Selasa, Mei 24, 2011

Ya Amaanal Khaaifin

Di atas adalah bentuk doa "Ya Amaanal Khaaifiin" yang biasa diamalkan orang kita. Ianya ese ambil dari himpunan "`Aziizul Manaali wa Fathu Baabil Wishaal" yang berisikan antara lain, Ratib al-`Aththas, yang dihimpun oleh al-`Alim KH Fathullah Harun rahimahUllah. Beliau meletakkan doa ini selepas doa ratib yang masyhur tersebut. Biasanya orang-orang kat tempat kami menjadikan doa ini sebagai doa penutup setelah sembahyang fardhu dan sebagainya. Tiada sesiapa yang menyanggah amalan berdoa dan menyeru Allah dengan panggilan "Ya Amaanal Khaaifiin" tersebut di tempat kita ini, sehinggalah sekitar tahun 2003 di mana satu polemik mengenainya dicetuskan oleh seseorang yang mengaku bergurukan kepada Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Mandili yang kononnya menyatakan bahawa doa tersebut tidak boleh diamalkan kerana ianya berasal daripada doa kaum Yahudi yang memohon keselamatan daripada Haman. Mujur juga polemik tersebut cepat dipadamkan oleh para ulama kita. Bahkan pihak Mufti Kerajaan Johor telah memutuskan mengenai doa tersebut pada 26 Rejab 1424H bersamaan 23 September 2003, yang antara lainnya menyebut:-

  • Kita tidak dilarang berdoa dengan karangan kita sendiri apatah lagi doa yang dikarang dan diamalkan oleh ulama`, selagi mana kalimah / perkataan doa tersebut tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam, juga dengan adab-adab berdoa.
  • Doa يا أمان الخائفين boleh dibaca kerana doa tersebut menyeru dan memohon kepada Allah S.W.T, dan beramal dengan doa tersebut tidak menjejaskan akidah Islamiah.
Sungguhpun begitu, nampaknya ada lagi segelintir yang masih ingin memunculkan semula polemik tersebut sebagaimana berlaku di tempat ese. Ada ustaz berkelulusan Timur Tengah yang meng"haram"kan beramal dengan doa tersebut. Ese idaklah hendak menafikan hak sang ustaz untuk beramal dengan pemahamannya mengenai nama-nama Allah yang mungkin bagi dirinya adalah perkara tauqifiyyah yang terhenti atas nash dan dalil. Tetapi adalah tidak wajar jika pemahaman tersebut hendak dipaksakan ke atas pihak lain yang memiliki pandangan lain yang juga dii'tibar. Tambah malang lagi apabila cerita dongeng yang kononnya doa tersebut berasal daripada Yahudi ditimbulkan lagi, lalu dituduhlah bahawa mereka-mereka yang mengamalkan doa tersebut sebagai memohon kepada Haman dan seumpamanya daripada segala tohmahan yang keji lagi dusta.

Jika kita telusuri khazanah para ulama silam yang muktabar, pasti kita akan dapati bahawa seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" telah digunakan dalam karya-karya mereka. Antaranya yang mudah kita lihat dan luas penyebarannya adalah karya yang berisikan wirid yang dihimpun oleh Imam Mulla `Ali al-Qari bin Sultan Muhammad al-Hirawi al-Makki `alaihi rahmatul Bari (wafat tahun 1014H), seorang ulama besar yang menguasai berbagai disiplin ilmu Islam termasuklah ilmu hadits. Dalam himpunan wirid beliau tersebut yang masyhur dengan nama "al-Hizbul A'dhzam" pada Manzil yang ke-7, bacaan hari Jumaat, beliau menganjurkan dibaca sholawat yang berbunyi:-

Kan jelas dalam sholawat tersebut digunakan seruan "Ya Amaanal Khaaifiin" bagi Allah SWT. Siapa yang mengamalkannya, bukan hanya Mulla `Ali al-Qari tetapi ramai lagi ulama kita kerana "Hizbul A'dhzam" adalah antara amalan wirid yang telah tersebar ke segenap penjuru dunia Islam. Ulama kita di Nusantara juga ramai yang telah menerima dan mengamalkan "Hizbul A`dhzam" tersebut. Antaranya adalah Syaikh `Abdullah Fahim @ Syaikh `Abdullah bin Syaikh Ibrahim al-Falfalani al-Jawi yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad Amin Ridhwan yang menerimanya daripada Syaikh Abdul Ghani an-Naqsyabandi yang menerimanya daripada Syaikh Isma`il ar-Rumi al-Madani yang menerimanya daripada Syaikh Shaleh al-Fulani yang menerimanya daripada Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Sunnah daripada Mawlay asy-Syarif Syaikh Muhammad bin `Abdullah al-Wulati yang menerimanya daripada Syaikh `Abdul Qadir ath-Thabari yang menerimanya daripada Syaikh al-`Alim al-`Allamah Mulla `Ali al-Qari al-Hirawi rahimahumUllah. Jika sahaja amalan tersebut salah dan menyalahi ajaran Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pasti para ulama ini akan bangkit membantah dan tidaklah mereka memperturunkannya kepada para murid mereka.

Oleh itu, amat keji dongeng yang menisbahkan penggunaan "Ya Amaanal Khaaifiin" kepada Yahudi. Kenapa mereka tergamak membuat kisah-kisah dongeng tersebut ? Tidakkah mereka tahu akibatnya? Tergamakkah mereka menuduh para ulama kita seperti Mulla `Ali al-Qari al-Hanafi tersebut sebagai tidak memahami persoalan dan perbahasan mengenai nama-nama Allah yang mulia dan penggunaan serta kaedah Bahasa Arab. Adakah mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang faham akan Islam berbanding para ulama kita ? Allahu ... Allah...... moga diberi tawfiq dan hidayah.

Ahad, Mei 15, 2011

Habib Kuncung

Beliau adalah al-Habib Ahmad bin Alwi al-Haddad, dilahirkan di Kota Ghurfah, Tarim, Hadhramaut tanggal 26 Sya'baan 1254H. Selain ayahandanya, guru-guru beliau, antaranya, adalah Habib `Ali bin Husain al-Hadar, Habib `Abdur Rahman bin `Abdullah al-Habsyi dan Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Athtas (Habib Keramat Empang, Bogor). Oleh gurunya, Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Aththas, beliau dipanggil dengan panggilan "Habib Kuncung" kerana kopiah kuncung yang selalu dipakainya. Maka terkenallah beliau dengan gelaran tersebut.

Habib Kuncung amat mencintai para guru beliau. Dengan Habib `Abdullah Keramat Empang, beliau memiliki hubungan yang cukup akrab bak anak dengan ayah. Bahkan di mana pun ada Habib `Abdullah, pasti di situ ada Habib Kuncung. Hubungan ini berterusan sehinggalah gurunya ini wafat. Habib Kuncung pada asalnya menjalankan perniagaan dan berjaya menjadi seorang pedagang yang berjaya sehingga memiliki harta di Singapura. Kemudiannya, beliau lebih suka menjalani hidup dengan berkelana di bumi Allah. Beliau terkenal sebagai seorang wali ahlud darkah yang dianugerahkan dengan berbagai karamah yang khawariqul adah. Di antara perkara yang ganjil yang sering berlaku adalah beliau sering muncul dengan tak semena-menanya dalam majlis-majlis di mana nama beliau disebut. Dalam majlis-majlis ulama, beliau sering diminta untuk menjadi pembaca kitab-kitab salaf kerana beliau memiliki suara yang lantang, menguasai bahasa Arab dan berilmu tinggi. Sungguhpun demikian, Habib Kuncung sentiasa bersikap tawadhu` dan khumul. Sebagaimana beliau muncul dalam sesuatu majlis, maka begitulah juga beliau menghilangkan dirinya dengan tiba-tiba dari majlis tersebut tanpa disedari orang. Itulah antara sikap beliau yang sentiasa menghindarkan diri dari kemasyhuran.

Habib Kuncung rahimahUllah meninggalkan dunia yang fana ini pada 29 Sya'baan 1345H dan dimakamkan di pemakaman keluarga al-Haddad, Kalibata, Jakarta Selatan. Makam beliau sehingga kini masih tetap diziarahi ramai... al-Fatihah.

****************************
Makam Habib Kuncung


Sabtu, Mei 14, 2011

Keutamaan Ahli Ilmu


Ulama yang haq itu adanya
Disifatkan oleh Junjungan SAW sebagai pewaris baginda.
Telah masyhur akan sabdaan Baginda mengenainya.
Oleh itu, carilah kamu wahai saudara
Carilah akan pewaris - pewaris baginda

Pabila berjumpa
Duduklah kamu besertanya
Sambil menghirup dan menikmati ilmu dan akhlaknya
Baik yang masih hidup bernyawa di dunia fana
Dengan hadir majlis-majlis mereka
Menuntut dan menadah di hadapan mereka

Bagi yang telah berpindah ke alam baqa
Bersamalah mereka dengan kecintaanmu sentiasa
Telaah dan kaji tinggalan mereka
Berupa kitab karangan, makalah, risalah juga
Jangan jemu dan jangan leka daripadanya

Antara keutamaannya ulama
Sebagai dinyata ulama tabi`in yang tiada tara
Imam Hasan al-Bashri atasnya rahmat Tuhan semesta
Dipungut dari karya pemuka ulama
Habib 'Abdur Rahman mufti bangsa al-Masyhur ternama
Kitab cemerlang "Bughyatul Mustarsyidin" rujukan utama

Goresan pena orang alim itu adanya
Adalahlah ia tasbih umpamanya
Mencatat ilmu juga berfikir mengenainya
Adalah ia suatu ibadah utama
Tinta yang digunakan untuk mencatat ilmunya
Diumpamakan dengan darahnya para syuhada
Pabila dibangkitkan ia dari kuburnya
Takjub segala makhluk memandangnya
Dengan anbiya kan ia dihimpunkan bersama

Itulah antara kelebihan alim ulama
Oleh itu jadikanlah dirimu alim akan agama
Jangan hanya tahukan dunia
Rakus merebutnya tak tentu masa
Ilmu agama jadi dialpa
Akhirnya terpinggir di almari sahaja

Tuntut telaah mengaji janganlah lupa
Juga jadikan amalan jangan dileka
Biar tergolong kita dalam himpunan pencinta ilmu dan ulama
Sungguh seseorang itu akan bersama
Sesiapa yang menjadi kecintaannya.

Isnin, Mei 09, 2011

Hukum Menggantung Foto

Menggantung gambar-gambar foto adalah satu kelaziman dalam masyarakat kita. Barang mana tempat kita pergi, baik pejabat, sekolah maupun rumah kediaman, kita akan melihat foto-foto digantung atau diletak di sana sini, baik foto para pemimpin negara atau foto-foto ahli keluarga. Jadi perbuatan menggantungkan gambar-gambar fotografi ini telah diterima oleh masyarakat kita, tanpa menafikan wujudnya perselisihan pendapat mengenainya. Apa yang zahir bahawa kebanyakan umat Islam di negara ini menerima pendapat yang mengharuskan gambar-gambar fotografi yang munasabah dan yang tidak menimbulkan fitnah. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak akan gambar-gambar fotografi nampaknya tidak diikuti oleh masyarakat kita.

Di antara ulama yang memfatwakan keharusan memotret atau merakam gambar-gambar fotografi adalah mantan mufti Mesir, al-'Alim al-'Allaamah Syaikh Muhammad Bakhit al-Muthi`ie rahimahUllah dan pandangan beliau ini diutarakannya dalam karyanya berjodol "al-Jawaabul Kaafi fi ibahaatit tashwiiril futughafi." Fatwa beliau juga diikuti oleh ramai ulama terbilang dahulu dan sekarang termasuklah Dr. Yusuf al-Qardhawi hafizahUllah. Sebaliknya, fatwa yang mengharamkannya pula juga didukung oleh sekelompok ulama dari berbagai aliran mazhab, baik dari benua kecil IndoPak maupun dari Timur Tengah. Setiap pihak mempunyai dalil dan hujjah masing-masing.

Oleh itu jika dihukumkan gambar foto itu harus dan bukannya haram, maka menggantungkannya pun diharuskan pada hukum asal. Namun jika ianya digantung untuk dipuja - umpamanya:- gantung pastu letak kalung bunga pastu kasi colok pastu mengadap simayang - pasti tiada kesangsian pada kejinya perbuatan tersebut dan haramnya, bahkan suatu kesyirikan atau yang menjurus kepada syirik. Namun kalau semata-mata menggantung, bukan dengan niat memuja atau memuliakannya, sebab yang menggantungnya itu orang Islam yang beriman, yang tidak sewajarnya kita berprasangka buruk kepadanya, kenapa harus ada prasangka jahat dalam benak kita untuk menuduh bahawa saudara kita yang beriman ini memuja gambar???? Jika begitu, apakah harus kita berprasangka bahawa setiap mukmin yang menggantung gambar pemimpin, baik pemimpin negara maupun parti, akan dianggap sebagai memuja-muja mereka melebihi Allah dan rasulNya? Sebenarnya, ia terpulanglah dengan niat dan tujuan masing-masing, jika baik niatnya maka baiklah balasannya dan jika jahat maka jahatlah pula jadinya, dengan mengambilkira keadaan foto tersebut juga.

Shohibus Samahah, Dr. 'Ali Jum`ah hafizahUllah, mufti Mesir ditanyai mengenai hukum bagi seseorang menggantung foto ayah ibunya yang sudah wafat di tempat masuk apartment kediamannya agar sesiapa memasuki kediamannya dan melihat gambar tersebut akan mendoakan kedua mereka. Untuk melihat kepada pertanyaan dan fatwa tersebut silalah layari Darul Ifta` Mishriyyah di mana ianya telah dijawab oleh Shahibus Samahah Mufti dengan:-
Link
Tidak mengapa (yakni HARUS) hukumnya mengedar gambar-gambar fotografi atau menggantungkannya, samada gambar manusia maupun haiwan. Ini adalah kerana gambar fotografi hanyalah suatu upaya penahanan atau perakaman imej (yakni imej sesuatu itu ditangkap atau hanya dirakam dengan sejenis alat seperti kamera umpamanya). Maka tidaklah ada padanya usaha untuk menyaingi penciptaan Allah yang mana warid amaran bagi orang yang membuat lukisan (yakni imej yang ditahan atau dirakam itu tetap imej ciptaan Allah dan bukannya sesuatu yang dibuat oleh seseorang. Maka tidak timbul rekayasa si pelukis untuk mencipta sesuatu seolah-olah hendak menyaingi ciptaan Allah SWT). Ini adalah apabila foto tersebut bukannya foto bogel atau foto yang boleh menimbulkan fitnah. Yang dimaksudkan dengan "tashwir @ membuat gambar" yang diancam dalam hadits adalah pembuatan patung-patung yang sempurna bentuknya, di mana terdapat padanya upaya untuk seolah-olah menyaingi ciptaan Allah ta`ala. Oleh itu merakam gambar secara fotografi walaupun juga dinamakan sebagai "tashwir" tidaklah haram kerana tidak wujud `illah tersebut padanya dan sesuatu hukum itu bersama dengan illahnya sama ada wujud atau tidak. Merakam gambar fotografi pada hakikatnya hanyalah penahanan @ rakaman imej dan ianya tidaklah dinamakan sebagai "tashwir" melainkan secara majaz sahaja. Ketetapan bagi sesuatu hukum adalah berdasarkan kepada yang dinamakan dan bukannya pada namanya.

Dibina atas yang sedemikian dan sebagaimana yang ditanya, maka sesungguhnya perbuatan menggantung foto ayah dan ibumu tersebut menurut Hukum Syarak adalah HARUS kerana tujuan yang murni tersebut selagi mana foto ibumu itu layak dan sopan (yakni tidak mendedahkan aurat). Tidak menjadi masalah sama ada foto tersebut, foto imej yang sempurna ataupun tidak. Yang sedemikian itu bukanlah sesuatu yang diharamkan, jadi ianya tidaklah sebagaimana dikhabarkan sebahagian orang kepadamu.
Mudah-mudahan kita dapat faedah daripada fatwa Shohibus Samahah Mufti hafizahUllah. Kepada yang merasakan ianya tidak sebagaimana difatwakan, maka mereka berhak dengan pendapat mereka sebagaimana kita juga berhak untuk mengikut pendapat mana yang hendak kita jadikan pegangan kerana persoalan ini hanyalah berkaitan isu furu` fiqhiyyah yang tidak lepas daripada khilaf. Berlapang dadalah wahai saudara-saudara seagama, moga kita semua dirahmatiNya dan dapat beramal sholeh dengan aman tanpa gangguan suara-suara sumbang.

Sabtu, April 30, 2011

Syaikh Ibrahim al-Fathani

Syaikh Ibrahim bin Daud bin `Abdul Qadir al-Fathani asy-Syafi`i al-Makki adalah ulama keturunan Jawi yang lahir di Makkah pada tahun 1320H. Beliau mendapat didikan awal daripada ayahandanya sendiri sehingga berjaya menghafal al-Quran dalam usia kecil, kemudian ayahandanya mengajar beliau karya as-Sayyid Husain al-Maliki sebelum memasukkan beliau ke Madrasah al-Hasyimiyyah.

Selain belajar secara formal di madrasah tersebut, beliau turut menuntut dengan para ulama di luar, dan antara guru beliau adalah Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Fathani, Syaikh Muhammad `Ali bin Husain al-Maliki, Syaikh Yahya Aman, Syaikh Sa`id Yamani, Sayyid `Abbas bin `Abdul `Aziz al-Maliki, Syaikh Muhammad Habibullah as-Syinqithi al-Mishri al-Maliki, Syaikh `Umar BaJunaid, Syaikh `Umar al-Mahrasi, Sayyid Muhammad Amin Kutubi, Syaikh `Isa Rawwas dan ramai lagi, rahimahumUllah.

Setelah menamatkan pengajian, beliau mengajar dalam Masjidil Haram serta di beberapa tempat dan madrasah di Makkah. Beliau juga pernah dilantik menjadi qadhi. Di antara karangan beliau adalah:-
  1. Syarah `ala Riyadh ash-Shalihin;
  2. Mandhzumah fi Isthilaahaat al-Minhaaj;
  3. Nazam al-Hamziyyah fi Madhi Khairil Bariyyah SAW;
  4. Nahjul Burdah;
  5. Al-Futuuhaat ar-Ramadhaaniyyah wan Nafahaat ar-Rabbaniyyah;
Syaikh Ibrahim meninggal dunia dalam usia 93 tahun di Makkah pada hari Selasa 11 Sya`baan 1413H dan dimakamkan di Jannatul Ma`ala. ............ al-Fatihah.

Khamis, April 28, 2011

Al-Azhar Adalah Asy`ari

Siapa yang tidak kenal dengan Universiti al-Azhar asy-Syarif. Pusat pengajian ulung yang telah melahirkan ramai ulama yang berjasa di seluruh pelusuk dunia Islam. Alhamdulillah, dalam menghadapi serangan kaum salafi gadungan yang menuduh aqidah al-Asy`ari dan al-Maaturidi sebagai sesat dan keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah, maka para ulama al-Azhar turut dengan lantang mempertahankan pegangan majoriti umat Islam tersebut. Bahkan Syaikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad ath-Thayyib hafizahUllah menegaskan bahawa al-Azhar berpegang dengan `aqidah al-Asy`ari dan al-Maaturidi, fiqh para Imam yang empat dan tasawwuf Imam Junaid. Bahkan, al-Azhar asy-Syarif akan tetap kekal atas `aqidah al-Asy`ari dan pemikiran sufi yang shahih. Inilah antara pernyataan beliau di hadapan ratusan pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di al-Azhar sebagaimana dilaporkan dalam akhbar "al-Hayat". Beliau juga menyifatkan puak-puak yang mengaku "salafi" yang ada pada masa kita ini, yang suka menyesatkan secara sembrono umat Islam yang tidak sefaham dengan mereka sebagai "Khawarij al-`Ashri" - puak Khawarij zaman moden.

Maka kepada puak-puak "Khawarij al-`Ashr", bersederhanalah, perkara furu` yang menjadi khilaf fiqh janganlah dijadikan sebagai perkara `aqidah pula sehingga tergamak menyamakan umat yang bersyahadah dengan kaum musyrikin. Janganlah mudah-mudah menyesatkan pegangan majoriti umat Islam. Sungguh puak-puak ekstrem ini telah menanam dakyah mereka dalam negara kita sehingga ada yang telah secara terang - terangan memproklamir bahawa al-`Asyairah sebagai sesat dan bukan Ahlus Sunnah wal Jama`ah.... Allahu ... Allah... tanggung depan Allah nanti. Ada jugak balaci mereka yang tergamak menyesatkan Imam-Imam Muslimin sebesar Imam Ibnu Hajar al-`Asqalaani rahimahUllah kerana beliau berpegang dengan `aqidah al-Asy`ari. Mereka mencanangkan ke sana ke mari akan fatwa-fatwa songsang sesetengah puak badwi "Khawarij al-Ashr" yang menjajah bumi Hejaz tempat al-Haramain. Mereka kini juga tidak segan silu membawa tokoh-tokoh mereka ke tempat kita dengan menempelkan gelar-gelar tertentu untuk mengelirukan orang awam. Maka berhati-hatilah wahai ikhwah sekalian dan tetap teguhlah kita atas pegangan `aqidah yang sebenar. Janganlah didengar dakyah-dakyah puak "Khawarij al-Ashr" yang bertopengkan pegangan Salaf. Sesungguhnya kitalah pengikut salaf yang sebenar, tiadalah khalaf itu melainkan kesinambungan bagi salaf.

Oleh itu, diharap para ulama kita, teristimewanya para Azhariyyun, agar semakin gigih memperjuang dan mempertahankan ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar yang berteraskan `aqidah al-`Asyairah yang mubarakah yang menjadi anutan majoriti umat Islam di seluruh dunia sepanjang masa. Janganlah dibiarkan puak-puak "Khawarij al-`Ashr" mencemuh dan menuduh `aqidah kita ini sebagai bid`ah dan sesat.

*******************************
Keratan Akhbar al-Hayat


Rabu, April 27, 2011

Akhlak Wahai Sayyid

Antara tujuan Junjungan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan dan keluhuran akhlak terpuji. Bagindalah contoh suri tauladan unggul bagi sekalian umat. Maka hakislah kemuliaan seseorang itu walaupun dia memiliki susur nasab yang mulia dek kerana akhlak yang bejat. Dari itulah, maka al-`Arif Billah Mawlay al-`Arabiy ad-Darqawi al-Hasani (wafat tahun 1239H/1823M) rahimahUllah dalam warkahnya menulis, antara lain sebagai berikut:-

Dengarlah wahai faqir, bahawasanya aku telah menegur sebahagian syurafa` (yakni para syarif yang bernasab kepada Junjungan Nabi SAW) - moga-moga Allah meredhai mereka - yang melakukan kesalahan kepada sebahagian manusia: "Sesiapa yang mendakwa dirinya seorang syarif, sedangkan akhlak perilakunya keji, maka dia adalah seorang pendusta, kerana syarif yang sebenar adalah seorang yang mulia akhlaknya. Bagaimana dia boleh berakhlak keji, sedangkan dia berasal daripada Junjungan Nabi SAW - yang mana Allah telah berfirman memuji baginda : " Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang amat agung." Oleh itu, wahai saudaraku, sekiranya engkau tidak bersifat dengan sifat baginda, tidak berperangai dengan perangai baginda, maka dari arah mana jadinya engkau daripada baginda ? Dan dari pintu mana engkau hendak bertaqarrub dengan baginda ? Kerana tiadalah bagi Junjungan Rasulullah SAW itu selain daripada akhlak yang mulia dan kebaikan yang unggul semata-mata, sekali-kali baginda tidak memiliki akhlak dan perangai selainnya. Dan Allahlah sandaran atas apa yang kami nyatakan.
Oleh itu, wahai para saadah yang dimuliakan, jagalah akhlak kalian. Jangan sombong, sentiasalah tawadhu dan bersikap khumul sebagaimana para leluhur kalian terdahulu. Jauhilah sikap sukakan kemasyhuran sehingga memaksa-maksa untuk disanjung dan dijunjung. Tugas dan tanggungjawab kalian amat besar kerana kalian adalah pemanggul panji-panji Baitun Nubuwwah. Perilaku dan akhlak kalian menjadi contoh dan tauladan bagi kami, umat nenda kalian yang lemah ini. Bantulah kami untuk menghidupkan akhlak mulia sebagaimana anjuran Paduka Junjungan Baginda Muhammad SAW.


*************************************
Akhlak Nabawiyyah - Hb Taufik