Rabu, Disember 21, 2005

Syaikh Ahmad al-Fathoni - Murid Sayyidi Ahmad

KENANGKAN SYAIKH WAN AHMAD ULAMA GEMILANG

Kenangkanlah sumbangan Tok Wan Ahmad
Ulama gemilang penyuluh zaman
Penulis cemerlang pembawa harapan
Perintis perjuangan anak bangsa dan watan
Penyambung faham dari rantaian ulama silam
Serta bersedia bagi berdepan perubahan mendatang

Tok Wan Ahmad milik seluruh ummah bangsa ini
Nasab bapanya keturunan besar dari Patani
Serta ibunya berasal dari Pasir Mas Kelantani
Nama dan jasanya terlalu indah bagi dikenangi

Tok Wan Ahmad dalam usianya sesingkat itu
Menabur jasa buat para penuntut serta guru
Mewaris tulisan dan cara fikir yang jitu
Menumbuhkan semangat serta kegigihan yang baru
Mencambahkan ulama dan pentadbir bangsa Melayu

Tok Wan Ahmad mudanya penuntut Azhar dan Makkah
Hebat berpuisi serta syair dia bermadah
Sehingga cantiknya bahasa dan bidalan digubah
Mempunyai sarat erti penuh hikmah
Kebenaran disampainya dengan bahasa yang tersangat indah

Tok Wan Ahmad ke Istanbul berjumpa Abdul Hamid Sultan Uthmani
Membawa harapan bangsa agar kitab Melayu dapat dicetaki
Maksudnya termakbul dan disambut Sultan dengan penuh ikrami
Tok Wan juga menziarahi Beirut menemui Syaikh Yusuf an-Nabhani
Ulama kerohanian pembela mazhab dan pencinta Ahla al-Baiti
Kemudian ke Qahirah berjumpa Muhammad Abduh syaikh al-Azhari
Pemikir cara baru perintis perubahan bagi sebahagian ummah ini

Tok Wan Ahmad hampir 100 tahun telah pergi
Jasa dan pusakanya belum sempat habis kita gali
Kerdilnya bangsa sekiranya tokoh agung ini terus dilupai
Kerana sibuk dengan kemajuan dan bahas duniawi
Sehingga warisan agung bangsa tiada mahu kita fahami

Marilah kita jernihkan hati dan perasaan
Kita menumpang tuah tokoh ini yang penuh keberkatan
Kita akur anjurannya agar dilaksanakan kemuafakatan
Kita dabikkan perasaan yang agama akan kita dirikan
Kita azamkan putus bagi maksiat kita tumbangkan
Fahaman ulama silam akan terus kita sambungkan
Agar Melayu kita akan menjadi bangsa gemilang

Marilah kita turuti saranan Tok Wan Ahmad
Kita jadikan bumi ini perbendaharaan ilmu, perladungan kepandaian
Kita gunakan kemudahan sezaman untuk menegak agama anutan
Agar Melayu ini bertambah kemajuan di dalam taatnya kepada Tuhan
Agar Melayu ini akan berdaulat berumbikan faham keagamaan
Agar Melayu ini punyai nilai diri dan bukan sekadar buih lautan

Tok Wan Ahmad berada pada gerbang zaman
Selayaknya kita jadikan dia imam ikutan
Bagi berdepan dengan zaman yang penuh cabaran
Nilai agama dan maruah bangsa sedang dikoyakkan
Oleh anasir-anasir yang benci kepada kebajikan

Ingatlah pesan Tok Wan Ahmad
Tegakkan agama, teguhkan bangsa, binalah tanah air tercinta
Sebagai watan Islami yang berdaulat merdeka
Sehingga kita menjadi Melayu berakal budi,
hebat berfikir, indah budaya
Memiliki keberkesanan cara siyasahnya,
bijak mendalam faham ilmunya
Umpama pohon bertunjang teguh di bumi,
dahannya menyentuh awan yang tinggi
Serta mengeluarkan buahannya apabila sampai detiknya nanti

Tok Wan Ahmad
Hari ini kami berhimpun bagi mendapat sedikit fahaman
Dari warisan Tok Wan yang nilainya gilang cemerlang
Semoga kami semuanya mendapat restu taufik dari Tuhan
Rahmat-Nya tercurah dengan penuh keberkatan
Wahai Tuhan, anugerahilah kami kekuatan bagi mendapat pengertian
Serta bagi kami amalkan pusaka berharga tinggalan Tok Wan

Amin
Bi jahi Sayyidil-Mursalin
Wa alihi wa sahbihi ajmain
Ya Rabbal-'Alamin

  • Puisi oleh 'Abdullah Zaidi bin Hassan, Himpunan Pencakna Budaya Kelantan

Ikhwah, sekelumit berhubung orang besar dari Fathoni Darus Salam ini. Ulama terbilang menjadi penyambung sanad ilmu Junjungan s.a.w. kepada ulama kita di Nusantara ini. Cukuplah kemuliaan Syaikh Wan Ahmad, muridnya Tok Kenali al-Kelantani. Antara gurunya ialah Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan. Di sinilah bahayanya tuduhan puak Wahhabi yang Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan itu tukang fitnah. Rosak dan cederalah nasab keilmuan ulama kita, punahlah agama rosaklah bangsa. Timbul bangsa yang ego dan biadap, bertuhankan akal sendiri semata bertopengkan naqal. Adakah ini yang kita mahu. Allahu... Allah. Aku akhiri dengan puisi jugaklah, betul tak betul wazan dan timbangannya hentamlah, janji faham.

Wahai Sunniyun Syafi`iyyun,
Bangun kamu dari tidur
Pertahankan ulama yang jadi sandaran
Kalau ulama membiar anjing menyalak bukit
Itu kerana tawadhunya mereka
Tapi jangan pula kita
Anjing segera dihalau pergi
Kerna silap-silap penyakit anjing gila kan berleluasa
Setidak-tidaknya jika dibiarkan kenak bersertu pulak kita
Ulama kita pantang dicaci,
Pantang dinista, pantang dikeji
Kerna ulama itu bapak kita
Bapak pada ilmu kita
Nak komen, nak tegur, biar berpada
Jangan penumbuk sampai ke muka
Nanti bertabur gigi merata
(p/s -Jangan Marah, Puisi Samseng)
  • Hadiah al-Fatihah buat Syaikh Ahmad dan Sayyidi Ahmad Zaini

Rasyid Ridha - Komen Mufti Brunei 3

Ikhwah, seterusnya pada mukasurat 92 - 93 buku "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah", Allahyarham Pehin Mufti Haji Ismail menulis:-
  • Asy-Syaikh Rasyid Ridha al-Qalamuni dan Doktor Ahmad Syalabi telah mengecil-ngecilkan Nashirus Sunnah asy-Syaikh Ibnu Hajar asy-Syafi`i dalam tulisan-tulisan mereka, sebab asy-Syaikh Ibnu Hajar itu menerangkan kesilapan Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya kerana membela agama Allah ta`ala dari dipesongkan oleh sekumpulan puak yang timbul pada kurun delapan itu (Ibnu Taimiyyah) dan lain-lain sebab. Dan sebab keduanya suka menggunakan akal dari naqal. Nampaknya keduanya tiada membaca akan kitab-kitab yang dikatakan oleh ulama Islam pada memuji akan kepintaran asy-Syaikh Ibnu Hajar pada istinbath dan pada memahamkan ayat-ayat al-Qur`an dan hadis-hadis dan kata-kata ulama seperti kitab "Manaqibul Humaamil Ajal wal Hibril Akmal Faridi 'Ashrihi wal Muqaddami 'ala aqraanihi al-'Allamah Syihaabuddin Ahmad ibn Hajar al-Haitami" karangan asy-Syaikh Abu Bakar bin Muhammad bin 'Abdullah Ba'Amr, anak murid asy-Syaikh Ibnu Hajar; dan "Tadzkiratul Ikhwan fi Mushtholahaatit Tuhfah" karangan al-'Alimur Rabbani Muhammad bin Ibrahim al-'Aliijiy al-Qalhaniy; dan "al-Fawaaidul Makkiyyah" dan "Mukhtasharul Fawaaidil Makkiyyah" kedua-duanya karangan al-'Allamah asy-Sayyid 'Alawi bin Ahmad bin Abdur Rahman as-Saqqaf.

Ikhwah, Rasyid Ridha dalam rangka mempertahankan guru dan syaikhnya Abduh, Muhammad bin Abdul Wahhab, Ibnu Taimiyyah dan lain-lain telah menyerang ulama-ulama kita yang telah mendedahkan kesilapan yang telah dibuat oleh Ibnu Taimiyyah dan mereka-mereka yang mendokongnya. Rasyid Ridha merupakan penyokong kuat Wahhabi sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Hamid Algar dalam bukunya "Wahhabism : A Critical Essay" mukasurat 46 :-

  • As for peaceful propagation, the earliest publicists for the resurgent Saudi regime were, curiously enough, two Arab Christians: Amin Rayhani and George Antonius. However, a Muslim champion from outside the Arabian peninsula was not long in emerging. This was Rashid Rida (d. 1935), who as early as 1909 had been accused in his native Syria of Wahhabism.

Ibnu Hajar merupakan ulama besar dan merupakan Mufti Makkah juga. Mende le puak Wahhabi ni, nak hentam Mufti Makkah sahaja. Sesekali hentamlah Mufti Riyadh ke, Mufti Saudi ke, Mufti Bin Baz ke, mungkin puak Wahhabi ingat mufti-mufti mereka tu malaikat, semua betul agaknya. Insya-Allah, lain ketika kita cerita lagi fasal Mufti kita, Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang berketurunan Anshar ini. Teringat pulak hadis tentang kelebihan kaum Anshar yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di mana al-Barra` berkata bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: " Kaum Anshar, tiada yang mengasihi mereka melainkan orang mukmin; dan tiada yang memusuhi mereka melainkan orang munafik. Sesiapa yang mengasihi mereka dikasihi Allah dan sesiapa yang memusuhi mereka dimusuhi Allah."

Terasa nak berpantun pulak, kalau silap ke sumbang ke, harap maaf, aku bukan seorang sasterawan.

Ibnu Hajar ulama terbilang;

Zuriat keturunan Anshar Junjungan;

Lahir di Mesir negeri cemerlang;

Wafat di Makkah lindungan Tuhan.

*****************************************

Ibnu Hajar ulama terbilang;

Menjadi panduan pegangan berzaman;

Muallif "Tohfah" kutub berbilang;

Rahmat Allah atasnya berterusan.

Al-Fatihah buat Imam Ibnu Hajar r.a. dan Pehin Mufti.

Selasa, Disember 20, 2005

Hamka & Rasyid Ridha

Ikhwah, tidak dapat dinafikan bahawa Dr. Hamka adalah salah seorang pengkagum Syaikh Rasyid Ridha. Bahkan Buya Hamka telah menjadikan "Tafsir al-Manar" sebagai panduan atau pedoman utamanya untuk menyiapkan "Tafsir al-Azhar". Hal ini dinyatakan sendiri oleh Buya Hamka pada mukasurat 41, juzu` 1 tafsir tersebut:-
  • Mazhab yang dianut oleh Penafsir ini adalah Mazhab Salaf, yaitu Mazhab Rasulullah dan sahabat-sahabat beliau dan Ulama-ulama yang mengikut jejak beliau...........
  • Tafsir yang amat menarik hati penafsir buat dijadikan contoh ialah Tafsir al-Manar karangan Sayid Rasyid Ridha, berdasarkan kepada ajaran tafsir gurunya Syaikh Muhammad Abduh......
  • Meskipun tafsir itu beliau tulis hanya 12 juzu` saja, artinya tidak sampai separuh al-Quran, namun dia dapat dijadikan pedoman di dalam meneruskan penafsiran "Al-Azhar" ini sampai tammat........dasar penafsiran yang beliau tegakkan, masih tetap hangat dan dapat dicontoh dan tidak basi.

Jadi Buya Hamka menyatakan bahawa dia bermazhab Salaf, wah banyak tu, kurang-kurang Hanafi, Syafi`i, Maliki dan Hanbali. Macam mana pula nak amal empat-empat ? Nak tarjih, Buya Hamka mungkin boleh le, kan dia alim. Tapi kita, takkan ulama mazhab yang pegang satu mazhab tak alim nak tarjih ? Pening - pening. Imam Nawawi ikut mazhab apa ? Ini beza Ahlus Sunnah kita, terima 4 amal 1 secara lazim, Buya Hamka, terima 4 atau lebih, amal yang mana pulak ? Kalau tarjih sendiri, mazhab dia sendirilah tu.

Lihat pujian Buya Hamka terhadap "Tafsir al-Manar". Maka tak pelik jika Buya Hamka terkadang mengulang-ulang fatwa Rasyid Ridha dan Abduh dengan nada yang lebih lembut dan lunak sehingga tak disedari oleh pembacanya. Contohnya, jika Rasyid Ridha menyatakan bahawa ada kepercayaan Kristian yang telah disebarkan kepada umat Islam sehingga menjadi pegangan kebanyakan muslimin sejak awal Islam lagi seperti kepercayaan turunnya Nabi Isa a.s. di akhir zaman, maka Buya Hamka menulis pada mukasurat 29, juzu` 1 "Tafsir al-Azhar":-

  • Yang sangat terkenal ialah Ka`bul Ahbar dan Wahab bin Munabbih, keduanya orang Yahudi masuk Islam, banyak membawa dongeng Israiliyat itu, didengar oleh sahabat, lalu mereka salin. Apatah lagi oleh Tabi`in. Kadang-kadang mereka salin dengan tidak memakai komentar, hanya semata-mata untuk bahan saja bagi kita yang datang di belakang.

Waduh, sedap sungguh gaya bahasa Buya Hamka. Rupa-rupanya sahabat dan Tabi`in main salin je cerita Israiliyat. Yang tak dikomentar rupanya ditinggalkan untuk kita beri komentar. Waahhh ! Hebatnya kita. Kepada Sunniyun Syafi`iyyun, berhati-hatilah, lihat daripada siapa kamu mengambil agamamu, tapi jangan kondem orang lain seperti Buya Hamka lebih-lebih, biarlah dia dengan pendapatnya, elok kita baca sholawat banyak-banyak, melainkan jika maslahah memerlukan kita memberi penjelasan. Kepada pengkagum Buya Hamka, gasak kamulah.

Isnin, Disember 19, 2005

Rasyid Ridha - Komen Mufti Brunei 2

Seterusnya Pehin Mufti Haji Ismail menulis dalam "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah" :-
  • Sila lihat bid`ah Rasyid Ridha al-Qalamuni dalam majalah "al-Manar" yang disalin oleh Syaikh Syaltut dalam perkara Nabi Isa a.s. turun ke dunia pada akhir zaman dari langit. Kata Rasyid Ridha al-Qalamuni:- "Tiada ada nas yang shorih tegas pada menyatakan turun Nabi Isa dari langit. Hanya itu 'aqidah kepercayaan kebanyakan orang-orang Kristian. Sesungguh mereka telah mencuba sepanjang zaman dari semenjak zahir Islam pada menyebarkan 'aqidah itu dalam kalangan umat Islam." Kata al-'Allamah al-Kawtsari dalam "Nadhzratun 'Aabiratun fi Mazaa'imi man yunkiru nuzula 'Isa 'alaihis salam" : "Tuan lihat fikiran yang rapuh daripada Rasyid Ridha dengan membabi buta tuan punya majalah "al-Manar" itu mengatakan bahawa orang-orang Kristian mencuba menyebarkan 'aqidah itu dalam kalangan umat Islam dari semenjak zahir Islam. Apabila dibandingkan yang demikian itu dengan betul dan benar akan turun Nabi Isa a.s. dari langit dalam hadis-hadis yang datang daripada Rasulullah s.a.w., yang diriwayatkan oleh 30 orang sahabat r.'anhum dengan sanad-sanad dan jalan-jalan (thuruq) yang betul benar, yang telah diriwayatkan dan disebutkan dalam kitab-kitab shohih, dan kitab-kitab sunan, dan kitab-kitab masaanid, dan kitab-kitab majaami` dan mushannifaat dan lain-lain kitab hadis. Maka nyatalah diketahui bahawa orang yang berkata tiada sabit turun Nabi Isa a.s. itu bahawa ia mendalam (menyelam) dalam lubuk batil dan salah. Adakah tuan fikir bahawa Sayyiduna al-Musthofa Rasulullah s.a.w. itu bersabda dengan perkara-perkara yang dicubakan oleh orang-orang Nasrani dan Kristian pada menyebarkan kepada umat Islam ? Adakah sahabat-sahabat r.'anhum boleh terpedaya dengan percubaan orang-orang Kristian hendak men(per)dayakan mereka ? Adakah ulama-ulama hadis dan ulama-ulama besar Islam boleh tertipu dengan daya helah orang-orang Kristian itu, kemudian ulama itu meriwayat dan menuliskan dalam kitab-kitab karangan mereka dari awal-awal Islam dengan jalan tawatur (sekata) ?"
  • Itulah perkataan al-'Allamah Rasyid Ridha yang diikut dan jadi dalil bagi al-'Allamah Syaltut dan Syalabi pada menolak perkara turun Nabi Isa a.s. dari langit ke dunia pada akhir zaman dan membunuh al-Masih ad-Dajjal laknatUllah 'alaih. Perkataan Rasyid Ridha adalah menuduh Rasulullah mengikut orang Kristian dan menuduh sahabat-sahabat, ulama-ulama hadis dan ulama besar Islam ditipu daya oleh Kristian, apakah ini suatu sesat dan dhalal daripada Rasyid Ridha yang membangkang Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat dan ulama-ulama Islam dan umat Islam. Maka sayogia pengikut-pengikut Ibnu Taimiyyah itu menerangkan dengan luas kepada ramai akan pendapat Rasyid Ridha yang sesat itu. Kalau mengikut al-Imam Malik, maka asy-Syaikh Rasyid itu dipancung kerana menyentuh maqam Rasulullah s.a.w. yang amat tinggi dan mulia itu.

Eh...eh..eh, garangnya Pehin Mufti. Nasib baik Rasyid Ridha di Mesir, kalau di Brunei siap dia. Begitulah ikhwah, pandangan Syaikh Rasyid Ridha, Syaikh Abduh dan Syaikh Syaltut (tetapi kata Pehin Mufti Syaikh Syaltut sempat bertaubat dan rujuk balik pendapat-pendapatnya yang menyalahi Ahlus Sunnah wal Jama`ah). Kepada Sunniyyun Syafi`iyyun, aku nasihatkan berpeganglah kepada ulama-ulama kita yang lebih 'alim dan lebih hebat perjuangan dan jasa mereka terhadap Islam dan umatnya. Kepada yang taksub kepada Rasyid Ridha dan sebagainya, eloklah pelajari betul-betul pandangan Rasyid Ridha tersebut dan berfikirlah secara terbuka, ingat Islam kaya dengan ulama yang ikhlas selain daripada Rasyid Ridha, Abduh, Hamka, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Rasyid Ridha - Komen Mufti Brunei 1


Syaikh Rasyid Ridha, tokoh "reformis" yang dikagumi setengah pihak sehingga diagungkan melebihi ulama lain. Sebahagian lagi tidak bersetuju dengan pandangannya, oleh itu dia yang merupakan murid Muhammad Abduh adalah seorang tokoh kontroversial sebagaimana juga gurunya tersebut. Oleh itu, kalau ada yang mati-mati sokong Rasyid Ridha, gasak dialah tapi jangan pula paksa orang lain terima.

Pehin Mufti Haji Ismail dalam bukunya "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah" pada mukasurat 97 menyatakan pendapatnya:
  • Adapun asy-Syaikh Rasyid Ridha al-Qalamuni itu kata setengah ulama seperti al-'Allamah al-Kawtsari bahawa dia tiada mempunyai guru yang menunjukkan dia pada mengaji kitab-kitab, hanya ia membaca kitab-kitab dengan sendiri dengan menggunakan akal berlebih-lebihan.

Syaikh Rasyid Ridha mempunyai pendapat-pendapat yang berbeza dengan jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuklah dalam bab 'aqidah seperti masalah Dajjal dan "nuzul"nya Nabi Isa a.s. di akhir zaman. Inilah antara komen Pehin Mufti terhadap pendapat Syaikh Rasyid Ridha tersebut:-

  • Tuan lihat kata "Tafsir al-Manar" yang dikarang oleh Rasyid Ridha al-Qalamuni itu muka 316 - 317, juzuk 3, bahawa al-Ustaz al-Imam (asy-Syaikh Muhammad Abduh) manakala ia ditanya berkenaan dengan al-Masih ad-Dajjal dan Nabi Isa a.s. membunuh akannya, jawab (asy-Syaikh Abduh) dengan kata bahawa "Dajjal itu suatu isyarat kepada perkara-perkara yang karut dan bohong dan perkara-perkara yang buruk yang akan hilang dengan menerangkan hukum syari`at dengan sebetul-betulnya, dan mencari rahsia-rahsianya dan hikmah-hikmahnya. Dan al-Quran sebesar-besar petunjuk kepada hikmah-hikmah itu dan rahsia-rahsia itu. Dan sunnah Rasul s.a.w. menerangkan yang demikian itu, maka tiadalah berhajat manusia pada ishlah selain dari rujuk kepada keduanya." (Ini takwil fasid daripadanya bererti tiada ada Dajjal dari jenis manusia dan tiada Nabi Isa turun dari langit membunuh Dajjal.

Rupa-rupanya Syaikh Abduh dan Rasyid Ridha antara orang yang menafikan munculnya Dajjal dan turunnya Nabi Isa a.s. di akhir zaman nanti. Insya-Allah, nanti kutulis lagi.

Ahad, Disember 18, 2005

Wahhabi & Khilafah Uthmaniyyah

Fakta sejarah memberitahu bahawa gerakan Wahhabi sedikit sebanyak menjadi pemangkin kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Hal ini tidak dapat dinafikan melainkan oleh orang yang buta sejarah atau sengaja membutakan biji matanya. "Jihad" yang dilancarkan oleh Ibnu 'Abdul Wahhab adalah perang terhadap sesama umat yang mengakui keesaan Allah dan kerasulan Junjungan Nabi s.a.w.

Alasan untuk "jihad" tersebut ialah kerana umat pada waktu itu sudah menyeleweng, sudah sesat, sudah menyembah kubur, ahli bid`ah dan lain-lain lagi tuduhan keji, singkatnya, aku pinjam kata-kata Buya Hamka dalam bukunya "Tasauf Perkembangan Dan Pemurniannya" : "Kerajaan Turki Utsmani pun pada pandangan Muhammad bin Abdil Wahhab telah tidak murni lagi. Besar pengaruh Thariqat Buktasyiah dengan tentera Inkisyariyah (Yanitzar). Pendeknya Islam telah gelap. Islam tidak asli lagi."

Begitulah sikap Ibnu Abdul Wahhab, dengan mudah sahaja menuduh muslim lagi sebagai tidak asli lagi, persis sikap dan pegangan puak Khawarij. Maka tidak pelik jika ulama kita menyatakan bahawa Gerakan Wahhabiyyah ialah kesinambungan dari puak Khawarij yang telah membunuh Sayyidina Ali r.a. atas alasan baginda telah menyeleweng.

Puak Wahhabi menobatkan Ibnu Abdul Wahhab sebagai mujahid, maka tidak hairan jika sekarang pentaksub Wahhabi sanggup membunuh orang awam atas nama jihad. Bahkan, mereka sanggup membunuh sesama Islam atas nama jihad. Jangan lupa pada pembunuhan Komander Ahmad Shah Masoud, singa Pansjer yang telah lama berjihad melawan Russia, dibunuh kerana menentang keganasan dan kefanatikan Taliban yang dipengaruhi Wahhabi. Ingatlah bahawa jihad Ibnu Abdul Wahhab dan keluarga Sa`ud serta pengikut mereka yang menamakan diri mereka sebagai Ikhwan hanya menumpahkan darah sesama Islam. Setitik darah kafir Inggeris pun tidak tumpah, selain darah orang yang sama-sama bersyahadah. Hamid Algar menulis dalam bukunya "Wahhabism: A Critical Essay" :

  • Nor was the establishment of the Kingdom of Saudi Arabia a peaceful affair. The second Wahhabi - Saudi conquest of the peninsula came at the cost of some 400,000 killed and wounded. In cities such as Ta`if, Burayda and al-Huda, straightforward massacres were carried out by the Ikhwan. The governors of various provinces appointed by Ibnu Sa`ud are said to have carried out 40,000 public executions and 350,000 amputations in the course of subduing the peninsula.
Inikah jihad ???????

Mufti Haji Ismail Omar - Pembela Sunni


Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dilahirkan pada T.M. 1911 (T.H. 1329) di Kampong Rengit, Batu Pahat, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan Sekolah AI-Quran Kerajaan Johor (1919-1923) dan kemudian menuntut di Sekolah Arab al-Attas, Johor Bahru (1923-1928). Setelah menamatkan pengajian di Sekolah Arab al-Attas, dalam tahun 1929 beliau diaturkan mengajar di sekolah ini dan Kuliah (Kolej) al-Attas, Johor Bahru sehingga tahun 1937. Dalam tahun 1938, beliau dikurniakan biasiswa oleh Kerajaan Johor untuk melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dan Universiti Kaherah, Mesir (sehingga 1948) dan berjaya memperolehi tidak kurang daripada lima (5) ijazah tinggi dari lima fakulti pengajian di universiti-universiti berkenaan. Pada 25 September 1991 beliau dianugerahkan ljazah Doktor Kehormat Undang-Undang daripada Universiti Brunei Darussalam.

Sekembalinya dari Mesir pada tahun 1949, beliau dilantik menjadi Pegawai Pemeriksa Sekolah Arab dan Pengelola Majalah "Warta Jabatan Ugama Johor" (sehingga 1952). Setelah itu dinaikkan pangkat menjadi Kadhi Daerah Segamat, Johor (1953-1954).

Dalam tahun 1955, beliau dipinjamkan menjadi Pengetua di Kolej Islam Malaya, yang baru ditubuhkan bertempat di sebuah istana wakaf Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Selangor. Dalam masa yang sama beliau bersama Tuan Haji Othman bin Haji Mohammad, Ketua Pemeriksa Sekolah-Sekolah Kerajaan Johor (kemudian dilantik menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Brunei Darussalam) telah dijemput ke Negara Brunei Darussalam sebagai anggota meninjau cadangan mendirikan Sekolah Agama Kerajaan Brunei atas titah perkenan Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa`adul Khairi Waddien. Berikutan daripada lawatan itu, dalam bulan September 1956, sebuah sekolah agama yang bersistem telah ditubuhkan buat pertama kalinya di Negara Brunei Darussalam.


Dalam tahun 1956 beliau kembali ke Johor kerana dilantik menjadi Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan Johor. Kemudian menjadi Kadhi Daerah Pontian, Johor (1957); Pemangku Kadhi Besar Johor (1958) dan seterusnya ditetapkan jawatan sebagai Kadhi Besar Johor (1958-1961). Pada 1 April 1962, beliau telah dipinjamkan oleh Kerajaan Johor menjadi Mufti Kerajaan Brunei selama tiga tahun. Beliau menamatkan kontrak perkhidmatan dengan Kerajaan Brunei pada sehingga 31 Mac 1965 dan kembali berkhidmat semula dengan Kerajaan Johor sebagai Timbalan Mufti sehingga bersara pada 1 Januari 1967. Pada 8 Mac 1967, beliau meneruskan perkhidmatannya dengan Kerajaan Brunei sebagai Mufti sehingga kembali ke Rahmatullah di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 3 Februari 1993.

Selama berkhidmat dengan Kerajaan Brunei Darussalam, beliau telah dilantik menjadi ahli dalam berbagai majlis negara atau jawatankuasa, antaranya: Ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja; Ahli Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Pengerusi Undang-Undang, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Ahli Majlis Universiti Brunei Darussalam; Ahli Majlis Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam; Ahli Majlis Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan; Ahli Jawatankuasa Menyesuaikan Undang-Undang dengan Kehendak Syarak; Ahli Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama; Ahli Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat Fitrah bagi Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; dan Penasihat bersama Penubuhan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Dianggarkan lebih daripada 40 majlis atau jawatankuasa yang beliau anggotai selama berkhidmat dengan Kerajaan Brunei dan Malaya (Malaysia).

Dalam kegiatan keilmuan beliau juga telah beberapa kali mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri seminar-seminar dan kongres-kongres di peringkat serantau dan antarabangsa, antaranya: Muktamar AI-Alamil Islami (di Baghdad, Iraq; di Kuala Lumpur, Malaysia; di Mogadishu, Somalia; di Karachi, Pakistan; dan di Famagusta, Turki); Persidangan As-Siratin Nabawiyyah di Kaherah, Mesir; Persidangan Antarabangsa lktisad dan Ekonomi Islam di Makkatul Mukarramah, Arab Saudi; Persidangan Persekutuan Ulama Indonesia di Jakarta, Republik Indonesia; Persidangan Ahlil Bait (MAAB) di Amman, Jordan dan Persidangan Menteri-Menteri Waqaf di Jeddah, Arab Saudi.

Sebagai seorang yang arif dan mendalami bidang agama, beliau sentiasa menyumbangkan buah fikiran dan nasihat yang disalurkan melalui buku atau kitab, risalah dan makalah, antaranya:
  1. Kitab Pelajaran Fiqh, Penggal I;
  2. Syair Abu Tammam dalam bahasa Arab (1948);
  3. Bagaimana Agama Islam Masuk ke Brunei Menurut Kitab-Kitab Lama Bahasa Arab (1965);
  4. Bagaimana Kita Mengambil Faedah dari al-Quran (1967);
  5. Kitab Ringkasan Aqidah Ahli Sunnah wal-Jama'ah (1979);
  6. Peribadi Orang Islam: (1980);
  7. Corak Pendidikan dalam Islam berhubung dengan Pendidikan di Negeri Brunei Darussalam (1981);
  8. Risalah Didikan Akhlak (1985);
  9. Konsep Melayu Islam Beraja di Negara Brunei Darussalam (1985);
  10. Konsep Pengajian Tinggi Islam (1987);
  11. Hukum Nikah Kahwin (1987);
  12. Kisah Hidup al-'Allaamah Syeikh Muhammad Fadzlullah Suhaimi (1991).

Di antara sumbangan beliau yang paling berharga dan penting untuk menjadi panduan hidup umat Islam ialah penghasilan fatwa-fatwa. Sejak tahun 1962 (tidak termasuk tahun 1965-1967) sehingga akhir hayat beliau dianggarkan lebih 600 fatwa (tidak termasuk fatwa yang dihasilkan ketika berkhidmat di Johor) telah dihasilkan. Kesemua fatwa itu berasaskan Mazhab Syafie daripada segi Fiqh dan Ahli Sunnah wal-Jama'ah daripada segi Aqidah.
Beliau juga telah menulis beberapa kertas kerja dan memberikan syarahan, antaranya:
  1. "Ringkasan Wirid Bacaan Pagi dan Petang dengan Dalil daripada Quran dan Hadith";
  2. "Dalil daripada Quran dan Hadith mengenai al-Wirdul Lathif oleh Qutbul Irsyad wad-Da'wah al-'Allaamah Habib as-Sayid Abdullah al-Haddad";
  3. "Dalil daripada Quran dan Sunnah mengenai Wirid Asal oleh Qutbud-Dunya al-'Arif Billah asy-Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad";
  4. "Pandangan Islam" (dibukukan dalam empat penggal);
  5. "Ugama Didikan Sosial";
  6. "llmu Tasawuf dan Hubungannya dengan Islam dan Iman";
  7. "Perkara Panduan Jurunikah dan Hukum-Hukum Nikah yang Berhubung Dengannya";
  8. "Perkara Aqidah Ahli Sunnah wal-Jama'ah dalam Pentadbiran Pegawai-Pegawai Kerajaan Negara Brunei Darussalam";
  9. "Bagaimana Kita Mengkaji Fiqh Aliran atau Mazhab al-Imam asy-Syafie Radhiallahu 'Anhu".

Tulisan-tulisan beliau telah diterbitkan dan disiarkan dalam berbagai bentuk dan melalui berbagai media. Beliau juga banyak membuat kajian dan telahan mengenai masalah-masalah Fiqh dan Aqidah, sehingga kebanyakan hasil tulisan Allahyarham dijadikan sumber rujukan asas kajian ilmiah, dan masih disimpan di Universiti Kebangsaan Malaysia.


Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz adalah tokoh agama dan ulama yang terkenal dan dikagumi bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, bahkan di negara-negara Islam yang lainnya. Allahyarham berjasa dalam memperkembangkan dan mengukuhkan syiar dan pendidikan Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam. Melalui fatwa-fatwa, Allahyarham telah turut membentuk dengan berkesan kehidupan semua peringkat masyarakat beragama dalam berbagai bidang di Negara Brunei Darussalam. Kewibawaan dan kepakarannya dalam bidang ilmu agama tidak dapat dinafikan, kerana Allahyarham sering menjadi tumpuan untuk menghuraikan masalah keagamaan. Malah sehingga Allahyarham kembali ke rahmatUllah pun masih ada pihak- pihak (dalam dan Luar Negeri) yang cuba menghubunginya untuk meminta pandangan dan penjelasan mengenai sesuatu hal yang dimusykilkan.

Kewarakan dan ketegasan Allahyarham dalam menegakkan agama adalah berkat tarbiah yang diberikan oleh ayah Allahyarham,Tuan Guru Haji Omar (lebih dikenali dengan nama Faqeeh Omar). Sebagai mewarisi bakat orang tuanya, sejak di alam awal persekolahannya lagi Allahyarham sering mendapat nombor satu dalam kelas, malah selalu membantu gurunya untuk mengajar kelas yang lebih rendah. Sebab itu Allahyarham dipanggil Muallim (tuan Guru). Dengan pendidikan dan asuhan agama yang kuat inilah juga menjadi pendorong utama ke arah pembentukan peribadi mulia pada diri Allahyarham.


Daripada tarbiah yang diterima dan diamalkan itu dapat dijadikan teladan dan pengajaran khususnya mengenai sikap dan pendirian dalam menegakkan Islam sebagai cara hidup yang syumul. Antara sikap Allahyarham yang patut dicontohi ialah berjimat cermat dan teliti dalam semua hal. Misalnya dalam penulisan atau menjawab kemusykilan agama yang diutarakan oleh orang ramai, Allahyarham akan terlebih dahulu membaca seberapa banyak kitab tulisan ulama- ulama Mazhab Syafie yang muktabar dan alim. Setelah mengemukakan beberapa pendapat daripada kitab-kitab tersebut, barulah Allahyarham memberikan ulasan mengenainya, dalam bentuk pandangan atau nasihat sahaja, bukan menjatuhkan hukum.Ketelitian dan sikap berhati-hati Allahyarham juga dapat di perhatikan melalui penulisan yang dihasilkan dengan lebih mengutamakan tulisan ulama -ulama muktabar silam daripada tulisan radikal.

Apabila menelaah kitab-kitab dan membaca al-Quran, Allahyarham akan mengulanginya sehingga faham. Hasil daripada pengamatan dan kefahaman mengenai perkara yang telah ditelaah, Allahyarham dapat mengingati setiap ayat dalam kitab tersebut berserta baris ayat dan muka suratnya, lebih-lebih lagi latar belakang penulisnya. Dengan kata lain dalam soal yang melibatkan keagamaan Allahyarham begitu tegas. Nyatanya prinsip yang menjadi pegangan Allahyarham ialah berkata benar walaupun pahit, dalam apa jua bidang dan tempat. Oleh itu di dalam apa jua bentuk perbincangan, permesyuaratan atau lainnya, Allahyarham tetap akan membangkang jika sesuatu itu tidak benar walaupun sudah berjam-jam berbincang atau bermesyuarat. Ini adalah satu pegangan hidup Allahyarham di dalam fatwanya yang tidak hanya melihat kepada masalah duniawiyah semata-mata tetapi lebih mengutamakan hukum Allah. Ertinya Allahyarham tidak berganjak atau kompromi dalam menegakkan hukum Allah. Malah Allahyarham pernah diancam dan disihir, namun sedikitpun Allahyarham tidak rasa gentar kerana Allah telah berfirman yang maksudnya "Jika kita tolong agama Allah, Allah akan menolong kita."


Tegasnya dalam apa jua hal jika Allahyarham kata tidak boleh, maka jawapannya sampai bila-bila pun tetap sama. Umpamanya jika Allahyarham menyuruh menyalin hasil fatwanya, setiap perkataan atau ayat yang Allahyarham nyatakan tidak boleh diubah walaupun diulang sampai empat lima kali salinan, perkara tersebut tetap sama.

Sifat cermat dan teliti ini dapat juga dilihat melalui cara berbelanja dan penyediaan permakanan. Dalam soal perbelanjaan sehari-hari Allahyarham mempunyai buku rekod khas yang mencatat barang-barang yang dibeli, harganya, tarikh dan pembelinya.Bercermat di sini bukanlah tandanya Allahyarham bakhil atau sayangkan harta tapi agihan di tempat yang perlu sahaja seperti jika Allahyarham memberikan sesuatu kepada anak sulung, anak-anaknya yang lain akan mendapat nilai pemberian yang sama. Ertinya Allahyarham memberi kasih sayang seadil-adilnya untuk mengelakkan daripada wujudnya perasaan iri hati di kalangan anak- anaknya.


Dalam pergaulan dengan orang ramai, Allahyarham lebih suka merendah diri, suatu sikap yang memang sedia tertanam dalam dirinya. Allahyarham juga adalah seorang yang pendiam, terutama jika tidak ada tajuk yang penting baginya untuk bercakap. Bertelingkah bukanlah cara dan disiplin Allahyarham. Namun begitu Allahyarham sering tersenyum dan ceria atau manis muka dengan sesiapapun dan siapa saja yang datang berjumpa dengannya akan merasakan seperti kawan lama yang baru berjumpa. Begitu juga sering diperingatkan kepada anak- anaknya agar jangan melupakan jasa guru-guru dan sentiasa menyambung silaturrahim sesama kerabat yang dekat dan jauh.


Allahyarham melayani tetamu tanpa mengira protokol . Jika di rumah Allahyarham sendiri akan menghidangkan air dan berusaha mencari apa sahaja makanan yang boleh dihidangkan sehingga kadang-kadang tersilap di antara kacang yang mentah dengan yang sudah dimasak.

Allahyarham adalah ulama yang dapat menyelami kemahuan "hati kecil yang berkata" sebelum seseorang itu meluahkan fikiran dan tujuan berjumpa Allahyarham, dan berbagai keramah yang boleh dilihat ketika hayatnya terutama dari segi fatwa dan "ilmu ladunni" serta "masin cakapnya".


Satu daripadanya amalan hidup Allahyarham yang patut dicontohi ialah tabiat suka melakukan amalan sunnah dan zikir yang berterusan. Dalam diari peribadi tersusun zikir-zikir dan amalan pada waktu pagi dan petang. Ini termasuk amalan selepas sembahyang Maghrib, Isya, Tahajud, Subuh, dan pada waktu Dhuha sehingga Zuhur. Semuanya ini dari zikir al-Ma'thurat (amalan Rasulullah) dan Tariqat yang dipegang seperti Tariqat al-Qadiriyyah dan zikir yang Allahyarham susun sendiri. Bagi Allahyarham amalan zikir dan bacaan al-Quran adalah makanan utama dalam hidupnya. Ada di antara zikir-zikirnya diulang hingga 10,000 kali atau paling kurang 1,000 kali.

Pada petang Rabu 11 Syaaban 1413 (3 Februari 1993), dengan kehendak Allah Subhanahu Wa ta'ala dalam usia 82 tahun, Allahyarham kembali ke rahmatUllah di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan dan jenazahnya disemadikan di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan pada 12 Syaaban 1413 (4 Februari 1993). Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya. Aamiin.....al-Faatihah.