Khamis, Januari 06, 2022
Imam al-Hafiz as-Sakhawi rahimahullah pada halaman 401 - 402 kitab al-Qawlul Badii` menukilkan sebuah riwayat marfu` daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Dalam riwayat tersebut dinyatakan sebagai berikut: Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat 10 kali ulang: "Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi hadzihil `asyiyah", nescaya Allah `azza wa jalla akan mencatat baginya 100,000,000 kebajikan, menghapus daripadanya 100,000,000 kesalahan dan mengangkat baginya 100,000,000 darjat. Ketika pada hari Kiamat (di Mahsyar) dia akan berdamping dengan Nabi Ibrahim al-Khalil di kubah baginda. Begitulah hebatnya ganjaran yang dijanjikan, namun sayang sekali kerana menurut Imam as-Sakhawi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Musa al-Madini ini adalah makdzub (dusta). Imam Ibnu Hajar al-Haitami telah menukilkan riwayat ini dalam Durrul Mandhud pada halaman 217 dan menyatakan bahawa riwayatnya makdzub. Samada ada jalur - jalur lain untuk hadis ini, maka faqir kurang periksa.
Katakanlah ulama sepakat dengan penilaian bahawa riwayat tersebut dusta, namun tidak bererti ungkapan yang indah itu atau shighah shalawat tersebut mesti ditolak dan haram untuk dibaca atau diamalkan. Selagimana sesuatu lafaz itu tidak menyalahi akidah dan ajaran Islam, maka tidaklah menjadi masalah untuk dibaca atau diamalkan, dengan syarat jangan disabitkan atau disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai satu sabdaan baginda. Maka dari itu, sebahagian ulama menganggap baik dan elok susunan ungkapan yang ada dalam riwayat tersebut dan mereka menjadikannya sebagai amalan mereka. Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah telah memuatkannya dalam Sa`aadatud Daarain pada halaman 246 - 246, iaitu Shalawat ke-13, Shalawat `Abdullah ibn `Abbas radhiyaAllahu `anhuma. Syaikh Yusuf tidak menukilkan segala kelebihan membaca shalawat tersebut 10 kali pada malam Jumaat sebagaimana dalam riwayat yang makdzub tadi. Beliau hanya memuatkan shighah shalawat tersebut sahaja dan menyatakan bahawa ianya diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini daripada Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma.
Di Nusantara, tidak kurang ramainya tok - tok guru dan ustaz - ustaz yang mengamalkan shalawat ini sebagai wirid mereka, samada harian atau mingguan. Mereka juga memperturunkan amalan ini kepada murid - murid mereka dan juga kepada masyarakat awam. KH Ahmad Qusyairi bin Shiddiq rahimahullah telah menjadikan shighah Shalawat "Ibnu Abbas" ini sebagai shalawat terakhir dan sebagai penutup bagi 80 shalawat yang beliau himpun dalam kitab wirid shalawat beliau yang berjodol al-Waasilatur Harriyyah yang masyhur di kalangan para kiyai dan santri. Bahkan ramai yang mewiridkannya sebagai wirid shalawat tambahan sebagai pelengkap kepada Dalailul Khairat.
KH Husein Qadri rahimahullah pula memuatkan shalawat ini di awal kitab beliau Senjata Mukmin iaitu pada halaman 3 penerangan mengenai Hizbun Nashri wal Fathi, di mana jika pada malam Jumaat pembacaan hizib ini dimulakan dengan membaca 7 jenis shalawat dan shalawat yang pertama adalah Shalawat "Ibnu `Abbas" yang dibaca 10 kali. Lain pula halnya dengan Habib `Idrus bin `Abdullah al-Habsyi Muar Johor rahimahullah. Beliau meletakkan shalawat ini, dengan sedikit perbezaan kalimah, di hujung Ratibul Haddad sebagai zikir tambahan untuk dibaca 10 kali pada malam Jumaat. Ini beliau catat pada halaman 22 risalah beliau yang berjodol al-Fawaaidul Abadiyyah, yang mana risalah ini telah disemak dan ditashih oleh al-`Allaamah al-Fadhil Tuan Haji Hasan, Mufti Melaka dan diterjemah oleh al-Fadhil Tuan Syaikh `Abdullah BaSmeih.
Akhirul kalam, KH Fathullah Harun rahimahullah menukil shalawat ini dalam risalah asas karangan beliau yang berjodol Panduan Ibadah Fardhu `Ain yang faqir pelajari sejak dini. Pada halaman 46, beliau rahimahullah menulis sebagai berikut:- Satu lagi shalawat yang sangat besar faedahnya jika dibaca pada tiap - tiap petang atau malam, teristimewa pada tiap - tiap malam Jumaat sepuluh kali: "Allahumma Ya Daa-imal Fadhli `alal bariyyah, Ya Baasithal Yadayni bil `athiyyah, Ya Shaahibal Mawaahibis saniyyah, shalli `ala Sayyidina Muhammadin Khairil Waraa bis sajiyyah, wagh firlanaa, Ya Dzal `Ulaa fi haadzihil `asyiyah", ertinya: "Ya Allah, Ya Tuhan yang berkekalan limpah kurnianya atas sekalian makhluk; Ya Tuhan yang sentiasa terbuka luas kurniaNya dengan pemberian; Ya Tuhan yang mempunyai pengurniaan - pengurniaan yang maha tinggi; Limpahkanlah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, sebaik - baik makhluk dengan sebab keluhuran perangainya; Dan ampunilah dosa kami pada petang ini, Wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian."
Oleh itu sesiapa yang mahu mengamalkannya tidaklah menjadi kesalahan. Tapi janganlah disandarkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam samada pada shighah atau fadhilahnya. Fadhilahnya itu biarlah dijadikan harapan kita semata, umpama diqasad maupun dikata:-
Mudah - Mudahan Ya Allah
Berkat lafaz shalawat ini
Diganjari hamba pahala berjuta - juta
Dihapuskan segala dosa hamba
Kecil dan besar, beketi belaksa
Diangkatkan hamba darjat ketinggian
Dianugerahkan hamba tempat berlindung
Di Padang Mahsyar
Bawah kubah Khalilur Rahman
Bersama baginda melangkah ke syurga
Aamiin .... aamiin.
Semoga ikhlas dan bermanfaat. Perjalanannya bakal panjang, bekalannya sedikit, lalu bagaimana harus ditempuhi. Hanya dengan taufiq, inayah dan rahmatNya jualah.
Isnin, Januari 03, 2022
Zikir Imam Ghazali - Ubat Hati
Amalan zikir harian dalam jumlah 1000 kali dengan lafaz zikir yang tertentu mengikut hari dalam seminggu telah lama diamalkan oleh ramai umat Islam. Amalan ini dinisbahkan kepada Imam Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Di antara yang menyebarkan amalan ini dalam masyarakat dan memuatkannya dalam karya adalah Kiyai Agung Hadhratusy Syaikh Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrahul `aziz. Beliau menulis sebuah risalah dengan jodol al-Futuuhatul Ilahiyyah fi bayaani kaifiyyah ath-Thariqati al-Ghazaliyyah. Pada halaman 5 risalah tersebut beliau menukilkan sebagai berikut:- Telah berkata Sayyidina wa Mawlana, asy-Syaikh, al-Imam, Hujjatul Islam wal Muslimin, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu: "Tidak terhasil atasku futuh dan tidak juga keberkatan melainkan dengan wirid - wirid ini..." Kiyai Agung meneruskan risalah tersebut dengan menyatakan wirid - wirid tersebut mengikut harinya dalam seminggu dengan diberikan syarah yang ringkas mengenai zikir - zikir tersebut dan kelebihannya. Beliau juga menerangkan kaedah dan kaifiat mengamalkan zikir - zikir tersebut beserta dengan segala fawatihnya yang dikhususkan kepada Syaikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim, Syaikh Ahmad ad-Dairabi dan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Namun apa yang faqir dapatkan daripada zuriat keturunan beliau, amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini adalah amalan tambahan yang diajar oleh Kiyai Agung, di mana ianya boleh diamalkan menurut kemampuan seseorang tanpa terikat kepada kaifiat atau kaedah tertentu, yang penting setiap zikir harian itu dibaca sehingga cukup 1000 kali, samada di atas tikar sembahyang atau ketika menjalankan apa - apa urusan harian.
Selanjutnya, ulama Banjar KH Husein Qadri rahimahullah, juga memuatkan dalam tulisan beliau yang menghimpunkan beberapa doa, wirid dan zikir dengan jodol Senjata Mukmin. Pada halaman 138 karya tersebut ada dinyatakan sebagai berikut: Telah berkata Imam Ghazali: "Tidak hasil bagiku terbuka segala kebahagiaan dan keberkatan melainkan dengan mengamalkan segala wirid ini ...(disenaraikan segala wirid harian tersebut)"...
KH Anwar Musaddad rahimahullah juga kerap mengajar dan mengijazahkan amalan Zikir Harian Imam Ghazali ini kepada masyarakat umum. Ini juga beliau lakukan melalui lisan dan tulisan. Bahkan Risalah al-Barakaat, yang menghimpunkan beberapa zikir dan doa yang beliau ijazahkan, beliau mulakan dengan mengutarakan amalan Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah ini. Dalam ijazah KH Anwar Musaddad dinyatakan bahawa bagi zikir tahlil pada hari Sabtu, pada setiap 100 kali ucapan tahlil ditambah pula dengan kalimah Muhammadur Rasulullah sekali. Ini adalah antara ulama yang menganjur dan menyebarkan amalan zikir ini di rantau Dunia Melayu. Faqir sesungguhnya percaya bahawa pasti ramai lagi ulama, tuan - tuan guru dan ustaz ustazah yang telah menyebar, mengajar dan menganjurkan amalan wirid harian Imam Ghazali ini. Mudah - mudahan diberikan Allah kepada mereka sekaliannya ganjaran yang besar atas khidmat mereka tersebut.
Sebagai penutup, faqir kongsikan klip ceramah yang pernah "top" satu ketika dahulu dengan jodol Ubat Hati yang disampaikan oleh almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah. Dalam bahagian ceramahnya ini beliau menerangkan serba sedikit mengenai zikir - zikir harian Imam Ghazali ini sebagai ubat bagi hati yang kotor atau berpenyakit. Oleh itu, elok dan molek benar jika lidah - lidah kita yang kerap nganggur sepanjang hari digerakkan untuk mengamalkan zikir Imam Ghazali yang berkat ini. Marilah kita jadikan azam tahun baru ini untuk membersihkan hati kita daripada segala kekotoran, kekaratan dan penyakit. Mudah - mudahan sebelum mati menemui kita, hati kita telah dibersihkan Allah dan dijadikannya qalbun salim - hati yang selamat sihat sejahtera daripada segala kekotoran dan penyakit....Allahumma aamiin.
Rabu, Disember 29, 2021
Shalawat Tafrijiyyah - TG Nik Aziz
Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah, adalah antara ulama kita yang tidak mempermasalahkan amalan Shalawat Tafrijiyyah. Bahkan, shalawat ini menjadi amalan dan wirid beliau dan beliau mengajarkannya kepada masyarakat untuk diamalkan, sekurang - kurangnya pada setiap hari Jumaat. Maka hati - hatilah wahai saudara, tahan lidahmu daripada mencaci, mencemuh, mentohmah, membuat tuduhan sesat atau syirik terhadap saudara seagama. Juga tahan hatimu daripada berburuk sangka atas mereka. Mudah - mudahan dengan sedemikian hidup beragama kita dan mereka akan sentiasa harmoni dan damai, sama - sama berkiblat ke arah yang satu.
Shalawat Tafrijiyyah
(TG Nik Aziz)
Isnin, Disember 27, 2021
Hadiah Bacaan - TG Nik Aziz
Kita diajar untuk sentiasa ingatkan arwah saudara - saudara seagama yang telah meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka - mereka yang sudah putus amal diri mereka, melainkan beberapa perkara. Selain daripada mendoakan mereka, maka dianjurkan juga oleh jumhur ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah agar kita bersedekah buat mereka, samada dengan material atau dengan membacakan ayat - ayat suci al-Quran, zikir dan shalawat. Tradisi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah orang - orang mati daripada kalangan muslimin muslimat telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam di dunia ini. Bukan sahaja alam Melayu, tapi seluruh pelusuk dunia Islam. Tradisi tahlilan bukan sahaja diamalkan di rantau kita sahaja, bahkan di negara - negara lain juga, hatta di Algeria, Tunisia, Maghribi (Morocco) dan sekitarnya yang tidak pernah bersentuhan dengan budaya Hindu pun melakukannya dengan gaya dan kaedah mereka sendiri namun isinya sama, iaitu menghadiahkan pahala bacaan Quran, shalawat, zikir, bersedekah dan mendoakan si mati. Jadi puak yang mentohmah bahawa tahlilan itu berasal dari budaya Hindu atau cuba menyamakan kenduri tahlil kita dengan tradisi Hindu, adalah keliru, tersasar dan menyimpang jauh dari kebenaran.
Mari kita sama - sama dengar sedikit cuplikan daripada pengajian almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berdasarkan kepada beberapa "hadis" yang dinukil dalam at-Tadzkirah fi Ahwalil Mawta wa Umuril Akhirah @ Tadzkirah al-Qurthubi. Perlu diingat bahawa walau apa pun pertikaian ulama mengenai status hadis - hadis ini, ia tidak memberi kesan atas hukum boleh dan harus bahkan mustahab untuk membacakan ayat - ayat suci al-Quran serta zikir - zikir lalu dihadiahkan pahalanya kepada orang mukmin yang telah meninggal dunia. Ini adalah kerana keharusan tersebut adalah berdasarkan kepada nas - nas lain yang muktabar.
Maka janganlah cepat melatah jika dua hadis yang terkandung dalam kitab tersebut atau kitab - kitab lainnya dianggap dhaif atau bermasalah bahkan dikatakan sebagai mawdhu oleh sesetengah ulama. Tenang - tenang aja dan bacalah al-Fatihah untuk segala arwah kaum muslimin. Dua hadis yang faqir maksudkan adalah sebagai berikut:-
- Diriwayatkan oleh as-Silafy daripada hadis Sayyidina `Ali bin Abi Thalib radhiyaAllahu `anhu berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang melalui kawasan perkuburan dan membaca Surah al-Ikhlash 11 kali lalu dihadiahkan pahalanya kepada segala arwah orang mati, dia akan diberi ganjaran pahala menurut bilangan orang - orang yang telah mati".
- Dikatakan sebagai diriwayat daripada hadis Anas, khadam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apabila seorang mukmin membaca Ayatul Kursi dan menjadikan pahalanya untuk ahli kubur, maka Allah akan memasukkan ke dalam setiap kubur orang mukmin dari Timur ke Barat 40 nur serta dilapangkanNya akan kubur - kubur mereka. Diberikan Allah kepada si pembaca tadi (seumpama) pahala 60 nabi, diangkatkan darjatnya menurut bilangan orang - orang mati tersebut dan diberikan baginya untuk setiap orang mati tersebut 10 pahala kebajikan.
Mengenai ganjaran - ganjaran tersebut, maka terpulanglah kepada kemurahan Allah ta`ala semata. Jika dikatakan seumpama diberi pahala 60 nabi, maka jangan jump to conclusion yang kita mendapat seratus persen pahala segala amalan dan perjuangan serta dakwahnya para nabi tersebut. Jangan pula hendak disamakan diri kita dengan para nabi yang mulia lagi maksum. Pahala Nabi tersebut tidak diperincikan dalam riwayat tersebut, mungkin pahala yang dimaksudkan adalah pahala tidurnya para nabi atau pahala debu yang melekat di pakaian mereka ketika berjalan, umpama. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apa - apa pun, jika benarlah riwayat tersebut, maka mutlak atas Allah memberikan apa jua ganjaran menurut kehendakNya. Maka teruskanlah berbuat ihsan kepada segala arwah saudara - saudara kita dengan banyak berdoa dan bersedekah untuk mereka. Akhir kata faqir sudahi dengan pesanan Tuan Guru Nik Aziz rahimahullah sebagai bukti beliau tidak anti itsal ats-tsawab atau hadiah pahala kepada si mati. Antara pesan beliau:...."Baca QulhuwaAllah ka sepatah, Ayat Kursi ka sepatah, Hei Tuhanku hadiah pahala ini pada orang kubur....." Harap dengar elok - elok pengajian Tuan Guru, mudah - mudahan bermanfaat.
Klip Ceramah TG Nik Abdul Aziz
(Hadiah Bacaan Kepada Arwah)
Khamis, Disember 23, 2021
Qawl Muktamad Sampai Pahala
Pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati akan sampai kepadanya. Pendapat ini dinyatakan oleh para ulama kita `alaihim ridhwanUllah, antaranya guru besar yang menjadi gurunya para guru kita dan para ulama Nusantara, Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi @ Sidi al-Bakri ad-Dimyathi rahimahullah. Dalam kitabnya yang masyhur I`aanatuth Thaalibiin, juz 3, halaman 258, Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dengan terang menukil daripada Imam Bujairimi bahawa qawl masyhur yang mengatakan pahala bacaan al-Quran dihadiahkan kepada simati tidak sampai kepadanya adalah qawl dhaif. Manakala yang muktamad adalah sebaliknya, iaitu menurut QAWL MUKTAMAD, pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada orang mati adalah sampai kepadanya. Jadi ini kedudukan hukum masalah ini dalam Mazhab Syafie. Maka Mazhab Syafie juga berpandangan pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati sampai kepadanya. Fahami dengan benar kedudukan hukum ini dalam mazhab kita. Ramai yang terkeliru dalam masalah ini sehingga beranggapan bahawa qawl masyhur itulah qawl yang muktamad yang menjadi pegangan dalam Mazhab Syafie, sedangkan hakikatnya tidaklah sedemikian.
Hukum Membaca al-Quran Di Kubur
(Tuan Guru Haji Abdul Hadi)
Selasa, Disember 21, 2021
Jangan Tinggalkan Barzanji
Siapa yang tidak kenal akan kitab Mawlid al-Barzanji? Kitab Mawlid yang paling masyhur di dunia Melayu. Mawlid ini sangat dekat dengan bangsa kita, rata pondok - pondok di Tanah Melayu dan Nusantara menjadikan kitab ini sebagai bacaan "mesti" dalam majlis - majlis memperingati mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Masyarakat awam kita juga tidak jauh dengan kitab mawlid ini, dahulu dalam setiap kenduri - kendara seumpama nikah kahwin dan kesyukuran, pasti dibacakan sedikit sebanyak fashal daripada kitab yang mulia ini lalu diikuti dengan bacaan shalawat dan marhaban dan ditutup dengan doa. Sekarang pun masih tetap berlaku sedemikian, melainkan di tempat - tempat yang sudah termakan dakyah ahli bid`ah membid`ah. Maka boleh kita katakan bahawa Mawlid Barzanji ini telah kita warisi daripada para ulama kita zaman berzaman dari mula tok nenek kita menerima Islam sehinggalah ke hari ini. Seharusnyalah kita tetap pelihara warisan tok nenek kita ini dengan melestari dan terus membaca kitab yang berkat ini.
Ulama kharismatik Tanah Seberang, KH Maimoen Zubair rahimahullah amat mengambil berat terhadap Mawlid Barzanji. Dalam pengajian, beliau pernah menyatakan, sebagaimana dirakam dalam buku KH. Maimoen Zubair: Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam pada halaman 65, sebagai berikut: Tahun 1100H ke atas. Perkembangan ilmu pengetahuan Islam maju lagi. Yaitu munculnya Kitab al-Barjanji yang mensyiarkan tentang rasa cinta kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jangan kalian melupakan kitab asal ini meskipun sudah ada kitab - kitab yang memuji terhadap Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dikarang oleh ulama selain Imam al-Barjanji.
Sesungguhnya Mawlid al-Barzanji tidak cukup dengan pengenalan, cuma yang perlu berkenalan yang lebih akrab, dengan banyak membaca dan mengambil faedah daripadanya. Tersangat banyak manfaat, faedah dan pelajaran daripada pribadi dan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dapat dipetik daripada kitab yang kecil tersebut. Bermawlid bukan sahaja ertinya bershalawat tapi juga mengambil faedah dan pengajaran daripada apa yang dibaca atau didengar atau dilantun. Mudah - mudahan kitab Mawlid al-Barzanji karya Mufti Madinah ini tetap terus dibaca demi membesar dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Klip Ceramah Gus Baha
(murid KH Maimoen)
Jumaat, Disember 17, 2021
Shalawat Badawi - Kiyai Agung
Sempena Hari Jumaat yang mulia, faqir tulis sedikit lagi mengenai Shalawat Badawi atau lebih dikenali dengan nama Shalawat Nuril Anwar. Shalawat yang sangat berkat ini dinisbahkan kepada Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu, seorang wali yang mencapai darjat quthub. Maka terpulanglah kepada masing - masing, samada percaya atau tidak. Shalawat yang sangat berkat ini telah banyak diamalkan orang dan mereka telah merasai kelazatan dan keberkatannya. Maka tidak hairan jika kelebihan dan khasiatnya telah ditulis dalam kitab para ulama berdasarkan kepada tajribah yang telah mereka perolehi atau berdasarkan kepada pengalaman rohani orang lain. Terserahlah samada percaya atau tidak, sebab ianya bukan nas syarak yang mesti dibenarkan. Umpama jika orang tua - tua kata, pokok ni elok untuk kesihatan, maka itu adalah berdasarkan kepada pengalaman mereka atau pengalaman orang yang telah mencubanya, bukannya ada nas syarak yang kata begitu dan bukan juga kerana sudah diuji di makmal ketika itu. Jadi terpulang untuk percaya atau tidak, tak perlu nak bergaduh atau berbalah yang menghabiskan umur dan tenaga. Berbalik kepada bicara shalawat.
Maka kita sebagai ahli PAS (Puak Ahlis Sunnah) hendaknya jangan mensia-siakan amalan para awliya` dan alim ulama kita. Jangan terpengaruh dengan puak PAS (Puak Ajaran Sesat) yang langsung tidak meng"umpama"kan para alim ulama dan awliya`.
Langgan:
Catatan (Atom)
