Jumaat, Disember 17, 2021

Shalawat Badawi - Kiyai Agung

Sempena Hari Jumaat yang mulia, faqir tulis sedikit lagi mengenai Shalawat Badawi atau lebih dikenali dengan nama Shalawat Nuril Anwar. Shalawat yang sangat berkat ini dinisbahkan kepada Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu, seorang wali yang mencapai darjat quthub. Maka terpulanglah kepada masing - masing, samada percaya atau tidak. Shalawat yang sangat berkat ini telah banyak diamalkan orang dan mereka telah merasai kelazatan dan keberkatannya. Maka tidak hairan jika kelebihan dan khasiatnya telah ditulis dalam kitab para ulama berdasarkan kepada tajribah yang telah mereka perolehi atau berdasarkan kepada pengalaman rohani orang lain. Terserahlah samada percaya atau tidak, sebab ianya bukan nas syarak yang mesti dibenarkan. Umpama jika orang tua - tua kata, pokok ni elok untuk kesihatan, maka itu adalah berdasarkan kepada pengalaman mereka atau pengalaman orang yang telah mencubanya, bukannya ada nas syarak yang kata begitu dan bukan juga kerana sudah diuji di makmal ketika itu. Jadi terpulang untuk percaya atau tidak, tak perlu nak bergaduh atau berbalah yang menghabiskan umur dan tenaga. Berbalik kepada bicara shalawat.

Risalah yang dinamakan sebagai al-Futuuhatul Ilahiyyah adalah antara karya tulis Kiyai Agung Syaikh Muhammad as-Suhaimi. Dalam karangan berbahasa Arab tersebut, Kiyai Agung menerangkan serba sedikit tentang zikir / wirid harian Imam Hujjatul Islam al-Ghazali yang masyhur dan zahir keberkatannya pada ramai orang yang mengamalkannya. Zikir harian Imam Hujjatul Islam ini telah masyhur, almarhum Ustaz Ghazali Hasbullah dahulu pernah menghuraikan amalan zikir ini dalam syarahan beliau dengan rakaman kaset yang tersebar ke tengah masyarakat dengan jodol Ubat Hati yang pernah masyhur satu ketika dahulu. Berkaitan Shalawat Nuril Anwar, pada halaman 15 - 16 kitab tersebut, Kiyai Agung menyatakan sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- Ramai awliya` telah menyebut bahawasanya lafaz (shighah) shalawat yang dinisbahkan kepada al-Quthubul Kaamil Sayyidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhu adalah sebab bagi menghasilkan nur yang banyak serta menyingkap banyak rahsia - rahsia hakikat dan makrifat (asrar). Ianya adalah di antara sebesar - besar sebab untuk berhubung dengan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika tidur dan jaga. Dalam shalawat ini terdapat rahsia - rahsia bagi memudahkan rezeki zahir, iaitu rezeki badan jasmani dan rezeki batin, iaitu rezeki bagi ruh. Maka bagi shalawat ini keistimewaan yang banyak, yang tidak dapat dibilang dan dikira.......

Maka kita sebagai ahli PAS (Puak Ahlis Sunnah) hendaknya jangan mensia-siakan amalan para awliya` dan alim ulama kita. Jangan terpengaruh dengan puak PAS (Puak Ajaran Sesat) yang langsung tidak meng"umpama"kan para alim ulama dan awliya`.

2 ulasan:

AyaqSejuk berkata...

Terima kasih atas huraian sidi.

Abu Muhammad berkata...

Fi khidmatikum.