Ngulang Qulhu - Tarsyih & Fatawa
Satu persoalan telah dibangkitkan oleh seorang hamba Allah, ketika membaca Fathul Mu`in, yang diterjemahkan oleh almarhum al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman al-Muhammadiy, jilid yang pertama, halaman 162, dia bertemu dengan ibarat sebagai berikut:- ... Dan mengulangi tiga - tiga kali (Qul Huwa Allahu Ahad) di dalam rakaat - rakaat yang akhir dari Sembahyang Tarawih adalah daripada bid`ah yang tidak baik kerana di dalam perbuatan itu ada gangguan terhadap sunnah (Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam) sebagaimana difatwakan oleh syaikh kami.... Maka yang menjadi kemusykilan, apakah benar mengulang - ngulang bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) dalam rakaat kedua Shalat Tarawih adalah amalan yang tidak elok atau tidak baik kerana dianggap bid`ah ghair hasanah yang berseberangan dengan bid`ah hasanah apatah lagi dengan sunnah? Sedangkan, amalan sedemikian, ada diamalkan oleh sesetengah orang dan telah menjadi kebiasaan mereka.
Ibarat tersebut merupakan terjemahan langsung nas yang terkandung dalam kitab Fathul Mu`in yang asal, karangan Syaikh Zainuddin bin `Abdul `Aziz al-Malibari rahimahullah, ulama besar yang menjadi murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah. Pada halaman 33, Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah menyatakan: ... Mengulang - ngulang (takrir) "Qul Huwa Allahu Ahad" (Surah al-Ikhlas) tiga - tiga kali pada rakaat - rakaat akhir (yakni rakaat kedua) sembahyang Tarawih adalah bid`ah yang tidak baik (bid`atun ghairu hasanatin) kerana perbuatan tersebut merosakkan sunnah (ikhlaalan bis sunnah) sebagaimana difatwakan guru kami (yakni Imam Ibnu Hajar al-Haitami)..
Jika ilmu kita hanya setakat membaca matan Fathul Mu`in, apatah lagi sekadar membaca terjemahan sahaja, tanpa mentelaah dan mengaji kitab tersebut daripada guru - guru yang mahir, maka pasti kita juga akan terkeliru dalam pemahaman. Lebih malang lagi, jika kita terus menghukum perbuatan mengulang - ngulang tiga (3) kali Surah al-Ikhlas dalam rakaat kedua Shalat Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah yang tidak elok untuk dilakukan semata - mata bersandarkan kepada matan Fathul Mu`in tersebut. Sedangkan tidak sedikit umat ini yang mengamalkan bertarawih dengan kaifiat mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam rakaat keduanya. Dalam negara kita, saudara - saudara kita di Negeri Sembilan Darul Khusus, umpamanya, telah biasa bertarawih 10 rakaat dengan kaifiat yang sedemikian. Kaifiat yang telah mereka terima daripada para ulama mereka seperti almarhum Syaikh Haji Muhammad Sa`id bin Jamaluddin al-Linggi dan anakandanya almarhum Mufti Haji Ahmad. Bahkan, Syaikh Haji Muhammad Sa`id telah menulis akan kaifiatnya yang kemudiannya diberi ta'liq atau penjelasan lanjut oleh Mufti Haji Ahmad. Kaifiat tersebut mengandungi pengulangan bacaan Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam setiap rakaat kedua Sembahyang Tarawih. Faqir sendiri sempat bertemu dan mendapat kaifiat Tarawih 10 Rakaat tersebut daripada beberapa guru yang berafiliasi dengan Thariqah Ahmadiyyah Rasyidiyyah Dandarawiyyah, antaranya almarhum Syaikh Muhammad Faiz bin Mufti Haji Ahmad, almarhum Ustaz Haji Arsyad dan almarhum Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr Haji Mahmud Saedon bin Awang Othman, tokoh perundangan dan kehakiman syariah yang terkenal alim sehingga dilantik menjadi pakar rujuk Hukum Syarak di Brunei Darus Salam. Adakah alim ulama ini tidak membaca atau mengaji Fathul Mu`in?
Di sinilah pentingnya kita menerima ilmu itu daripada mulut para guru yang mahir atau bagi seseorang yang sudah mempunyai asas ilmu fiqh yang kukuh dan sedikit sebanyak memiliki ilmu - ilmu alat, merujuk juga kepada kitab - kitab lain, terutama sekali kepada hasyiah bagi Fathul Mu`in, dan fatwa - fatwa Imam Ibnu Hajar seperti al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah. Ini adalah kerana tidaklah mustahil berlaku kemusykilan, kekhilafan atau kesalahfahaman dalam tulisan atau nukilan Fathul Mu`in tersebut. Ada kemungkinan juga bahawa itu hanyalah pandangan pribadi sang pengarang sebagai rumusan dari apa yang dianggapnya sebagai ajaran atau fatwa gurunya. Maka untuk mendapat kedudukan hukum yang sebenar, tidak dapat tidak kita kena merujuk kitab - kitab lain sebagaimana dinyatakan tadi. Janganlah berpada dengan hanya membaca satu dua kitab, apatah lagi hanya bersandarkan kitab - kitab terjemahan sahaja. Jika kita terjumpa sesuatu hukum yang pelik atau janggal atau menyalahi amalan yang telah menjadi kebiasaan sesetengah alim ulama dan masyarakat setem[at, janganlah mudah menyalahkan dahulu, hendaklah ditilik dan selidik terlebih dahulu.
Fathul Mu`in adalah kitab yang sangat berkat, penuh sarat berisikan ilmu pengetahuan yang sangat bernilai, namun terkandung di dalamnya beberapa isykal, kejanggalan dan kesamaran yang perlu kepada penjelasan. Namun, atas keikhlasan si penulisnya, telah nyata keberkatan kitab ini, ianya tersebar meluas menjadi teks pengajian Fiqh Syafie. Ramai ulama memberikan perhatian yang khusus untuk mengajar kitab ini dan tidak kurang yang menulis hasyiah, syarah, ta'liqat, ikhtishar dan nazham, samada kecil atau besar, atas kitab yang berkat ini. Antaranya:- (i) yang tersohor, I`aanatuth Thalibin karya Sidi al-Bakri Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (w.1310H); (ii) Tarsyihul Mustafidin karya Habib `Alawi bin Ahmad as-Saqqaf (w. 1335H); (iii) I`aanatul Musta`in karya Syaikh `Ali bin Ahmad bin Sa`id Bashibrin asy-Syafie (w. 1304H); (iv) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Syihabuddin Ahmad Koya asy-Syaliyati (w. 1347H); (v) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Balankuti @ Katyam Musliyar (w. 1273H); (vi) Hasyiah `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Syihabuddin Ahmad bin Muhammad asy-Syirazi al-Hindi (w. 1326H); (vii) Syarh `ala Fathil Mu`in karya Syaikh Zainuddin bin Meah Hasan bin `Abdul Aziz al-Malibari (w. 1305H); (viii) Tansyithul Muthaali`in karya al-`Allaamah al-Mawlawi `Ali bin Syaikh `Abdur Rahman an-Naqsyabandi at-Tanuuri (w. 1347H); (ix) Fathul Mulhim `ala Fathil Mu`in karya sekumpulan ulama Malibar dan (x) Khulashatul Fiqhil Islamiy yang merupakan ringkasan bagi Fathul Mu`in karangan seorang ulama Kerala kontemporer yang diberi jolokan Qalamul Islam, Syaikh `Abdur Rahman Bawa bin Muhammad al-Malibari. Dari sekian banyaknya karya - karya tersebut, yang paling masyhur dan tidak dapat tidak mesti menjadi rujukan mereka - mereka yang mempelajari Fathul Mu`in adalah I`aanah Sidi Bakri dan Tarsyih Habib Alawi tadi.
Berbalik kepada masalah mengulang Surah al-Ikhlas tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih. Pernyataan yang terkandung dalam Fathul Mu`in bahawa perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah telah dibantah oleh Habib `Alawi bin Muhammad as-Saqqaf. Dalam kitab beliau Tarsyihul Mustafidin bi Tawsyih Fathil Mu`in pada halaman 99 - 100, beliau menjelaskan, antara lain, sebagai berikut:- ....{ perkataannya (iaitu perkataan Syaikh Zainuddin): "bid`atun ghairu hasanah" adalah ungkapan atau istilah yang menunjukkan bahawa perbuatan tersebut (yakni mengulang - ngulang surah al-Ikhlas dalam rakaat kedua Tarawih) adalah tidak elok / baik. Dan perkataannya (yakni perkataan Syaikh Zainuddin) "Sebagaimana yang difatwakan oleh guru kami", maka fatwa tersebut sebenarnya tidak wujud di dalam fatwa - fatwanya (yakni fatwa - fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami), bahkan tidak juga tersebut dalam mana - mana kitab beliau yang lain. Imam Ibnu Hajar hanya menyatakan bahawa mendirikan Sembahyang Tarawih dengan membaca seluruh al-Quran atau mengkhatamkannya sepanjang bulan tersebut adalah awla (lebih utama) dan afdhal berbanding dengan hanya mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tiga kali pada setiap rakaat daripadanya ................Hal ini tertentu bagi orang yang hafal al-Quran, ada pun bagi mereka yang tidak hafal al-Quran, maka tidak ada tegahan atau halangan bahawa mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas tersebut adalah awla bagi mereka daripada selainnya kerana warid nas pada yang sedemikian (yakni warid berbagai nas tentang keutamaan dan kelebihan Surah al-Ikhlas). Telah berkata al-Imam al-Muhaddits al-`Aamiri pada pembicaraan shalat malam (qiyamullail) dalam kitabnya Bahjah bahawa: "Sewajarnya seseorang itu melaksanakan dua kali khatam pembacaan al-Quran pada setiap bulan. Salah satu khataman tersebut dia lakukan dalam shalat malamnya, iaitu dengan membaca setiap malam satu juz (dalam shalat malam / tahajjud); manakala satu lagi khataman dilakukannya di luar shalat. Ini adalah bagi orang yang hafal al-Quran. Adapun bagi selain mereka, maka bacalah surah - surah yang pendek menurut kemampuannya dan sebaik - baik wirid baginya adalah membaca "Qul Huwa Allahu Ahad" (Surah al-Ikhlas) pada setiap rakaat (shalat malam / qiyamullail) sebanyak tiga (3) kali ............
Oleh itu, pernyataan yang tertera dalam Fathul Mu`in bahawa pengulangan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga (3) kali dalam rakaat kedua Sembahyang Tarawih sebagai bid`ah ghairu hasanah telah disanggah oleh para ulama antaranya Habib `Alawi as-Saqqaf dan dianggap tidak tepat dan menyalahi fatwa guru beliau, Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Ini adalah kerana Imam Ibnu Hajar tidak pernah menyatakan perbuatan sedemikian sebagai bid`ah ghairu hasanah yang tidak elok untuk dilakukan. Jadi persoalannya hanya berkitar setakat sunnah (dalam pergertian pernah dilakukan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Shalat Tarawih baginda) atau tidak, berkitar kepada persoalan awla, afdhal dan mafdhul sahaja, tidak pun sampai menghukumnya sebagai ghairu hasanah iaitu tidak elok atau dibenci (makruh) apatah lagi haram.
Khatimatul Muhaqqiqin, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, ulama besar dan mufti Mekah, dalam fatwa beliau yang dihimpunkan dalam al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, jilid 1, halaman 184, ketika menganggapi soalan samada perbuatan mengulang tiga (3) kali Surah al-Ikhlas dalam Shalat Tarawih itu sunnah dan jika bukan sunnah, apakah pengulangan tersebut boleh dihukumkan sebagai makruh (dibenci) sebagaimana pandangan sesetengah salaf yang dinukilkan oleh Ibnu Syuhbah dalam al-Mu`limaat. Jawapan Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa perbuatan mengulang - ngulang Surah al-Ikhlas dalam satu rakaat atau sekalian rakaat Sembahyang Tarawih bukanlah sunnah (yakni dalam pengertian pernah dilaku atau ditunjuk oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda mendirikan Qiyamu Ramadhan yakni Shalat Tarawih), namun tidaklah pula dapat dihukumkan sebagai makruh (dibenci) menurut kaedah mazhab kita kerana tidak ada larangan atau tegahan tertentu padanya (yakni tidak ada nas yang melarang melakukan hal tersebut). Tidak pun difatwakan oleh beliau yang perbuatan tersebut sebagai bid`ah ghairu hasanah sebagaimana dakwaan Syaikh Zainuddin dalam Fathul Mu`in.
Sebagai penutup, memandangkan Habib `Alawi turut menukilkan pernyataan kitab Bahjah, maka faqir kongsikan di sini nukilan dari kitab karya al-Imam al-`Allaamah al-Muhaddits Yahya bin Abu Bakar bin Muhammad bin Yahya al-`Aamiriy al-Haradhiy al-Yamaniy asy-Syafie (816 - 893H). Nama lengkap kitab tersebut adalah Bahjatul Mahaafil wa Bughyatul Amaatsil fi talkhish asy-siyari wal mu'jizati wasy syamaail. Pada halaman 576, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ......Ini adalah pada hak orang yang hafal al-Quran (yakni seorang hafiz awla (lebih utama) dan afdhal mengkhatamkan al-Quran dalam shalat malamnya / qiyamullailnya setiap bulan). Adapun orang lain (yang bukan hafiz), bacalah surah - surah yang pendek menurut kemampuannya dan sebaik - baik wirid baginya adalah pembacaan (Qul Huwa Allahu Ahad) tiga (3) dalam setiap rakaat (shalat malamnya). Maka telah warid dalam kitab - kitab hadis shahih bahawa sesiapa yang membacanya tiga kali maka seumpama dia membaca keseluruhan al-Quran........
Faqir berharap dengan penjelasan di atas, tahulah kita letak duduknya masalah ini. Tidak perlu bertegang leher saling memenangkan pendapat sendiri. Ingat bahawa dalam amalan sunnat atau thathawwu`, ada keluasan dan kelapangan. Sesuatu amalan yang baik masih boleh dihukumkan sunnat (yakni menurut istilah fiqh yang ertinya dilakukan berpahala dan jika tidak dilakukan tidak berdosa) walau pun amalan tersebut bukan sunnah (dalam pengertian ada contoh khusus daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam). Bagi mereka yang ingin mengulang Surah al-Ikhlas tiga (3) pula, silalah berbuat sedemikian, namun pastikan juga jangan sampai melanggar tatatertib, kaifiat dan sunat - sunat yang lain dalam sembahyang, antaranya tidak memanjangkan rakaat kedua melebihi rakaat pertama. Dan yang terutama dan terpenting, beramallah ikhlas semata kerana Allah. Selamat beribadah, berpuasa dan bertarawih. Semoga diterima Allah segalanya dengan penerimaan yang sempurna. Allahumma aamiin.