Khamis, September 09, 2021

Puisi Syed Naquib

Tan Sri Professor Syed Muhammad Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-'Aththas, cukup ternama di kalangan para ilmuwan, terutama para peminat falsafah dan ahlinya. Beliau adalah keturunan Habib Abdullah bin Muhsin @ Habib Keramat Empang yang terkenal dengan ilmu dan kewaliannya. Buku - buku karangan Prof. Syed Naquib, disamping penuh dengan ilmu pengetahuan, juga ditulis dengan gaya bahasa yang cukup indah dan mengasyikkan. Dalam mukadimah bagi himpunan tulisan beliau berjodol Risalah Untuk Kaum Muslimin, beliau memulakan dengan kata - kata pujian yang indah bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kata-katanya sebagai berikut: ...... Dan shalawat yang tiada berputusan serta salam yang tiada berhabisan kepada abdi dan rasulNya junjungan kita Muhammad, pemilik panji kepujian yang mengikrarkan hakikat namanya sebagai mu'jizat nyata yang terus berlaku; yang

Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papantulis belum tercatat
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat --
Dalam diriku semua terlibat.

yang awal dicipta dan akhir menjelma, sehingga kedatangannya seperti yang datang dari Jauh ditunggu - tunggu; imam segala nabi dan khatimnya semua, laksana permata jawhar bercahayakan air asali menghiasi gelang para anbiya, laksana mohor Raja Agung yang pertama - mula menerap kalimah tawhid pada kalbu - diri Insan; yang terbit bagai bulan purnama cahayanya indah mengusir kegelitaan malam Jahiliah; yang katanya sungguh dan benar dan caranya betul belaka; tauladan terbaik bagi anak Adam dan rahmat Ilahi bagi sekalian alam....

Indah susun kata, lagi benar apa yang dinyata. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ruhani pertama menerima ada, asal bagi segala ada, baginda sinaran sani cahaya kamalat, pancaran murni asma dan sifat, rumusan seni segala makhlukat. Allahumma shalli wa sallim `alaih. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan limpahan rahmat belas kasihNya bagi sang penulis juga pembaca.


Selasa, September 07, 2021

Kanzul Haqaaiq

Shalawat cetusan ilham seorang ulama dan wali terkenal di Maghribi, Syaikh Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi al-Amghari rahimahullah yang lahir pada tahun 1876M. Beliau adalah faqih Maliki dan syaikh mursyid bagi Thariqat Darqawiyyah Syadziliyyah Habibiyyah. Shalawat gubahan beliau ini dinamakan sebagai Kanzul Haqaaiq. Ulama - ulama selepas beliau telah memberikan perhatian kepada shalawat ini dan menulis beberapa syarah untuk menjelaskan isi yang terkandung dalam shalawat ini. Kita yang berada di dunia Melayu mungkin kurang mengenali Sidi Muhammad ibnul Habib, namun di belahan dunia sebelah barat, beliau dikenali dan memiliki murid - murid yang menjadi penerus perjuangan beliau. Karangan beliau ada yang diterjemahkan ke bahasa - bahasa barat seperti Bahasa Inggeris dan Perancis.
 
Di sini, faqir terjemahkan Shalawat Kanzul Haqaaiq fish shalaati `ala Sayyidil Khalaaiq  sekadarnya, menurut pemahaman faqir yang lemah lagi singkat, moga - moga jadi asas bagi faham yang jitu, juga sebagai ingatan buat diri faqir. Itulah tujuan faqir menulis, tujuan dan sasaran utama adalah untuk diri faqir sendiri, agar ilmu dan maklumat yang ditulis dapat disimpan dalam blog ini untuk memudahkan semakan dan rujukan nanti. Lalu kemudian sesiapa yang sudi berkongsi membacanya, mudah - mudahan ada faedah dan manfaat. Semoga yang menulis dan yang membaca diberikan keikhlasan yang tulus semata-mata demi meraih keredhaan Yang Maha Esa. Maka dengan ilmu yang dangkal, faqir cuba mengartikan secara zahir akan Shalawat Perbendaharaan Hakikat - Hakikat Kebenaran, dengan `inayah dan hidayahMu jua, wahai Tuhan:-

Ya Allah
Limpahkan shalawat dan salam
Dengan segala kesempurnaanMu
Pada segala tajalli sifatMu
Atas baginda Muhammad
Awal permulaan segala nur ciptaanMu
Limpahan lautan - lautan keagungan zatMu
Dia yang menyatakan hakikat - hakikat
Segala nama dan sifatMu
Di alam batin dan alam zahir
Dia makhluk terawal
Memuji dan mengabdi kepadaMu
Dengan berbagai rupa ibadat dan qurubaat
Dialah penyalur bantuan pertolongan
Di alam roh dan dunia nyata
Kepada segala makhluk yang wujud
Limpahkanlah shalawat dan salam sedemikian
Atas keluarga dan sahabatnya sekalian
Shalawat yang menjadi sebab
Engkau singkapkan bagi kami
Hijab penghalang kami
Memandang wajahnya yang mulia
Dalam mimpi juga ketika jaga
Kurniai kami makrifat
Sebenar - benar makrifat akan Dikau dan dia
Pada segala tingkatan martabat dan penghadapan
Berlembutlah dengan kami
Wahai Tuhan kami
Demi jah kemuliaan baginda nabi
Dalam setiap gerak diam kami
Juga pada setiap lirikan dan bersitan.

Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi rahimahullah wafat pada tahun 1972M dalam usia 96 tahun, ketika dalam perjalanan menuju ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Makam beliau kini berada di Kota Meknes, Maghribi, dengan dirawat rapi dan menjadi tumpuan ziarah para pencinta dan pencari berkah. Mudah - mudahan Allah melimpahkan rahmat yang berkekalan ke atas Sidi Muhammad ibnul Habib, melapangkan kuburnya dan meninggikan darjatnya.... Allahumma aamiin, al-Fatihah. 

Kanzul Haqaaiq


Sabtu, September 04, 2021

Pesan Sedekah Ke Anjing

Dulu ketika kecil, almarhumah ibu faqir pernah bercerita mengenai "pesan - pesan pelik" orang-orang tua dahulu kepada bakal - bakal haji yang hendak berangkat ke tanah suci. Antaranya bersedekah kepada binatang yang ada di kota - kota suci tersebut dengan memberi mereka makan. Pelik juga jika difikirkan, namun bila direnung - renung, sedekah kepada manusia itu sudah biasa dan lumrah, tak dipesan pun orang akan buat. Jadi make sense jugak jika yang dipesan adalah untuk bersedekah kepada binatang, yakni agar meratai ibadah sedekah kita, rahmat belas ihsan kita daripada manusia sehinggalah kepada binatang, yang juga makhluk ciptaan Allah dan tanda keagungan, kebesaran, kekuasaanNya. Lagi pun telah masyhur beberapa riwayat shahih tentang seseorang yang mendapat keampunan dan keselamatan, bahkan dimasukkan ke syurga, dengan sebab memberi minum anjing yang kehausan. Sehingga diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika ditanya oleh para sahabat: "Adakah kita memperolehi pahala daripada haiwan - haiwan liar?" Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam menjawab: "Pada setiap hati yang basah itu ada ganjaran" (yakni berbuat ihsan seperti bersedekah dengan memberi makan dan minum kepada makhluk - makhluk yang bernyawa hatta haiwan sekalipun mempunyai ganjaran balasan pahala). 

Mengenai kisah pesanan bersedekah kepada anjing di Tanah Haram, maka faqir terjumpa dengan klip yang ingin faqir kongsikan. Satu kisah yang diceritakan oleh Syaikh Khwaja Mohammad Alauddin Siddiqui (1938 - 2017M), seorang ulama sufi dan mursyid thariqat Naqsyabandi Shiddiqi Mujaddidi. Dari nada dan suara mawlana dengan bantuan sarikata, in sya Allah kita boleh faham ceritanya. Syaikh rahimahullah menceritakan kisah pengalaman beliau dengan seorang doktor yang telah dipesan oleh gurunya untuk bersedekah kepada anjing - anjing di Kota Madinah al-Munawwarah. Dalam kisah ini ada pengajaran dan falsafah tentang pentingnya kita sentiasa merendah diri dan tawadhu, jangan sekali - kali bersikap ujub dan melihat diri kita hebat dan bermartabat.....Allahu Allah. Semoga Allah merahmati sentiasa Syaikhul `Aalaam Khwaja Mohammad `Alauddin Siddiqui.....al-Fatihah.


Isnin, Ogos 30, 2021

Munfarijah Imam Ghazali

Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah, ulama besar yang amat terkenal di seantero negeri. Beliau cukup masyhur dengan karya - karya tulis yang bernilai tinggi lagi banyak faedah dan manfaat. Selain karya berbentuk kitab dan risalah, Hujjatul Islam al-Ghazali juga memiliki karangan berbentuk syair yang syahdu, berisikan nasihat dan munajat yang amat membekas di jiwa. Jika syair - syair yang temanya memuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam biasa disebut sebagai al-madaih, maka syair - syair yang bertemakan nasihat serta panduan agar hati lebih sabar, cekal dan tabah dalam mengharungi kepayahan dan kesulitan juga dijalin dengan bermunajat memohon kelepasan dari kesulitan kepayahan tersebut, biasanya disebut sebagai al-munfarijah. Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah mempunyai karangan syair dengan tema ini, yang beliau awali dengan kalimah (terjemahan bebas): " Sungguh kepayahan telah mencengkam diri, maka segerakanlah datangnya kelepasan, wahai Tuhan". Syair yang digubah dalam 58 bait ini, sering dijadikan terapi agar tetap tabah, tenang dan sabar dalam mengharungi kesulitan, di samping bermunajat memohon pertolongan dan kelepasan. Gubahan Hujjatul Islam ini dikenali juga sebagai al-Munfarijah. Ketika tersebarnya syair gubahan Imam Ibnu Nahwi rahimahullah, ulama sezaman dan pengkagum tegar Hujjatul Islam al-Ghazali, yang juga serupa temanya, maka untuk membezakan antara dua karya ini, maka bagi sebahagian kalangan, Munfarijah Hujjatul Islam al-Ghazali dinamakan sebagai al-Munfarijah al-Kubra, manakala gubahan Imam Ibnu Nahwi digelar sebagai al-Munfarijah ash-Shughra. Kedua - dua munfarijah ini telah tersebar dan terkenal dengan keberkatannya, bahkan sering dijadikan sarana untuk bermunajat kepada Allah ta`ala agar diberikan kelepasan dari segala kesulitan yang dihadapi. Mudahan - mudahan dengan membaca, atau setidak - tidaknya mendengar pembacaan al-Munfarijah karya Hujjatul Islam al-Ghazali ini, Allah `azza wa jalla berkenan untuk memberikan kelepasan dari segala kesulitan yang sedang mencengkam umat manusia sekarang ini...... Allahumma aamiin.

Khamis, Ogos 26, 2021

Nur Muhammad - Syiah Kuala

Syaikh Abdul Rauf as-Singkili @ al-Fansuri rahimahullah, ulama besar Alam Melayu, ketika hayatnya dilantik menjadi mufti dan qadhi besar bergelar Qadhi Malikul Adil dalam kesultanan Aceh Darus Salam. Beliau yang juga dikenali sebagai Teungku Syiah Kuala (gelar "Syiah" di sini adalah sebutan bagi Syaikh dalam lahjah Aceh) yang ertinya tuanku ulama yang menjadi syaikh di Kuala Aceh, hati - hati jangan disamakan dengan puak Syi`ah yang sesat menyesatkan itu. Teungku Syiah Kuala juga dikenali sebagai penterjemah pertama al-Quran ke dalam Bahasa Melayu dengan karyanya Turjumanul Mustafid. Tidak ada sesiapa yang boleh meragui kealiman dan ketokohan Syaikh Abdul Rauf al-Fansuri dalam ilmu - ilmu agama Islam. Untuk mengetahui biografi dan sejarah hidup beliau, silalah tuan puan telek akan biografi beliau yang sudah banyak ditulis orang.

Syaikh Abdul Rauf Fansuri ada meninggalkan beberapa karya tulis yang lain dan antara karya tulis peninggalan beliau adalah sebuah kitab tasawwuf thariqat dalam Bahasa Arab yang berjodol Tanbihul Maasyi al-mansub ila thariqil Qusyasyi yang jika diterjemahkan bererti Peringatan bagi mereka yang menjalani tasawwuf atas jalan Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani rahimahullah adalah guru Syaikh Abdul Rauf di Madinah al-Munawwarah. Syaikh Ahmad al-Qusyasyi adalah ulama besar yang menguasai berbagai ilmu pengetahuan. Umat Islam di Nusantara amatlah bertuah kerana telah menerima pusaka berharga daripada beliau melalui murid - murid beliau, antaranya melalui Teungku Syiah Kuala, berupa untaian wirid seusai shalat fardhu yang telah turun temurun menjadi amalan tradisi orang - orang kita, samada ketika shalat berjemaah atau sendiri. Bahkan wirid - wirid tersebut dinamakan sebagai Auradul Qusyasyiah (Wirid - Wirid Syaikh Ahmad al-Qusyasyi rahimahullah) atau Auradul Madaniyyah (Wirid - Wirid Orang Kota Madinah)  kerana Syaikh Ahmad al-Qusyasyi menyusunnya berpandukan amalan para penduduk Kota Madinah al-Munawwarah yang semestinya berteraskan nash daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tiada sebarang keraguan lagi mengenai wirid - wirid tersebut, bahkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah berinisiatif untuk menerbitkan kembali wirid - wirid ini dan menyebarluaskannya. Maka lazimkan oleh kamu akan segala wirid tersebut, jangan diabaikan atau dipandang remeh atau sepele. Lakukanlah dengan istiqamah, menurut kemampuan masing - masing.

Berbalik kepada kitab Tanbihul Maasyi, Teungku Syiah Kuala rahimahullah turut memuatkan Hadis Jabir mengenai Nur Muhammad di dalamnya. Antara yang beliau catatkan dalam karangan tersebut adalah sebagai berikut:- ...Maka yang awal - awal diciptakan Allah ta`ala adalah ruh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebagaimana warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika baginda ditanya oleh Sayyidina Jaabir tentang sesuatu yang paling awal diciptakan Allah sebelum segala sesuatu yang lain, maka baginda menjawab: "Wahai Jaabir, bahawasanya Allah mencipta sebelum segala sesuatu Nur Nabimu daripada nurNya (yakni idhafah tasyrifiyyah iaitu nur yang dicipta dan kepunyaan Allah, bukannya suatu suku daripada Zat Allah yang mulia)......" Selanjutnya, Syaikh Abdul Rauf Singkil merumuskan bahawa seseorang murid yang sejati, tidak dapat tidak, secara zahir dan juga batin, mesti menurut dan mengikut Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengambil panduan daripada segala sabdaan dan perbuatan baginda, kerana bagindalah asal atau sebab bagi wujudnya kita dan wujudnya sekalian makhluk. Hanya dengan sedemikian sahajalah dia akan beroleh kejayaan bersama orang - orang yang berjaya dan digolongkan dalam golongan para shalihin.

Faqir tidak berhasrat memperpanjang bahasan mengenai isi kandungan riwayat tersebut, kerana sedikit sebanyak telah diperkatakan terdahulu dan juga bukan tujuan faqir untuk membahaskan peri Nur Muhammad secara panjang lebar. Itu tuan puan kenalah mengaji dengan para guru yang memiliki i'tiqad yang betul, ilmu dan amalan yang mantap. Jangan tuan puan tersilap mengaji dengan mereka - mereka yang merapu, dek termakan dan tergoda dengan nama dan istilah ilmu thariqat atau ilmu makrifat atau ilmu hakikat, sedangkan hakikatnya, indah pada nama namun kosong pada isi, bahkan ada yang isinya penuh dengan kebatilan yang menyalahi akidah atau syariat yang dipegang. Perkongsian faqir di sini hanyalah untuk membuktikan bahawa riwayat - riwayat mengenai Nur Muhammad sebagai makhluk yang dijadikan pertama kali telah memenuhi karya - karya ulama dunia termasuklah para ulama alam Melayu. Maka tidaklah boleh kita dengan sewenang - wenang dan mudah untuk menyesatkannya, walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka. Belajarlah berlapang dada dan bersikap terbuka dengan para ulama tersebut yang sedikit sebanyak telah berjasa kepada umat. Mudah- mudahan Allah mencucurkan rahmat yang berpanjangan ke atas Teungku Syiah Kuala, para guru beliau, terutama sekali Syaikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani dan Mulla Ibrahim al-Kurani, juga ke atas para alim ulama yang berjasa, juga ke atas sekalian para pengikut dan pencinta mereka....aamiin.

Sabtu, Ogos 21, 2021

Ya Amaanal Khaaifiin 2

Satu himpunan berisikan beberapa shalawat dan wirid yang disusun dan dikarang oleh wali besar lagi masyhur dengan gelaran "Rajanya Para Wali" (Sulthanul Awliya`), yang menghidupkan agama (Muhyiddin), Sayyidisy Syaikh `Abdul Qadir al-Jailani qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Diterbit dan disebar oleh salah seorang keturunan beliau, juga seorang mursyid thariqahnya, Dr. Sayyid Syarif Muhammad Fadhil al-Jailani hafizahullahu dengan jodol "ash-Shalawaat wal Awraad".

Sebagaimana resamnya para awliya`, Sidi `Abdul Qadir al-Jailani memiliki sejumlah zikir, wirid dan shalawat yang menjadi pakaian dan amalan beliau. Di antara wirid - wirid tersebut ada satu wirid yang dinamakan sebagai Wirdul Ashri atau Fathul Bashaair. Maka dalam wirid tersebut, Sultan Awliya` Sidi 'Abdul Qadir al-Jailani quddisa sirruhu menggunakan isim yang mulia Ya Amaanal Khaaifiin untuk menyeru kepada Allah ta`ala, Tuhan yang memberikan kedamaian dan keamanan juga keselamatan kepada makhluk - makhluk ciptaanNya. Oleh itu tiadalah syak lagi, bahawa isim ini telah menjadi amalan ulama zaman berzaman. Hanya di zaman kita ini sahaja timbul mereka - mereka, yang mungkin "bahasa Arab"nya terlalu tinggi, mempermasalahkannya. Bagi faqir yang kurang pengetahuan ini, cukuplah rasanya para ulama terdahulu dijadikan panduan dan ikutan. Mudah-mudahan nanti dapatlah bersama dan berpayung dengan mereka di padang Mahsyar..... Allahumma aamiin.

Jumaat, Ogos 20, 2021

Taliban 2.0 - Dr. Abdul Qadir.

Sekadar berkongsi satu klip video seorang ulama  Syria, pensyarah Tafsir & Ulum al-Quran di Universiti Damsyik, Dr. Abdul Qadir al-Husein. Menurut beliau, Taliban Afghanistan (Taliban 2.0) adalah Ahlis Sunnah wal Jama'ah, Hanafi-Maturidi dan sufi bertariqah.