Isnin, April 02, 2007

Terus Bersholawat

Terjumpa klip video yang menarik berhubung amalan bersholawat yang suka aku letak di sini untuk tatapan bersama. Mudah-mudahan menambahkan lagi semangat kita untuk istiqamah bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. Tapi sebelum itu, kita lihat dulu kalam Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani rahimahUllah dalam kitabnya "al-Jawharul Mawhub" berhubung kelebihan bersholawat di mana beliau rahimahUllah menulis antara lain:-

(Kata Syaikh al-Faasi) pada syarah "Dalaailul Khairaat":- “Ketahui olehmu bahawasanya bagi orang yang mensholawat atas Nabi s.a.w. sepuluh karamah:-

  1. mensholawat akan dia oleh Malikul-Jabbar;
  2. mensyafaatkan dia oleh an-Nabiyul-Mukhtar;
  3. mengikut dengan malaikatul-akhyar;
  4. menyalahi akan munafiqin dan kuffaar;
  5. menghapuskan kesalahan dan awzaar;
  6. menolong bagi menyampaikan hajat dan awthaar;
  7. bercahaya dan cemerlang zahir dan asraar;
  8. kelepasan daripada huru-hara negeri Darul-Bawaar;
  9. memasuk akan negeri Darul-Qaraar;
  10. salam daripada Tuhan ar-Rahiimul Ghaffar.

(Dan lagi katanya): “Tersebut di dalam "Hadaaiqul Anwaar", bermula segala faedah dan pertaruhan bagi orang yang mensholawat atas Nabi s.a.w. itu empat puluh satu:-

  1. menjunjung titah Allah dengan sholawat itu.
  2. muwafaqah akan dia Allah ta`ala pada sholawat atas Nabi s.a.w.
  3. muwafaqah akan dia malaikat pada sholawat atas Nabi s.a.w.
  4. hasil sepuluh sholawat daripada Allah atas orang yang sholawat atas Nabi satu kali.
  5. diangkat baginya sepuluh darjat.
  6. disurat baginya sepuluh kebajikan.
  7. dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan.
  8. diharapkan qabul doanya.
  9. sebab bagi syafaat Nabi s.a.w.
  10. sebab bagi ghufran dosanya dan menutupi segala ‘uyub.
  11. sebab bagi memadakan barang yang dicitanya.
  12. sebab bagi mendampingkan hamba daripada Nabi s.a.w.
  13. sebab bagi menempati bersedekah.
  14. sebab bagi menunaikan segala hajat.
  15. sebab bagi sholawat Allah dan malaikat atas orang yang sholawat atas Nabi s.a.w.
  16. sebab bagi menyucikan dan berkat atas orang yang sholawat atas Nabi s.a.w.
  17. sebab bagi kesukaan hamba yang disukakan dengan syurga dahulu daripada matinya.
  18. sebab bagi kelepasan daripada huru-hara hari qiamat.
  19. sebab bagi menjawab Nabi atas orang yang sholawat atasnya.
  20. sebab menjaga bagi lupa akan Nabi s.a.w.
  21. sebab menghilangkan papa orang yang sholawat atasnya.
  22. sebab bagi mengharumkan bau tempat sholawat dan tiada kembali atas ahlinya menyesal pada hari qiamat.
  23. menafikan daripada hamba itu bakhil daripada sholawat atas nabi tatkala disebut namanya.
  24. kemenangan daripada doa orang atasnya dan hinalah orang yang meninggal sholawat atasnya tatkala disebut akan namanya s.a.w.
  25. datang orang yang sholawat itu atas jalan syurga dan tersalah jalan orang yang meninggalkan dia daripada jalan syurga.
  26. lepas daripada busuk majlis yang tiada mengucap padanya zikrullah dan rasulNya.
  27. sebab bagi sempurna kalam yang dimulai dengan "alhamdulillah" dan sholawat atas Rasulullah s.a.w.
  28. sebab bagi kemenangan hamba dengan lalu atas shirathul-mustaqiim.
  29. sebab bagi berjumpa orang yang mensholawat atas Nabi s.a.w. dengan Allah dan tsana’ yang hasan antara langit dan bumi.
  30. sebab bagi rahmat Allah.
  31. bagi berkat.
  32. sebab bagi berkekalan kasih akan Nabi s.a.w. dan bertambah-tambah kasih akan dia dan yang demikian itu satu tempat daripada tambatan iman kerana tiada sempurna iman melainkan kasih akan dia.
  33. sebab bagi kasih Nabi akan orang yang mensholawat atasnya.
  34. sebab bagi dapat penunjuk hamba dan hidup hatinya.
  35. sebab bagi dilentangkan orang yang sholawat atas Nabi s.a.w. dan disebutkan dia padanya.
  36. sebab bagi tetap atas imannya.
  37. menunaikan dengan sholawat itu daripada hak Nabi s.a.w. dan syukur atas ni’mat Allah yang memberi ni’mat dengan dia atas kita.
  38. mengandung bagi menyebut zikrullah dan syukur akan Dia dan ma’rifah akan ni’matNya.
  39. bahawasanya sholawat daripada hamba itu doa dan memohonkan daripada Tuhan bagi dirinya.
  40. adalah bagi orang yang membanyakkan sholawat itu melihat akan rupanya yang mulia dan termenteri pada hatinya.
  41. adalah orang yang membanyakkan sholawat itu menempati akan maqam syaikh yang murabbi akan dia dan lagi sholawat itu isi-kahwin anak bidadari dan harga mahligai dan menempati akan merdeka akan sahaya dengan dia.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

*******************************

Ahad, April 01, 2007

Qubbatul Khadhra`

Memandang kubah hijau Masjid Nabawi, mengingatkan aku kepada bait-bait syair yang ditulis oleh al-Imam al-Muhaddits Wajihuddin 'Abdur Rahman 'Ali bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar asy-Syaibani asy-Syafi`i ad-Diba`ie yang wafat tahun 944H. Bagi yang suka mencemoh, menghina dan mulutnya gatal hendak memperlekehkan karangan mawlid beliau ini, maka sebelum membuka mulut ketahuilah bahawa beliau ini adalah seorang ulama yang terkenal bahkan mendapat gelaran "wajihuddin (pemuka agama)" dan beliau juga adalah seorang ahli hadits yang tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau telah mengajar "Jami`ush Shohih" bagi Imam al-Bukhari lebih 100 kali dan dalam bidang hadits beliau berada pada darjat hafiz iaitu seseorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya (Agaknyalah, adakah orang yang mengaku dirinya ada Phd. dalam hadits kat Malaysia ini telah sampai ke darjat ini? Berapa banyakkah hadits dengan sanadnya yang telah dihafalnya???? Tolong kengkawang pergi tanya). Oleh itu, sebagaimana yang selalu aku dok peringat, berhati-hatilah bila mengkritik para ulama terdahulu.

Dalam mawlidnya yang masyhur tersebut, Imam ad-Diba`ie menulis, antara lain:-

و تلك القبة الخضرا و فيها * نبي نوره يجلو الغياهب

Itulah dia Kubah Hijau yang padanya (bermaqam)
Nabi yang cahayanya telah menyinari segala kegelapan

Kubah Hijau telah lama menjadi mercu tanda Kota Madinah, bahkan menjadi lambang yang mengingatkan kita kepada Junjungan Nabi s.a.w. kerana di bawah kubah itulah bersemadinya jasad Sayyidul Kawnain wats Tsaqalain s.a.w. Menurut sejarah, maqam Junjungan Nabi s.a.w. sentiasa mempunyai bumbung untuk menaunginya kerana ia asalnya adalah rumah (bilik) Sayyidatina 'Aisyah r.a. Pernah berlaku dalam sejarah bahawa penduduk Kota Madinah tatkala menghadapi musim kemarau yang teruk telah dinasihatkan untuk membuat satu bukaan pada bumbung atas maqam Junjungan s.a.w. sebagai upaya berwasilah dengan baginda. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam ad-Daarimi dalam sunannya seperti berikut:

حدّثنا أبو النُعمانِ حدثنا سعيدُ بنُ زيدٍ ، حدثنا عَمْرُو بنُ مالكٍ النكريُّ ، حدثنا أبو الجوزاء أوسُ بنُ عبدِ اللَّهِ قال: قحطَ أهل المدينة قَحْطاً شديداً، فشَكَوْا إلى عائشةَ فقالَتْ: انظُروا قبرَ النبيِّ صلى الله عليه وسلّم فاجعلُوا منه كواً إلى السماءِ، حتى لا يكون بَيْنَهُ وبينَ السماءِ سقْفٌ. قال: فَفَعَلُوا فمطِرْنا مطراً حتى نَبَتَ العشبُ، وسَمِنَتِ الإبِلُ حتى تَفَتَّقَتْ من الشحمِ، فسُمِّيَ عامَ الفتقِ....انتهى
Diriwayatkan daripada Abu an-Nu'maan daripada Sa`id bin Zaid daripada 'Amr bin Malik daripada Abul Jawzaa` Aus bin Abdullah yang telah berkata: "Penduduk Kota Madinah telah menghadapi kemarau teruk, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah r.'anha. Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah berkata kepada mereka: (Pergilah) lihat kubur Nabi s.a.w. dan buatkanlah satu lubang atasnya yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap (naungan) di antara kubur tersebut dengan langit. Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh - tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqi" (tahun pecah-pecah (yakni melambangkan kesuburan kerana kulit unta-unta tersebut seolah-olah pecah-pecah kerana terlalu gemuk)."
Hadits ini telah dijadikan antara dalil yang mengharus bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dinyatakan oleh ulama dan ahli sejarah Kota Madinah yang masyhur, Sayyid as-Samhudi, dalam "Khulashatul Wafa`". Imam as-Samhudi menyatakan bahawa membuat lubang pada atap atas maqam Junjungan Nabi s.a.w. supaya ada lubang terus ke langit telah menjadi amalan penduduk Madinah sewaktu musim kemarau. Selanjutnya beliau menyatakan bahawa pada kebelakangannya penduduk Madinah tidak lagi membuat lubang pada atas maqam Junjungan s.a.w. tetapi mereka akan membuka pintu yang menghadap wajah baginda yang mulia dan bertawassul dengan baginda serta memohon syafaat baginda di situ. Mulla 'Ali al-Qari dalam "Mirqaatul Mafaatiih" turut menukilkan hadits ini dan menyebut bahawa Aus bin 'Abdullah al-Azdi adalah ahli Bashrah dan seorang tabi`in masyhur yang meriwayatkan hadits daripada Sayyidatina 'Aisyah, Sayyidina Ibnu 'Abbas dan Sayyidina Ibnu 'Umar r.'anhum. Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari juga memuatkan hadits ini sebagai antara dalil bagi mengharuskan tawassul, istighosah dan memohon syafaat kepada Nabi, para wali dan sholihin sebagaimana dimuatkannya dalam kitabnya "an-Nuurul Mubiin fi Mahabbati Sayyidil Mursaliin".

Juga daripada hadits di atas kita ketahui keadaan maqam Junjungan s.a.w. yang mulia itu mempunyai bumbung yang menaunginya. Dan kubah adalah satu rupa bentuk bumbung yang menaungi sesuatu. Oleh itu apa yang nyata di sisi ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, tidak ada seorang pun yang menghukum haram membangunkan kubah atas maqam Junjungan Nabi s.a.w., baik ulama terdahulu maupun yang ada sekarang. Hanya ulama Wahhabi sahaja yang tidak senang dengannya sehingga pernah berusaha untuk memusnahkan kubah tersebut dan mengeluarkan fatwa untuk tujuan itu, seperti yang dilakukan oleh gembong Wahhabi yang bernama Muqbil bin Hadi al-Waadi`ii. Insya-Allah, nanti lain ketika kita bicarakan hukum berhubung membangun kubah atas kuburan para nabi dan sholihin menurut para ulama kita.

Menurut sejarah, orang yang pertama membuat bumbung berbentuk kubah atas maqam Junjungan Nabi s.a.w. adalah Sultan Manshur Qalawuun ash-Sholihi pada tahun 678H (1282M). Dan antara yang pernah membina dan memperbaharui kubah atas maqam yang mulia tersebut adalah Sultan an-Nashir Hasan bin Muhammad Qalawuun ash-Sholihi, asy-Syaraf Sya`ban bin Husein bin Muhammad, Sultan Qait Bey dan pembaharuan yang terakhir adalah oleh Sultan al-Ghozy Mahmud bin Sultan 'Abdul Hamid Khan al-Uthmani dalam tahun 1233H (1817M). Kubah ini dahulunya tidak mempunyai warna tetap, selain diwarnakan dengan warna hijau, ia juga pernah diberi warna biru, kelabu dan putih. Maka apabila Sultan 'Abdul Hamid al-Uthmani memperbaharui cat kubah tersebut pada tahun 1253H, maka baginda telah mengekalkan warna hijau padanya dan memerintahkan agar warna itu dikekalkan sebagai warna rasmi kubah tersebut. Maka berterusan sehingga ke hari ini kubah tersebut diwarnakan dengan warna hijau dan masyhurlah panggilannya sebagai "Qubbatul Khadhra`". Itulah kubah yang di bawahnya bersemadi jasad Junjungan Nabi s.a.w.

يا صاحب قبة الخضراء و منبرها
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي
يا سيدي يا رسول الله خذ بيدي

************************************

Sabtu, Mac 31, 2007

Rauufur Rahiim

لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ
عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ
حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيم
ٌ


Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Junjungan Nabi s.a.w.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) baginda pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang - orang yang beriman. (Surah at-Taubah:128).


Lihatlah wahai ikhwah, bagaimana Allah mensifatkan dan memuji Junjungan Nabi s.a.w. Sungguh Allah telah memuji baginda dengan setinggi-tinggi pujian sehingga baginda digelar - Rauufur Rahiim. Imam al-Qurthubi memetik kata-kata al-Husain bin al-Fadhl :-

وقال الحسين بن الفضل: لم يجمع الله لأحد من الأنبياء ٱسمين من أسمائه إلا للنبيّ محمد صلى الله عليه وسلم؛ فإنه قال: {بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ} وقال: {إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ} ... انتهى

Tidak pernah Allah menghimpunkan bagi sesiapa pun daripada kalangan para nabi, dua nama dari segala namaNya melainkan bagi Junjungan Nabi s.a.w. Maka sesungguhnya Dia telah berfirman:
" ...terhadap orang-orang beriman baginda menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya " dan Dia berfirman: " ... Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman)."
Jadi bagaimana pujian kita jika dibandingkan pujian Allah terhadap baginda s.a.w. Walaupun sampai patah lidah kita yang tidak bertulang untuk memuji baginda, tak tara mana pujian kita terhadap baginda. Walau bagaimana pun teruslah memuji baginda kerana Allah pun turut memuji baginda, tapi jangan sekali-kali merasa yang pujian kita terhadap baginda telah mencukupi dan setimbang dengan pujian Allah s.w.t. Perhatikanlah kalam Imam Abdur Rahman ad-Diba`ie dalam mawlidnya yang masyhur:-

و ما عسى أن يقال فيمن وصفه القرآن
Apakah agaknya yang dapat diperkatakan lagi buat orang yang telah disifatkan sendiri oleh al-Quran
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Khamis, Mac 29, 2007

