Jumaat, Jun 17, 2016

Pahala Daripada Tarawih

Habib Ahmad bin Umar asy-Syathiri rahimahUllah dalam kitab beliau yang masyhur "al-Yaqutun Nafis" memberikan penjelasan berhubung Shalat Tarawih sebagai berikut:- 
"Shalat Tarawih itu 20 rakaat, ....... iaitu sebanyak-banyak rakaatnya. Kalau dikurangkan kepada sebahagian daripada 20 rakaat tersebut (yakni dibuat kurang daripada 20 rakaat), ianya masih sah dan diberi pahala atasnya pahala Shalat Tarawih. Namun ada pendapat lemah (qil) yang menyatakan sebaliknya."
Selanjutnya, anak kepada pengarang, Habib Muhammad bin Ahmad bin Umar asy-Syathiri rahimahUllah dalam syarah beliau bagi karya ayahandanya tersebut memperjelaskan lagi bahawa sekurang-kurang Shalat Tarawih adalah 2 rakaat. Maka dari keterangan tersebut, kita dapat memahami bahawa apa yang dikatakan oleh tuan-tuan guru bahawa sekurang - kurang Shalat Tarawih itu 4 rakaat adalah merujuk kepada sekurang-kurang sempurnanya satu Shalat Tarawih adalah 4 rakaat. Oleh itu, jika seseorang melakukan 4 rakaat Shalat Tarawih dengan syaratnya (yakni 4 rakaat mesti dengan 2 salam), maka terhasillah baginya pahala menyempurnakan satu Shalat Tarawih. Manakala, jika dia hanya melakukan 2 rakaat sahaja, maka sahlah Shalat Tarawihnya, namun dia hanya mendapat pahala melakukan sebahagian daripada Shalat Tarawih dan bukannya pahala satu Shalat Tarawih yang sempurna. Selanjutnya, seseorang yang melakukan 20 rakaat, maka dia telah memperolehi pahala 5 Tarawih dan inilah sebanyak-banyak Tarawih menurut pendapat jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Bagi yang melakukan 8 rakaat, terhasil juga baginya pahala melaksanakan 2 Tarawih. Maka jelas bahawa melaksanakan Shalat Tarawih kurang daripada 20 rakaat adalah sah dan tetap dianggap sebagai sebahagian daripada Tarawih.

Perkara ini sebenarnya telah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar rahimahUllah dalam "Tuhfatul Muhtaj" dan diperjelaskan lagi oleh Imam asy-Syirwani rahimahUllah dalam hasyiah beliau atas Tuhfah pada halaman 246, juz 2, dinyatakan sebagai berikut:-

"(Dan demikian pula bagi yang mendatangkan dengan sebahagian daripada Tarawih  ... iaitu seperti dipendekkan Shalat Tarawih atas 8 rakaat, maka diberi pahala atasnya pahala shalat yang dianggap keadaannya sebagai sebahagian daripada Tarawih (kawniha minat Tarawih), walaupun dia berniat dari awalnya lagi untuk melakukan hanya 8 rakaat sebagaimana yang biasa dilakukan di sebahagian tempat."
 Oleh itu, tok sahlah nak berbalah, kerana jelas bahawa wujud ikhtilaf antara ulama mengenai persoalan ini. Namun pendapat yang kuat menyatakan bahawa seseorang yang melakukan 8 rakaat sahaja tetap dianggap sah shalatnya dan shalatnya itu dianggap sebagai sebahagian daripada Tarawih. Tambahan pula, persoalan pahala ini termasuk urusan Allah ta`ala, yang penting perlaksanaannya masih berada dalam ketentuan hukum dan tidak melanggar syariat yang ditetapkan. Juga tidak kurang penting adalah menjaga adab dan akhlak, dah hang tau nak shalat 8 rakaat kat masjid yang buat 20, tok sahlah hang berdiri belakang tok imam saf depan, hang duduklah saf belakang, abis 8 senang hang cabut dan taklah mengganggu kelancaran mereka yang nak meneruskan shalat mereka. Faham !!!! Ada akai pakai .... jangan marah.

Selasa, Jun 14, 2016

Persoalan Shalat Dhuha


Faqir telah ditanya tentang Shalat Dhuha, samada ia boleh dilaksanakan secara washal (yakni secara bersambung terus) 4 atau 6 atau 8 rakaat dengan satu salam. Persoalan ini timbul kerana al-Mukarram Dr. Zulkifli al-Bakri hafizahUllah dalam buku beliau yang berjodol "Solat Sunat Pilihan" pada halaman 79 menulis, antara lain:- 
"3. Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada dua rakaat dengan sekali salam sahaja, seperti lapan rakaat hanya sekali salam sahaja."
Maka setakat yang faqir ketahui, belum pernah lagi terjumpa tuan-tuan guru dan kitab-kitab fiqh mazhab kita yang menyatakan bahawa menunaikan solat Dhuha secara washal (bersambung) hatta dengan 8 rakaat sekali salam sebagai tidak sah. Menurut pengajian, melakukan shalat Dhuha secara fashal (bercerai-cerai dengan satu salam pada setiap dua rakaat) adalah sesuatu yang afdhal yang dihukumkan sebagai "MANDUB" dan bukannya sesuatu yang mesti atau wujub. Maka mandub kita melakukan shalat Dhuha dengan bercerai-cerai setiap 2 rakaat satu salam, sehinggalah kepada sebanyak-banyak rakaatnya. Jika dilakukan secara washal, samada 4 rakaat satu salam atau 6 rakaat satu salam atau 8 rakaat satu salam, maka ianya tetap sah namun kaifiyatnya kurang afdhal sahaja. Untuk pengetahuan, bilangan rakaat shalat Dhuha adalah sebagai berikut:-
  1. sekurang-kurangnya 2 rakaat;
  2. sekurang-kurang sempurnanya 4 rakaat;
  3. sebanyak-banyaknya 8 rakaat di sisi Jumhur atau 12 rakaat di sisi sebahagian ulama antaranya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah.
Jika seseorang melakukan secara washal (bersambung) melebihi sebanyak-banyak rakaat Dhuha barulah dihukumkan shalat Dhuha yang dilakukan secara washal dengan bilangan rakaat yang lebih itu dianggap tidak sah. Ini adalah kerana sebanyak-banyak rakaat Shalat Dhuha adalah 8 atau 12 rakaat. Maka tidak sah bagi seseorang melakukan lebih dari 8 rakaat Dhuha secara washal atas Qawl Jumhur atau lebih dari 12 rakaat secara washal atas Qawl Ibnu Hajar. Ianya tidak sah jika dilakukan dengan sengaja dan tahu hukumnya, jika dia jahil akan hukum atau terlupa, maka sahlah shalatnya tetapi hanya dianggap sebagai shalat sunnat mutlak sahaja. Contoh, dengan mengambil sebanyak-banyak rakaat di sisi Jumhur iaitu 8 rakaat,  jika seseorang melakukannya 10 rakaat Dhuha secara bercerai-cerai, 2 rakaat satu salam, 2 rakaat satu salam, maka sahlah Shalat Dhuhanya hingga ke takbiratul ihram yang keempat, yakni 8 rakaat. Manakala takbiratul ihramnya yang kelima dengan niat Dhuha adalah tidak sah kerana telah lebih dari sebanyak-banyak bilangan rakaat shalat Dhuha menurut Jumhur.

Sekadar memungut nas dari kitab turats, faqir nukilkan pernyataan yang dimuatkan dalam "Busyral Karim" pada halaman 316 sebagai berikut:-

Kemudian selepas dari Shalat Tarawih, maka dari segi urutan afdhalnya adalah Shalat Dhuha. Shalat Tarawih dianggap lebih afdhal kerana ianya disyariatkan untuk dilakukan secara berjemaah tidak seperti Shalat Dhuha. Sekurang-kurang bilangan rakaat Dhuha adalah 2 rakaat, sekurang-kurang sempurnanya adalah 4 rakaat, kemudian 6 rakaat. Dan sebanyak-banyaknya adalah sehingga 8 rakaat. Di sisi, Imam Ibnu Hajar sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha adalah 12 rakaat. Namun melakukannya dengan 8 rakaat itu adalah lebih afdhal. Melakukan Shalat Dhuha dengan salam pada setiap dua rakaat adalah MANDUB dan harus/boleh melakukannya lebih dari 2 rakaat satu salam walau pun dengan melakukan keseluruhannya (yakni 8/12 rakaat tadi) dengan satu salam, samada dengan satu tasyahhud pada rakaat terakhirnya sahaja atau bertasyahhud (awal) pada setiap bilangan rakaat yang genap, 2 atau 4.
Nas yang serupa juga dapat dilihat dalam "Hasyiah Jamal" juz 1 pada halaman 486 sebagai berikut:-

