Selasa, September 07, 2021

Kanzul Haqaaiq

Shalawat cetusan ilham seorang ulama dan wali terkenal di Maghribi, Syaikh Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi al-Amghari rahimahullah yang lahir pada tahun 1876M. Beliau adalah faqih Maliki dan syaikh mursyid bagi Thariqat Darqawiyyah Syadziliyyah Habibiyyah. Shalawat gubahan beliau ini dinamakan sebagai Kanzul Haqaaiq. Ulama - ulama selepas beliau telah memberikan perhatian kepada shalawat ini dan menulis beberapa syarah untuk menjelaskan isi yang terkandung dalam shalawat ini. Kita yang berada di dunia Melayu mungkin kurang mengenali Sidi Muhammad ibnul Habib, namun di belahan dunia sebelah barat, beliau dikenali dan memiliki murid - murid yang menjadi penerus perjuangan beliau. Karangan beliau ada yang diterjemahkan ke bahasa - bahasa barat seperti Bahasa Inggeris dan Perancis.
 
Di sini, faqir terjemahkan Shalawat Kanzul Haqaaiq fish shalaati `ala Sayyidil Khalaaiq  sekadarnya, menurut pemahaman faqir yang lemah lagi singkat, moga - moga jadi asas bagi faham yang jitu, juga sebagai ingatan buat diri faqir. Itulah tujuan faqir menulis, tujuan dan sasaran utama adalah untuk diri faqir sendiri, agar ilmu dan maklumat yang ditulis dapat disimpan dalam blog ini untuk memudahkan semakan dan rujukan nanti. Lalu kemudian sesiapa yang sudi berkongsi membacanya, mudah - mudahan ada faedah dan manfaat. Semoga yang menulis dan yang membaca diberikan keikhlasan yang tulus semata-mata demi meraih keredhaan Yang Maha Esa. Maka dengan ilmu yang dangkal, faqir cuba mengartikan secara zahir akan Shalawat Perbendaharaan Hakikat - Hakikat Kebenaran, dengan `inayah dan hidayahMu jua, wahai Tuhan:-

Ya Allah
Limpahkan shalawat dan salam
Dengan segala kesempurnaanMu
Pada segala tajalli sifatMu
Atas baginda Muhammad
Awal permulaan segala nur ciptaanMu
Limpahan lautan - lautan keagungan zatMu
Dia yang menyatakan hakikat - hakikat
Segala nama dan sifatMu
Di alam batin dan alam zahir
Dia makhluk terawal
Memuji dan mengabdi kepadaMu
Dengan berbagai rupa ibadat dan qurubaat
Dialah penyalur bantuan pertolongan
Di alam roh dan dunia nyata
Kepada segala makhluk yang wujud
Limpahkanlah shalawat dan salam sedemikian
Atas keluarga dan sahabatnya sekalian
Shalawat yang menjadi sebab
Engkau singkapkan bagi kami
Hijab penghalang kami
Memandang wajahnya yang mulia
Dalam mimpi juga ketika jaga
Kurniai kami makrifat
Sebenar - benar makrifat akan Dikau dan dia
Pada segala tingkatan martabat dan penghadapan
Berlembutlah dengan kami
Wahai Tuhan kami
Demi jah kemuliaan baginda nabi
Dalam setiap gerak diam kami
Juga pada setiap lirikan dan bersitan.

Sidi Muhammad ibnul Habib al-Idrisi rahimahullah wafat pada tahun 1972M dalam usia 96 tahun, ketika dalam perjalanan menuju ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Makam beliau kini berada di Kota Meknes, Maghribi, dengan dirawat rapi dan menjadi tumpuan ziarah para pencinta dan pencari berkah. Mudah - mudahan Allah melimpahkan rahmat yang berkekalan ke atas Sidi Muhammad ibnul Habib, melapangkan kuburnya dan meninggikan darjatnya.... Allahumma aamiin, al-Fatihah

Kanzul Haqaaiq


2 ulasan:

AyaqSejuk berkata...

Terima kasih sidi. Sy sekian lama dr dulu follow sidi py entri dan share

Abu Muhammad berkata...

Alhamdulillah, mudah - mudahan berkah dan bermanfaat. JazakaAllahu ahsanal jaza'.