Jasy-ne Aamede Rasul

Umat Islam seluruh dunia menyambut Mawlidur Rasul, hanya golongan - golongan yang terpengaruh dengan geng-geng Badwi dari Nejd je (perhatian: Badwi di sini ni tak dak kena mengena ngan Pak Lah Badawi) yang tak suka tengok orang sambut, orang muliakan dan orang memperingati tarikh kelahiran Rahmat bagi seluruh alam ini. Kita gi Mesir, orang sambut mawlid, kita gi Afrika orang sambut mawlid, kita gi China, orang sambut mawlid, kita gi benua Indo-Pakistan, orang sambut mawlid .... Allahu Allah, ramainya orang buat beda`ah, ramailah yang masuk neraka nanti. Hanya yang tak sambut mawlid je yang akan masuk syurga .... akai ada ka. Kalau Bin Baz an-Najdi al-Wahhabi nak sesatkan orang sambut mawlid, biaq pi kat dia lah. Kita nak ikut buat apa, bukan dia sorang je ulama umat ini.

Kita ada pegangan kita sendiri, kalau deme berbangga dengan Bin Baz, kita ada Imam Abu Syamah, Imam as-Subki, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani, Imam as-Sayuthi, Imam Ibnu Hajar al-Haitami dan ramai lagi ulama zaman berzaman dari berbagai bangsa dan keturunan. Jadi nak khuatir apa kalau Bin Baz dan ulama Saudi Najdi bid`ahkan amalan kita. Campak je fatwa-fatwa meke tu dalam sungai, menyemak je. Fatwa yang nak menyesatkan orang sahaja, fatwa yang buat orang berpecah belah. Fatwa tajdid kunun, tajdid mende, dah berzaman sejak deme dapat negeri sampai hari ni negeri deme duduk bawah naungan kuffar, jadi khadam pulak tu, ada ati nak ajar kita plak. Oiii tajdidlah negeri kome sendiri dulu sebelum nak masuk negeri kami. Ahhhhh .... kita tinggalkan saja fatwa-fatwa puak-puak tu yang saban tahun dipromosikan kepada para jemaah haji dengan pemberian buku-buku dan risalah-risalah dakyah mereka tu secara percuma.

Sekarang mari kita lihat fatwa Imam Abu Syaamah Abdur Rahman bin Ismail bin Ibrahim al-Maqdisi asy-Syafi`i al-Muqri` an-Nahwi yang wafat tahun 665H. Imam Abu Syaamah adalah Imam dalam pelbagai cabang ilmu Islam, sejak usianya di bawah 10 tahun beliau sudah pandai membaca al-Quran dalam 7 qiraat yang masyhur. Beliau adalah seorang faqih, muhaddits, muarrikh dan ahli lughah yang handal. Cukup bagi kemegahannya yang Imam an-Nawawi adalah termasuk muridnya. Antara karangan beliau ialah:-
  1. Mukhtashar Tarikh Dimasyq (20 jilid);
  2. Syarah bagi kitab hadits al-Muqtafa fi bahtsil Mushtofa;
  3. Dhiya-ul Qamar as-Sari ila Ma'rifatil Baari;
  4. Al-Ba`its 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits.
Dalam kitabnya "al-Baits 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits" beliau menuliskan fatwanya berhubung sambutan Mawlidur Rasul, dengan katanya:-

و من احسن ما ابتدع في زماننا ما يفعل كل عام في اليوم الموافق ليوم مولده صلى الله عليه و سلم من الصداقات و المعروف، و إظهار الزينة و السرور، فإن ذلك - مع ما فيه من الإحسان للفقراء- مشعر بمحبة النبي صلى الله عليه و سلم و تعظيمه في قلب فاعل ذلك و شكر الله تعالى على ما من به من إيجاد رسول الله صلى الله عليه و سلم الذي ارسله رحمة للعالمين
Dan di antara sebaik-baik perkara yang diadakan pada zaman kita adalah apa yang dilakukan pada setiap tahun, pada hari yang bersamaan dengan kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. dari segala pemberian sedekah, melakukan perbuatan-perbuatan kebajikan, menzahirkan segala perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya segala perbuatan yang sedemikian itu - selain berlaku ihsan terhadap para faqir miskin - ianya adalah satu syiar bagi menyatakan kasih sayang kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan membesarkan baginda dalam hati si pelakunya serta pernyataan syukur kepada Allah ta`ala atas kurniaanNya yang telah mewujudkan Junjungan Nabi s.a.w. yang diutuskanNya sebagai rahmat bagi sekalian alam.
Allahu ... Allah, wahai ikhwah, Imam Abu Syaamah menyatakan bahawa menyambut dan memperingati hari kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. dengan melakukan berbagai amal kebajikan adalah termasuk dalam sebaik-baik bid`ah. Jadi sebagaimana yang aku kata tadi, campakkan sahaja fatwa-fatwa songsang ulama Wahhabi yang menyesatkan sambutan mawlid, kita pegang fatwa ulama kita terdahulu. Sebagai penutup posting ni, kita dengar dulu lagu Hindustan, tapi lagu Hindustan yang elok, iaitu satu na`at atau syair puji-pujian kepada Junjungan dalam Bahasa Urdu dengan subtitlenye lagi agar kita faham apa yang deme lantunkan buat memuji baginda s.a.w. Rasanya title na`at ini ialah "Jasyne Aamede Rasul".

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم


Rabu, Mac 28, 2007

Rahmat Disyukuriٌٌ

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ
فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ

Katakanlah dengan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah (dengan itu) mereka bergembira

Para ulama tafsir telah memberikan berbagai tafsiran bagi kalimah "fadhlUllah" dan "rahmat". Sungguh kelebihan dan rahmat Allah itu berbagai-bagai, oleh itu tidak terbatas dengan satu perkara atau satu tafsiran sahaja. Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa erti "fadhlullah" itu adalah ilmu dan "rahmat" itu adalah Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dinyatakan oleh Imamuna as-Sayuthi dalam tafsirnya "ad-Durrul Mantsur" bahawa Abu Syaikh telah menyatakannya sebagai salah satu tafsiran antara beberapa tafsiran yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Abdullah ibnu 'Abbas radiyAllahu 'anhuma. Sungguh Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu rahmat yang dianugerahkan Allah kepada sekalian alam. Bahkan baginda adalah rahmat Allah yang paling agung sebagaimana firmanNya:-

وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
"Dan tidaklah Kami utuskan engkau (yakni Junjungan Nabi)
melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam."

Junjungan Nabi s.a.w. juga telah menyatakan dalam hadits baginda yang mulia:-

يا أيُّها الناسُ إنما أَنَا رحمةٌ مهداةٌ
"Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dikurniakan (yakni dikurniakan Allah kepada kamu sekalian)"

Oleh itu sewajarnya kita bergembira dengan anugerah rahmat Allah ini. Antara cara untuk menyatakan kegembiraan ini adalah dengan selalu bahkan sentiasa ingat dan memperingati Junjungan Nabi s.a.w. dan tidak dapat dinafikan bahawa majlis pembacaan mawlid adalah satu majlis di mana Junjungan Nabi s.a.w. diperingati, disebut-sebut, dipuji, disanjung, dikenali, dicintai justru diikuti sebagai contoh teladan yang paling unggul. Majlis di mana nama Junjungan s.a.w. adalah satu majlis yang besar, yang agung lagi harum semerbak baunya, sebagaimana penjelasan ulama.

Sayyidul Ulama-il-Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam "ats-Tsimaarul Yaani`ah fir Riyaadhil Badii`ah" halaman 92 menyatakan bahawa antara masa dan tempat yang diharapkan kabulnya doa permohonan kita ialah pada perhimpunan-perhimpunan kebajikan (majaami-`ul-khair) seperti majlis-majlis pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, selalulah menghadirkan diri dalam majlis-majlis mawlid dengan memperbanyakkan ucapan sholawat dan salam serta mendoakan kebajikan diri dan umat sekaliannya.

Jika ada yang tidak suka hadir, maka biarkanlah mereka dengan pendapat dan pandangan mereka, dan harap-harap mereka juga akan membiarkan kita beramal dengan tenang tanpa cemohan dan sindiran, tanpa fitnah dan tohmah. Ada kita dengar orang yang bila tengok kita puji Junjungan Nabi s.a.w. dia tuduh kita mendewa-dewakan Nabi, dia kata kita menyamakan Nabi dengan Allah, subhanAllah. Sungguh, pencela dan pentohmah ini wujud dalam masyarakat kita, dulu dia kutuk kita sebab dia kata kita mudah-mudah je tuduh orang Wahhabi, sekarang dah berbalik kat deme plak yang bermudah-mudah menuduh syirik, sesat dan bid`ah kat orang lain, hatta tuduhan dibuat kepada para ulama dan habaib yang kita sepatut muliakan.

Oleh itu, janganlah ikhwah terpedaya dengan dakyah golongan Wahhabi-Khawarij yang suka membid`ahkan amalan orang lain. Kita ada pegangan kita dan ada ulama yang menjadi sandaran kita, bukan satu, bukan dua tetapi ramai dan amalan ini bak kata al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Nuruddin telah diamalkan zaman berzaman oleh bukan sahaja orang awam tetapi para ulama umat ini. Hanya orang yang "fi 'aqlihi syai`" sahaja yang akan kondem amalan yang telah dipandang baik oleh umat ini. Tapi jika kita nak berbahas dengan geng-geng ni, maka habis umur kita untuk tujuan tersebut dan sia-sia masa kita. Apa yang penting kita tetap menyatakan pegangan kita, ulama kita, hujjah kita, dan kita nasihatkan depa agar berlapang dada dengan benda-benda khilafiyyah ini dan hentikan fitnah dan tohmah terhadap amalan dan ulama kita.

Allahu ... Allah, daripada aku membebel kat depa tu, elok tulis benda lain dan biarlah si luncai dengan muftinya terjun dengan labu-labu meke. Marilah kita lihat kalam Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya masyhur berhubung kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w.:-
في فضل الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم
ثبت عنه صلى الله عليه وسلم أنه قال: «من صلّى علي صلاة صلى الله عليه بها عشراً». وقال سهل بن عبد الله: الصلاة على محمد صلى الله عليه وسلم أفضل العبادات، لأن الله تعالى تولاها هو وملائكته، ثم أمر بها المؤمنين، وسائر العبادات ليس كذلك. قال أبو سليمان الداراني: من أراد أن يسأل الله حاجة فليبدأ بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم يسأل الله حاجته، ثم يختم بالصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإن الله تعالى يقبل الصلاتين وهو أكرم من أن يرد ما بينهما. وروى سعيد بن المسيّب عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أنه قال: الدعاء يُحجَب دون السماء حتى يصلّى على النبيّ صلى الله عليه وسلم، فإذا جاءت الصلاة على النبيّ صلى الله عليه وسلم رفع الدعاء. وقال النبي صلى الله عليه وسلم: «من صلّى عليّ في كتاب لم تزل الملائكة يصلون عليه ما دام اسمي في ذلك الكتاب»..انتهى

Pada menyatakan kelebihan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Telah sabit bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku sekali, Allah akan merahmatinya sepuluh kali."

Telah berkata Sahl bin 'Abdullah: "Bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. adalah suatu ibadah yang paling utama, kerana Allah membuatnya dan begitu juga para malaikat, kemudian diperintahkanNya orang-orang beriman untuk melakukannya, sedangkan untuk ibadah-ibadah lain tidaklah begitu."

