"Painkiller" - Hadiah Khadhir
Imam Abdul Wahhab asy-Sya`raani qaddasaAllahu sirrahul `aziz menukilkan dalam kitab beliau, Thabaqaatul Kubra, juz 1, halaman 70 sekelumit mengenai seorang ulama yang zahid, wali Allah dan tokoh sufi yang terbilang. Beliau adalah Syaikh Abul Husain Ahmad bin Abil Hawaari radhiyaAllahu ta`ala `anhu wa rahimahu. Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah seorang ulama sufi lagi wali di Damsyik. Beliau bersahabat dengan sejumlah masyaikh di antaranya Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani dan Imam Sufyan ibnu `Uyainah radhiyaAllahu `anhuma. Beliau wafat pada tahun 230H. Imam Junaid al-Baghdadi memuji Ibnu Abil Hawaawi dan menjoloki beliau sebagai "Raihanatusy Syaam (Wangian Kota Syam)". Beliau yang terkenal zahid pernah berkata:
"Dunia ini adalah tempat pembuangan sampah kotoran dan tempat perhimpunan anjing - anjing. Dan yang lebih rendah daripada anjing adalah orang yang bergantung dengannya serta saling berkelahi sesamanya untuk merebut dunia. Sesungguhnya anjing hanya mengambil dari dunia ini sekadar keperluannya dan berpaling dari selebihnya, sedangkan orang yang kasih akan dunia tidak meninggalkan satu apa pun daripadanya, bahkan ketika keinginan dunianya sudah pun tercapai, masih sahaja dia mencari - cari lagi tambahannya (yakni tak kenal puas)."
Namun perlulah difaham, bahawa dunia yang dicela tersebut adalah dunia yang tidak dijadikan amal akhirat. Habuan dunia yang cuma digunakan untuk berlazat - lazat, bermewah - mewah dan bermegah - megah, yang membawa kepada kesombongan, kelalaian dan dosa. Juga dunia yang dicari tanpa mempedulikan hukum Allah, tanpa mempedulikan halal - haram. Inilah dunia yang dikeji dan dikutuk, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadis, antaranya hadis Imam at-Tirmidzi rahimahullah bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Dunia ini terkutuk dan terkutuklah segala isinya, kecuali dzikrullah (yakni termasuklah segala amal ibadah, samada sifatnya khusus maupun ibadah - ibadah umum) dan apa - apa yang mengarah kepadanya (yakni yang mengarah kepada kepatuhan dan ketaatan kepada Allah), orang alim (yang mengamalkan ilmunya) atau orang yang menuntut ilmu (dengan benar dan ikhlas)". Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menjelaskan bahawa maksud dunia dan segala isinya terlaknat adalah ketika mana ia menjadi sebab bagi seseorang jauh daripada Allah kerana disibukkan olehnya sehingga lupakan Allah dan negeri Akhirat yang kekal abadi. Makanya, seseorang yang sedang melayari kehidupan duniawi ini hendaklah sentiasa berpandu dengan kompas ilmu yang bermanfaat, yang mengarahkan kepada jalan ketakwaan, makrifat dan amal ibadah. Mencari dunia yang halal untuk dijadikan wasilah bagi amal akhirat tidaklah tercela, bahkan ianya terpuji, kerana dihukum mengikut tujuan atau maksudnya untuk dijadikan amal akhirat, bertepatan dengan kaedah al-wasail hukmul maqashid. Untuk keterangan lanjut silalah tuan puan mengaji dan mengkaji kitab - kitab tashawwuf seperti Hidayatus Salikin, Bidayatul Hidayah, Ihya` Ulumiddin dan seumpamanya.
Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah antara wali Allah yang pernah bertemu dengan Nabi Khadhir `alaihis salam. Bukan sahaja bertemu, bahkan beliau diberikan satu amalan untuk menjampi sebarang kesakitan. Imam asy-Sya'raani rahimahullah menukilkan bahawa Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari menceritakan sebagai berikut:-
Aku telah diajar oleh Nabi al-Khadhir `alaihis salam satu ruqyah (jampi) bagi mengubati penyakit. Baginda bersabda: "Apabila engkau ditimpa kesakitan, letakkan tanganmu di atas tempat yang sakit tersebut dan bacalah: " Dan Kami turunkan (al-Quran) itu dengan sebenar - benarnya dan al-Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran." (Surah al-Isra`: 105). Maka tidaklah aku membacanya atas sesuatu kesakitan, melainkan dihilangkannya ketika itu juga.
Begitulah kisah Syaikh Ibnu Abil Hawaari sebagaimana ditulis oleh Imam asy-Sya'raani. Habib Abu Bakar Aththas al-Habsyi dalam Tadzkiirun Naas pada halaman 330 pula menceritakan bahawa al-Quthub Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas rahimahullah telah berpesan untuk membaca ayat di atas tadi sebanyak 70 kali untuk segala penyakit. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya lagi ikhlas semata - mata kerana Allah jalla wa `ala.
1 ulasan:
Terima kasih atas ilmu ya sidi. Mohon share
Catat Ulasan