Melakukan Shalat Dhuha dengan salam pada setiap dua rakaat adalah MANDUB, dan harus melakukannya 8 rakaat dengan satu salam dan sewajarnya dia bertasyahhud sekali di akhir rakaat namun harus juga baginya untuk bertasyahhud pada pada setiap rakaat yang genap daripada 2 atau 4 rakaat....
Dan sebagai contoh terakhir agar lebih jelas, maka faqir nas daripada kitab "Fathul Aliy" pada halaman 574:-

Dan sedemikianlah yang disebut oleh Imam Ramli(yakni sebanyak-banyak rakaat Dhuha adalah 8 rakaat). Dan dalam "an-Nihayah" dinyatakan:- " dan sebanyak-banyak bilangan rakaat Shalat Dhuha adalah 12 rakaat kerana ada khabar dhaif mengenainya dan inilah yang disebut dalam "ar-Rawdhah" sebagaimana asalnya. Namun yang muktamad adalah sebagaimana yang dinukil oleh pengarang (yakni pengarang Nihayah, Imam Ramli) daripada kebanyakan ulama, sebagaimana yang disahihkan dalam "at-Tahqiq" dan "al-Majmuk", dan sebagaimana yang difatwakan oleh ayahanda Imam Ramli (yakni Imam Syihabuddin Ahmad ar-Ramli rahimahullah), bahawasanya sebanyak-banyak bilangan rakaat Shalat Dhuha adalah 8 rakaat.  Jika ditambah atasnya (yakni atas 8 rakaat sebanyak-banyak Shalat Dhuha) maka tidak harus dan tidak sah Dhuhanya jika dilakukan dengan satu takbiratul ihram (yakni jika dilakukan secara washal dengan niat lebih dari 8 rakaat seperti 10 rakaat). Jika dia memberi salam pada setiap dua rakaat, maka sahlah Shalat Dhuhanya melainkan takbiratul ihram yang kelima (yakni untuk bilangan yang melebihi 8 rakaat), maka ianya tidak sah. Jika dia melakukannya (yakni menambah bilangan yang lebih dari 8 rakaat tadi) dengan tahu akan tegahannya dan dengan sengaja, maka tidak sah shalatnya, dan jika dia tidak tahu atau tidak sengaja maka jadilah shalatnya shalat sunnat mutlak....
Untuk kesimpulan, faqir ulangkan lagi, bahawa jika seseorang Shalat Dhuha sekaligus dengan satu salam 10 rakaat (contoh dia berniat dalam takbiratul ihramnya:- "sahaja aku Shalat Dhuha sepuluh rakaat", lebih atas Qawl Jumhur), maka tidak sahlah Shalat Dhuhanya. Namun, jika dia shalat 10 rakaat dengan niat Shalat Dhuha pada setiap takbiratul ihramnya secara berpisah-pisah, yakni satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 1  dan 2, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 3 dan 4, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 5 dan 6, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 7 dan 8, satu takbiratul ihram dua rakaat satu salam bagi rakaat 9 dan 10, maka sahlah Dhuhanya sehingga 8 rakaat sahaja, manakala takbiratul ihramnya untuk Shalat Dhuha bagi rakaat ke-9 dan ke-10 adalah tidak sah kerana telah melebihi kadar sebanyak-banyak bilangan rakaat Dhuha. Maka tidak tepatlah apa yang disebut dalam buku Dr. Zulkifli hafizahullah tadi bahawa:- "Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada dua rakaat dengan sekali salam sahaja, seperti lapan rakaat hanya sekali salam sahaja." Seharusnya diperbetulkan seumpama dikatanya: "Tidak sah solat Dhuha dilakukan yang lebih daripada lapan rakaat dengan sekali salam, seperti sepuluh rakaat hanya sekali salam sahaja".

Sabtu, Mei 21, 2016

Doa Nishfu Sya'baan

Alhamdulillah, diberi kesempatan kita untuk bertemu lagi dengan satu malam yang berkat, malam Nishfu Sya'baan. Maka telah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di serata dunia untuk menyambutnya dengan melakukan berbagai ibadah nafilah seperti memperbanyakkan shalat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran. Antara amalan yang lazim diamalkan bukan sahaja oleh kita di Nusantara, tapi juga di tempat-tempat umat Islam yang lain, adalah membaca surah Yaasin tiga kali dengan diiringi doa yang masyhur disebut sebagai "Doa Nishfu Sya'baan". 

