Jumaat, Julai 09, 2021

Tasbihnya tasbih Abu Muslim

Imam al-Khaulaani atau nama penuhnya Abu Muslim `Abdullah bin Tsuab ad-Darani al-Khaulaani adalah salah seorang tabi`in yang terkemuka. Nisbah al-Khaulaani itu merujuk kepada Khaulaan iaitu satu tempat di Yaman. Imam adz-Dzahabi menjoloki beliau sebagai Sayyid at-Tabi`in (Pemuka Golongan Tabi`in)  dan Zaahidul `Ashri. Beliau berasal dari Yaman dan memeluk Islam ketika hayat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan baginda. Beliau tiba di Madinah al-Munawwarah ketika kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau sempat bertemu dengan para pemuka sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar  radhiyaAllahu `anhuma, bahkan Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu memuliakan beliau dengan mengucup kedua keningnya ...... Allahu .... Allah.

Imam al-Khaulaani radhiyaAllahu `anhu terkenal dengan banyak keramatnya. Antara yang masyhur adalah peristiwa di mana beliau dibakar oleh nabi palsu Yaman yang bernama al-Aswad al-`Ansiy al-Kadzdzab. Imam an-Nawawi rahimahullah menukil dalam "Bustanul `Arifin" pada halaman 204 - 205 sebagai berikut:- Dengan sanad al-Hafiz Abu Thahir as-Silafiy daripada Syurahbil bin Muslim bahawasanya al-Aswad bin Qais al-`Ansiy al-Kadzdzab ketika mendakwa dirinya sebagai nabi di Yaman telah mengundang Abu Muslim al-Khaulaani untuk datang kepadanya. Apabila Abu Muslim datang, al-Aswad berkata: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya (yakni aku tidak menerima apa yang engkau katakan)." Al-Aswad berkata lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Nabi palsu al-Aswad mengulang-ulang soalan - soalan tersebut berberapa kali, dan begitulah juga jawapan daripada Abu Muslim. Setelah kecewa untuk menyakinkan Abu Muslim, al-Aswad al-Kadzdzab memerintahkan agar dinyalakan unggun api yang besar lalu dicampakkanlah Abu Muslim al-Khaulani ke dalamnya. Namun api yang besar tersebut tidak dapat membakar atau memudaratkan Abu Muslim. Melihat kejadian tersebut, penasihat nabi palsu al-Aswad berkata kepadanya: "Buangkan dia (yakni Abu Muslim) dari negerimu kerana jika tidak dia akan merosakkan keyakinan pengikutmu." Lalu Abu Muslim pun dilepaskan keluar dari Yaman dan beliau pun menuju Madinah al-Munawwarah. Dipendekkan cerita, setiba di Madinah, Imam al-Khaulaani telah bertemu dengan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu yang membawanya bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu. Ketika bertemu dan mendengar kisahnya, Sayyidina Abu Bakar berkata (dalam sesetengah riwayat, antaranya riwayat Imam Ibnu Katsir bahawa yang berkata adalah Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu): "Segala puji bagi Allah yang belum mematikan aku sehingga diperlihatkan kepadaku daripada kalangan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam seseorang yang telah diperlakukan dia seperti apa yang diperlakukan terhadap Nabi Ibrahim `alaihis salam Khalilur Rahman (yakni orang yang tidak terbakar oleh api sebagaimana Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampak ke dalam api oleh Namrud)."

Kisah keramat Imam al-Khaulaani ini telah diriwayatkan oleh ramai ulama kita, baik yang terdahulu mau pun  yang kemudian. Imam Abul Qasim, Hibatullah bin al-Hasan bin Manshur ath-Thabari ar-Razi asy-Syafie al-Laalika-i rahimahullah, seorang ulama dan ahli hadis yang wafat tahun 418H meriwayatkan kisah keramat tersebut dalam "Karamatul Awliya`" pada halaman 184, Kisah yang ke-145, manakala   Imam Ibnu Katsir (w. 774H) rahimahullah menukilkannya dalam "al-Bidayah wan Nihayah", pada juz ke-8, halaman 146.

Berbalik kepada jodol entri ini, faqir nukilkan satu lagi keramat yang berlaku kepada Imam Abu Muslim al-Khaulaani sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam kitab yang masyhur, "al-Bidayah wan Nihayah", juz ke-6, halaman 274, sebagai berikut:-  "... Adalah Abu Muslim al-Khaulaani mempunyai seutas tasbih yang beliau gunakan untuk berzikir. Satu ketika beliau tertidur sedangkan tasbih tersebut masih di tangannya. Maka tasbih itu terus berputar sendiri mengelilingi lengannya sambil mengucapkan ucapan: Subhaanaka Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat (Mahasuci Engkau wahai Tuhan yang menumbuhkan segala tumbuhan, wahai Tuhan yang Maha Kekal tetap wujud tanpa perubahan)." Imam al-Khaulaani terjaga dan menyaksikan hal itu, lalu beliau memanggil isterinya untuk sama menyaksikan keajaiban tersebut. Ketika isterinya datang, tasbih itu masih mengucapkan zikir tersebut sambil berputar sendiri sehinggalah isteri Imam al-Khaulaani duduk, maka tasbih itu pun berhenti.

Faqir datangkan kisah ini, walaupun sebahagian pentahqiq daripada kubu sebelah, meng"issue"kan riwayat kisahnya, kerana ada perawi kisah ini yang dipertikaikan. Mereka menjadikan periwayatan kisah - kisah atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang bukannya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seumpama periwayatan hadis-hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengikut disiplin ilmu hadis yang ketat. Sedangkan ini hanyalah kisah cerita keramat yang berlaku kepada seorang wali daripada kalangan awliya` Allah. Cukuplah bagi kita, apabila ada daripada kalangan ulama menukilkannya dalam karya - karya mereka tanpa sebarang komentar, walaupun adakalanya shighah tamridh digunakan. Shahih atau batilnya kisah tersebut tidaklah dapat disamakan hukumnya seperti shahih atau maudhunya sesuatu hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kisah tasbihnya tasbih Imam Abu Muslim al-Khaulaani telah diriwayatkan oleh Imam Abu Syaikh al-Isfahani @ al-Ashbihani (w.369) rahimahullah dalam kitab "al-`Adzamah" halaman 1730, Imam Ibnu 'Asakir (w.571H) meriwayatkannya dalam "Tarikh Madinah Dimasyq", juz ke-27 halaman 217, Imam as-Sayuthi menukilkannya dalam karya beliau "al-Minhatu fis Subhah" yang dicetak dalam "al-Hawi lil Fatawi", juz ke-2 halaman 4 dan muhaddits kontemporer, almarhum Imam Abil Hasanat Muhammad 'Abdul Hay al-Laknawi, menutup karya beliau tentang penggunaan dan hukum  subhah (yakni utasan tasbih yang makruf), "Hidayatul Abrar fi Subhatil Adzkar", pada halaman 82, dengan kisah ajaib ini.


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa segala makhluk ciptaan Allah yang ada di 7 petala langit dan bumi serta segala isinya, semuanya bertasbih memuji Allah subhanahu wa ta`ala. Dalam surah al-Isra` ayat 44, Allah ta`ala berfirman yang kira - kira ertinya: "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." Makanya, jangan ingat kita sahaja yang reti bertasbih mengagungkan Allah, hanya sahaja kita tidak faham akan tasbih atau cara makhluk - makhluk tersebut bertasbih. Namun tidak mustahil bagi Allah untuk menyingkapkan hijab sehingga seseorang dapat mendengar atau memahami tasbih makhluk - makhluk tersebut. Jika kita telaah kitab - kitab hadis, kita akan berjumpa dengan berbagai riwayat bahawa di antara mukjizat yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah benda - benda beku (jamadat) seperti makanan, batu kerikil dan seumpamanya pernah terdengar oleh sahabat bertasbih ketika dipegang oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tidaklah pelik jika berlaku keramat sedemikian ke atas seorang wali daripada umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana tasbihnya bertasbih dengan ucapan: Subhaanaka, Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat. Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya. 

Ahad, Julai 04, 2021

Nabi Lawlaak - TG Nik Aziz

Sebagai tambahan kepada entri yang pernah faqir poskan terdahulu dengan jodol "Nabi Lawlaak", sekitar tahun 2009, maka di sini faqir kongsikan cuplikan rakaman audio ceramah almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk kita sama - sama nikmati dan hayati. Tidak perlulah kita nak memperpanjangkan perbalahan status ungkapan "hadis" Lawlaaka lawlaaka tersebut, apakah sahih atau maudhu atau dhaif, kerana ianya telah pun dibahaskan oleh para ulama terdahulu. Jika pun, jumhur ulama ahli hadis menghukumkan ungkapan tersebut bukanlah satu hadis yang sabit menurut disiplin mereka, namun tetap ada yang menghukumkan bahawa maknanya adalah sahih menurut pemahaman dan tafsiran yang sebenarnya. Oleh itu, tok sah balah lah, jom kita dengar cuplikan pendek mukadimah ceramah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz rahimahullah pada Disember 1984 bertempat di Surau al-Hidayah, Kuala Lumpur, mudah - mudahan bermanfaat dan semoga Allah jalla wa `azza merahmati almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sentiasa.

Tuan Guru Nik Aziz (1984)

Rabu, Jun 23, 2021

Azimat Thaun 2


Tuan Guru Haji Chik bin Ahmad @ Haji Chik Kodiang @ Haji Chik Kedah (1898 - 2002) rahimahullah adalah antara ulama kita yang banyak baktinya kepada umat. Di antara karya beliau adalah satu risalah berisikan beberapa faedah ayat - ayat, shalawat, doa, jampian, ubatan dan azimat Risalah ini beliau selesaikan karangannya pada 23 Ramadhan 1417H. Jika Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah menamakan kitab karangannya yang isi kandungannya adalah faedah - faedah ayat, amalan, doa, zikir, thalsam dan azimat, dengan nama Luqthatul 'Ajlan, maka Tuan Guru Haji Chik pula menamakan risalah beliau tersebut dengan nama "Luqthatul Aurad". Perlu diketahui bahawa Tuan Guru Haji Chik mempunyai sanad keilmuan daripada Syaikh Wan Ahmad al-Fathani melalui guru - guru beliau, antaranya yang tidak asing lagi, daripada Tok Kenali rahimahullah yang merupakan murid kesayangan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani. Tuan Guru Haji Chik pun dalam risalah beliau tersebut ada menukilkan beberapa faedah dari kitab Luqthatul 'Ajlan karya Syaikh Wan Ahmad tersebut. 

Dalam risalah Luqthatul Aurad, Tuan Guru Haji Chik memuatkan satu amalan bagi menolak wabak dan bala. Kata beliau rahimahullah dalam risalahnya tersebut:- Amalan Menolak Wabak dan Bala. Bermula ini satu faedah dibaca atau ditulis buat azimat, pakai atau gantung pada binatang, lembu kerbau, supaya tiada kena penyakit hawar. Dan manusia, dibaca pagi petang dan buat azimat pakai supaya tiada kena hawar dan thaun dan penyakit cacar dan campak, iaitu: "Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Li khamsatun uthfi biha * Harral wabaa-il haathimah: Al-Musthafa wal Murthada * Wabnaahumaa wal Faathimah," kira akan dia tiga (3) kali......

Allahu ... Allah, Tuan Guru Haji Chik ini bukanlah pengikut mana - mana ajaran sesat. Beliau bukan pengikut Syiah dan bukan pula seorang dukun atau bomoh. Beliau adalah seorang tuan guru dan ulama yang tidak diragukan lagi ilmu dan amalannya. Maka, antara amalan yang diperturunkan oleh Tuan Guru Haji Chik Kodiang adalah membaca bait - bait Li khamsatun tersebut sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang. Dan boleh juga ditulis dan dijadikan azimat buat tabarrukan agar diberkati Allah dengan dipeliharakanNya dari segala bala bencana dan wabak penyakit. Ingat bahawa yang Maha Berkuasa lagi yang memberi bekas hanya Allah semata, amalan rohani seperti zikir, doa, azimat dan seumpamanya hanyalah sebagai sebab sebagaimana juga segala ubat dan vaksin apa jua jenisnya. Zaman ini manusia - manusia yang tergelincir akidahnya dek ubat dan vaksin, mungkin lebih ramai berbandingkan yang tergelincir dek tangkal azimat. Maka ambillah iktibar dan perkukuhkanlah iman berpaksikan akidah yang sebenar, al-Asyaa`irah dan al-Maturidiyyah, Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang sebenar.




Rabu, Jun 09, 2021

Tawassul - Dr Ayman al-Akiti

Akhir-akhir ini isu lampau kembali lagi diperlagakan oleh netizen iaitu tentang hukum bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia sama ada para nabi ataupun wali. Apa yang berlaku, masih ada orang yang terikut-ikut mentohmah amalan bertawassul ini sebagai syirik.

Ketika ulama menyebutkan tawassul, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan yang dituju. Misalnya, seseorang yang berharap agar doa dan harapannya dikabulkan Allah SWT, maka dia bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW iaitu menjadikan Baginda sebagai wasilah atau perantara agar doa dan harapannya dimakbulkan oleh Allah SWT kerana Baginda SAW adalah kekasih Allah SWT.

Dalam konteks perdebatan hari ini, kelompok yang menganggap tawassul sebagai syirik adalah disebabkan mereka menilai bahawa doa sepatutnya dipanjatkan langsung kepada Allah SWT, sedangkan menjadikan ruh orang yang telah mati sebagai perantara termasuk Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bentuk kesyirikan kerana melanggar firman Allah SWT: "Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung: "Kami tidak menyembah melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya" (al-Zumar: 3).

Walhal Rektor Universiti al-Qarawiyyin; Tayyib bin Kiran al-Fasi (w. 1812M) menjelaskan bahawa ayat tersebut sebenarnya menunjukkan kaum musyrikin beriman berhala-berhala tersebut memiliki bahagian dari sifat ketuhanan yang menyebabkan mereka jatuh dalam ke syirikan, serta larangan bertawassul dengan berhala.

Di sisi lain, kalau ditilik pada dalil dan nas syarak, ditemukan banyak sekali hadis dan athar yang digunakan sebagai sandaran keharusan bertawassul. Belum lagi doa-doa yang warid (sampai kepada kita) oleh ulama-ulama agung sendiri yang mengharuskan bertawassul. Ini yang menyebabkan Imam al-Sanusi (w. 895H) menjelaskan tawassul di dalam Islam adalah harus berbeza dengan sikap kaum musyrikin Mekkah.

Sebuah kisah yang terkenal diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif RA yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh seorang lelaki buta yang mengadu kesusahannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk bersabar itu lebih baik baginya. Tetapi orang tersebut memilih Baginda SAW mendoakannya. Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk ia berwudu, solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini:"Ya Allah! Aku memohon daripadaMu dan bertawassul dengan Nabi Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, Ya Muhammad! aku bertawassul denganmu kepada Tuhanku bagi hajat ku ini, maka tunaikanlah untukku Ya Allah! berikanlah syafaatnya kepadaku".

Lalu Uthman menceritakan: "Demi Allah! sebelum kami berpisah dan belum banyak kami berborak, tiba-tiba lelaki buta itu masuk seolah ia belum pernah mengalami kebutaan". (HR al-Tirmidhi (hasan sahih gharib), al-Hakim (sahih) dan lain-lain. Bahkan seorang pakar hadis dari Mesir, Dr. Mahmud Said Mamduh mengatakan hadis ini sahih. (Lihat: Raf'u al-Manarah: 106].

Terkait dari kisah ini, Imam al-Tabrani meriwayatkan ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan ada seseorang berhajat kepada Khalifah, akan tetapi beliau tidak dipandang oleh Khalifah. Maka beliau pun mengadu kepada Uthman bin Hunaif, maka beliau memerintahkan untuk berdoa seperti di dalam hadis yang lalu. Orang tersebut pun datang ke pintu rumah Khalifah Uthman bin Affan RA dan beliau dijemput masuk serta segala hajatnya ditunaikan. Beliau juga kembali dan menceritakan perkara inikepada Uthman bin Hunaif. [Athar al-Tabrani, Abu Nu'aim dan al-Bayhaqi. Dr. Mahmud mensahihkan hadis ini: Raf'u al-Manarah:115]. Athar ini juga menjadi bukti dianjurkan bertawassul dengan Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatannya.

Hujjah kuat lainnya adalah sebuah atsar yang menceritakan ketika zaman Khalifah Umar bin al- Khattab RA, terjadi sebuah kemarau. Maka datanglah seorang lelaki ke makam Rasulullah SAW dan menyeru: "Ya Rasulallah! Turunkanlah hujan! kerana umat mu benar-benar dah hancur". Lalu lelaki itu bermimpi didatangi Rasulullah SAW dan berpesan supaya bertemu dengan Umar, sampaikan salam dan khabarkan bahawa kalian akan disirami hujan. Ketika lelaki itu bertemu Khalifah Umar RA dan menceritakan maka menangislah Khalifah dan berkata: "Ya Allah! saya tidak bermalasan kecuali terhadap sesuatu yang saya tidak mampu mengerjakannya" (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Sahihnya, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Hafiz Ibn Kathir telah mensahihkan Athar ini).

Dari semua dalil ini juga banyak lagi dalil yang tidak dapat disebutkan di dalam ruang yang terbatas ini, ulama-ulama agung mazhab Syafii dan mazhab-mazhab lain berpendapat bahawa bertawassul dan beristighathah adalah harus bahkan sunnat. Imam al-Nawawi (w. 676H) di dalam al-Majmu`: 8/274, misalnya mengajarkan untuk memberikan salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi makam Baginda, setelah itu Abu Bakr, Umar dan kembali ke wajah Rasulullah SAW dan bertawassul serta meminta syafaat melalui Baginda SAW kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh al-Nawawi ini jelas-jelas menunjukkan amalan bertawassul dengan Rasulullah SAW setelah wafatnya di makam Rasulullah SAW serta menghadap Rasulullah SAW.

Tawassul dan Istighathah ini telah difatwakan harus dan baik oleh al-Subki (w. 756H), Ibn Hajar al- Asqalani (w. 852H), Zakaria al-Anshari (w. 926H), al-Suyuthi (w.911H), al-Qastalani (w. 923H), Ibn Hajar al-Haytami (w.974H), Mula Ali al-Qari (w. 1014H), al-Ramli (w. 1004H), al-Qurtubi (w. 671H), Wan Daud al-Fathani (w. 1847M), Abdullah Fahim (w. 1961 M), sekalian ulama Muzakarah di Kepala Batas tahun 1953M, dan banyak lagi ulama dari hujung Barat sehingga hujung Timur.

Selain dari itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia juga telah mewartakan Fatwa Menangani Persoalan Bidaah Perkara Ikhtilaf/Khilaf Furu', seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Di dalam keputusan tersebut juga melarang pembidaahan amalan bertawassul. Lebih-lebih lagi sekalian ulama Alam Melayu dahulu beramal dengan banyak selawat yang penuh dengan keindahan bertawassul kepada Junjungan Besar Baginda Muhammad SAW yang diadatkan oleh ulama dahulu dan sekarang. Bagaimana mungkin amalan majoriti muslim ini dihukum syirik?

Isnin, Jun 07, 2021

`Azimat Tha`un

Harap tuan - tuan tak terkejut beruk bila mendengar perkataan `azimat. Mungkin selama ini kita hanya didedahkan atau mendengar ceramah - ceramah yang menghukumkan `azimat sebagai haram atau syirik atau bid`ah secara mutlak, sedangkan hukum sebenarnya tidaklah begitu. Para ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah telah membuat perincian mengenai hukum hakam `azimat ini, yakni ada yang dibenarkan dengan beberapa syarat dan ada pula yang dilarang. Jika kita rajin mengaji kitab - kitab turats, kita akan mendapati, biasanya dalam bab hukum menyentuh al-Quran, turut ada disebut, sedikit sebanyak, tentang hukum menyentuh `azimat -`azimat yang ditulis padanya ayat - ayat al-Quran. Bahkan, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi rahimahullah dalam hasyiahnya yang masyhur, Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khatib, pada juz 1, halaman 371 - 372, menukil daripada Syaikh al-Jawhari rahimahullah akan syarat bagi menulis at-tamimah (tangkal), sesiapa yang berhajat bolehlah rujuk di sana dan kepada para guru yang mahir dalam bab ini. Maka hukum menulis dan menggunakan `azimat, bahkan tangkal sekalipun, menurut para ulama kita, tidaklah diharamkan atas jalan ithlaq, hukum hakamnya perlu kepada perincian. 

Berbalik kepada `azimat tha`un, Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah menulis dalam Furu`ul Masa-il, juz 1, halaman 174 sebagai berikut:- ....(Dan) setengah daripada yang sudah dicuba padanya, disurat pada kertas akan azimat tha`un, iaitu (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) - "(Allah) Tuhan yang Maha Hidup, menjadi tumpuan dan sandaran bagi semua, lagi Maha Abadi; Dan milikNyalah segala rahmat pemeliharaan dan penjagaan yang hakiki)" -, kemudian dilekatkan pada pintu rumahnya terpelihara daripada marabahayanya....

Sebenarnya apa yang disebut oleh Mawlana Syaikh Daud rahmatullah `alaih ini adalah nukilan daripada ulama terdahulu. Sebagai contoh, Syaikh Sulaiman al-Jamal rahimahullah menyebut hal ini dalam Hasyiah al-Jamal `ala Syarhi al-Manhaj, jilid 2, halaman 193, sebagai berikut:- ...Dan di antara faedah yang telah diuji (mujarrab) bagi mencegah masuknya wabak tha`un ke dalam rumah bahawa ditulis pada kertas lalu ditempelkan pada pintu rumah tersebut:- "Hayyun Shamadun Baaqi; Wa lahu kanafun waaqi" - asy-Syaikh Sirajuddin al-Bulqini (yakni faedah ini berasal atau dimasyhurkan oleh Syaikh Sirajuddin al-Bulqini rahimahullah) - atau (ditulis dan ditempel pada pintu tadi akan) "al-Baaqi al-Khallaaq", walaupun ditulis terus atas diri pintu tersebut (yakni boleh ditulis kalimah - kalimah tersebut langsung pada pintunya)....

Selain Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah, ulama - ulama Nusantara yang datang kemudian turut menukil kaedah ini dalam karangan - karangan mereka. Di antaranya, Syaikh Nik Mat Kecik @ Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani rahimahullah menukilkannya dalam Bahjatul Mardhiyyah dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Badaa-i`uz Zuhur, di mana  mereka menggabung lafaz (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) tersebut dengan beberapa zikir lagi yang tujuannya sama. Mudahan - mudahan bermanfaat dan dipelihara sentiasa oleh Allah dari segala bala bencana dan wabak penyakit.

KH Abdullah Ubab bin KH Maimoen Zubair

Ahad, Jun 06, 2021

AstraZeneca

 


Jumaat, Mei 28, 2021

Qasidah Syaikh al-Maami

Di hari Jumaat yang mulia ini, mari kita bermunajat kepada Allah, Tuhan yang Maha Hidup dan menjadi sumber bagi segala kehidupan, Tuhan yang menjadi tumpuan dan sandaran segala makhluk, Tuhan yang Maha Abadi kekal selama - lamanya, Dialah Tuhan yang memiliki segala rahmat perlindungan dan pemeliharaan yang hakiki. Mari kita bermunajat dan bertabaruk dengan qasidah yang disusun oleh seorang ulama Mauritania, wali Allah yang alim lagi `allaamah, Syaikh Abu `Abdullah Muhammad al-Maami bin al-Bukhari bin Habibullah bin Barakallah Fih. 

Syaikh Muhammad al-Maami adalah salah seorang ulama Shinqith/Mauritania yang hidup dalam abad ke-13H. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1202/1206H dan tutup usia dalam tahun 1282/1286H rahimahullah. Syaikh Muhammad al-Maami adalah ulama yang mendokong akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah, beliau bermazhab Asy`ari dalam akidah, bermazhab Maliki dalam fiqh dan mengamalkan Thariqah al-Qadiriyyah. Beliau banyak menulis dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan dan karya - karya beliau ada yang telah dicetak dan ada yang masih berbentuk manuskrip. Di antara keistimewaan Syaikh al-Maami adalah banyak karya - karya beliau tersebut ditulis dalam bentuk nazam, tidak hanya terbatas kepada nazam syair pujian - pujian kepada Allah ta`ala dan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, juga meliputi berbagai bidang ilmu termasuklah fiqh dan qawaidnya. Di antara karangan beliau yang masyhur adalah nazam bagi kitab fiqh Maliki, Mukhtashar Khalil, ditulis dalam anggaran 10,000 bait. Selain ilmu - ilmu agama dan alat, beliau turut menguasai ilmu - ilmu seperti hisab dan geografi serta meninggalkan karya - karya tulis dalam bidang tersebut. Mudah - mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan mengalirkan keberkatannya kepada kita sekalian....Allahumma ....aamiin. Berikut adalah nazam yang digubah oleh Syaikh Muhammad al-Maami berisikan munajat memohon perlindungan Allah daripada segala bala bencana dan wabak penyakit. 

Nazam Syaikh Muhammad al-Maami