-pengaruh dari jurusan luar yang merupakan sebab-sebab tambahan yang membawa akibat keruntuhan adab di kalangan kita. Meskipun benar tujuannya demi mempertahankan Islām [daripada] serangan-serangan Barat, dan maksudnya untuk menyerang-balas kebudayaan dan tamadun Barat dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, namun demikian senjata-senjata ilmiah olahan Barat yang digunakannya itu demikian halusnya cara-gaya mengelirukan yang mensifatkannya sehingga tiada terdaya pelopor-pelopor aliran baharu itu menguasai serta mengawalnya - kerana kelengkapan ilmiah yang ada pada dirinya memang tiada menyamai taraf mutu yang dimiliki oleh para agung mujtahidin zaman lampau.

Maka akibatnya bukannya kebudayaan dan tamadun Barat yang terkena serang-balas dengan senjata-senjata ilmiahnya sendiri, akan tetapi yang menyalahgunakannyalah yang terkena derita 'senjata makan tuan'

Moga kita dapat memahami dan merenungi apa yang disampaikan oleh Professor, dan dapat memperbaiki diri kita agar jangan sampai "senjata makan tuan".

Jumaat, Ogos 26, 2011

Fadhilat Sholawat - Syarhul Ainiyyah

Jumaat terakhir bulan Ramadhan bagi tahun ini, insya-Allah, Jumaat depan dah berada dalam bulan Syawal. Mudah-mudahan keberkatan Ramadhan diperolehi kita semua. Jangan lupa memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW pada hari yang mulia lagi berkat ini dan dalam bulan yang mulia lagi berkat ini. Insya-Allah, ganjaran yang berlipat ganda akan dianugerahkan oleh Allah yang Maha Pemurah. Untuk renung bersama, dinukilkan beberapa kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW sebagaimana diutarakan oleh Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahUllah dalam "Syarhul `Ainiyyah" yang masyhur.

Telah bersabda Junjungan Nabi s.a.w. : " Orang yang bakhil itu adalah orang yang ketika mana aku disebut di sisinya dia tidak mengucapkan sholawat ke atasku." Hadits diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Baginda 'Ali r.a. dan dihukumkannya sebagai hasan shohih.

Juga didatangkannya satu riwayat lagi:- "Sesiapa yang bersholawat ke atasku, para malaikat akan bersholawat ke atasnya. Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah bersholawat ke atasnya 10 kali, dihapuskan daripadanya 10 kesalahan dan diangkatkan baginya 10 darjat," - dalam satu riwayat - "ditulis baginya 10 kebajikan".

Telah warid hadits yang menyatakan:- "Sesiapa yang mengucapkan salam ke atasku 10 kali, maka seolah-olah dia memerdekakan seorang hamba." ........ "Sungguh akan datang kepadaku beberapa kaum (pada hari kiamat nanti) yang aku tidak mengenali mereka melainkan dengan banyaknya sholawat mereka ke atasku." ...... "Orang yang paling berjaya di antara kamu pada kedudukannya nanti di hari kiamat adalah sesiapa di antara kamu yang paling banyak bersholawat ke atasku."

Sayyidina Abu Bakar r.a. berkata:- "Sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lebih kuat pada menghilangkan dosa-dosa daripada air sejuk memadamkan api; Dan salam ke atas baginda lebih utama daripada memerdekakan hamba."

Daripada Sayyidina 'Umar dan Sayyidina 'Ali radiyaAllahu 'anhuma:- "Sesungguhnya doamu terhenti di antara langit dan bumi (yakni tidak naik), sehinggalah engkau mengucapkan sholawat ke atas Nabimu."

Dan telah warid: "Doa yang dipanjatkan antara dua ucapan sholawat ke atasku tidak akan ditolak. Dan sesungguhnya Allah telah mewakilkan di kuburku satu malaikat yang diberi keupayaan untuk mendengar segala ucapan makhluk. Maka tiadalah seseorang yang bersholawat ke atasku sehinggalah ke hari kiamat, melainkan sampai kepadaku akan namanya dan nama bapanya: "Inilah si fulan anak si fulan yang telah bersholawat ke atasmu."

Dan telah datang riwayat bahawasanya Allah ta'ala telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Keadaanmu yang paling Aku sukai dan yang paling hampir denganKu (yakni hampir dengan keredhaanNya), adalah ketika engkau memperbanyakkan ucapan sholawat ke atas Nabi Muhammad."

Dan telah warid: "Sholawat kamu ke atasku menyebabkan doa-doa kamu diterima, menyebabkan Tuhan kamu redha, menjadi zakat penyucian bagi badan (diri) kamu. Dan sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab (yakni dengan tulisan atau dengan mengucapkan sholawat apabila bertemu dengan nama Junjungan dalam sesebuah tulisan), maka sentiasalah para malaikat beristighfar baginya selama mana namaku masih berada dalam kitab tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w.: "Sholawat ke atasku adalah nur." ...."Penyuci hati umatku dan pembersihnya daripada kekaratan adalah ucapan sholawat ke atasku."

Diriwayatkan daripada Junjungan s.a.w. daripada Allah ta'ala (yakni hadits qudsi):- "Wahai Muhammad, Aku telah menjadikan engkau sebagai satu zikir daripada zikirKu, sesiapa yang menyebutmu maka dia telah berzikir kepadaKu, dan sesiapa yang mencintaimu, maka dia telah mencintaiKu."

Dan telah warid: "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ke atasku pada hari Jumaat 80 kali, Allah akan mengampuni baginya dosa-dosa 80 tahun."

Rebutlah peluang untuk memperbanyakkan sholawat di hujung-hujung bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita diterima Allah SWT.... Allahumma aamiiin.

Khamis, Ogos 25, 2011

Kemurahan Rezeki - Petua Hb. Ahmad

Imam al-`Allaamah al-Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahUllah adalah seorang ulama besar yang berguru antaranya kepada Imam al-Haddad rahimahUllah. Disebut dalam manaqib beliau, "Qurratul 'Ain wa Jilaa-ul Rain", bahawa beliau menyatakan bahawa antara amalan yang sangat - sangat membantu bagi meraih rezeki adalah seseorang itu beri'tikaf di masjid setelah sholat Subuh sehingga terbit matahari sambil berzikir dengan mengulang-ulang nama-nama Allah yang agung, iaitu:

يا كافي ، يا مغنى ، يا فتاح ، يا رزاق

Ya Kaafi, Ya Mughni, Ya Fattaah, Ya Razzaaq


Selasa, Ogos 23, 2011

Jangan Lupa Shalawat

Satu lagi hadits masyhur yang biasa kita dengar mengkhabarkan kehinaan bagi orang yang berat mulutnya untuk bershalawat ketika nama Junjungan Nabi SAW disebut di hadapannya. "Kehinaan bagi orang yang aku disebut di sisinya namun dia tidak bershalawat ke atasku," itulah mafhum sabdaan Junjungan SAW. Maka jangan lupakan shalawat, insya-Allah terpelihara kita daripada kehinaan yang abadi di akhirat nanti. Jangan malas-malas bershalawat, biar shalawatnya dengan bersemangat, dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Jangan lupa juga untuk memeriahkanlah majlis-majlis kita dengan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Pasti ada keberkatannya di dunia dan di akhirat.

Surat Terbuka Buat MAZA.

Surat terbuka buat Dr. MAZA — Hudzaifah Al-Yaman

August 23, 2011

23 OGOS — Bismillahirrahmanirrahim. Dimulai surat ini dengan doa, mudah-mudahan Dr. MAZA beroleh kasih sayang Allah SWT hendaknya, dan terus istiqamah melagang perjuangan Islam di muka bumi ini, tanpa secuit pun rasa takut kepada makhluk; atau secalit rasa curiga diserang pelbagai sudut. Firman Allah SWT: “Dan mereka tidak merasa takut selain kepada Allah.” (at-Taubah: 18)

Dr. MAZA, membaca dan meneliti pandang sisi tuan mutakhir ini, khususnya mengenai korelasi antara isu murtad dan isu agihan zakat, membuat saya semakin tertanya-tanya. Persoalannya ialah, apakah rahsianya menyebabkan agihan zakat di negara ini tidak berkesan dalam menangani isu-isu kemiskinan dan sejauh manakah inisiatif yang telah dilakukan demi memperbaiki keadaan.

Dr. MAZA, Tuan menyatakan di Malaysia ini ada 14 jabatan agama. Ya, itu bermakna Malaysia juga mempunyai 14 pusat zakat dan 14 orang mufti. Wang zakat terkumpul mencecah billion ringgit saban tahun.

Sayangnya, kenapakah masih ramai umat Islam yang tidak tersantuni dengan dana zakat. Ingin rasanya saya bertanya kepada seorang mufti demi seorang mufti, apakah yang berlaku di sebalik tirai zakat di setiap negeri.

Namun, sayugianya saya juga ingin menanyakan soalan yang sama terlebih dahulu kepada Dr. MAZA. Bukankah dahulu Dr. MAZA adalah seorang mufti juga, yang menjabati kondisi mufti di Perlis Darus Sunnah? Maka, kala Dr. MAZA sendiri menjawati jawatan mufti, apakah tindakan konstruktif Dr. MAZA dalam memperbetulkan segala ketempangan ini, khususnya dalam pengurusan zakat di Malaysia, atau paling minimal di Perlis Darus Sunnah, negeri Dr. MAZA paling ‘berkuasa’?

“Amat besar kemurkaan Allah, bagi sesiapa yang mengatakan apa yang tidak dikerjakannya.” (as-Saff: 3). Justeru, jujurnya saya berharap dan amat yakin, pastinya Dr. MAZA tidak sesekali termasuk ke dalam kategori di atas. Lalu, dengan harapan dan keyakinan yang sama, pastinya Dr. MAZA juga boleh memberikan penjelasan saksama, secara ditil dan komprehensif, apakah gendalanya yang menyebabkan amalan zakat khususnya aspek agihan zakat masih di takuk lama, termasuklah di Perlis Darus Sunnah.

Kami, para golongan awam ternanti-nanti penjelasan Dr. MAZA dalam hal ini, sesungguhnya! “Maka, bertanyalah kamu sesuatu perkara kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahuinya.” (An-Nahl: 43).

Dr. MAZA, sebagai bersifat adil dan tidak bias, saya memaksa diri membuat sedikit kajian dan gelintaran. Lalu, saya dapati di Malaysia ini, keunikannya bukan sekadar dengan 14 orang mufti dan 14 jabatan agama segala; tetapi juga unik justeru semua urusan agama ditadbir berbeza-beza oleh negeri. Padanlah harga zakat fitrah pun berbeza juga, sedangkan kita ini semuanya dalam satu Malaysia.

Maka, saya tidak fikir Dr. MAZA, seorang cendekiawan yang amat cakna dengan keadaan; tidak menyedari senario ini. Pastinya Dr. MAZA punya kenalan di sektor undang-undang yang arif perihal perlembagaan negara, buat menjelaskan kepada Dr. MAZA apakah implikasinya kepada amalan zakat apabila wujudnya pengasingan kuasa agama mengikut negeri. Secara umumnya, pastilah sukar bagi disatukan kendaliannya, kerana masing-masing punya wewenang tersendiri. Pastilah besar juga kesannya kepada isu-isu agihan zakat, bukan?

Ya, saya yakin pasti ada kesan. Antaranya, negeri masing-masing tertakluk kepada undang-undang zakat sendiri. Bila zakat dikutip, pasti setiap negeri mengutamakan negerinya sendiri. Apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan juga, tidak semestinya menjadi ikutan negeri. Saya tidak fikir, Dr. MAZA terlepas pandang semua hal ini.

Apa yang saya risaukan, ketidak selarasan ini mengakibatkan ada negeri yang maju dalam pengurusan zakat dan ada yang mundur dan jauh ketinggalan. Apabila Dr. MAZA menembak dengan peluru penabur, maka tembakan Dr. MAZA akan berterabur dan menyimbah merata-rata, kerana pastinya peluru penabur Dr. MAZA tidak bermata dan tidak ada deria rasa.

Bagi saya yang tidak sealim Dr. MAZA, pastilah situasi ini tidak bersifat adil bagi sesetengah negeri yang telah berusaha sebaik daya memperkasakan pengurusan zakat. Ini kerana, jika dilihat kepada Pusat Zakat Pulau Pinang sendiri, tempat Dr. MAZA bermastautin dan mencari rezeki, pengurusan zakatnya adalah antara yang terbaik di Malaysia.

Saya tidak tahulah, jika Dr. MAZA tidak mempunyai koneksi dan hubungan yang baik dengan pusat zakat ini. Namun, berdasarkan apa yang saya baca dan saya amati, Pusat Zakat Pulau Pinang telah melaksanakan pelbagai pendekatan demi memastikan pengagihan zakat dibuat secara telus, berkesan dan sistematik.

Bahkan, di samping Pulau Pinang, Selangor juga dilihat antara negeri yang maju pengurusan zakatnya. Berdasarkan paparan berita di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor (saya fikir Dr. MAZA patut selalu singgah di portal mereka, klik sahaja di www.e-zakat.com.my), pelbagai mekanisme agihan mereka jalankan. Secara jujur dan sedar, saya fikir mereka juga layak dianggap negeri termaju pengurusan zakatnya — sama ada kutipan mahu pun agihan.

Apa yang menjadi masalah, adalah beberapa buah negeri yang tidak begitu terurus rapi organisasi zakatnya. Dan seperti yang saya nyatakan di atas, sebagai mantan mufti di Perlis Darus Sunnah selama beberapa tahun, apakah tindakan konstruktif Dr. MAZA untuk memperkasakan institusi zakat di sana? Bukankah Dr. MAZA orang paling besar dalam membuat kata putus dalam urusan fatwa? Maka, apakah fatwa-fatwa berkaitan zakat yang boleh dianggap terbaik dalam menanggapi keperluan asnaf zakat di Perlis Darus Sunnah?

Harus kita ingat, Perlis adalah negeri kecil. Namun, dalam negeri sekecil Perlis pun masih ramai orang miskin. Apakah susah bagi Dr. MAZA mempengaruhi pihak pengurusan zakat di negeri yang beliau sendiri menjadi muftinya untuk membuat perubahan mendasar, yang mampu mendatangkan kebaikan secara holistik kepada umat Islam khususnya asnaf zakat dan paling utama, Dr. MAZA mampu meninggalkan satu legasi sebagai contoh nyata pengurusan terbaik di Malaysia kepada semua pihak.

Inilah namanya, medan menyatakan pandangan tidak sama dengan medan merealisasikan harapan. Sebagai seorang pemikir, ada moleknya Dr. MAZA berfikir dan memberikan saranan dan cadangan, agar pengurusan zakat di Malaysia dapat diselaraskan. Bagi saya seorang awam, amat susah menerangkan bila seorang Cina non-muslim menanyakan soalan: “You orang Islam, apa pasal dalam you punya agama, ada banyak beza...satu negeri kata rokok haram, satu negeri kata halal, itu saham sini haram, sana negeri kata halal, sana negeri kata boleh, sini negeri kata no...”

Dr. MAZA, inilah secebis keluhan kami orang awam yang hanya berpandukan panduan para ulama dan umara dalam kehidupan. Hanya kepada Tuhan kami berserah, tempat kami menggantung harapan. Ampun maaf andai ada kekhilafan. Salam Ramadan daripada saya dan semoga Dr. MAZA terus istiqamah menabur ilmu dan menyemai bakti di Malaysia, tanpa ada sebarang keraguan, tanpa segaris ketakutan dan tanpa sekelumit anasir berkepentingan. Wallahua’lam.

* Hudzaifah Al-Yaman adalah pembaca The Malaysian Insider.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.