Isnin, April 20, 2015

Faedah Dari Kanzun Najah

Syaikh 'Abdul Hamid Quds @ Kudus bin Muhammad `Ali bin `Abdul Qadir al-Makki asy-Syafie rahimahullah adalah seorang ulama yang pernah menjadi imam dan khatib di Mekah. Beliau juga merupakan seorang tenaga pengajar di Masjidil Haram.  Beliau adalah seorang ulama yang dihormati dan berpengetahuan tinggi. Antara karya beliau yang masyhur adalah "Kanzun Najahi was Surur fil Ad'iyatil Ma`tsurah allati Tasyarrahus Shudur". Kitab ini mengandungi berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain yang disusun mengikut bulan - bulan Islam mulai Muharram hingga DzulHijjah. Kitab ini telah diterima baik oleh kalangan ulama dan awam muslimin, bahkan para ulama terkemuka Mekah ketika itu telah memberikan kata-kata aluan dan pujian baginya. Di antara yang berbuat sedemikian adalah Mufti mazhab Syafie di Mekah iaitu Syaikhul Islam Barakatul Khas wal `Aam, Syaikh Muhammad Sa`id BaabShil rahimahullah. Selain beliau yang turut memberikan kata-kata pujian bagi kitab tersebut adalah Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi, `Allaamah Sayyid `Umar bin Muhammad Syatha, `Allaamah Sayyid Muhammad bin Muhammad bin Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, `Allaamah Sayyid Ahmad bin asy-Syam al-Maghribi, `Allaamah al-Imam Yusuf bin Ismail an-Nabhani dan `Allaamah al-Imam `Umar Hamdaan rahimahumullahu ta`ala ajma`in. Oleh itu, tidaklah dapat hendak diremehkan saja isi kandungan kitab tersebut, hanya mereka-mereka yang jahil dan tidak tahu kadar kemuliaan ilmu dan ulama sahaja yang akan meremehkan kitab yang telah menerima "approval" ramai ulama yang muktabar.

Dalam kitab tersebut, Syaikh Abdul Hamid rahimahullah telah menukilkan satu faedah daripada seorang pemuka tabi`in yang masyhur iaitu Sayyidina Wahhab bin Munabbih radhiyaAllahu `anhu. Pada halaman 139 dinukilkan sebagai berikut:-
Telah berkata Wahhab bin Munabbih radhiyaAllahu ta`ala `anhu: "Semua sungai - sungai dunia ini menziarahi telaga zam-zam pada bulan Rejab kerana membesarkan bulan ini. Dan aku telah membaca dalam kitab - kitab Allah yang telah diturunkan (yakni kitab-kitab sebelum al-Quran, Wahhab bin Munabbih sebelum memeluk agama Islam merupakan seorang pendita Yahudi yang banyak mengetahui kandungan kitab-kitab terdahulu) bahawa sesiapa yang beristighfar memohon keampunan Allah dalam bulan Rejab, pagi dan petang dengan menadah kedua tangannya dan berkata: "Wahai Tuhan, ampunilah aku, rahmatilah aku dan terimalah taubatku" sebanyak 70 kali, nescaya kulitnya tidak akan disentuh api neraka." Perkara ini telah aku (yakni Syaikh Abdul Hamid) ringkaskan dari kitab "Tuhfatul Ikhwan fi qira-atil mi`aad fi Rajab wa Sya`ban wa Ramadhan" bagi al-`Allaamah al-Fasyani rahimahullah, maka carilah akan dia (yakni jika mahu lebih faedahnya lihatlah dalam kitab al-Fasyani tersebut), maka sesungguhnya keterangan dalam kitab tersebut tentang bab ini amat bernilai.

Mufti pertama negeri Sembilan, Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id al-Linggi rahimahullah turut menyalin perkataan Wahhab bin Munabbih tersebut. Dalam karya beliau yang masyhur dengan jodol "Tuhfatul Awthan wal Ikhwan", pada halaman 67, beliau rahimahullah menulis:-

"Berkata Wahhab bin Munabbih radhiyaAllahu ta`ala `anhu: "Sekalian sungai di dalam dunia menziarahlah mereka itu akan telaga zam-zam di dalam bulan Rejab kerana membesarkan bagi ini bulan. Dan telah aku baca pada kitab-kitab Allah yang diturunkan bahawa barangsiapa beristighfar ia akan Allah ta`ala di dalam bulan Rejab pada pagi - pagi dan petang - petang mengangkat ia akan dua tangannya dan berkata ia: "Allahummagh firli warhamni wa tub `alayya" 70 kali, tiada menyentuh oleh neraka akan kulit-kulit anggotanya."

Oleh itu, memandangkan amalan yang dinyatakan dalam atsar tersebut adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk kita beramal dengannya. Dan mengenai ziarahnya sungai-sungai kepada zam-zam, maka itu hanyalah satu kisah/khabar semata-mata yang tidak mengandungi apa-apa kepentingan dari segi hukum. Para ulama yang tentunya lebih alim dan warak daripada kita telah beramal dengan anjuran tersebut bahkan menyuruh murid - murid mereka mengamalkannya, kerana mereka tahu bahawa beristighfar itu sememangnya dituntut dalam Islam.

Oleh itu, marilah kita berusaha mempertingkatkan amalan yang menjadi bekalan kita di akhirat, pasti ianya lebih baik daripada kita sibuk ke sana ke mari menegah orang daripada beramal dengan istighfar, zikir, doa dan seumpamanya semata-mata kerana "hadis" atau "atsar" atau khabar mengenainya dipertikaikan kesahihannya. Percayalah bahawa datangnya seseorang kepada Allah dengan membawa istighfar yang banyak pasti akan berbahagia dengan syarat diterima Allah istighfarnya itu. Betapa tidak, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah sebagai berikut:-

"Kebahagiaanlah bagi sesiapa yang mendapati dalam suratan amalnya terkandung istighfar yang banyak."
Oleh itu, perbanyakkanlah beristighfar, istimewa pula dalam bulan Rejab yang berkat ini. Mudah-mudahan istighfar kita akan menjadi sabun yang kuat untuk menanggal kekotoran dosa daripada jiwa kita. Maka bersihlah diri kita dari noda dan dosa apabila memasuki gerbang bulan Ramadhan yang mulia sehingga kita dipermudahkan Allah menerima anugerah - anugerah besar dalam Ramadhan termasuklah pertemuan dengan malam yang lebih baik dari 1000 bulan, lailatul qadar yang berkat. ..... Allahumma aamiin.


Tiada ulasan: