Rabu, Jun 19, 2024
Tuan Guru Haji Wan Ali al-Jambuwi (1915 - 1995) adalah antara ulama pondok di Patani Darus Salam. Beliau di lahirkan di Pekan Jambu, Daerah Yaring. Memulakan pengajian formal di sekolah sehingga tamat Tingkat 4 sebelum memutuskan untuk mendalami ilmu agama. Untuk tujuan tersebut, beliau telah berkelana ke Kelantan Darun Naim untuk berguru dengan ulama tersohor ketika itu, almarhum al-`Alim al-`Allaamah al-Wali Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang lebih terkenal dengan sebutan Tok Kenali, ulama yang telah mencetak ratusan ulama yang menabur jasa di rantau Melayu.
Setelah mondok dengan Tok Kenali, beliau berangkat pula ke Mekah untuk menyambung pelajaran di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan berguru dengan para ulama Tanah Haram. 12 tahun beliau di Mekah, maka sekitar 1946 beliau balik ke Patani lalu membuka pondok di Kampung Sekam yang dinamakan sebagai Madrasah Batu - Furu` ash-Shaulati al-`Alawi. Beliau mengajar hampir 45 tahun di pondoknya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1995 ketika berusia 80 tahun. Di antara karangan beliau yang masih dicetak dan beredar dalam masyarakat adalah Pengingatan Muslimin bagi isyrathus sa`ah akhir zaman yang membicarakan secara ringkas tapi padat tentang alamat - alamat besar akhir zaman seperti Imam Mahdi, Nabi Isa, Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Mudah - mudahan Allah menyirami roh beliau dengan siraman rahmat kasih sayang serta menempatkan beliau di dalam syurga Jannatun Na`im, al-Fatihah.
Jumaat, Jun 14, 2024
Shalawat Nur - Kiyai Shaleh Darat
Shalawat Badawi Shughra atau lebih dikenali sebagai Shalawat Nuril Anwar telah lama menjadi bacaan dan amalan ulama dan awam umat Islam di berbagai belahan dunia Islam. Pengamal yang istiqamah mengamalkannya telah merasai keberkatannya sehingga pengalaman tersebut diceritakan dan tersebar. Maka, tercatatkan kisah - kisah khasiat atau fadhilat atau keberkatannya dalam karangan para alim ulama. Semuanya hasil tajribah dan pengalaman individu, maka terpulang untuk percaya atau tidak, tiada masalah, sebab bukannya firman Allah jalla wa`ala dan sabda Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tak perlu kita habiskan beras untuk bertelagah mengenainya, nak pakai pakai, tak nak pakai sudah.
Maka di antara ulama yang menulis sedikit tentang keberkatan dan khasiat Shalawat Nuril Anwar ini adalah gurunya para kiyai di Jawa, Kiyai Haji Muhammad Shaleh bin Umar bin Muhammad Tasnim as-Samarani @ Kiyai Shaleh Darat (1235 - 1321H). Beliau rahimahullah menyebut di awal kitabnya Minhajul Atqiya` yang merupakan syarah beliau dalam Bahasa Jawa bagi syair Hidayatul Adzkiya` dinyatakan sebagai berikut (setelah diMelayukan):- "... Orang mukmin sewajarnya juga membaca shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid Ahmad al-Badawi yang shighahnya [ Allahumma shalli `ala Nuril Anwari...]. Ada pun faedah daripada shalawat ini adalah:- Barangsiapa yang memperbanyak membaca shalawat ini, maka semua hajatnya akan terpenuhi, kesusahannya akan hilang, semua perkara sulit akan menjadi mudah, akan muncul cahaya di hatinya, dikurniai ilmu sir dan semua hajatnya akan dimudahkan. Faedah dari shalawat ini sudah teruji. Adapun kaifiatnya adalah membacanya sebanyak 100 kali atau 92 kali setiap hari.
Mudah - mudahan bermanfaat, shallu `alan Nabi Muhammad.
Jumaat, Jun 07, 2024
Faedah Dari Kunuzul Asrar
Kitab Kunuzul Asrar merupakan karya seorang ulama dan pemuka Thariqat asy-Syadziliyyah, al-Imam al-`Arif bilLah Sidi `Abdullah al-Khayyaath bin Muhammad al-Haarusy al-Maghribi al-Faasi at-Tunisi rahimahullah. Kitab ini menghimpunkan berbagai jenis lafaz shalawat yang menurut pengarangnya memiliki kelebihan dan khasiat yang tertentu. Kitab ini mendapat perhatian awam dan khawas, bahkan tidak kurang yang menjadikannya sebagai bacaan dan wiridan mereka. Di antara shalawat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah shalawat yang kira - kira ertinya: Ya Allah, limpahkanlah shalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga, sahabat dan pengikut baginda, selagi mana mata masih dapat memandang; bumi masih disirami hujan; manusia masih menunaikan haji dan umrah; masih ada yang bertalbiah bertahallul, melaksanakan korban, tawaf dan mencium Hajaral Aswad."
Syaikh Yusuf an-Nabhani menukilkan shalawat ini sebagai Shalawat ke-103, pada halaman 329 kitab Sa`adatud Daarain. Beliau dalam komentar ringkasnya menyatakan Syaikh al-`Iyaasy menemui catatan pada dinding kubah sebahagian awliya` bahawasanya membaca shalawat ini sekali seumpama membaca 500,000 shalawat. Oleh sebab dalam shalawat ini ada disebutkan tentang haji dan umrah juga amalan bersangkutan seperti tawaf dan tahallul, maka ada ulama yang menganjurkan ia dibacakan dalam bulan haji. Mungkin antara hikmahnya, selain untuk mengambil sempena, adalah sebagai pengubat kepiluan dan kerinduan mereka - mereka yang belum diberi kesempatan melaksanakan ibadah haji tersebut.
Habib `Abdul Bari bin Syaikh bin `Aydrus al-`Aydrus, ulama Hadhramaut yang wafat di Tarim pada tahun 1358H, sering mengingatkan murid dan pencinta beliau agar memperbanyakkan bershalawat dengan shalawat ini ketika masuk bulan DzulHijjah, terutama sekali pada hari `Arafah. Beliau rahimahullah menyatakan bahawa para salaf (yakni ulama dan leluhur Ba `Alawi) tidak meninggalkan shalawat ini terutama pada saat hari Arafah (yakni saat jemaah haji berwuquf di Arafah), mereka memperbanyakkan membaca shalawat ini. Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana isi kandungan shalawat tadi yang memohon agar ganjaran shalawat yang kita hatur kepada baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam diganda dan dilestari, antaranya, selagi ada orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, bertalbiah, bertahallul, menyembelih korban, tawaf dan mengucup Hajaral Aswad. Sebanyak mana bilangannya dan selagi mana ada yang melakukannya, maka sedemikian itulah harapan kita agar ganjaran shalawat kita digandakan dan dipanjangkan oleh Allah ta`ala.
Memandang kepada besarnya ganjaran yang dipohon dan keluasan rahmat Allah yang tidak berpenghujung, tidak hairan, Habib Hamid bin Alwi bin Thahir al-Haddad, seorang ulama ahlil bait yang lahir di Qaydun dan wafat di Mekah tahun 1415H, menulis dalam kitab shalawat beliau, al-Hadiyyatus Saniyyah pada halaman 18 bahawa membaca shalawat ini 5 kali mudah-mudahan menjadi penebus diri pembacanya dari azab neraka. Semoga shalawat ini dapat dijadikan tambahan pada amalan kita sebagaimana saranan dan pesanan para ulama kita. Mudah - mudahan berkat di dunia dan di akhirat.
Klip Ustazah Halimah al-`Aydrus
Rabu, Mei 29, 2024
Martsiyyah Sayyidah Shafiyyah
Di dalam banyak - banyak syair bangsa Arab, ada yang dinamakan syair ritsa` atau martsiyyah. Dalam tradisi Melayu, syair atau sajak seperti ini tidak masyhur walaupun ada. Ini adalah bentuk syair yang diucapkan ketika atau selepas seseorang meninggal dunia bagi melahirkan kepiluan ditinggalkan serta mengenang kebaikan si mati ketika hayatnya. Ketika Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam wafat, di antara yang mengubah ritsa` bagi melepas pemergian baginda ke sisi ar-Rafiqul A'la adalah ibu saudara baginda yang bernama Sayyidah Shafiyyah binti Abdul Muthallib radhiyaAllahu `anha. Martsiyyah Sayyidah Shafiyyah ini masyhur dan dimuatkan dalam berbagai karya termasuklah dalam karangan - karangan hadis. Imam ath-Thabrani menukilkannya dalam al-Mu'jam al-Kabir yang mana menurut Imam al-Haitsami dalam Majma` az-Zawaid pada jilid 17, halaman 465 - 466, sanadnya adalah hasan.
Sayyidah Shafiyyah radhiyaAllahu `anha dalam ritsa` tersebut memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan seruan "ya nida`" yakni dengan seruan "Ya,RasulAllah". Antara kata - kata yang beliau ungkapkan dalam ritsa` tersebut adalah: "Saksikanlah, Ya RasulAllah, engkau telah menjadi (sumber / sebab) kesenangan kami (rakha-ana) (dalam riwayat lain "harapan kami (raja-ana)"). Maka jika semata - mata menyeru atau memanggil Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan ungkapan - ungkapan seperti "Ya Nabi" atau "Ya RasulAllah" itu syirik secara mutlak, maka adakah kita tergamak menghukum ibu saudara baginda, Sayyidah Shafiyyah sebagai musyrik? Barang diingat bahawa seruan dalam ritsa` tersebut dilakukan dan diucap selepas roh suci baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam berpisah dengan jasad yang mulia, yakni selepas kewafatan baginda meninggalkan alam dunia berpindah ke alam barzakh. Maka janganlah bermudah - mudah menghukumkan sesama saudara sebagai musyrik dengan sebab - sebab yang tidak qathie.
Isnin, Mei 06, 2024
Pinggan Berdoa
Di antara perbuatan sunat yang didasarkan kepada sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah mengutip serta memakan makanan yang terjatuh dari suapan atau pinggan yang kita makan. Juga disunatkan setelah selesai makan, jari jemari tangan kanan yang digunakan untuk makan, terutamanya 3 jari iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, dijilat. Begitulah juga dengan pinggan yang telah kita gunakan untuk makan tadi. Di antara dasar bagi amalan ini adalah sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim sebagai berikut:- " Adalah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika selesai memakan sesuatu makanan, baginda menjilat jari - jarinya yang tiga (yakni Junjungan biasanya makan dengan tiga jari, iaitu jari tengah, jari telunjuk dan ibu jari, bersesuaian dengan diet baginda seperti tamar, roti dan seumpamanya, yang hanya perlu menggunakan 3 jari untuk mengambil dan menyuap ke mulut) dan baginda bersabda: " Jika suapan seseorang daripada kamu terjatuh, (kutiplah semula) lalu hilangkan daripadanya kekotoran ( jika ada) dan makanlah ia, jangan ditinggalkan untuk dimakan oleh syaitan." Baginda menganjurkan kepada kami untuk menyapu / mengusap pinggan makan (dengan jari) dan bersabda: "Sesungguhnya kamu tidak tahu pada makanan yang manakah terletaknya keberkatan."
Diterangkan bahawa kaifiat menjilat jari menurut sunnah adalah dengan memulakan jilatan pada jari tengah, lalu jari telunjuk dan akhirnya ibu jari. Manakala "jilat" pinggan itu tidaklah bererti pinggan itu dijilat terus dengan lidah seperti anjing atau kucing menjilat - jilat bekas makanannya. Ulama kita menerangkan perlakuan menjilat pinggan adalah dengan menghabiskan segala sisa atau bekas makanan yang ada pada pinggan tersebut, lalu mengusap atau menyapu pinggan tersebut dengan telunjuk jari tangan kanan kita dan setelah itu menjilatnya. Inilah yang dikatakan sebagai men"jilat" pinggan.
Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah di akhir karangan beliau yang dinamakan Perhubungan Bughyatuth Thulaab menerangkan kaedah dan fadhilahnya seperti berikut:-
...Dan sunat ia memungut akan tumpah pada makanan, maka dimakannya. Dan sunat apabila memakan pada umpama pinggan kayu, disapunya dengan telunjuknya yang lekat pada pinggan dan dijilatnya yang bekas makanan pada anak jarinya kerana tersebut dalam hadis yang riwayat daripada Bazzar bahawasanya berkata pinggan yang kita jilat makanan yang padanya: "Allahumma ajirhu minan naari kamaa ajaarani min la'qisy syaithaan," - "Hai Tuhanku, lepaskan olehMu akan dia daripadanya api neraka seperti ia melepaskan kami daripada jilat oleh syaitan.....
Perbuatan menjilat jari dan pinggan, setelah selesai makan sebagai satu perbuatan sunat tidak menjadi pertikaian di sisi para ulama, kerana ianya tsabit daripada nas yang shahih. Namun, yang dipermasalahkan oleh sebahagian adalah kelebihan atau fadhilat melakukan perbuatan tersebut kerana riwayat - riwayat mengenai kelebihannya ada yang dhaif. Jika pun riwayat - riwayat tersebut dhaif, ia hanya berkaitan dengan masalah fadhail sahaja, yang tujuannya adalah sebagai pelengkap dan motivasi melakukan sunnah tersebut.
Di antara kelebihan adalah sebagaimana disebut oleh Mawlana Syaikh Daud tadi dan juga faqir nukilkan sebagai tambahan apa yang disebut oleh Imam ad-Damiri rahimahullah dalam an-Najmul Wahhaaj fi syarhil Minhaaj, juz 6, halaman 260, sebagai berikut:-
...Dan mustahab untuk memakan semula suapan yang terjatuh, menjilat jari jemari dan pinggan makan, kerana ada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada Nubaisyah al-Aslami bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang makan dari pinggan, kemudian dia menjilatnya (yakni menyapu / mengusap sehingga bersih pinggan dengan jari dan menjilat jari tersebut), maka pinggan tersebut akan beristighfar baginya (yakni pinggan tersebut akan berdoa agar dia mendapat keampunan Allah). Menurut yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, pinggan tersebut berdoa dengan katanya: "Ya Allah, selamatkan dia dari api neraka sebagaimana dia menyelamatkan aku daripada jilatan syaitan."
Mudah - mudahan kita tergolong dalam kalangan yang mendapat doa daripada makhluk - makhluk Allah, daripada doanya para malaikat yang maksum sehingga doa benda - benda jamadat seperti pinggan mangkuk dan sebagainya. Jangan - jangan ampunan Allah bagi kita terselit dalam doa - doa tersebut. Makanya jadi manusia jangan sombong dan bongkak, jangan memandang rendah dan hina kepada makhluk lain. Ingat, orang yang tawadhu itu dikasihi Khaliq dan makhluk.
Isnin, April 29, 2024
Tahlil Jaami` Sidi Ahmad
Di antara wirid asas yang terpenting dalam Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah lafaz tahlil yang dirangkaikan dengan pengharapan agar ganjaran pahalanya digandakan Allah dengan berlipat kali ganda. Maka dinamakan zikir atau tahlil ini sebagai Zikir @ Tahlil Jaami` yakni ucapan zikir tahlil yang menghimpunkan ganjaran pahala yang teramat besar sehingga tak terperi. Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah salah satu thariqat yang masyhur dan ramai pengamalnya di dunia termasuklah di negara kita ini. Di Malaysia, ianya telah lama bertapak di Kelantan dan Negeri Sembilan, hingga ke saat ini masih ada dan berkembang. Ada pun tahlil jaami`, para ulama kita, walaupun tidak berafiliasi dengan Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah secara khusus atau ketat, turut menganjurkan bacaan tahlil jaami` sebagai upaya mencapai gandaan ganjaran sebagaimana yang dilafazkan. Zikir ini telah masyhur dan rata diamalkan oleh ulama dan awam, samada pengamal Thariqat Ahmadiyyah Idrisiyyah atau bukan. Misalnya, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun mengamalkannya dan memasukkan zikir ini dalam Zikir Pagi Jumaat yang biasa beliau baca bersama jemaah. Almarhum al-Muhaddits Dr. Muhammad bin `Alawi al-Maliki dan al-Faqih Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah turut menganjurkan membaca Tahlil Jami` ini.
Buya al-Maliki dalam kitab zikir dan wirid yang biasa beliau ijazahkan kepada muridin dan muhibbin, Khulasah Syawaariqal Anwaar, halaman 31, berpesan sebagai berikut:- (Jangan Tinggalkan) Untuk menyibukkan diri dengan zikir:- " { La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah }, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah." Sesungguhnya ia adalah zikir jaami` (yakni zikir yang menghimpunkan ganjaran pahala) bagi segala wirid.
Untuk melengkapkan faedah, faqir nukilkan sejarah Tahlil Jaami` sebagaimana tercatat dalam karya Ustaz Muhammad bin Ali bin Ahmad al-Ibrahimi, yang membahas tentang wirid - wirid yang biasa diamalkan selepas sembahyang, berjodol an-Nafahatur Rabbaniyyah fil Awradil Madaniyyah. Pada halaman 79 dinyatakan sebagai berikut:
Mengkhatam Dengan Tahlil Yang Jaami`Disukai kita mengkhatam atau menutup tahlil kita itu dengan lafaz tahlil yang jaami`:-"La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah, fi kulli lamhatin wa nafasin `adada maa wasi`ahu `ilmUllah", artinya: "Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad itu Pesuruh Allah, pada tiap - tiap kelipan mata dan hembusan nafas, sebanyak - banyak bilangan barang yang diliputi oleh ilmu Allah.Tahlil yang jaami` ini berasal daripada al-`Arif biLlah al-Imam as-Sayyid Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu. Ia menerimanya di dalam suatu pengalaman rohaniahnya, di dalam mana ia berjumpa dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam beserta dengan Nabi al-Khidhr `alaihis salam. Tahlil yang jaami` ini ditalqinkan kepadanya, mula - mulanya oleh Nabi al-Khidhr `alaihis salam atas suruhan daripada Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam, bersekali dengan talqin shalawat dan istighfar yang jaami`. Kemudian Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sendiri mentalqinkannya kepada as-Sayyid Ahmad radhiyaAllahu `anhu. Di dalam pengalaman itu Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengatakan kepadanya, bahawa ia telah dikurniakan anak - anak kunci langit dan bumi, iaitu tahlil yang khusus itu, beserta dengan shalawat yang `adzimah dan istighfar yang kabir. Barangsiapa mengucap tiap - tiap suatu daripadanya sekali, maka ganjarannya adalah kadar dunia dan akhirat dan barang yang di dalam keduanya, berlipat - lipat kali ganda banyaknya.......
Dalam an-Nujumuz Zahirah, halaman 76, Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahullah berpesan agar kita mengamalkan tahlil jaami` Sidi Ahmad bin Idris radhiyaAllahu `anhu selepas setiap shalat fardhu sebanyak 4 kali. Beliau menyatakan bahawa membaca sekali tahlil tersebut seumpama membaca 72,000 kali ucapan tahlil yang biasa. Ini adalah kerana ghalibnya pada setiap hari, seseorang bernafas sebanyak 24,000 kali, manakala matanya pula berkelip sebanyak 48,000 kali, menjadikan jumlah bilangan nafas dan kelipan matanya sebanyak 72,000 kali. Ini menurut anggaran sebahagian orang, bukannya mesti dan pasti sebanyak itu.
Pada hemat faqir yang dhaif, mungkin ini jumlah yang dapat dihitung dan dikira - kira, sedangkan yang dalam keluasan ilmu Allah, di mana ilmu Allah itu berta`alluq dengan segala wajibat, mustahilat dan jaa-izat, tiada siapa yang mengetahuinya selain Zat Yang Maha Mengetahui, Allah `azza wa jalla. Jadi jumlah 72,000 tersebut hanyalah bilangan yang kecil, yang dapat dihitung berdasarkan turun naik nafas dan pejam celiknya mata. Gandaan yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahui, tertakluk kepada KehendakNya dan kabul daripadaNya jua, dari nol hinggalah ke tak terperi. Kita selaku hamba hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan Zat yang Maha Pengasih Maha Penyayang yang berkuasa mutlak memberikan balasan yang berlimpah ruah tak terhitung kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semoga segala amalan kita diterima Allah dan diredhaiNya sehingga menjadi sebab kita melangkah ke syurga dengan rahmatNya jua.
Habib Muhammad al-Maliki
Guru Kapuh
Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Rabu, Mac 27, 2024
Langgan:
Catatan (Atom)






















