Sabtu, September 26, 2015

"Qus" Bahasa Melayu

Ulama ini terkenal bukan sahaja dalam ilmu - ilmu agama, tapi juga pakar dalam ilmu bahasa Melayu sehingga diberi gelaran "Qus Bahasa Melayu" yakni pakar atau perbendaharaan bagi Bahasa Melayu. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Syaikh al-`Alim al-'Allaamah Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga rahimahullah. Riwayat kehidup n awal ulama ini tidak diketahui secara terperinci, menurut sesetengah pengkaji beliau berasal dari Pulau Lingga, manakala menurut yang lain beliau berasal dari Kelantan - Fathani. Beliau turut mengecap pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Fathani Darus Salam. 

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukarramah dan berguru dengan para ulama di sana, antaranya dengan Mufti Syafie Makkah, Sidi Ahmad Zaini bin Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Di antara ulama yang seangkatan dengan beliau yang menjadi sahabat beliau di sana adalah Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif al-Minangkabawi, Syaikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani dan Syaikh Abdul Rahman Gudang al-Fathani. Beliau terus bermukim di Kota Makkah al-Mukarramah dan menabur bakti dengan mengajar di rumahnya dan di Masjidil Haram. Maka ramailah murid-murid yang datang menadah kitab dengan beliau. Antara mereka adalah al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak dan anak beliau Syaikh Zainuddin Sarawak, Qadhi Haji Abu Bakar Muar, Tok Kenali, Syaikh Abdullah Fahim dan Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy`ari rahimahumullahu ta`ala ajmain.

Syaikh Zainuddin Sarawak dalam manaqib ayahandanya yang berjodol "Nafahaatur Ridhwan" pada halaman 42 - 43, yang diterjemahkan oleh murid-murid beliau, menulis antara guru ayahanda beliau adalah:-
....Dan setengah daripada mereka itu (yakni yang menjadi guru Syaikh Uthman Sarawak), asy-Syaikh yang alim yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti Qus pada masanya pada tentang Bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang - orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab, orang yang adalah ia atas mengkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu asy-Syaikh Ahmad orang Lingga rahimahullah wa radhiya `anhu .... 
Selain dari mengajar, beliau juga giat menjadi pentashih kitab - kitab Melayu/Jawi.Menurut Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, beliau adalah ahli dalam bidang ini. Di samping itu, beliau juga turut menulis dan mengarang banyak kitab, samada kitab terjemahan dan karya asli. Namun setakat ini hanya beberapa karya sahaja yang dapat dikesan dan dicetak. Di antara karya beliau adalah:-
1. Daqaiqul Akhbar;
2. Nashihatu Ahlil Wafa;
3. Tsimarul Ladzidzah;
4. Hadiqatur Raihan.

Mungkin ada berpuluh-puluh lagi karya beliau kerana keempat-empat karya di atas ditulis beliau hanya dalam tempoh satu tahun sahaja, iaitu sekitar tahun 1312 H- 1313H. Semoga Allah merahmati Syaikh al-'Alim al-Washil al-Kamil Ahmad bin Haji Muhammad Yunus Lingga dan menempatkan beliau bersama para shiddiqin..... al-Fatihah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Amin