Selasa, Ogos 11, 2009

Mawlid Penangkal Wabak

Pembacaan mawlid Junjungan Nabi SAW telah lama dianjurkan oleh para ulama kita (baca: ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar, bukan Sunnah wal Jamaah atau Salafi jadi-jadian) sebagai wasilah memohon keselamatan dunia dan akhirat melalui Junjungan Nabi SAW dan cinta kasih kepada baginda. Maka tercatatlah dalam karya agung Sayyidisy Syaikh Abu Bakar Syatho al-Bakri ad-Dimyathi rahimahUllah, "I`aanatuth Thaalibiin" jilid 3 halaman 414 akan perkataan ulama besar yang masyhur lagi harum namanya, Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahUllah, sebagai berikut:-

Telah berkata Sulthanul-'Arifin Jalaluddin as-Sayuthi dalam kitabnya berjodol "al-Wasaail fi syarhisy Syamaail":- "Tidak ada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan padanya Mawlidin Nabi SAW melainkan dikerumuni para malaikat akan mereka yang ada di tempat tersebut dan Allah akan menebarkan rahmatNya kepada mereka. Para malaikat yang berkalungkan cahaya - iaitu Jibril, Mikail, Israfil, Qarbail, 'Aynail, ash-Shaafun, al-Haafun dan al-Karubiyyun - maka bahawasanya mereka berdoa bagi orang yang menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidin Nabi SAW. Tidak ada seseorang muslim yang dibacakan dalam rumahnya akan Mawlidin Nabi SAW melainkan Allah selamatkan penghuni rumah tersebut daripada kemarau, wabak, kebakaran, malapetaka, bala bencana, kesengsaraan, permusuhan, hasad dengki, kejahatan 'ain (sihir pandangan) dan kecurian. Apabila dia mati, Allah akan mempermudahkan atasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan adalah dia ditempatkan pada kedudukan as-shidq di sisi Allah Raja yang Maha Berkuasa."
Juga diceriterakan oleh Habib 'Ali bin 'Abdul Qaadir al-Habsyi dalam karya beliau "al-Mawaaizh al-Jaliyyah minal Majaalisil 'Aliyyah" akan perkataan Shohibul Mawlid, Habib 'Ali bin Muhammad al-Habsyi seperti berikut:- "Dahulu tempat kami sering dilanda berbagai penyakit, dan juga berbagai kekacauan. Namun setelah diadakan mawlid, semua penyakit dan kekacauan itu hilang. Sebagai gantinya kehidupan agama menjadi bersemangat, dakwah tersebar luas dan hasilnya pun nampak dengan jelas."

Marilah kita semarakkan majlis-majlis mawlid Junjungan Nabi SAW, kerana dalamnya terdapat sholawat dan mahabbah kepada Junjungan SAW juga permohonan keselamatan duniawi dan ukhrawi. Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW dicurahkan ke atas kita dan sekalian umat ini akan hujan rahmat yang berkekalan serta dihilangkan segala malapetaka dan wabak penyakit.

*********************************
Mawlid Simthud-Durar
(pimpinan almaghfurlah Habib Anis al-Habsyi)

Sabtu, Ogos 08, 2009

Mawlid adh-Dhiyaa-ul Laami`

Habib 'Umar bin Muhammad bin Salim BinHafidz Bin Syaikh Abu Bakar bin Salim, ulama kontemporari yang sudah tidak asing lagi di rantau kita. Karya mawlid beliau mula mendapat tempat dalam masyarakat berkat kegigihan anak - anak murid beliau menyebarkannya di sini. Tambahan pula, karya beliau yang diberi nama "adh-Dhiyaa-ul Laami'" disusun dengan gaya nazam yang indah. Walaupun ringkas tetapi kandungan sarat dan padat dengan sirah serta pujian kepada Junjungan Nabi SAW. Karya ini menambahkan lagi kemeriahan kutubkhanah karya-karya mawlid yang disusun oleh para pencinta Junjungan Nabi SAW. Mawlid ini amat mudah dan ringkas untuk diamalkan, tak sampai pun 1 jam jika dibaca. Mudah-mudahan ianya dapat dijadikan amalan bagi menyuburkan lagi kecintaan serta kerinduan kita kepada Junjungan Nabi SAW dan moga ianya juga menghilangkan karat di hati-hati kita. Ingatlah akan pesanan yang mulia Habib 'Umar dalam mawlidnya tersebut:-

Demi Allah, berulang-ulanglah menyebut sifat Nabi Muhammad;
Agar hilang daripada segala hati akan kekaratannya.

***********************************************
adh-Dhiyaa-ul Laami`




Forsan Salaf


Forsan Salaf adalah situs yang dikelola Yayasan Sunniyah Salafiyah. Memuat bahasan-bahasan ilmiah yang mendalam dan bisa dipertanggungjawabkan. Seluruh isi telah disaring dan dikaji ulang oleh sebuah tim yang berada di bawah pengawasan Habib Taufik bin Abdulkadir Assegaf. Pengunjung bisa mengunduh artikel, manuskrip, dan video bermanfaat secara cuma-cuma. Selain itu, tersedia pula forum tanya jawab seputar permasalahan agama yang akan dijawab oleh majelis ifta’. Jawaban bakal disertai teks dari kitab-kitab.

Khamis, Ogos 06, 2009

Puasa Selepas Nishfu - 1

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
  1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.
  2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.
  3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu
  4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.
Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Rabu, Ogos 05, 2009

Berdoalah

Alhamdulillah, sampai jugak kita ke pertengahan bulan Sya'baan yang mulia. Kalau ikut almanak kerajaan (Kerajaan Negeri Sarawak), malam ini adalah malam Nishfu Sya'baan, insya-Allah. Dan ini berbetulan dengan taqwim yang disusun oleh Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh. Tetapi kalau mengikut taqwim Kiyai Agung malam Nishfu Sya'baan akan jatuh pada malam besok (yakni malam Jumaat nanti). Apa-apa pun, amatlah wajar untuk kita isikan malam yang mulia ini dengan melakukan amal-amal sholeh dan memperbanyakkan doa kerana dikatakan bahawa doa padanya adalah mustajab sebagaimana disebut dalam "Lathaaiful Ma`aarif" karangan Imam al-Hafiz Zainuddin bin Rajab @ Ibnu Rajab al-Hanbali, halaman 196 sebagai berikut:-

Dan telah berkata Imam asy-Syafi`i r.a.: Telah sampai kepada kami bahawasanya doa dimustajabkan pada 5 malam: (i) malam Jumaat, (ii) malam dua hari raya, (iii) malam awal bulan Rajab dan (iv) malam Nishfu Sya'baan.
Selamat beramal dan moga diterima semuanya sebagai amalan yang sholeh lagi maqbul. Jangan lupa mendoakan faqir ini sama.

Selasa, Ogos 04, 2009

Sholawat Penangkal Wabak

Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Sholati 'alan Nabiy" iaitu bulan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan bersholawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Antara fadhilat sholawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan sholihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.

Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah sholawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat sholawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasillah shighah Sholawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Sholawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan bersholawat dengan untaian sholawat seperti berikut:-

Ya Allah, kurniakanlah sholawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Sholawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).
Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.

Ahad, Ogos 02, 2009

Qashidah Penangkal Wabak

Para ulama kita yang terdahulu, mempunyai beberapa amalan untuk dijadikan sebab dan ikhtiar bagi menangkal wabak penyakit dan bala bencana. Di antara amalan tersebut adalah amalan-amalan yang bersangkutan dengan membesar dan memperingati serta menyebut-nyebut keagungan Junjungan Nabi SAW, baik berupa ucapan-ucapan sholawat, qashidah-qashidah pujian dan bacaan-bacaan mawlid. Antaranya telah masyhur di sisi para ulama kita yang Qashidah Burdah adalah mujarrab untuk menangkal wabak dan bencana. Syaikh Wan 'Ali Kutan rahimahUllah dalam karya beliau "Majma' al-Qashaaid wal 'Awaaid" pada halaman 3-4 menukil akan kalam Syaikh 'Abdus Salam rahimahUllah, syarih Qashidah Burdah, sebagai berikut:-
"Barangsiapa membaca akan qashidah ini atas orang sakit atau ia baca sendiri disembuh akan dia Allah ta`ala selama belum hadir ajalnya atau dibaca akan dia atas kanak-kanak nescaya sentosa ia daripada kejahatan jin dan syaithan dan Ummush Shibyaan dan daripada segala penyakit pada badan. Dan tiada menanggung akan dia oleh orang musafir atau pada matabendanya melainkan dapat laba ia dan sentosa ia daripada kebinasaan safarnya. (Dan hasilnya) dibacakan dia pada ketika turun bala seperti wabak dan tha`un dan angin ribut pada perahu dan telah kami cuba akan dia maka kami dapat akan dia mujarrab."
Allahu ... Allah, sudah tidak tersembunyi lagi keberkatan qashidah karya Imam Abu `Abdullah Muhammad bin Sa`id al-Bushiri rahimahUllah ini. Qashidah yang masyhur dengan panggilan Burdah yang mana nama karya tersebut sebenarnya adalah " al-Kawaakibud Durriyyah fi madhi Khairil Bariyyah". Sungguh qashidah ini bukan sahaja masyhur kerana ketinggian dan keindahan bahasanya serta pujiannya kepada Junjungan Nabi SAW, tetapi kerana keberkatan yang terkandung dalamnya berkat jah Junjungan Nabi SAW dan keikhlasan penyusunnya. Syaikh Abu Ali al-Banjari an-Nadwi al-Maliki @ al-Fadhil Ustaz Fahmi Zamzam hafizahUllah, antara ulama tanahair kita yang turut memperkatakan kemujaraban Qashidah Burdah sebagai penolak wabak dan penyakit. Beliau, moga Allah berikan kesihatan dan umur yang panjang kepadanya, dalam mukaddimahnya bagi terjemahan Qashidah Burdah menyatakan pada halaman 15-16 sebagai berikut:-
"..... maka terkenallah qasidah Burdah sebagai qasidah yang berkat. Di mana dengan berkat puji-pujian, salawat dan salam yang disebutkan dalam qasidah itu adalah diharapkan agar disembuhkan berbagai-bagai penyakit dan kelihatannya amalan ini sangat mujarab sekali dan menjadi satu tradisi dalam masyarakat Islam sejak dari masa hidup Imam al-Bushiri sampai hari ini. ....... Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda dan dengan berkat Baginda yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."
Syaikh Said al-Ahrasy dalam bukunya "Burdatul Bushiri bil Maghribil 'Arabiy" menjelaskan bahawa khalayak ramai bersetuju bahawa Qashidah Burdah mampu memberi ketenangan kepada pendengarnya. Oleh itu, kemasyhuran Qashidah yang berkat ini telah umum diketahui para pengamalnya. Maka selain amalan-amalan lain, tidak ada salahnya jika kita turut menjadikan amalan membaca Burdah sebagai tambahan, lebih-lebih lagi dalam kekecohan menghadapi H1N1 ini. Mudah-mudahan berkat jah Junjungan Nabi SAW, Allah peliharakan umat ini dari segala wabak dan malapetaka.

**********************************
Dokumentari Qashidah Burdah