Jumaat, April 24, 2015

Shalawat Husnul Khatimah

Alhamdulillah tsummal-hamdulillah, syukur kita bertemu dengan hari Jumaat pertama bulan haram Rejab yang mulia. Kata ulama, rahsia (sir) pada bulan Rejab ini terletak pada awal bulannya, Bulan Sya'ban pada pertengahannya, manakala bulan Ramadhan pada penghujungnya. Apa-apa pun yang penting kita sentiasa menjalani kehidupan sebagai seorang manusia muslim, mukmin dan muhsin pada setiap saat dan ketika sehinggalah maut menjemput kita.

Marilah kita peringatkan diri kita agar sentiasa memperbanyakkan shalawat ke atas Sayyidil Anam shallaAllahu `alaihi wa sallam, teristimewanya pada Sayyidil Ayyam ini. Sesungguhnya orang yang banyak shalawatnya pasti tidak akan kecewa di hari pembalasan kelak. Habib Abdul Rahman al-Masyhur rahimahullah, mufti Hadhramaut dalam kitabnya yang tersohor , "Bughyatul Mustarsyidin" dalam bab yang membicarakan perkara-perkara sunnat berkaitan dengan shalat (sunan ash-shalah) menukilkan faedah berikut:-
Daripada sebahagian waliyullah yang arifin bahawa sesiapa yang membaca selepas shalat Maghrib sebelum berkata-kata (tentang perkara dunia): "Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad wa `ala alihi wa shahbihi bi `adadi kulli harfin jaraa bihil qalam" [Ya Allah, limpahkanlah shalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad dan ke atas keluarga serta sahabat baginda, sebanyak bilangan huruf yang digores dengannya Qalam], 10 kali, (semoga) dia mati dalam keimanan.
Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah dalam "Sa`adatud Daraain" menganjurkan agar ditambah lafaz "wa sallim" dalam shalawat tersebut agar lebih sempurna lagi. Mudah - mudahan dapat dijadikan amalan buat menambah bekalan kita di negeri yang kekal abadi tiada kesudahan.



Tiada ulasan: