Khamis, Julai 11, 2024

Shalawat Fatih -Sidi Jailani ?

Sebagaimana yang pernah faqir tulis bertahun dahulu, Shalawat Fatih dengan sedikit perbezaan lafaz, ada ulama yang menisbahkannya kepada Sultanul Awliya` Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Tok Syaikh Wan Ali Kutan rahimahullah dan Kiyai Agung Sidi Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrah, adalah antara ulama yang berpendapat sedemikian, sama seperti pandangan guru beliau Sidi Ahmad bin Zaini Dahlan  rahimahullah. Dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah pada halaman 17, Kiyai Agung menukilkan sebagai berikut:- Adapun shighah shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid al-Kamil, asy-Sayyid, asy-Syarif, asy-Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu "Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi limaa ughliq....." Maka telah ramai awliya menyatakan bahawa lafaz shalawat ini mengandungi asrar (rahasia -rahasia) dan keajaiban - keajaiban yang tidak terjangkau oleh akal. Sesiapa yang melazimi membacanya 100 kali setiap hari, akan t\dibukakan baginya hijab - hijab banyak (yakni akan dihilangkan Allah baginya bermacam tabir yang menghalang dia untuk mencapai makrifatullah dan mahabbatullah), diberikan baginya nur - nur yang banyak, dan ditunaikan baginya segala cita - cita yang tiada siapa mengetahui kadarnya selain Allah.

Tok Syaikh Wan Ali Kutan dalam al-Jawharul Mawhub pada halaman 29 memuatkan terjemahan yang persis seperti ibarat dalam al-Futuuhatul Ilahiyyah, memberikan andaian bahawa kedua - dua ulama ini menukilkan ibarat asal dari satu sumber yang sama. Nukilan beliau adalah seperti berikut:- ( Ini shalawat) bagi Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani radhiyaAllahu `anhu, iaitu .."Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidina Muhammad, al-Fatihi lima ughliq ...." Telah menyebut kebanyakan daripada arifin bahawasanya shalawat ini bagi membukakan asrar dan yang ajaib - ajaib yang terhairan oleh akal. Barangsiapa mengekali atasnya tiap - tiap hari 100 kali nescaya terbuka baginya daripada segala hijab dan hasil baginya daripada anwar dan menunaikan segala hajat barang yang tiada mengetahui kadarnya melainkan Allah ta`ala.

Semoga bermanfaat dan tambah semangat dalam beramal, tanpa menghirau kepada celaan para pencela yang bertopengkan sunnah dan merasakan diri lebih sunnah berbanding para ulama dan awliya umat ini. Ingat pepatah Melayu, hanya jauhari mengenal manikam, jangan tertipu dengan kilauan kaca hingga akhir dikata intan.


Guru Ijai Tentang Shalawat Fatih


Tiada ulasan: