Ahad, Mac 20, 2022

Wong Edan Zaman Edan



Jumaat, Mac 18, 2022

Kelebihan Surah Yaasin

Habib Muhammad bin Ali Khird al-`Alawi yang dikenali sebagai seorang tokoh dan ahli hadis yang mencapai kedudukan al-hafiz dan al-musnid dari Hadhramaut, Yaman, telah menulis dalam karya beliau yang masyhur al-Wasaa-ilusy Syaafi`ah pada halaman 411 sebagai berikut:- Dikatakan sebagai riwayat oleh ahli tafsir, az-Zamakhsyari, pengarang tafsir al-Kasysyaf, bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma berkata: Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hatinya dan hati al-Quran adalah  (surah) Yaasin. Sesiapa yang membaca (surah) Yaasin kerana mengharapkan keredhaan Allah, dia akan mendapat pengampunan dan diberi pahala seumpama membaca al-Quran dua puluh dua (22) kali. Mana - mana orang Islam yang dibacakan di sisinya surah Yaasin ketika turun malaikat maut (untuk mencabut nyawanya yakni ketika nazak), turun berserta setiap huruf daripada surah tersebut sepuluh (10) malaikat yang berdiri di sisinya dan beristighfar untuknya. Malaikat - malaikat tersebut turut menyaksikan dia dimandikan, mengiringinya ke kubur, menshalatinya dan menyaksikan pengkebumiannya. Mana-mana orang Islam yang dibacakan (surah) Yaasin ketika dia menghadapi sakaratul maut, malaikat maut tidak mencabut rohnya sehingga datang malaikat Ridhwan penjaga syurga, membawa minuman daripada minuman syurga untuk diminumnya sedang dia berada di pembaringannya, lalu malaikat maut mencabut rohnya dalam keadaan dia dalam kenyamanan dan dia (akan) tinggal di kuburnya dalam keadaan nyaman. Tiada keperluan lagi baginya untuk minum dari mana - mana haudh para nabi sehingga dia masuk ke syurga dalam keadaan nyaman. Diriwayatkan oleh ats-Tsa'labi daripada hadits Sayyidina Ubay bin Ka`ab.

Allahu ... Allah, tapi jangan lupa bahawa "riwayat" ini bermasalah dan menjadi pertikaian para ulama tentang status dan kedudukannya. Namun sekadar untuk memperikan apa yang dikatakan atau pernah dikatakan mengenai fadhilat dan kelebihan sesuatu surah tidaklah dilarang, bahkan para ulama dan mufassir banyak melakukannya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap huruf yang terkandung dalam al-Quran, adalah cerminan bagi Kalam Allah yang Qadim, yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, yang tiada tara lagi tiada umpama. Oleh itu segala surah al-Quran pasti memiliki rahsia - rahsia yang amat tinggi dan agung, samada yang telah diketahui, maupun yang masih dalam rahsia ilmu Allah yang Maha Agung.

Selanjutnya, faqir kongsikan juga petikan dari sebuah kitab tafsir bagi surah yang berkat ini. Di antara tafsir surah Yaasin yang biasa diajarkan adalah Tafsir Surah Yaasin karangan seorang ulama Turki abad ke-12/13H yang dikenali sebagai Syaikh Hamaami Zadaah rahimahullah. Dikatakan bahawa nama sebenar beliau adalah Syaikh Ismail Dede Effendi yang dilahirkan sekitar tahun 1191H. Beliau berguru kepada sejumlah ulama besar pada zaman beliau dan di antara yang banyak mempengaruhi beliau adalah Syaikh Darwisy Ismail. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang hadis dan ilmu kalam. Beliau juga sangat mencintai kitab Muwaththa` karangan Imam Malik, bahkan kitab ini menjadi kitab wirid beliau yang sering dibaca dan diulang.

Di helaian awal kitab tafsir tersebut, Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan satu "riwayat" tentang kelebihan membaca surah Yaasin untuk orang yang sedang nazak. Syaikh Hamaami Zaadah menukilkan sebagai berikut:- Mana - mana orang Islam, baik lelaki maupun perempuan, jika dibacakan surah Yaasin ketika keduanya menghadapi sakaratul maut, maka akan turun sepuluh (10) malaikat untuk setiap huruf (surah tersebut). Para malaikat tersebut berbaris di hadapan keduanya sambil memohon keampunan. Mereka menyaksikan jenazah mereka ketika dimandi dan kemudian mengiringnya hingga ke kubur."

Begitulah sekelumit "riwayat" tentang kelebihan surah Yaasin yang tercatat dalam karangan ulama kita. Dinukilkan untuk menambahkan lagi semangat kita untuk beriman dan beramal dengan ayat - ayat al-Quran yang mulia. Akhirul kalam, mari sama - sama mendengar perkataan Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi rahimahullah, seorang ulama ahli tafsir kontemporer yang tiada dapat disangkal kealimannya, mengenai surah Yaasin dengan "riwayat" yang hampir sama. Semoga bermanfaat dan banyakkanlah membaca surah Yaasin kerana padanya terdapat khasiat dan keistimewaan yang banyak.

Syaikh Muhammad Mutawalli rahimahullah

Selasa, Mac 15, 2022

Hikmah Sekumpul



Kalam Guru Sekumpul

Rabu, Mac 09, 2022

Ikhtiar Mencegah Babo

Kebiasaan manusia apabila menjelang usia senja akan mengalami berbagai penyakit. Antara penyakit yang mungkin menimpanya adalah penyakit "babo". Babo ni bahasa kampung faqir, bukan babo kat Fathani atau Pantai Timur yang ertinya tok guru pondok. Babo itu dalam bahasa bandarnya adalah nyanyuk atau orang seberang panggil pikun, sementara orang seberang laut yang berkulit cerah panggil dementia. Ada satu amalan yang mudah untuk diamalkan dan
in sya Allah mudah - mudahan mudah juga untuk diistiqamahkan agar dipelihara akal kita sehingga mati adalah sebagaimana yang diriwayat dalam hadits yang mauquf pada Imam Sufyan ats-Tsaury rahimahullah dengan sanad yang dhaif oleh Imam ath-Thabrani.

Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayat dalam "Kitab ad-Du`a" pada halaman 958, riwayat yang ke-354 bahawa Imam Sufyan ats-Tsaury rahimahullah menyatakan sebagai berikut:- Sesiapa yang membaca setiap hari sekali akan ucapan: "la ilaha illa Allah, qabla kulli syai`, la ilaha illa Allah, ba'da kulli syai`, la ilaha illa Allah, yabqa wa yafna kullu syai`, la ilaha illa Allah, laisa kamitslihi syai` (Tiada tuhan yang sebenar-benarnya selain Allah, sebelum setiap sesuatu; Tiada tuhan yang sebenar-benarnya selain Allah, selepas setiap sesuatu; Tiada tuhan yang sebenar-benarnya selain Allah, yang kekal abadi selama - lamanya manakala setiap sesuatu selainNya akan binasa; Tiada tuhan yang sebenar-benarnya selain Allah, yang tiada seumpamaNya sesuatu pun)", (mudah - mudahan) dicukupkan Allah (dipeliharakan Allah) dia dari kekhuatiran, kesedihan, was - was bisikan syaitan dan dipeliharakan akalnya sehingga ke akhir hayatnya."

Semoga dapat kita jadikan amalan sebagai ikhtiar untuk memohon penjagaan dan pemeliharaan Allah di dunia dan di akhirat.




Selasa, Mac 01, 2022

Daruud Taj (Mahkota Shalawat)


Di benua IndoPak, terkenal satu shalawat yang disebut sebagai Daruud Taj atau Tajiyyah. ٍUlama di India Selatan pula menamakannya sebagai Tajus Shalawat yakni Mahkota Shalawat. Untaian shighah shalawat ini dinisbahkan sebahagiannya kepada Imam Fakhrul Wujud, Syaikh Abu Bakar bin Salim rahimahullah. Lafaz shalawat yang masyhur di benua ini mempunyai penambahan yang menjadikannya lebih panjang berbanding shighah Shalawat Taajiyyah bagi Syaikh Abu Bakar bin Salim rahimahullah yang diamalkan oleh para habaib di Yaman. Namun semuanya elok dan baik lagi indah bagi sesiapa yang menghayatinya. Maka mana - mana versi shalawat ini, samada versi panjang IndoPak atau versi Hadhramaut yang lebih ringkas boleh dijadikan amalan dan bacaan, samada istiqamah setiap hari atau sesekali mengikut rasa dan kerinduan kita kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya shalawat yang paling sahih riwayatnya adalah Shalawat Ibrahimiyyah, tetapi shalawat yang terbaik adalah shalawat yang diucapkan dengan penuh kecintaan dan kerinduan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam, betapa pun rupa bentuk dan shighah lafaznya.

Berbalik kepada Daruud Taj atau Tajus Salawaat, almarhum Dr. Thaika Shu`aib Alim, telah berkomentar, sebagaimana tercatat dalam Al Munjiyath pada halaman 486, sebagai berikut: Tajus Salawaat. The following salawaat of the Holy Prophet shallaAllahu `alaihi wa sallam is described as the crown of all salawaat by several Soofi saints. Recital of this daily 7 times morning and evening will bring immense benefits and protections. (Diikuti shighah Daruud Taj versi IndoPak).

Manakala Syaikh Hasan Muhammad Syiddad bin Umar BaUmar dalam karya yang menghimpunkan beberapa faedah dan kaifiat untuk memperolehi mimpi melihat Junjungan Nabi berjodol Kaifiyyatul Wushul menyebut bahawa di antara shalawat yang mujarrab untuk dijadikan wasilah untuk dapat bermimpikan Junjungan Nabi shallAllahu `alaihi wa sallam adalah shalawat yang masyhur bagi Sayyidina Fakhrul Wujud Syaikh Abu Bakar bin Salim nafa`anaAllahu bihi wa bi `ulumihi. Beliau juga menyatakan bahawa tersebut dalam kitab Badrus Sa`adahshalawat ini dibaca 7 kali setiap hari untuk menunaikan hajat.

Dan faqir akhiri dengan menukil tulisan Syaikh Muhammad Sadiq Alawi hafizahullah, seorang ulama yang khumul dan antara khalifa bagi almarhum Habib Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad. Dalam karangan beliau yang berjodol Miftahul Wushul ila baabir Rasul yang diterjemah ke Bahasa Inggeris dengan jodol The Key To Arriving At The Door Of The Messenger, mengenai Shalawat Tajiyyah bagi Syaikh Abu Bakar bin Salim, beliau menulis sebagai berikut:-
“This salutation is famous throughout the world. It was written by Shaykh Abu Bakr bin Salem (R.A) who is buried in Aynat, Hadramawt. He was from among the great Awliyaa of Allah and is known as “Fakhr al Wujud” (The honor of creation). It is enough of a testification of the greatness of his rank to know that this Salutation has achieved an acceptance throughout the world. This salutation is an overflowing spring of blessings and is one of the favorite salutations of all lovers of the Prophet Sall Allahu ‘alaihi wa Aalihi wa Sallam.

Innumerable Awliyaa and Saliheen have adopted this particular salutation as their daily prayer and have recited it in abundance. The benefits of this are so vast they cannot be completely encompassed. Its constant recitation brings the reader purity of heart and a vision of the Prophet Sall Allahu ‘alaihi wa Aalihi wa Sallam. This Salutation increase’s one in sustenance, protects the reader from harms of magic and Jinn as well as removing calamities away. It is a beautiful Salutation short in its length but vast in its benefits.”

Daruud Taj


ash-Shalatut Taajiyyah
(versi Hadhrami)

Isnin, Februari 28, 2022

Allah Tidak Bertempat


Malam ini kita dan ramai umat Islam di seluruh dunia akan memperingati satu mukjizat besar yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lebih 1400 tahun yang lalu, pada malam 27 Rejab, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah diperjalankan pada satu malam tersebut dari Kota Mekah ke Kota Baitul Maqdis, lalu dilanjutkan perjalanan baginda menerobos 7 petala langit sehingga ke Mustawa. Junjungan diperlihatkan kepada beberapa rahsia dan keajaiban termasuklah syurga dan neraka. Namun, jangan pula kita beranggapan bahawa neraka itu bertempat di mana - mana satu langit tersebut. Melihatnya Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam akan neraka ketika dalam perjalanan agung tersebut, bukanlah bererti neraka itu terletak atau bertempat di laluan yang dilalui oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allah Maha Kuasa untuk memperlihatkan apa jua, di mana jua, kepada siapa jua yang Dia kehendaki. Maka begitulah juga jika dikatakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam telah melihat Allah `azza wa jalla dengan mata kepala baginda dalam peristiwa tersebut, maka jangan pula dikatakan Allah `azza wa jalla itu bertempat. Ketika Junjungan melihat Allah, maka itu tempat Junjungan melihat dan bukanlah tempat bagi Zat Allah yang Maha Agung. Kita berpegang dengan akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah bahawa Zat Allah tidak bertempat, Dialah yang menjadikan segala tempat maka Maha Suci dan Terkayalah Dia daripada mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Oleh itu, hindarilah ajaran - ajaran songsang yang menyalahi Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang menyatakan Allah itu bertempat, bahkan mereka sanggup membuat bid`ah dengan mengada-adakan tempat bagi Allah yang  dinamakan sebagai makanul `adami, yang imbas - imbas alam karut hasil khayalan manusia yang dinamakan The Null Realm atau World of Void yang termaktub dalam kitab komik Dragon Ball. Jauhi puak - puak ini walaupun lidah mereka petah berhujjah dan mengaku salafi.

Isnin, Februari 14, 2022

Doa Bulan Rejab

Walaupun sudah hampir pertengahan bulan Rejab, masih ada yang bertanya tentang doa yang biasa dibaca orang ketika menjelang bulan Rejab atau diamalkan sepanjang bulan Rejab. Doa yang sudah masyhur dan diamalkan sejak zaman berzaman dalam masyarakat Islam di Nusantara. Jika pun riwayat doa tersebut dianggap dhaif sekalipun, maka tetap tidak menyalahi syarak untuk kita mengamalkannya. Jangankan doa daripada sumber yang dhaif, doa yang langsung tak bersumberkan sebarang riwayat hadis, yang dikarang sendiri pun tidak bermasalah untuk diamalkan asalkan tidak menyalahi akidah dan hukum. Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu menukilkan dalam kitab al-Adzkar pada halaman 288 sebagai berikut:- Telah kami riwayatkan sebuah hadis yang terkandung dalam Hilyatul Awliya` dengan sanad yang mengandungi perawi yang dhaif, daripada Ziyad an-Numairi daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan bahawasanya Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika masuk bulan Rejab berdoa dengan: "Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab (ini) dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." Kami juga meriwayatkannya dari kitab Ibnus Sunni dengan penambahan, wa Allahu a'lam.
Maka status dhaif riwayat doa ini seharusnya jangan dijadikan isu dan perdebatan, terutama sekali di kalangan masyarakat awam, sehingga merenggangkan ukhuwwah sesama umat dan menjadi saling bermusuhan dek sebab yang terlalu kecil. Oleh itu, tak perlulah diperbesar - besarkan perkara ini. Sesiapa yang hendak mengamalkannya, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, tidaklah menjadi kesalahan, yang jadi kesalahan adalah mencemuh, mengejek dan membid`ahsesatkan pihak yang mengamalkannya.


Berlepas dari isu kedhaifan riwayat doa tersebut, timbul lagi isu apakah Rajab itu dibaca Rajaba atau Rajabin, sebab ada ustaz yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajaba wa Sya'baan" dan ada ustaz lain yang baca "Allahumma baarik lana fi Rajabin wa Sya'baan". Maka poninglah jugak orang awam, ada yang ambil jalan mudah dan bijak, diwaqafkannya sajalah pada kalimah Rajab, Allahumma baarik lana fi Rajab, wa Sya'baan .... Sebenarnya, kedua - dua bacaan tersebut adalah benar dan betul. Jika dibaca Rajaba maka maksudnya adalah Rajab yang tertentu (mu`ayyan), dan jika dibaca Rajabin maka maksudnya adalah Rajab secara umum. Hal ini telah dijelaskan dalam kitab - kitab nahu, antaranya Hasyiah al-Haamidi `alal Kafrawi dan Hasyiah Khudhari `ala Ibni `Aqil, juz 1, halaman 718. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Hasyiah al-Haamidi
(pada hamisy Kafrawi)

Hasyiah Khudhari