Isnin, September 22, 2008

Habib 'Ali Kwitang

Pendiri majlis ta'lim yang pertama di Jakarta sewaktu zaman kolonial Belanda. Majlis taklim yang dipimpinnya dahulu sehingga kini masih tetap lestari dengan dihadiri puluhan ribu hadirin. Beliau adalah Habib 'Ali bin 'Abdur Rahman bin 'Abdullah bin Muhammad al-Habsyi. Lahir di Kwitang, Jakarta, pada 20 Jamadil Awwal 1286H / 20 April 1870M. Ayahanda beliau adalah Habib 'Abdur Rahman al-Habsyi seorang ulama dan daie yang hidup zuhud, manakala bonda beliau seorang wanita sholehah bernama Nyai Hajjah Salmah puteri seorang ulama Betawi dari Kampung Melayu, Jatinegara, Jakarta Timur.

Habib 'Abdur Rahman ditakdirkan menemui Penciptanya sebelum sempat melihat anaknya dewasa. Beliau meninggal dunia sewaktu Habib 'Ali masih kecil. Sebelum wafat, Habib 'Abdur Rahman berwasiat agar anaknya Habib 'Ali dihantar ke Hadhramaut untuk mendalami ilmunya dengan para ulama di sana. Tatkala berusia lebih kurang 11 tahun, berangkatlah Habib 'Ali ke Hadhramaut. Tempat pertama yang ditujunya ialah ke rubath Habib 'Abdur Rahman bin 'Alwi al-'Aydrus. Di sana beliau menekuni belajar dengan para ulamanya, antara yang menjadi gurunya ialah Shohibul Mawlid Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi, Habib Hasan bin Ahmad al-'Aydrus, Habib Zain bin 'Alwi Ba'Abud, Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas dan Syaikh Hasan bin 'Awadh. Beliau juga berkesempatan ke al-Haramain dan meneguk ilmu daripada ulama di sana, antara gurunya di sana adalah Habib Muhammad bin Husain al-Habsyi (Mufti Makkah), Sayyidi Abu Bakar al-Bakri Syatha ad-Dimyati, (pengarang I'aanathuth Thoolibiin yang masyhur) Syaikh Muhammad Said Babsail, Syaikh 'Umar Hamdan dan ramai lagi.

Habib 'Ali tidak pernah jemu menuntut ilmu. Terbukti apabila dia kembali ke tanahairnya, beliau tetap menekuni para ulama dan habaib sepuh untuk menuntut ilmu daripada mereka. Antara gurunya ialah Habib 'Utsman bin 'Abdullah BinYahya (Mufti Betawi), Habib Husain bin Muhsin al-'Aththas, Habib 'Alwi bin 'Abdur Rahman al-Masyhur, Habib 'Umar bin Idrus al-'Aydrus, Habib Ahmad bin 'Abdullah bin Thalib al-'Aththas dan Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhor. Habib 'Ali mula aktif berdakwah setelah mendapat dorongan daripada habaib sepuh yang menjadi guru beliau, antaranya Habib Utsman dan Habib Ahmad bin Abdullah al-Aththas.

Dalam rangka memantapkan tugas dakwahnya, Habib 'Ali telah membangunkan Masjid ar-Riyadh di Kwitang serta di samping masjid tersebut didirikannya sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Unwanul Falah. Ramai ulama Betawi / Jakarta yang pernah belajar di madrasah ini sekaligus menjadikan mereka murid Habib 'Ali Kwitang. Antara murid yang terkenal adalah K.H. 'Abdullah Syafi'i, K.H. Thahir Rohili dan K.H. Fathullah Harun (ayahanda Dr. Musa Fathullah Harun, bekas pensyarah UKM). Lebih 80 tahun, Habib 'Ali berdakwah menyeru umat ke jalan Allah. Dalam dakwahnya, Habib 'Ali sering menasihat umat agar sentiasa berbudi luhur, menjaga ukhuwwah dan meneladani akhlaknya Junjungan Nabi s.a.w. Salah satu kaedah untuk beliau mengumpul masyarakat ialah dengan menggelar majlis-majlis mawlid, di mana tausyiah akan disampaikannya di sela-sela bacaan mawlid tersebut. Habib 'Ali terkenal sebagai ulama yang mencintai majlis-majlis mawlid, bahkan beliaulah yang telah memasyarakatkan majlis mawlid di Betawi dan menjadi penerus kepada majlis mawlid Simthud Durar yang dipelopori oleh Habib Muhammad bin Idrus al-Habsyi (foto di sebelah) yang wafat tahun 1919M.

Sungguh dunia ini tempat kediaman yang sementara. Pada tanggal 20 Rajab 1388H bersamaan 13 Oktober 1968, kembalilah ulama dan wali ini ke rahmatUllah dengan meninggalkan anak dan murid-murid sebagai penerus perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Moga-moga rahmat Allah dan keredhaanNya sentiasa bersama beliau......al-Fatihah.

Tiada ulasan: