Rabu, September 11, 2024

Shalawat Munjiyyah

Shalawat Munjiyyah adalah shalawat yang diajarkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpi seorang yang shalih bernama Syaikh Musa adh-Dhahir. Kisah mimpi penerimaan Shalawat Munjiyyah ini telah masyhur dan banyak dinukilkan dalam kitab - kitab ulama kita. Almarhum Datuk Abdul Kadir Hasan dalam fatwa beliau menyebut, antara lain, sebagai berikut:- ... "Bahawa Shalawat Munjiyyah ini sesungguhnya terbilang daripada shalawat - shalawat yang masyhur yang banyak diamalkan oleh ulama - ulama". Maka tidak dapat dinafikan kemasyhuran shalawat ini, bahkan rata - rata tok - tok imam, lebai - lebai dan alim ulama kita sentiasa memulakan doa mereka dengan shalawat yang sangat berkat ini. Shalawat ini sebenarnya adalah doa bertawassul dengan amal shalih iaitu amalan shalawat yang disyariatkan. Maka tidak ada sebab shalawat ini dihukumkan bid`ah sesat, kerana bershalawat itu disyariatkan, berdoa disyariatkan dan bertawassul dengan amal shalih pun disyariatkan, sebagaimana dikisahkan dalam hadis shahih tentang tiga orang yang terperangkap dalam gua lalu mereka berdoa mohon kelepasan bertawassul dengan amal - amal shalih yang pernah mereka lakukan. Dan ketahuilah, bertawassul dengan amal shalih, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya hatta Wahabi.

Tuan Guru Haji Chik rahimahullah, ulama Kedah yang terbilang alim sehingga digelar Raja Fekah Kedah, dalam Luqthatul Awrad menulis tentang Shalawat Munjiyyah sebagai berikut:- .... Shalawat Munjiyyah adalah faedahnya hendaklah bacanya tiap - tiap hari sebelas (11) kali dan sekurang - kurangnya tiga (3) kali, nescaya lepas ia daripada sekalian huru - hara dan kebinasaan dan ditunai dengan dia akan sekalian hajat dan disuci dengan dia daripada sekalian kejahatan dan diangkat dengan dia akan setinggi - tinggi darjat dan disampai dengan dia akan sehabis - habis sampai segala kebajikan di masa hidup dan selepas mati. Boleh jadi tok keramat dibaca tiap - tiap hari seribu (1000) kali..... 

Maka setidak - tidaknya, setiap selepas shalat mulakanlah doa kalian dengan Shalawat Munjiyyah atau jika kesuntukan waktu, padakanlah doanya dengan shalawat yang berkat ini kerana dalamnya ada permohonan agar diampunkan segala dosa kita, samada besar atau kecil. ditunaikan segala hajat dan disampaikan kita ke kemuncak daripada segala kebajikan, kebaikan dan kesenangan ketika masih hidup di dunia dan selepas kematian. Di bawah ini antara contoh doa ringkas untuk dibaca selepas shalat fardhu sebagaimana dinukil oleh almarhum Sayyid Ahmad bin Abdul Rahman BaHusain dalam Majmu`atun Mubarakah, cuma kalau boleh ditambah dan jangan ditinggal doa untuk dua ibubapa walaupun sekadar: "Allahummagh fir liy wa li waalidayya / Allahummagh fir lanaa wa li waalidiina".

Khamis, September 05, 2024

Shalawat Syifa` - Sidi Jilani

Tidak dapat dinafikan, bahawa di antara shalawat yang masyhur menjadi amalan umat Islam sedunia di zaman ini adalah Shalawat Thib @ Shalawat Syifa. Faqir kurang periksa tentang asal usul shalawat ini, ada yang menisbahkan kepada Sidi Ahmad ad-Dardir al-Maliki dan ada yang menisbahkan kepada ulama lain yang terdahulu. Dr Thaika Shu`aib Alim rahimahullah, guru mursyid bagi Thariqah `Arusiyyah Qadiriyyah, menyatakan bahawa Shalawat Syifa` adalah antara shalawat yang dibaca oleh Sulthanul Awliya Syaikh Abdul Qadir al-Jilani. Beliau mencatat dalam al-Munjiyath pada halaman 99, Shalawat Syifa` sebagai: The Salawat To Strengthen Body And Soul.The Salawat recited by Qutbul Aqtab Muhyiddeen Abdul Qadir Jeelani radhiyaAllahu `anhu.

Telah masyhur kisah dan pengalaman yang telah dialami oleh ramai orang tentang keberkatan Shalawat Syifa`, terutama sekali dalam urusan pengobatan dan penyembuhan pelbagai penyakit. Di Malaysia, hanya puak - puak di Perlis dan yang sewaktu dengannya sahaja yang bermasalah dengan amalan ini, sedangkan para ulama lain, yang lebih alim hatta di Mesir dan Timur Tengah tidak pun ada apa - apa masalah. Apakah pihak di Perlis merasakan diri mereka lebih alim berbanding dengan para ulama lain? Tapi apa - apa pun, biarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu - labunya. Sebagai penutup, kita dengar kisah yang disampaikan oleh Maulana Syaikh Prof. Dr. Yusri Rusydi Sayyid Jabr al-Hasani, ulama Azhar dan pakar bedah, tentang kisah keberkatan Shalawat Syifa`, mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Isnin, September 02, 2024

Ibnu Taimiyyah Bukan Syaikhul Islam

Syaikh Ibnu Taimiyyah adalah seorang tokoh yang amat kontroversial. Sebahagian menobatkan beliau sebagai seorang ulama unggul, bahkan yang terunggul, sehingga seolah - olah tidak ada ulama lain lagi untuk dijadikan modal dan dalil dalam mendirikan hujjah (geng yang sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; sikit - sikit, Ibnu Taimiyyah; macam dah tak ada lagi ulama selain Ibnu Taimiyyah). Kelompok ini boleh kita namakan sebagai pentaksub Ibnu Taimiyyah. Berseberangan dengan kelompok ini, ada sekumpulan yang amat membenci Ibnu Taimiyyah sehingga mengkafirkan beliau. Di antara dua kelompok ini, ada golongan yang sederhana, tidak me"maksum"kan Ibnu Taimiyyah dan tidak pula mengkafirkan beliau. Mereka berpendapat bahawa Ibnu Taimiyyah punya pandangan yang benar selari dengan pandangan ulama lain, namun ada juga pendapat beliau yang keliru, tersasar bahkan tersesat dari kebenaran, samada dalam bab - bab akidah, maupun bab - bab fiqh. Faqir lebih cenderung untuk bersederhana, menganggap Ibnu Taimiyyah sebagai salah seorang daripada jutaan ulama umat ini dan bukannya satu - satunya ulama umat Muhammad. Ibnu Taimiyyah ilmunya jauh tinggi berbandingkan kita, namun ramai lagi ulama yang keilmuannya jauh di atas Ibnu Taimiyyah. Dan tidaklah berarti Ibnu Taimiyyah sentiasa atas kebenaran kerana telah dibuktikan oleh para ulama bahawa ada pandangan beliau yang keliru, tersasar dan tersesat, sehingga Imam Ibnu Hajar al-Haitami menghukumnya Ibnu Taimiyyah sebagai seorang yang sesat menyesatkan. Namun perlu diketahui bahawa bukan semua kesesatan itu dihukumkan sebagai kekafiran atau mengeluarkan seseorang daripada menjadi ahli qiblat. Ya Ibnu Taimiyyah keliru, sesat, namun tidak sampai menjadi kafir. Syaikh Dr. Sa`id Abdul Lathif Foudah, seorang ulama semasa, pakar akidah, yang banyak mengkaji dan memberikan kritikan - kritikan pedas tahap gaban terhadap Ibnu Taimiyyah sehingga menghukumkan Ibnu Taimiyyah sesat bukan Ahlus Sunnah, namun beliau tidak pernah mengkafirkan Ibnu Taimiyyah.

Dalam bidang fiqh pula, terutama sekali dalam Mazhab Hanbali yang dianuti Ibnu Taimiyyah, beliau bukanlah tonggak atau rujukan utama mazhab tersebut. Berbeza dengan datuknya, Imam al-`Allaamah Abul Barakat Majduddin Ibnu Taimiyyah. Orang - orang sering keliru sehingga menyangka bahawa tokoh penting Mazhab Hanbali itu Ibnu Taimiyyah yang kontroversial, yang namanya Ahmad bin Abdul Halim dengan gelaran Taqiyuddin. Sedangkan yang sebenarnya tokoh penting Mazhab Hanbali adalah datuk kepada Taqiyyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah yang bernama Abdus Salam bin Abdullah yang digelar Majduddin Ibnu Taimiyyah. Majdudin Ibnu Taimiyyah atau nama sebenarnya adalah Abul Barakat Abdus Salam bin Abdullah Ibnu Taimiyyah adalah ayah kepada Syihabuddin Abdul Halim Ibnu Taimiyyah yang merupakan ayah kepada Taqiyuddin Ahmad Ibnu Taimiyyah. Majduddin Ibnu Taimiyyah inilah pengarang kitab al-Muharrar fil Fiqh antara kitab muktabar rujukan penting bagi fiqh Mazhab Hanbali. Di kalangan ulama mutaakhir Mazhab Hanbali, Majduddin Ibnu Taimiyyah dan Mawfiquddin Ibnu Qudamah diberi jolokan sebagai as-Syaikhan, sebagai pengiktirafan kepada keilmuan dan ketokohan beliau berdua dalam Mazhab Hanbali. Diharap setelah ini kita dapat membedakan Ibnu Taimiyyah (Majduddin / datuk) yang merupakan rujukan Mazhab Hanbali dengan Ibnu Taimiyyah (Taqiyuddin / cucu) yang merupakan tokoh kontroversial yang kadang - kadang mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan yang dimuktamadkan dalam fiqh Hanbali.

Berbalik kepada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah, maka jika ada yang menobatkan beliau sebagai Syaikhul Islam, maka ingat bahawa bukan seorang sahaja yang diiktiraf sebagai Syaikhul Islam. Manakala sesiapa yang tidak bersetuju dengan gelar tersebut diberikan kepada Ibnu Taimiyyah, maka mereka juga berhak untuk itu. Apa yang penting jangan terlampau taksub dengan Ibnu Taimiyyah dan jangan pula terlalu membencinya. Apa - apa pun kita semua harus akur kepada fakta bahawa Syaikh Ibnu Taimiyyah hidup di luar era salaf, maka beliau bukanlah ulama era salaf. Jika dikatakan beliau mewarisi ilmu dan manhaj para ulama salaf, maka semua ulama kita yang muktabar dari empat mazhab yang besar adalah pewaris ilmu dan manhaj salaf, bukannya Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya sahaja. Ilmu dan manhaj salaf itu lebih luas berbanding Ibnu Taimiyyah dan para pengikutnya. Maka tidaklah dapat dikatakan bahawa Ibnu Taimiyyah mencerminkan 100% ajaran atau pegangan ulama Salaf kerana ada pandangannya yang berseberangan dengan mereka. Maka Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah adalah seorang yang mempunyai pandangan yang kontroversial, samada dalam bidang aqidah maupun fiqh, untuk menisbahkan semua pandangan beliau sebagai 100% ajaran salaf adalah tidak tepat. Perkara ini telah banyak dikaji dan ditulis oleh para ulama dahulu dan kontemporari seperti karangan - karangan Dr. Syaikh Sa`id Foudah antaranya al-Kasyifush Shaghir, thesis Universiti al-Azhar yang ditulis Syaikh Mansur Muhammad `Awais dengan jodol Ibnu Taimiyyah Laisa Salafiyan, juga kepada penjelasan Syaikhul Azhar, Dr. Ahmad Muhammad Thayyib yang turut merekomendasi thesis tersebut. Maka, tidaklah kita nafikan keilmuan yang ada pada Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah dan sumbangan - sumbangan beliau, sebagaimana kita tidak menafikan ketokohan Imam Zamakhsyari dan sumbangan - sumbangan beliau. Semoga Allah tetapkan kita istiqamah atas kebenaran sebagaimana dijalani oleh para ulama khalaf yang mewarisi jalannya para ulama salaf, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Pandangan Baba Li hafizahullah

Jumaat, Ogos 30, 2024

Shalawat Nariyyah - KH Uzairon

Menurut almarhum Kiyai Haji Uzairon, Pesantren al-Fatah, Temboro, seseorang yang membaca Shalawat Nariyyah, di antara kelebihannya, seolah - olah dia bershalawat pada setiap waktu, setiap masa dan setiap nafas, kerana rahsia yang terkandung pada lafaz di penghujung shalawat tersebut:- "fi kulli lamhatin wa nafasin", yang merujuk kepada harapan agar shalawat dan salam yang sempurna (shalatan kaamilatan wa sallim salaaman taaman) dilimpahkan ke hadhrat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada setiap kelipan mata dan hembusan nafas. Maka itulah harapan dan permohonan kita agar shalawat yang kita haturkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam berterusan dan berkekalan sebagaimana lafaz yang diucapkan tadi.

Sekadar informasi, kalimah "fi kulli lamhatin wa nafasin bi `adadi kulli ma'lumin lak", adalah tambahan yang dilakukan oleh sebahagian ulama yang datang selepas Syaikh Ibrahim at-Tazi rahimahullah, penyusun Shalawat Nariyyah yang asal. Syaikh Muhammad Haqqi an-Nazili rahimahullah dalam Khazinatul Asrar menyatakan bahawa beliau mendapat ijazah Shalawat Nariyyah dengan penambahan kalimah - kalimah tersebut daripada gurunya yang bernama Syaikh Muhammad as-Sanusi rahimahullah di Jabal Abi Qubais, Mekah. Semoga bermanfaat dan tetaplah bershalawat dengan Shalawat Nariyyah walaupun hanya sekali selepas shalat, walau karihal Wahabiyyun.

KH Uzairon Thoifur Abdillah

Jumaat, Ogos 23, 2024

Shalawat Sa`adah 100 Kali

Ada kaedah yang masyhur menyatakan: "Sesuatu yang tidak dapat diambil atau diamalkan semua, janganlah ditinggalkan semua". Begitulah panduan yang disampaikan oleh para ulama kita. Di antara wiridan shalawat yang masyhur diamalkan setiap hari Jumaat adalah pembacaan Shalawat Sa`adah sebanyak 1000 kali. Namun, jika jumlah tersebut dirasakan terlalu banyak, maka janganlah ditinggalkan terus, bacalah sekadar mampu. In sya Allah, ada manfaat dan keberkatannya.

Seorang ulama bermazhab Syafie di Mekah, khatib Masjidil Haram, keturunan Syatha yang terkenal alim, Syaikh Muhammad Sa`id bin Utsman bin Muhammad Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam tulisan beliau Risalah fi fadhilati Yawmil Jum`ah, yang ada terjemahannya dalam Bahasa Melayu oleh Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi rahimahullah, mencatatkan sebagai berikut:- ....(Dan antaranya lagi) adalah apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian wali, bahawa sesiapa yang dawam (sentiasa) membaca Shalawat as-Sa`adah setiap hari Jumaat 100 atau 1000 kali, (mudah-mudahan) dia menjadi orang yang berbahagia di dunia dan akhirat.....

Khamis, Ogos 15, 2024

Berkat Shalawat Nariyyah

Pesantren al-Fatah, Temboro, terkenal sebagai pesantren yang berfahaman Asy`ariyah Ahlus Sunnah wal Jama`ah, bermazhab Syafie, bertasawwuf dan berthariqat, terutama Thariqat Naqsyabandiyyah, sebagaimana lazim pesantren - pesantren Salaf (baca: Aswaja) di Pulau Jawa. Selain daripada itu, ianya juga masyhur dengan program Tahfidzul Quran yang telah melahirkan ramai huffadz dan program dakwah melalui Jemaah Tabligh. Pesantren ini juga sohor dengan perlaksanaan Shalat Tarawih selama 8 jam, dengan al-Quran dikhatamkan 30 juz setiap malam Ramadhan dalam 20 rakaat Shalat Tarawih. Setelah kewafatan KH Uzairon, maka pesantren ini diasuh oleh adik beliau KH Ubaidillah Ahror.

Shalawat Tafrijiyyah atau masyhur juga disebut sebagai Shalawat Nariyyah sudah tidak asing lagi menjadi amalan dan wiridan umat ini. Maka, yang menolak atau mensyirikkan amalan ini tidak hanya berhadapan dengan seorang dua umat Muhammad tetapi ribuan bahkan jutaan umat yang sentiasa membasahi lidah - lidah mereka dengan melantunkan Shalawat Tafrijiyyah @ Shalawat Nariyyah ini. Adakah kita sanggup berhadapan dengan jutaan umat ini ketika dihisab? Dinamakan shalawat ini sebagai Shalawat Nariyyah adalah kerana, berdasarkan tajribah dan pengalaman, shalawat ini menjadi sebab bagi cepatnya sesuatu hajat dikabulkan Allah, sebagaimana cepatnya api membakar atau menyambar kayu api. Maka atas dasar itu dinamakan shalawat ini Shalawat Nariyyah. Sidi Muhammad Haqqi an-Nazili menyebut pada halaman 202 kitabnya yang masyhur, Khazinatul Asrar sebagai berikut: ...Penduduk Maghribi menamakan shalawat ini sebagai Shalawat Nariyyah kerana mereka, jika menginginkan sesuatu atau menolak sesuatu yang menakutkan, akan berkumpul dalam satu majlis dan membacakan Shalawat Nariyyah sebanyak 4444 kali, maka keinginan mereka akan dikabulkan dengan  cepat seperti api (yakni seperti cepatnya api membakar atau menyambar kayu api).

Selanjutnya, faqir kongsi cerita yang disampaikan oleh KH Ubaidillah terkait dengan keberkatan Shalawat Tafrijiyyah @ Nariyyah. Dikisahkan bahawa di antara sebab kesuksesan Pesantren al-Fatah adalah dari keberkatan mengamalkan Shalawat Tafrijiyyah. Bahkan amalan shalawat ini dimasukkan dalam himpunan Ayatul Hirzi yang menjadi wiridan atau bacaan rutin para masyaikh dan santri al-Fatah setiap pagi dan petang. Berikut kisahnya yang disampaikan oleh KH Ubaidillah Ahror hafizahullah:-

Isnin, Ogos 12, 2024

Lebih Berwewenang

Habib Abu Bakar Aththas al-Habsyi menulis dalam Tadzkirun Naas halaman 234, kisah pertemuan dalam mimpi antara Quthubul Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas dengan sebahagian orang shalih yang telah berpulang ke rahmatullah menjadi ahli barzakh. Begini kisahnya: ...Aku (yakni Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas) telah melihat (yakni bermimpi) akan sebahagian shalihin yang telah menjadi penghuni alam barzakh. Aku bertanya kepadanya: "Bahawasanya kami mengingati kamu dan mendoakan kamu dan mengucapkan salam kepada kamu secara umum, apakah yang sedemikian itu sampai kepada kamu?" Maka dia menjawab: "Bahkan sampai, namun kami akan lebih berwewenang atau berhak (atas apa yang kamu hadiahkan) jika kamu menyebut / mengingati setiap orang daripada kami dengan namanya masing - masing."

Oleh itu, selain berdoa dan bertahlil secara umum bagi sekalian muslimin, maka eloklah jika dikhususkan juga atas nama mereka - mereka yang istimewa kepada kita, agar hadiah daripada kita disampaikan secara khusus kepada yang dinamakan sehingga mereka tambah senang dan gembira mendapat hadiah yang ditujukan khusus buat mereka dan atas nama mereka secara pribadi. Begitulah juga jika kita menziarahi makam dan kubur mereka, selain salam kepada umum ahli - ahli permakaman tersebut, khususkan juga salam kepada si empunya kubur yang kita ziarahi. Makanya, Syaikhuna Khalil mengajar ucapan - ucapan salam yang umum dan khusus kepada setiap kubur kerabat yang kita ziarahi, dari kubur ayah dan ibu sehinggalah ziarah ke kubur suami atau isteri, sebagaimana tercatat dalam risalah at-Tahlil terbitan Lujnah at-Turats al-`Ilmi li Syaikhina Muhammad Khalil. Semoga ikhlas dan bermanfaat.