Isnin, Mei 06, 2024

Pinggan Berdoa

Di antara perbuatan sunat yang didasarkan kepada sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah mengutip serta memakan makanan yang terjatuh dari suapan atau pinggan yang kita makan. Juga disunatkan setelah selesai makan, jari jemari tangan kanan yang digunakan untuk makan, terutamanya  3 jari iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, dijilat. Begitulah juga dengan pinggan yang telah kita gunakan untuk makan tadi. Di antara dasar bagi amalan ini adalah sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sebagai berikut:- " Adalah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika selesai memakan sesuatu makanan, baginda menjilat jari - jarinya yang tiga (yakni Junjungan biasanya makan dengan tiga jari, iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, bersesuaian dengan diet baginda seperti tamar, roti dan seumpamanya, yang hanya perlu menggunakan 3 jari untuk mengambil dan menyuap ke mulut) dan baginda bersabda: " Jika suapan seseorang daripada kamu terjatuh, (kutiplah semula) lalu hilangkan daripadanya kekotoran ( jika ada) dan makanlah ia, jangan ditinggalkan untuk dimakan oleh syaitan." Baginda menganjurkan kepada kami untuk menyapu / mengusap pinggan makan (dengan jari) dan bersabda: "Sesungguhnya kamu tidak tahu pada makanan yang manakah terletaknya keberkatan."

Diterangkan bahawa kaifiat menjilat jari menurut sunnah adalah dengan memulakan jilatan pada jari tengah, lalu jari telunjuk dan akhirnya ibu jari. Manakala "jilat" pinggan itu tidaklah bererti pinggan itu dijilat terus dengan lidah seperti anjing atau kucing menjilat - jilat bekas makanannya. Ulama kita menerangkan perlakuan menjilat pinggan adalah dengan menghabiskan segala sisa atau bekas makanan yang ada pada pinggan tersebut, lalu mengusap atau menyapu pinggan tersebut dengan telunjuk jari tangan kanan kita dan setelah itu menjilatnya. Inilah yang dikatakan sebagai men"jilat" pinggan.

Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah di akhir karangan beliau yang dinamakan Perhubungan Bughyatuth Thulaab menerangkan kaedah dan fadhilahnya seperti berikut:-

...Dan sunat ia memungut akan tumpah pada makanan, maka dimakannya. Dan sunat apabila memakan pada umpama pinggan kayu, disapunya dengan telunjuknya yang lekat pada pinggan dan dijilatnya yang bekas makanan pada anak jarinya kerana tersebut dalam hadis yang riwayat daripada Bazzar bahawasanya berkata pinggan yang kita jilat makanan yang padanya: "Allahumma ajirhu minan naari kamaa ajaarani min la'qisy syaithaan,"  - "Hai Tuhanku, lepaskan olehMu akan dia daripadanya api neraka seperti ia melepaskan kami daripada jilat oleh syaitan.....

Perbuatan menjilat jari dan pinggan, setelah selesai makan sebagai satu perbuatan sunat tidak menjadi pertikaian di sisi para ulama, kerana ianya tsabit daripada nas yang shahih. Namun, yang dipermasalahkan oleh sebahagian adalah kelebihan atau fadhilat melakukan perbuatan tersebut kerana riwayat - riwayat mengenai kelebihannya ada yang dhaif. Jika pun riwayat - riwayat tersebut dhaif, ia hanya berkaitan dengan masalah fadhail sahaja, yang tujuannya adalah sebagai pelengkap dan motivasi melakukan sunnah tersebut.

Di antara kelebihan adalah sebagaimana disebut oleh Mawlana Syaikh Daud tadi dan juga faqir nukilkan sebagai tambahan apa yang disebut oleh Imam ad-Damiri rahimahullah  dalam an-Najmul Wahhaaj fi syarhil Minhaaj, juz 6, halaman 260, sebagai berikut:- 
...Dan mustahab untuk memakan semula suapan yang terjatuh, menjilat jari jemari dan pinggan makan, kerana ada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada Nubaisyah al-Aslami bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang makan dari pinggan, kemudian dia menjilatnya (yakni menyapu / mengusap sehingga bersih pinggan dengan jari dan menjilat jari tersebut), maka pinggan tersebut akan beristighfar baginya (yakni pinggan tersebut akan berdoa agar dia mendapat keampunan Allah). Menurut yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, pinggan tersebut berdoa dengan katanya: "Ya Allah, selamatkan dia dari api neraka sebagaimana dia menyelamatkan aku daripada jilatan syaitan."

Mudah - mudahan kita tergolong dalam kalangan yang mendapat doa daripada makhluk - makhluk Allah, daripada doanya para malaikat yang maksum sehingga doa benda - benda jamadat seperti pinggan mangkuk dan sebagainya. Jangan - jangan ampunan Allah bagi kita terselit dalam doa - doa tersebut. Makanya jadi manusia jangan sombong dan bongkak, jangan memandang rendah dan hina kepada makhluk lain. Ingat, orang yang tawadhu itu dikasihi Khaliq dan makhluk.

Tiada ulasan: