Selasa, November 12, 2024
Rabu, Januari 25, 2023
Tawassul - Syahid Hasan al-Banna
15. Tawassul. Berdoa kepada Allah itu disuruh, tetapi kalau doa ini dikaitkan dengan tawassul kepada Allah dengan mana - mana makhluk maka doa seperti itu menjadi perkara khilafiah tentang cara - cara berdoanya, bukanlah merupakan masalah akidah.
Ahad, Januari 16, 2022
Tawassul Syaikh Samman
Tawassul Syaikh Samman oleh Guru Ijai
Jumaat, Disember 03, 2021
Madad Ya RasulAllah - Sidi Bajuri
.....Dan demikian pula, sebahagian ibarat kitab hasyiah ini telah aku tulis di al-Haram al-Madani (Masjid Nabawi) di sisi mimbar Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan semoga Allah merezekikan kami untuk kembali menziarahinya. Dan aku berkata di sisi baginda dan di hadapan baginda: "Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam." Dan aku juga berkata: "Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, ........
Tiada kesalahan dalam meminta pertolongan (madad) daripada para nabi, wali dan orang - orang shalih. Meminta pertolongan daripada para nabi, wali dan shalihin, samada yang masih hidup maupun yang sudah wafat adalah sebahagian perkara yang disyariatkan, yang telah menjadi amalan kaum Muslimin. - Dr. Shauqi 'Allam, Mufti Mesir.
Rabu, Jun 09, 2021
Tawassul - Dr Ayman al-Akiti
Ketika ulama menyebutkan tawassul, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan yang dituju. Misalnya, seseorang yang berharap agar doa dan harapannya dikabulkan Allah SWT, maka dia bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW iaitu menjadikan Baginda sebagai wasilah atau perantara agar doa dan harapannya dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Baginda SAW adalah kekasih Allah SWT.
Dalam konteks perdebatan hari ini, kelompok yang menganggap tawassul sebagai syirik adalah disebabkan mereka menilai bahawa doa sepatutnya dipanjatkan langsung kepada Allah SWT, sedangkan menjadikan ruh orang yang telah mati sebagai perantara termasuk Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bentuk kesyirikan kerana melanggar firman Allah SWT: "Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung: "Kami tidak menyembah melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya" (al-Zumar: 3).
Walhal Rektor Universiti al-Qarawiyyin; Tayyib bin Kiran al-Fasi (w. 1812M) menjelaskan bahawa ayat tersebut sebenarnya menunjukkan kaum musyrikin beriman berhala-berhala tersebut memiliki bahagian dari sifat ketuhanan yang menyebabkan mereka jatuh dalam ke syirikan, serta larangan bertawassul dengan berhala.
Di sisi lain, kalau ditilik pada dalil dan nas syarak, ditemukan banyak sekali hadis dan athar yang digunakan sebagai sandaran keharusan bertawassul. Belum lagi doa-doa yang warid (sampai kepada kita) oleh ulama-ulama agung sendiri yang mengharuskan bertawassul. Ini yang menyebabkan Imam al-Sanusi (w. 895H) menjelaskan tawassul di dalam Islam adalah harus berbeza dengan sikap kaum musyrikin Mekkah.
Sebuah kisah yang terkenal diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta yang mengadu kesusahannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk bersabar itu lebih baik baginya. Tetapi orang tersebut memilih Baginda SAW mendoakannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk ia berwudu, solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini:"Ya Allah! Aku memohon daripadaMu dan bertawassul dengan Nabi Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, Ya Muhammad! aku bertawassul denganmu kepada Tuhanku bagi hajat ku ini, maka tunaikanlah untukku Ya Allah! berikanlah syafaatnya kepadaku".
Lalu Uthman menceritakan: "Demi Allah! sebelum kami berpisah dan belum banyak kami berborak, tiba-tiba lelaki buta itu masuk seolah ia belum pernah mengalami kebutaan". (HR al-Tirmidhi (hasan sahih gharib), al-Hakim (sahih) dan lain-lain. Bahkan seorang pakar hadis dari Mesir, Dr. Mahmud Said Mamduh mengatakan hadis ini sahih. (Lihat: Raf'u al-Manarah: 106].
Terkait dari kisah ini, Imam al-Tabrani meriwayatkan ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan ada seseorang berhajat kepada Khalifah, akan tetapi beliau tidak dipandang oleh Khalifah. Maka beliau pun mengadu kepada Uthman bin Hunaif, maka beliau memerintahkan untuk berdoa seperti di dalam hadis yang lalu. Orang tersebut pun datang ke pintu rumah Khalifah Uthman bin Affan RA dan beliau dijemput masuk serta segala hajatnya ditunaikan. Beliau juga kembali dan menceritakan perkara inikepada Uthman bin Hunaif. [Athar al-Tabrani, Abu Nu'aim dan al-Bayhaqi. Dr. Mahmud mensahihkan hadis ini: Raf'u al-Manarah:115]. Athar ini juga menjadi bukti dianjurkan bertawassul dengan Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatannya.
Hujjah kuat lainnya adalah sebuah atsar yang menceritakan ketika zaman Khalifah Umar bin al- Khattab RA, terjadi sebuah kemarau. Maka datanglah seorang lelaki ke makam Rasulullah SAW dan menyeru: "Ya Rasulallah! Turunkanlah hujan! kerana umat mu benar-benar dah hancur". Lalu lelaki itu bermimpi didatangi Rasulullah SAW dan berpesan supaya bertemu dengan Umar, sampaikan salam dan khabarkan bahawa kalian akan disirami hujan. Ketika lelaki itu bertemu Khalifah Umar RA dan menceritakan maka menangislah Khalifah dan berkata: "Ya Allah! saya tidak bermalasan kecuali terhadap sesuatu yang saya tidak mampu mengerjakannya" (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Sahihnya, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Hafiz Ibn Kathir telah mensahihkan Athar ini).
Dari semua dalil ini juga banyak lagi dalil yang tidak dapat disebutkan di dalam ruang yang terbatas ini, ulama-ulama agung mazhab Syafii dan mazhab-mazhab lain berpendapat bahawa bertawassul dan beristighathah adalah harus bahkan sunnat. Imam al-Nawawi (w. 676H) di dalam al-Majmu`: 8/274, misalnya mengajarkan untuk memberikan salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi makam Baginda, setelah itu Abu Bakr, Umar dan kembali ke wajah Rasulullah SAW dan bertawassul serta meminta syafaat melalui Baginda SAW kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh al-Nawawi ini jelas-jelas menunjukkan amalan bertawassul dengan Rasulullah SAW setelah wafatnya di makam Rasulullah SAW serta menghadap Rasulullah SAW.
Tawassul dan Istighathah ini telah difatwakan harus dan baik oleh al-Subki (w. 756H), Ibn Hajar al- Asqalani (w. 852H), Zakaria al-Anshari (w. 926H), al-Suyuthi (w.911H), al-Qastalani (w. 923H), Ibn Hajar al-Haytami (w.974H), Mula Ali al-Qari (w. 1014H), al-Ramli (w. 1004H), al-Qurtubi (w. 671H), Wan Daud al-Fathani (w. 1847M), Abdullah Fahim (w. 1961 M), sekalian ulama Muzakarah di Kepala Batas tahun 1953M, dan banyak lagi ulama dari hujung Barat sehingga hujung Timur.
Selain dari itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia juga telah mewartakan Fatwa Menangani Persoalan Bidaah Perkara Ikhtilaf/Khilaf Furu', seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Di dalam keputusan tersebut juga melarang pembidaahan amalan bertawassul. Lebih-lebih lagi sekalian ulama Alam Melayu dahulu beramal dengan banyak selawat yang penuh dengan keindahan bertawassul kepada Junjungan Besar Baginda Muhammad SAW yang diadatkan oleh ulama dahulu dan sekarang. Bagaimana mungkin amalan majoriti muslim ini dihukum syirik?
Jumaat, April 17, 2020
Qashidah Li `Asyratun
Isnin, Mac 30, 2020
Li Khamsatun - Imam Qalyubi
Khamis, Mac 14, 2019
Tawassul Si Pembonceng
Allahu ..... Allah, mana puak - puak yang mengkafirkan orang - orang yang berdoa di makam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam? Mana puak - puak yang mensyirikkan bertawassul ? Apakah kalian berani untuk menghukum Sayyidina `Uqbah bin `Amir al-Juhani radhiyaAllahu `anhu, yang telah berdoa di sisi makam baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertawassul memohon syafaat baginda agar perjalanan beliau disingkatkan, sebagai quburiy atau musyrik? Makanya kalau tidak mahu berdoa di kuburan para anbiya` atau awliya`, ndak mau sama tawassulan, ya diam aja ..... jangan berisik.
Rabu, Oktober 17, 2018
Syaikh Abdul Rasyid Fathani
Malangnya, makam Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani di Pulau Bidan yang terkenal sebagai Keramat Pulau Bidan telah dijadikan tempat pemujaan dan perlakuan khurafat oleh orang - orang yang jahil. Maka para waris beliau, katanya setelah mendapat alamat mimpi, telah memindahkan jasad Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani ke tanah besar dan dimakamkan semula di satu lokasi yang dirahsiakan untuk mengelak berulangnya perbuatan pemujaan dan khurafat. Diceritakan bahawa ketika mereka menggali makam tersebut, keluar bau harum semerbak dan didapati jasad almarhum Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani masih utuh dan berkeadaan baik seolah-olah baru sahaja meninggal.
Begitulah kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, walaupun kita membenarkan ziarah, tawassul, istighatsah dan seumpamanya. Namun tidaklah bererti kita kompromi dengan amalan-amalan yang bersifat pemujaan, takhayyul dan khurafat yang nyata bercanggah dengan Islam. Mudah-mudahan Allah merahmati Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani sentiasa dan mengalirkan keberkatannya kepada kita semua.
Isnin, Disember 08, 2014
Istighatsah: JJ v. Hadhratusy Syaikh
Selasa, November 25, 2014
Tawassul Selepas Wafat - Nik Aziz
Tok Guru Nik 'Abdul `Aziz bin Nik Mat hafizahUllah, dalam karya beliau "Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman", pada halaman 175 - 176 menulis:-Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.Maka jelas menurut Tok Guru hafizahullah, sesiapa yang berpendapat bahawa tidak boleh bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam setelah kewafatan baginda, maka orang tersebut adalah ORANG SESAT YANG HATINYA TIDAK KASIHKAN BAGINDA shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tak kiralah samada manusia sesat ini mufti ke, ustaz ke, barua politik ke, pencacai politik ke dan dan dan dan seumpamanya.
Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.
Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.


_edit_642616597433715.jpg)




















