Khamis, Ogos 19, 2021

Duruud Rooh - Taliban 2.0

Beberapa hari yang lepas (16/08/2021), dunia geger dan kecoh dengan kembalinya para pejuang yang digelar sebagai Taliban menguasai bumi Afghanistan. Puak kolonialis terus menyerang mereka, konon kerana khuatir akan tindakan - tindakan yang akan mereka ambil selepas ini. Mereka khuatir Taliban 2.0 ini akan bertindak sebagaimana pejuang Taliban 1.0 yang sempat berkuasa dahulu. Masih terlalu awal untuk kita menghakimi Taliban 2.0 ini, wajar untuk kita duduk dahulu dan lihat apakah tindakan mereka selanjutnya. Kita perlu tahu dan faham bahawa mereka adalah anak jati Afghanistan yang ingin mentadbir tanahair mereka tanpa campur tangan para kolonialis barat yang diketuai Uncle Sam. Mudahan - mudahan sahaja Taliban 2.0 ini benar - benar mujahidin Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang memiliki rasa hormat, tasamuh, toleransi, salimush shadr yang tinggi serta bebas dari segala fahaman ekstrim radikal seperti fahaman Silapi Wahabi dan sebagainya. Kita mengharapkan bukan sahaja mereka, tapi seluruh umat Islam juga begitu, dan kita mengharapkan agar fatwa - fatwa karut yang berkait dengan kesyahidan pengebom berani mati dikaji semula dan ditarikbalik oleh mereka - mereka yang mengeluarkannya dahulu. Ada khabar yang memaklumkan bahawa para pejuang Taliban 2.0 adalah berfahaman Maturidi, bermazhab Hanafi dan ramai yang bertariqat. Ini tidaklah sulit dicerna akal kerana jika mereka berafiliasi dengan Jamia Darul Ulum Haqqania beraliran Deobandi, maka fahaman mereka tidaklah lari daripada Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maka tidaklah pelik, jika beredar klip video mereka meraiekan pembebasan Kabul di Istana Presiden dengan membaca ayat - ayat suci al-Quran ditutup dengan Shalawat Ruuh @ Daruud Rooh. Rasanya puak ekstremis radikal Silapi Wahabi tidak akan mahu membaca shalawat "bid`ah" tersebut. Apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat Afghanistan dan segala umat ini. Khuda Hafeez.


اللهم صل على روح مبارك سيدنا محمد في الأرواح
و على جسده في الأجساد
و على قبره في القبور
و على آله و صحبه و بارك و سلم

Jumaat, Julai 30, 2021

Universiti Paling Wahabi


Jangan marah, marah dan bukan semuanya. Banyak juga asatizah yang keluar dari Universiti tersebut masih kental dengan pegangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah dan Mazhab Syafie. Perhamba teringat akan satu peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat perhamba. Sahabat tersebut ketika ditemuduga untuk kemasukan ke Universiti Islam Madinah, maka antara soalan yang ditanyakan kepada beliau adalah: ".... Ayna Allah? (Di manakah Allah?)" di mana jawapan dalam skemanya adalah "Fis samaa` (Di langit)." Ada juga sahabat yang bila balik dari Universiti berkenaan, mula berceramah yang Allah itu di langit dan dia berwudhu dengan hanya menyapu air atas stokin sebab dihukumkan sama seperti menyapu khuf. Apa - apa pun, ini hanyalah sekadar perkongsian dan agar videonya tak ditelan zaman, buat ingatan dan perhati-hatian. 


Ahad, Julai 18, 2021

Coretan Hari Tarwiyyah

Telah masyhur bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan baginda telah mengkhabarkan bahawa berpuasa pada Hari `Arafah menjadi kaffarah bagi dosa dua tahun, iaitu tahun di mana puasa Hari `Arafah tersebut dilakukan (yakni sehingga akhir bulan DzulHijjah tahun tersebut) dan setahun selepas puasa Hari `Arafah tersebut (yakni tahun baharu dihadapannya yang bermula dengan bulan Muharram). Maka di antara ulama, ada yang berkesimpulan bahawa antara kelebihan puasa pada Hari `Arafah adalah orang yang berpuasa padanya akan dipanjangkan umur setahun lagi. Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam I`anatuth Thaalibin pada halaman 300 jilid 2, menulis, antara lain, sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- .. Pada kelebihannya sebagai kaffarah tahun ini mengisyaratkan bahawa dia tidak akan mati padanya. Ini merupakan berita gembira baginya (yakni khabar gembira bagi orang yang berpuasa `Arafah bahawa dia masih ada harapan untuk dipanjangkan umurnya). Telah menukil hal ini, Imam al-Mudaabaghi (yakni Imam al-'Allaamah Hasan bin `Ali bin Ahmad al-Mudaabaghi yang wafat tahun 1170H) melalui riwayat daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, yang ibaratnya seperti berikut: (Faedah) telah berkata Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma: "Ini adalah berita gembira bahawa orang yang telah berpuasa padanya akan hidup pada tahun hadapan. Ketika mana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menggembirakan orang yang berpuasa tersebut bahawa ia menjadi kaffarahnya (yakni kaffarah bagi tahun - tahun yang dinyatakan tadi), maka ini menunjukkan atas (kekal) hayat orang yang berpuasa tersebut di dalamnya (yakni di dalam tahun - tahun tersebut)".......

Allahu .... Allah, hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenarnya dan al-Haq ta`ala jualah berbuat sekehendakNya. Panjang pendek umur boleh dilihat dari berbagai sudut, Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu, umur dunianya hanya 54 tahun sahaja, namun keberkatan umur beliau berkekalan sehingga ke hari ini walaupun sudah menjangkau lebih 1000 tahun. Apa yang penting kita mengikhlaskan amalan kita hanya untuk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan jika suka dan mohon umur yang panjang, pastikan tujuannya untuk memperbanyakkan pengabdian kepadaNya. 

Faqir akhiri coretan ini dengan berkongsi satu faedah daripada seorang ulama besar, al-Habr al-Imam Habib `Abdullah bin 'Abdul Qadir bin Ahmad BilFaqih rahimahumullah, berupa satu doa untuk dibaca selepas Asar pada Hari `Arafah sebanyak 100 kali, dengan harapan Allah menjadikan kita atau memberi saham kepada kita agar tergolong dalam kalangan mereka - mereka yang berwukuf dengan penuh kerendahan diri di padang Arafah. Transliterasi doa tersebut adalah sebagai berikut:- "Allahummaj-`alnaa minal waaqifiina wal mutadharri-`iina fii `Arafaat, innaKa `alaa kulli syai-in Qadiir, (Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam kalangan mereka -mereka yang berwukuf dan merendah diri di `Arafah. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Berkuasa)." Mudah - mudahan dikabulkannya permohonan tersebut, lalu dianugerahkan kita seumpama anugerahNya kepada para hujjaj yang berwukuf dan/atau disampaikanNya kita satu hari nanti menjadi antara hujjaj yang sempat berwukuf di sana. Apa - apa pun terserahlah kepadaNya dan hanya Dialah yang Maha Berkuasa mengabulkan segala permohonan dan harapan. Mudah- mudahan segala amalan dan doa harapan kita diterima Allah ta`ala dengan sempurna penerimaan....Allahumma aamiin.


Perkongsian Habib Ahmad bin Utsman al-`Aydrus

Khamis, Julai 15, 2021

Tahlil DzulHijjah




Rabu, Julai 14, 2021

Nur Muhammad - Tok Pulau Manis

Seorang ulama wali, terbit mendahului Syaikh Daud Fathani rahimahullah. Gigih mengajar mendidik anak bangsa ke jalan yang diredhai Allah. Mengarang juga membuka pondok pengajian, itulah Syaikh Abdul Malik bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis @ Tokku Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah. Beliau adalah salah seorang ulama berketurunan pendakwah dari Baghdad yang dilahirkan di Trengganu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1089H/1678M atau menurut satu sumber lagi sekitar tahun 1060H/1650M. Beliau wafat sekitar tahun 1149H/1736M di Trengganu dan makam beliau masih ada, dijaga rapi di Kampung Pulau Manis, Kuala Trengganu. Alhamdulillah, sejarah hidup Tok Syaikh Pulau Manis @ Syarif Abdul Malik rahimahullah telah mulai banyak ditulis dan diperkatakan orang, silalah tuan - tuan cari di alam maya atau di luar sana.

Tok Syaikh Pulau Manis, biasanya dikenali melalui karya beliau yang masyhur iaitu Hikam Melayu yang merupakan terjemah dan syarah bagi kitab al-Hikam karangan Syaikh Ibnu 'Athailah as-Sakandari. Karya beliau ini masyhur dan banyak kali diulang cetak dan dijadikan teks di pondok - pondok dan masjid - masjid. Sebenarnya Tok Syaikh Pulau Manis turut mempunyai beberapa karya lain yang kurang dikenali dan tidak tersebar secara meluas dalam masyarakat kerana tidak pernah dicetak atau diterbitkan, masih berbentuk manuskrip atau salinan yang disalin oleh beberapa penyalin. Di antara karangan lain Tok Syaikh Pulau Manis yang diketahui setakat ini adalah al-Kifayah yang berisikan perbicaraan ilmu usuluddin dan fiqh, Risalah an-Naql mengenai shalat Jumaat dan Risalah Kaifiyyah an-Niyyah berhubung persoalan niat.

Salah satu karya beliau tersebut adalah kitab al-Kifayah yang belum pernah dicetak sebelum ini. Namun para pengkaji telah menemui beberapa naskhah manuskrip salinan kitab ini. Antara naskhah yang lengkap adalah yang disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani @ Syaikh Muhammad Husain bin Abdul Latif rahimahullah yang salinannya beliau sempurnakan pada 13 DzulQaedah 1297H / 16 Oktober 1880M. Manuskrip salinan Tok Kelaba ini masih tersimpan sebagai MSS 517 di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Di muka hadapan, Tok Kelaba memperkenalkan kitab tersebut sebagai:- Inilah kitab yang dinamakan dia dengan Kifayah, kata qil terjemahan bagi al-`Alim al-`Allaamah wal Habril Bahril Fahhamah, al-`Arif bis sirril maknun, yang dimakrufkan gelarannya dengan Tok Pulau Manis daripada ahli Terganu (yakni Trengganu) qaddasaAllahu sirrah, aamiin. Selain itu, Tok Kelaba juga bermadah memuji kitab ini dengan katanya:- 
Faham baik awan(g) dengan dayang; Sebelum lagi nyawa melayang.
Ini kitab orang dahulu; Mengaji awan(g) jangan malu.
Sekalian hukum nyata di dalam; Tuntut awan(g) siang dan malam.
Loba awan(g) akan ilmu; Sentiasalah, janganlah jemu.
Telah menazam Haji Husain; Harap syafaat Nenek Husain (yakni Jaddul Husaini iaitu Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam).
Shalawat salam atas Nabi; Penghulu `Ajam dan `Arabi.
Amal ibadah jaga kamu; Beserta pula dengan ilmu.
Baharu sempurna kita kerja; Jangan kamu duduk sahaja.
Mengaji kamu jangan malas; Hari Kemudian ada balas.

Alhamdulillah,
 Allah ta`ala atas limpah kurnia dan kemurahanNya, telah mengizinkan pihak Universiti Sultan Zainal Abidin, Trengganu, untuk menerbitkan buat julung kalinya, kitab al-Kifayah yang dirumikan dan diberi tahkik. Cetakan pertamanya diterbitkan pada tahun ini (2021) dengan jodol Kitab al-Kifayah karangan Tok Pulau Manis. Ianya adalah hasil usaha Dr. Zurita Mohd Yusuf, Hasanulddin Mohd dan Jamalluddin Hashim, berdasarkan kepada hasil penyelidikan Dr. Zurita Mohd Yusuf di peringkat doktor falsafah dan kajian di bawah Dana Penyelidikan Universiti. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sempurna bagi mereka yang telah berkhidmat untuk turats ulama Jawi kita. Terbitan ini sudah ada di pasaran, maka eloklah tuan - puan segera dapatkan, buat bacaan dan kajian juga simpanan untuk tatapan anak keturunan. Namun dalam mengaji perlulah panduan, jangan gopoh menghukum hakam, lalu keliru dek bacaan, amalan orang mudah dibid`ahkan.

Akhirul kalam, berbalik kepada jodol entri ini, maka faqir kongsikan pernyataan Tok Syaikh Pulau Manis pada halaman 18 - 19 edisi tahkik tersebut sebagai berikut:- [Kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. Berbanding Rasul - rasul yang Lain] Dan lagi hendaklah kita ketahui dan kita iktikadkan bahawa Nabi Muhammad itu terlebih tinggi martabatnya dan terlebih mulia pada Allah Taala daripada sekalian makhluk semuhanya (yakni semuanya) dari karena adalah arasy dan kursi dan loh dan kalam (yakni qalam) dan segala malaikat dan syurga dan nareka (yakni neraka) dan sekalian makhlukNya, semuhanya itu dijadikan Allah Taala daripada Nur Muhammad s.a.w. Dan lagi firman Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w.: "Jikalau tiada ada engkau nescaya tiada Aku jadikan segala makhluk semuhanya".

Semoga Allah menjaga segala turats ulama kita dan menyebarkannya untuk manfaat segala umat terutama anak keturunan Bangsa Melayu. Pelajarilah segala kitab turats ulama Jawi terdahulu, nescaya dapat suluh hidayah juga taufik menuju redha Allah jalla wa `azza. Janganlah memada dengan hanya membaca karangan ustaz - ustaz moden walaupun bernobat mufti pasir berdengung. Mudahan - mudahan Allah mengganjari Tok Syaikh Abdul Malik Pulau Manis dengan sebaik - baik ganjaran dan menempatkan beliau di kalangan para awliya`Nya.

Ahad, Julai 11, 2021

Nazam A'yaad Mawsimiyyah





 


 

Tahlil DzulHijjah