Khamis, Mac 31, 2022

Fath Awal Ramadhan

Ramadhan bakal menjelang sehari dua lagi, faqir kongsikan di sini amalan sebahagian ulama untuk dilakukan pada malam pertama Ramadhan dengan harapan menjadi wasilah untuk mendapat penjagaan dan pelestarian rezeki sepanjang tahun. Amalannya adalah membaca surah al-Fath, pada malam pertama bulan Ramadhan, samada sekali atau tiga (3) kali, samada di dalam shalat nafil atau di luar shalat, dengan harapan yang tersebut tadi. Amalan ini pernah perhamba tuliskan dahulu, sekitar tahun 2009, maka ini adalah sebagai tambahan atasnya, alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Sukalah perhamba nyatakan lagi bahawa amalan ini hanyalah anjuran ulama dan dinukil dalam karya - karya mereka, berdasarkan tajribah. Maka jika ada yang menyandarkan amalan ini secara qathie kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka sandaran tersebut adalah bermasalah dan ditolak oleh ramai ulama bahkan dihukum riwayatnya sebagai mawdhu` palsu. Namun, ini tidaklah bermaksud bahawa membaca surah tersebut pada malam tersebut dilarang atau diharamkan kerana tidak bersumberkan hadis yang shahih atau seumpamanya. Lagi sekali dinyatakan bahawa ianya adalah anjuran dan amalan sebahagian ulama berdasarkan kepada tajribah. Maka sesiapa yang tidak bersetuju, maka tidak perlulah mengamalkannya dan tidak perlu juga berbuat bising hingar bingar mengenainya. Ketahuilah bahawa amalan ini telah masyhur di sisi mereka yang beramal dengannya, yang juga terdiri daripada kalangan ulama dan khawasnya umat ini, selain awamnya muslimin. Maka berhati - hatilah dalam menegur, jangan sampai melampaui batas adab dan tatasusila.

Imam al-`Alim al-`Allaamah `Afifuddin Abus Sa`aadaat Abu Muhammad `Abdullah bin As`ad al-Yafie yang dikenali sebagai Imam al-Yafie al-Yamani (698H - 768H) rahimahullah dalam kitab beliau ad-Durrun Nadzim pada halaman 98 menukilkan, antara lain, sebagai berikut:- ....Telah berkata sebahagian `arifin (yakni wali - wali Allah) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Fath tiga (3) kali, ketika melihat hilal bulan Ramadhan ( yakni anak bulan Ramadhan, iaitu ketika masuk awal malam bulan Ramadhan), (mudah - mudahan) diluaskan Allah atasnya (rezeki) sepanjang tahun tersebut."

Imam al-`Alim al-`Allaamah Muhammad asy-Syarbini al-Khatib (916H - 977H), atau lebih dikenali dengan gelaran Khatib asy-Syarbini rahimahullah, adalah tokoh ulama yang masyhur dan terkenal. Beliau adalah pengarang kitab Iqna dan Mughni Muhtaj yang masyhur menjadi rujukan dan sandaran dalam fekah Syafie. Beliau juga mengarang sebuah kitab tafsir yang berjodol as-Sirajul Munir dan pada juz ke-4, halaman 59, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ...Telah berkata Ibnu `Adil dikatakan sebagai diriwayat bahawa sesiapa yang membaca pada awal malam bulan Ramadhan akan surah al-Fath dalam sembahyang sunnat, dia akan dijaga Allah pada tahun tersebut...."

Syaikh al-`Alim al-`Allaamah al-Mufti Haji Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi rahimahullah, mantan mufti Negeri Sembilan menukilkan juga faedah ini dalam karangan beliau Tuhfatul Awthan wal Ikhwan pada halaman 86 sebagai berikut:- ...(Faedah) barang siapa membaca ia akan surah al-Fath pada awal malam daripada bulan Ramadhan di dalam sembahyang sunnat, dipeliharakan dia pada itu tahun....

KH Zakhwan @ Zahwan Anwar Pati rahimahullah, sosok kiyai ahli hikmah yang banyak menulis karya berbentuk ilmu - ilmu hikmah dan mujarrobat, telah menukilkan juga amalan ini dalam karangan beliau Majmu` Adzim pada halaman 121 - 122 di mana beliau menulis sebagai berikut:- ....Khasiatnya surah al-Fath. Barangsiapa membacanya sekali di malam pertama bulan Ramadhan, in sya Allah, dijaga oleh Tuhan dari segala marabahaya selama satu tahun. Dan apabila dibaca tiga (3) kali malam dari awal bulan Ramadhan, maka, in sya Allah, ditambah rezekinya dalam satu tahun.

Begitulah sebahagian perkataan yang perhamba nukil daripada karangan - karangan para ulama kita. Mudah - mudahan ada manfaat dan ikhlas hendaknya.

Anjuran Guru Ijai



3 ulasan:

Mustafid berkata...

InsyaAllah, moga ada rezeki mempraktis amalan baik ini.

Abu Muhammad berkata...

Allahumma aamiin

Tanpa Nama berkata...

Syukran jazilan Ustaz..