Pada entri ini, faqir hanya ingin berkongsi bahawa bahagian utama dari Doa Nishfu Sya'baan tersebut adalah cuplikan daripada doa yang dinisbahkan kepada sahabat besar Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu Sayyidina 'Abdullah ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu. Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam tafsir " ad-Durrul Mantsur fit Tafsir bil Ma'tsur" juzuk ke-8 halaman 471 mencatat seperti berikut:-
Dan telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam "al-Mushannaf" dan Ibnu Abi ad-Dunya dalam "ad-Du`a" daripada Sayyidina Abdullah ibni Mas`ud radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Tidak berdoa seseorang hamba dengan doa-doa ini melainkan dilapangkan Allah baginya penghidupannya." .... (lalu didatangkan doa tersebut yang diakhiri ayat 39 surah ar-Ra'd).
Walaupun riwayat tersebut dinilai dhaif dan dalamnya tiada pengkhususan agar doa tersebut dibaca pada malam Nishfu Sya'baan, ianya tetap boleh diamalkan samada pada malam tersebut atau pada barang mana masa yang dikehendaki. Apa yang tidak wajar adalah benci melihat umat yang giat beramal ibadah dengan alasan ianya bid`ah. Dan kita selaku pencinta pewaris para Nabi, teruskanlah beramal menurut ajaran para pendahulu kita daripada kalangan ulama yang `amilin lagi mukhlasin. Tok sey baloh deh !!!

Selasa, Mei 03, 2016

Antara Hikmah Shalawat

Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah satu ibadah yang penting bagi kita umat Islam. Manfaat shalawat itu pada kita amat-amat besar dalam usaha kita untuk mencari keredhaan, rahmat dan nikmat Allah `azza wa jalla. Kita memerlukan shalawat untuk mengenal jati diri kita selaku hamba Allah dan umat Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ketika bershalawat kita mengingatkan diri kita kepada Allah ta`ala, Tuhan yang sebenar-benarnya yang menjadi matlamat utama kita, dan kepada Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, kekasih Allah yang mana kita diperintahkanNya untuk menjadikan baginda contoh teladan untuk meraih keredhaan Allah ta`ala. Tidak tergambar dalam fikiran perhamba bahawa seseorang yang mengaku umatnya Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam tetapi enggan untuk mengucapkan shalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Namun bebaru ini ada hamba Allah menimbulkan pertanyaan : Kenapa umat Islam bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, adakah kerana Junjungan Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam masih belum selamat sehingga perlu dishalawati oleh umat? Pertanyaan ini menghimbau kembali kenangan perhamba ketika mengikuti pengajian almarhum Tuan Guru KH Dr. Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah. Tika beliau menghuraikan hikmah-hikmah kitab "al-Hikam". Antaranya adalah penjelasan beliau tentang ayat ke-4 surah ad-Dhuha: 
Di mana menurut penjelasan Buya Muhibuddin Waly, dari kacamata tafsir sufistik, ayat ini menjelaskan pada setiap saat dan ketika, Allah sentiasa melimpahkan ketinggian kedudukan, maqam, rahmat ta'dzim dan nikmat  ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga kedudukan baginda sentiasa dalam keadaan naik dan meninggi pada setiap saat, tidak statik dan jauh pula dari menurun. Ianya mengisyaratkan bahawa ketinggian dan maqamat di sisi Allah ta`ala itu tiada batasan atau tiada had kesudahannya kerana Allah ta`ala itu Maha Agung Maha Luas Anugerah, Rahmat dan Nikmat. Sungguh limpah anugerah dan nikmatNya tiada pernah berputusan dan sentiasa ada yang lebih besar daripada apa yang telah dijangkau oleh seseorang. Masuknya seseorang ke dalam syurga tidak bererti bahawa itulah sahaja had kesudahan atau kemuncak nikmat dan rahmatnya Allah ta`ala, bukan ertinya habislah sudah rahmat dan nikmat Allah kepada hambaNya yang taat, bukan ertinya setelah masuk syurga maka Allah ta`ala tidak berkuasa lagi untuk memberi penambahan dan peningkatan rahmat, nikmat dan maqamat. Maha suci Allah dari sifat lemah. Berbalik kepada ayat 4 surah ad-Dhuha yang mulia ini, kita hayatilah beberapa "terjemahan" yang telah dilakukan oleh beberapa ulama dan cendiakawan seperti berikut:- "Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya."{Syaikh Abdullah Basmeih}; "Dan bahwa akibat dan akhir keadaanmu adalah lebih baik daripada permulaannya." {Prof. Quraish Shihab}; "Indeed what is to come will be better for you than the present." {Maulana Mawdudi}; "And indeed the latter is better for you than the former." {Hazrat Ahmad Raza Khan}; "And verily the latter portion will be better for thee than the former." {Pickthall}; "and the Last shall be better for thee than the First." {Arberry}; dan "And surely what comes after is better for you than that which has gone before." {Shakir}.

Oleh itu, ketinggian darjat dan maqam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sememangnya telah tinggi, sentiasa mengalami peningkatan dan penambahan pada setiap saat dan ketika. Makanya, sewaktu pengajian tauhid dahulu, ketika mempelajari tingkatan-tingkatan iman, maka keimanan para rasul `alaihimus shalatu was sallam adalah pada tingkat keimanan yang sentiasa bertambah dan tidak pernah berkurang (yaziid la yanqhus). Shalawatnya kita atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah kerana baginda belum selamat, tetapi kerana rahmat, anugerah, kelebihan, maqamat, nikmat di sisi Allah itu tidak ada hadnya. Ulama menjelaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selaku hamba dan makhluk Allah yang paling mulia, walaupun tidak perlukan shalawat umat baginda, kerana apa perlunya shalawat makhluk dhaif seperti kita sedangkan Rabbul `Izzah sentiasa melimpahkan shalawatNya dan para malaikat yang maksum sentiasa bershalawat ke atas baginda. Namun sebagai makhluk, ucapan shalawat umat buat Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam  tetap bermanfaat kepada baginda. Perkara ini tidak dibincangkan dengan luas melainkan pada tempat ilmu dan untuk memberi penjelasan kerana menjaga adab kita dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan atas makna inilah dikatakan bahawa shalawat kita atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was sallam itu pasti diterima (makbul) dan tidak ditolak, yakni dari sudut sampainya dan manfaatnya atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan dari sudut diri orang yang bershalawat, maka ianya seperti amalan-amalan lain juga, boleh diterima dan boleh ditolak apabila berlaku perkara-perkara yang membatalkan pahalanya seperti riyak, `ujub atau sum`ah.

Di samping itu, shalawat atas baginda juga memiliki dampak tawhid yang kukuh. Shalawat mengajar kita untuk tidak mempertuhankan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam . Setinggi mana pun kedudukan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetap baginda adalah makhluk Allah ta`ala yang sentiasa mengharapkan rahmat belas Allah yang Maha Agung. Dengan bershalawat kita terhindar dari perbuatan sesetengah manusia sesat yang keliru antara Khaliq dan makhluk seumpama umat Kristiani yang mempertuhankan Isa al-Masih. Oleh itu seharusnya tidak timbul isu pendewaan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis-majlis mawlid dan shalawat. Oleh itu jangan putus-putus bershalawat dengan penuh keikhlasan.

Selasa, Februari 09, 2016

Hadiah Bacaan - al-Ja'fari

Sekadar perkongsian dan sebagai tambahan khazanah ilmu kita berhubung persoalan hadiah pahala bacaan al-Quran kepada arwah yang telah berada di alam barzakh. Bagi sesiapa yang tidak sependapat, tidak ada masalah apa-apa kerana ianya adalah perkara ikhtilaf. Janganlah saling menyalahkan antara satu sama lain sehingga menyebabkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat. Mutiara kali ini dipetik dari karya Syaikh Shaleh al-Ja'fari rahimahullah ulama besar yang menjadi imam di Masjid al-Azhar berjodol "Fathun wa Faidhun wa Fadhlun minAllah".

Pada halaman 234, Syaikh rahimahullah menulis sebagai berikut:-


Dan aku telah mendengar guru kami, Syaikh asy-Syinqithi rahimahullah berkata:- "Sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati apabila dihadiahkan oleh si pembaca kepadanya dengan dikatakan (yakni didoakan) sebelum pembacaan: "Ya Allah sampaikanlah pahala apa-apa yang akan aku baca kepada si fulan" yang afdhal dilakukan sebelum memula bacaan, namun boleh juga dilakukan selepasnya. Adalah Syaikh al-`Izz bin `Abdus Salam (yakni Sulthanul Ulama `Izzuddin bin Abdus Salam) rahimahullah berpendapat yang bacaan al-Quran tidak bermanfaat kepada orang mati. Maka setelah beliau wafat, sebahagian ulama telah bermimpi bertemu dan bertanya kepada beliau: " Adakah pahala bacaan al-Quran bermanfaat kepada orang mati?" Syaikh `Izzuddin menjawab: "Ya, bermanfaat dan aku telah melihat bahawa ketetapan dalam urusan ini menyalahi sangkaanku (yakni menyalahi pendapatnya yang bacaan al-Quran tidak mendatangkan manfaat bagi si mati). Dengan kelebihan Allah ta`ala jua, telah aku nazamkan perkataan guruku, Syaikh asy-Syinqithi sebagai berikut:-

Dan sampai pahala sedekah kepada para arwah * Juga pahala amalan selainnya daripada haji maupun shalat;

Demikian pula pahala si pembaca (al-Quran) yang dihadiahkannya * Sebelum atau selepas bacaan dilakukan sebagaimana yang telah tersusun;

Dan telah dimimpikan orang akan al-'Izz, lalu dia berkata:- * "Aku telah melihat ketetapan dalam urusan ini menyalahi sangkaanku".

Selasa, Januari 12, 2016

Nikah Wanita Hamil Akibat Zina.

Tersebar satu tulisan menghukumkan perkahwinan seseorang lelaki dengan perempuan yang hamil hasil daripada perbuatan zina sebagai tidak sah kerana perempuan yang hamil tidak boleh dinikahi dalam keadaan tersebut sehingga dia melahirkan anaknya. Pandangan ini mungkin benar menurut sebahagian ulama, namun bila disebarkan dalam masyarakat yang mengamalkan Mazhab Syafie, ianya menimbulkan masalah kerana tidak menepati qawl muktamad yang dipegang dalam mazhab ini.

Mazhab Syafie tidak mengiktiraf kehamilan hasil daripada perbuatan zina. Ini adalah kerana perzinaan adalah sesuatu yang haram dan merupakan antara dosa-dosa besar. Maka hamil kerana zina tidak dianggap sebagai sesuatu yang muhtaram. Oleh itu, kehamilan tersebut tidak menjadi halangan untuk berlakunya perkahwinan. Perkahwinan seseorang dengan wanita yang hamil akibat perzinaan adalah sah, walaupun hukum perkahwinan tersebut mungkin berbagai, bergantung kepada niat perkahwinan tersebut dilakukan. Walaupun begitu, anak hasil perbuatan zina tersebut, tetap dihukumkan sebagai anak zina yang hanya mansub kepada ibunya semata-mata. 

Antara rujukan yang boleh tuan-tuan lihat adalah keterangan dalam "Bughyatul Mustarsyidin" halaman 201 yang menyatakan:-

Harus menikahi perempuan yang hamil akibat perzinaan, samada yang menikahinya itu lelaki yang menjadi pasangannya berzina atau lelaki lain. Boleh menyetubuhinya ketika itu (yakni ketika hamilnya) namun dengan kemakruhan (yakni boleh tapi makruh bersetubuh dengannya ketika hamil tersebut)."
Almarhum Datuk Haji  Abdul Kadir Hassan rahimahullah, mantan Mufti Sarawak, juga pernah menjelaskan perkara ini sebagaimana yang dikompilasi dalama "40 Kemusykilan Agama" siri kedua, halaman 157 yang menyatakan antara lain:-

Mengikut qaul yang muktamad, perempuan yang bunting dahulu sebelum nikah, samada dibuntingkan oleh lelaki yang hendak nikah dengannya atau oleh lelaki yang lain hukumnya adalah sah `aqad nikah dengan perempuan yang hamil itu. Apabila telah sah nikahnya itu tiadalah perlu dinikahkan lagi apabila anak itu lahir ke dunia. Malah, nikah itu adalah sah untuk selama-lamanya. 
  
Diharap ini dapat sedikit sebanyak memperjelaskan isu ini. Nak lebih kenalah duduk mengaji kitab-kitab fiqh terutama sekali fiqh Syafie yang menjadi pegangan dan amalan kita di Nusantara ini.



Khamis, Disember 31, 2015

Mustika Ajaib - Qadhi Abu Bakar

"Mustika 'Ajaib" adalah satu kutaib atau risalah yang dikarang oleh seorang alim yang menjadi qadhi di Muar, Johor.  Beliau adalah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan rahimahullah yang dilahirkan pada  tahun 1292H/ 1875M dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1357H / 1938HM. Ketika berusia 6 tahun, beliau telah dibawa ke Mekah dan tetaplah beliau membesar dan menuntut ilmu beliau di sana selama 34 tahun lamanya sehingga beliau kembali ke tanahair dalam tahun 1915M.

Sewaktu di sana , Qadhi Haji Abu Bakar telah berguru dengan ramai ulama, antaranya dengan Syaikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syaikh Muhammad Said BabShail, Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah, Syaikh Abdullah as-Sanquri dan  ramai lagi. Kealiman beliau telah masyhur diketahui sehingga beliau dipanggil dengan panggilan "Haji Abu Bakar Alim". Qadhi Haji Abu Bakar adalah juga pengasas Madrasah al-'Arabiyyah al-Khairiyyah, Muar yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Tan Sri Mohamed Noah (mertua Tun Abdul Razak), Ustaz Muhammad Yasin (ayahanda Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan Datuk Haji Jumaat (mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka).

Dalam bidang penulisan, Qadhi Abu Bakar boleh dikatakan antara yang aktif menulis. Karya-karya beliau ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Di antaranya "Cogan Perikatan", "Masalah Uraian Muar-Johor", "Mustika 'Ajaib" "Nihayatut Taqrib fi Ma'rifatil Irtsi wat Ta'shib" dan "Syarah Nazam al-Fadhil Abil Hasan 'Ali bin Abir Rijal al-Khatib al-Qairawani." Qadhi Abu Bakar terkenal gigih mempertahankan amalan - amalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang bermazhab dan telah mengeluarkan karangan-karangan yang menjawab tuduhan - tuduhan bid`ah dan seumpamanya dikeluarkan oleh tokoh-tokoh "reformis" pada zaman tersebut seperti Syaikh Tahir Jalaluddin dan Hasan Bandung, bahkan Qadhi Abu Bakar mempunyai karya berbahasa Melayu dan juga Arab yang menolak pandangan Syaikh Rasyid Ridha.

Mengenai "Mustika 'Ajaib" maka sebagaimana yang dijelaskan di bawah jodolnya ...."pada menyatakan hukum dan kelebihan membaca Mawlidin Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam".... adalah risalah yang dikarang sebagai jawapan mengenai persoalan menyambut mawlid Junjungan shallaAllahu 'alaihi wa sallam pada bulan Rabi`ul Awwal dengan pembacaan kisah-kisah mawlid. Dimuatkan juga hukum berdiri ketika dikisahkan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta beberapa kisah dan perkataan ulama tentang kelebihan bermawlid. Risalah ini telah siap dikarang oleh Qadhi Abu Bakar pada 9 Shafar 1350H bersamaan 28 Jun 1931M. Walaupun hanya sekadar risalah kecil, namun padat isinya dan amat tepat untuk menjelaskan hukum dan kelebihan bermawlid yang diambil dari kitab-kitab karangan ulama besar antaranya "Husnul Maqsid fi Amalil Mawlid" karangan Imam as-Sayuthi, "I`anatuth Thalibin" karangan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dan "as-Sirah an-Nabawiyyah" karangan Sidi Ahmad Zaini Dahlan.

Secara ringkas, Qadhi Abu Bakar menjelaskan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama terbilang bahawa membuat mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan membaca al-Quran semampunya, membaca kisah-kisah mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, bersedekah dan berjamu adalah:-
"bid`ah hasanah (yang kebajikan) yang diberi pahala akan orang yang memperbuat yang demikian kerana membesar dan menghormatkan Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menzahirkan kesukaan dengan diperanak akan dia shallaAllahu `alaihi wa sallam." [Halaman 2, "Mustika 'Ajaib"]
Maka bagi sesiapa yang tidak mampu untuk menadah kitab-kitab 'Arab mengenai masalah ini, maka setidak-tidaknya akan mendapat kefahamannya dari karya Qadhi Abu Bakar rahimahullah ini. Dan atas usaha pihak Khazanah Fathaniyah, karya ini telah dicetak semula bahkan telah dirumikan agar lebih merata manfaatnya. Bolehlah sesiapa yang berhajat mendapatkannya daripada pihak Khazanah Fathaniyah. Selamat Bermawlid, birthday sendiri bukan main excited nak sambut, takkan mawlid Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam buat-buat lupa plak. Shallu `alan Nabiy !!!!!