Telah berkata Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani: "Sesiapa yang hendak memohon kepada Allah bagi sesuatu hajat, maka hendaklah dia memulakan permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kemudian mengemukakan permohonannya dan ditutup permohonannya itu dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. lagi. Maka bahawasanya Allah pasti menerima dua sholawatnya tadi dan Dia lebih pemurah untuk turut menerima apa-apa permohonan yang diajukan antara dua sholawat tersebut."

Dan telah diriwayatkan daripada Imam Sa`id ibnu al-Musaiyib bahawa Sayyidina 'Umar r.a. berkata: "Doa itu terdinding tidak dapat naik ke langit sehingga si pendoa bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., maka apabila datang sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. diangkatlah doa tersebut."

Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang bersholawat ke atasku dalam kitab, maka tak henti-henti para malaikat bersholawat (berdoa) baginya selama mana namaku berada dalam kitab tersebut."

اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم

Program Waktu Mawlid

Antara program yang boleh ikhwah hadirkan diri sempena Mawlidur Rasul s.a.w.

1. Yang ada kat sekitar lembah Kelang boleh lah mari kat USJ nanti:-




2. Yang berkesempatan boleh lah mari kat Nogori:




Mari-mari hadir
Li ajlin Nabi, li ajlin Nabi
Hadir jangan tak hadir

Isnin, Mac 26, 2007

Cahaya Hati

Imam al-'Allaamah al-Hafiz Jamaluddin 'Abdur Rahman bin Abul Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Ubaidillah al-Baghdadi al-Hanbali adalah seorang ulama besar bermazhab Hanbali yang wafat tahun 597H. Beliau dikenali sebagai "Ibnul Jawzi" menyebabkan beliau sering dikelirukan orang dengan "Ibnul Qayyim al-Jawzi" anak murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Bersempena bulan mawlid ini, aku nukilkan tulisan-tulisan beliau mengenai Junjungan Nabi s.a.w. dan amalan bersholawat kepada baginda dari karangannya "Bustaanul Waa`idziin war Riyaadhus Saami`iin". Halaman 298-299, beliau rahimahUllah menulis:-

Telah diriwayatkan daripada Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:-

من اكثر الصلاة عليّ نور الله قلبه

"Sesiapa yang banyak bersholawat ke atasku,
Allah akan memberi cahaya pada hatinya."

Dan yang sedemikian adalah kerana sesungguhnya segala dosa itu menghitamkan (menggelapkan) hati. Apabila seseorang melakukan satu dosa, maka tumbuhlah satu bintik hitam dalam hatinya. Lalu bila dia berterusan melakukan dosa, tumbuh berkembang segala bintik-bintik hitam tersebut sehingga menghitamkan sekalian hatinya. Maka apabila Allah membasahkan lidah seseorang itu dengan ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w., diampunkan Allah dosa-dosanya walaupun ianya umpama seberat gunung. Apabila dosa-dosanya diampun, hilanglah bintik hitam daripada hatinya lalu terbitlah cahaya.

Oleh kerana itu Islam tidak sempurna kecuali dengan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Jika seseorang berkata: "Aku tidak memandang sholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. sebagai satu kewajipan," maka dia menjadi kafir, menentang Allah, keluar dari Islam dan hilang cahaya petunjuk daripada hatinya. Allah s.w.t. berfirman:-

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلإِسْلاَمِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِّن رَّبِّهِ
"Jika demikian, adakah orang yang dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup matahatinya dengan selaput kederhakaan)?"
Maka ini adalah penjelasan yang nyata daripada Allah.
Dan telah dinasyidkan oleh mereka:-

نور القلوب يزيد عند صلاتنا للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد صلوا على ذاك النبي الأفضل


Cahaya hati bertambah ia tatkala kita sholawatkan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi

اللهم صل على النبي الهاشمي سيدنا محمد
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما