Khamis, Januari 12, 2006

Istighatsah apabila haiwan terlepas

Ikhwah, Imam an-Nawawi rhm. dalam kitab "al-Adzkar" pada mukasurat 331 menyatakan Imam Ibnus Sunny dalam kitabnya meriwayatkan daripada Sayyidina 'Abdullah bin Mas`ud r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
  • Apabila terlepas haiwan salah seorang daripada kamu di suatu tanah lapang, maka hendaklah dia menyeru: "YA 'IBAADALLAH ! IHBISUU" (Wahai Hamba-Hamba Allah ! Kamu sekat dan kurungkanlah (yakni tangkap dan kurung haiwan tersebut). Maka sesungguhnya Allah 'azza wa jalla mempunyai hamba-hamba yang menangkap dan mengurung haiwan tersebut daripada terlepas lari.

Selanjutnya Imam an-Nawawi berkata:-

  • Telah menceritakan kepadaku sebahagian syaikh yang mempunyai kebesaran ilmu bahawasanya telah terlepas haiwan tunggangannya yang aku sangka ianya adalah seekor baghal, dan adalah syaikh tersebut mengetahui hadis ini lalu mengucapkan seperti dalam hadis tadi, maka ketika itu juga Allah menahan dan menyekat haiwan tersebut bagi mereka.
  • Dan adalah aku pada suatu ketika bersama dengan satu kumpulan (bermusafir), tiba-tiba terlepas lari seekor haiwan mereka dan tak mampu mereka untuk menangkapnya. Maka aku pun membaca seperti yang disebut dalam hadis tadi, lalu berhenti haiwan tersebut serta merta tanpa sebab selain perkataan ini (yakni istighatsah: "Ya 'Ibaad-Allah, Ihbisuu".)

Jadi kalau terlepas haiwan korban, bacalah doa tersebut. Mudah-mudahan maqbul.

Selasa, Januari 10, 2006

Terlupa Takbir Sholat Aidil Adha

Apabila seseorang terlupa takbir-takbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua, setelah Fatihah dibaca, maka luputlah kesunnahan bertakbir lagi dan tidak sunnat diulang takbir tersebut. Tetapi jika kembali bertakbir setelah Fatihah dibaca, maka tidaklah membatalkan sembahyang walaupun dengan sengaja dan mengetahui. Kemudian sunnat diulang semula Fatihahnya. Bahkan menurut Imam ar-Ramli, jika terlupa takbir pada rakaat pertama maka boleh dibawa ke rakaat kedua, tetapi pendapat ini ditolak oleh Imam Ibnu Hajar.
Nasnya boleh didapati daripada kitab "I`anatuth-Tholibin" juz 1 mukasurat 262:-
  • "...Disunnatkan bertakbir selagi mana belum memulakan pembacaan, maka apabila sudah memulakan pembacaan sebelum takbir-takbir tersebut dan adalah pembacaannya itu ta`awwudz atau bacaan surah - surah sebelum Fatihah (yakni gambarannya ialah dia membaca surah sebelum Fatihah kerana terlupa) tidaklah luput kesunnahan takbir-takbir tersebut. Dan jika yang dibaca Fatihah maka luputlah kesunnahan bertakbir kerana terlepas tempatnya MAKA TIDAK SUNNAT KEMBALI bertakbir. Jika dikembalikan bertakbir sebelum rukuk dalam keadaan sengaja dan mengetahui tidak batal sembahyangnya; atau selepas rukuk dia bangkit semula qiam untuk mendatangkan takbir-takbir tersebut batallah sembahyangnya.
  • Dan tidak diperdapatkan takbir-takbir yang lupa pada rakaat pertama dalam rakaat kedua. Inilah yang dipandang muktamad oleh Imam Ibnu Hajar. Telah diputuskan oleh Imam ar-Ramli kesunnahan memperdapatkan takbir-takbir tersebut dalam rakaat kedua beserta dengan takbir-takbir rakaat kedua tersebut....."

Isnin, Januari 09, 2006

Menghidupkan Malam Raya

Ikhwah, dalam hadis ada dinyatakan bahawa sesiapa yang menghidupkan malam hari raya dengan ibadah nescaya Allah akan menghidupkan hatinya pada matinya segala hati. Isyarat yang jelas daripada Junjungan s.a.w. bahawa menghidupkan malam hari raya dengan ibadah boleh menjadi sebab hidupnya hati kita dengan agama.

Junjungan s.a.w. memberi panduan agar hari-hari raya kita dihiasi dengan takbir dan tahmid, mengagung dan membesarkan Allah. Kita lain pula halnya, hanya sibuk menghias diri dan rumah, salah.... tak salah, asalkan jangan over dan jangan sampai yang utama diabaikan yang kurang perlu diwajibkan.

Di tempat kita, malam - malam raya terutama sekali malam 'Aidul Fitri amatlah meriah. Tapi meriah dengan hiburan, meriah dengan sinaran lampu, meriah dengan mercun. Saranan Junjungan s.a.w. untuk memperbanyakkan takbir diabaikan, hatta masjid-masjid kita lengang setelah sholat Isya` kerana semua sibuk nak menyambut hari raya. Lepas Isya, tidak lagi kedengaran suara-suara takbir. Fuqaha menyatakan bahawa disunnatkan bertakbir pada malam raya di mana-mana sahaja, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di rumah-rumah dengan mengangkat suara bagi lelaki. Rujuk "Raudhatuth-Tholibin" jilid 1 mukasurat 587.

Seperkara yang sering diabaikan juga oleh orang kita ialah kesunnahan bersholawat setelah bertakbir. Bertakbir dengan irama merdu telah menjadi kebiasaan orang kita, tetapi kenapa tidak mahu bersholawat setelah takbir tersebut ? Bukankah fadhilah sholawat itu amat besar ? Tambahan pula, hukumnya adalah sunnat. Rujuklah kitab-kitab fiqh kita, contohnya "Hasyiah Qalyubi", jilid 1, mukasurat 309.

Oleh itu, mari kita hidupkan malam ini dengan bertakbir dan bertahmid demi mengagungkan Allah serta membesarkanNya. Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar wa Lillahil Hamd.

Ahad, Januari 08, 2006

Takbir Muqayyad.

Esok, 9 Dzul Hijjah adalah hari wuquf di Arafah. Disunnatkan kita di sini untuk berpuasa di mana Junjungan Nabi s.a.w. menyatakan bahawa kelebihan puasa Arafah mengkaffarahkan dosa dua tahun, setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.
Setelah sembahyang fardhu Subuh esok hari, disunnatkan kita bertakbir dan diteruskan takbir tersebut mengiringi apa jua sembahyang baik fardhu maupun sunnat termasuklah sembahyang jenazah dan sembahyang qadha. Ini menurut pendapat Imam Ibnu Hajar. Imam ar-Ramli pula berpendapat mula takbirnya dengan terbit fajar subuh hari Arafah. Sekurang-kurang sighah takbir ialah: ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD.
Takbir muqayyad yang mengiringi sembahyang ini berakhir setelah sembahyang Asar pada 13 Dzul Hijjah nanti, menurut Imam Ibnu Hajar. Imam ar-Ramli berpendapat sehingga terbenam matahari pada hari tersebut (yakni hari ke-13 Dzul Hijjah).

Memberi daging korban/aqiqah kepada orang kafir


Saban tahun bila tiba musim berkorban, kerap kali aku ditanyai masalah ini. Ada hampir yang setiap tahun bertanyakan hal ini kepadaku, entahlah kenapa... tak percaya. Tahun ini ada lagi pertanyaan serupa.

Mu'tamad dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah yang agung, HARAM memberi daging korban, sama ada korban sunnat apatah lagi korban wajib kepada kafir dzimmi (kafir harbi lagilah tak boleh). Kalau diberi, maka wajib diganti balik dengan daging yang setara. Begitulah juga hukumnya dengan daging aqiqah.

Nas Kitab:-

1. "Hasyiah Bajuri 'ala Ibni Qasim al-Ghazi", jilid 2, mukasurat 302:-
  • ......Maka tidak harus/tidak boleh memberikan sesuatu daripadanya (yakni daging korban) kepada orang kafir walaupun daripada korban yang sunnat.

2. "I`anathuth-Tholibin", jilid 2, mukasurat 379:-

  • ..... dan disyaratkan bahawa mereka yang menerima daging korban tersebut terdiri daripada orang-orang Islam, adapun selain mereka (yakni orang kafir) tidak harus diberikan sesuatu daripadanya (yakni daripada daging korban).

3. "Sabil al-Muhtadin", juzuk 2, mukasurat 229:-

  • .......dan tiada harus memberikan dia (yakni daging korban) bagi kafir......

4. "Bahrul Wafi wan Nahrush Shofi", mukasurat 559:-

  • ....Maka tiada harus diberi sesuatu daripada udhhiyyah kepada fakir dan miskin kafir dzimmi hingga jikalau mengambil oleh fuqara-ul-muslimin akan udhhiyyah atas jalan sedekah dan orang yang kayanya atas jalan hadiah, haram atas mereka itu bersedekah dan hadiah dengan sesuatu daripadanya (yakni daripada udhhiyyah tadi) kepada kafir dzimmi demikian lagi menjual kepada mereka itu.

Berqunut di Tanah Suci

Membaca doa qunut dalam sembahyang Subuh dihukumkan sunnat ab`ad dalam mazhab kita asy-Syafi`i. Jadi menurut mazhab kita, kalau tak baca qunut, kuranglah cantik sembahyang Subuh tersebut walaupun sah. Sebenarnya, mazhab Maliki juga berqunut dalam sembahyang Subuh, tetapi qunut mereka dibaca sebelum rukuk dan dengan sir tanpa mengangkat tangan. Hanafi pun berqunut juga, tapi dalam sembahyang witir. Jadi nak marah sangat dengan orang berqunut apa hal.

Jemaah kita di Tanah Suci, bila sembahyang Subuh ada yang tak nak baca qunut kerana alasannya ikut imam, qunutkan hanya sunnat, Imam Syafi`i waktu sembahyang Subuh setelah ziarah maqam Imam Hanafi pun tak baca qunut dan macam-macam alasan lagi. Rupanya ada juga orangyang baca qunut di Malaysia, tak faham dan tak reti dengan doa qunut yang dibacanya. Aku ingat kalau kita faham dan menghayati betul-betul qunut yang kita baca, rasanya menyesal jika kita tinggalkan. Bayangkanlah, satu doa yang dijadikan amalan istiqamah kita di Malaysia, apabila di depan Ka'bah dan di raudhah Junjungan s.a.w. kita tinggalkan, takkah rugi namanya.

Sebenarnya ada cukup kesempatan membaca qunut di sana. Kalau malu nak angkat tangan, tak payah angkat tangan. Ada qil daripada Imam al-Ghazali yang menyatakan membaca qunut tak sunnat tadah tangan, tapi qawl ini dhaif dalam mazhab. Mudah-mudahan istiqamah beramal, termasuklah amalan berqunut.

Dulu Tok Imam dalam dua masjid suci tersebut pun baca qunut, Ratusan tahun lamanya qunut dibaca dalam dua masjid suci tersebut. Hanya setelah Wahhabi berkuasa barulah di`haram'kan membaca qunut. 1986, aku ke Makkah sempat bertemu seorang tua keturunan Fathani yang lahir dan bermukim di sana. Dia menceritakan bahawa dahulu ada seorang Imam di Masjidil Haram bermazhab Syafi`i, bila sholat Subuh dia baca qunut, lepas sembahyang terus kena balun kena pukul oleh puak Wahhabi yang berkuasa di sana. Wahhabi bermusuh sangat dengan mazhab kita kerana mazhab kita dominan di Hejaz dan menjadi mazhab syarif-syarif Makkah yang merupakan musuh Wahhabi.

Imam Tajuddin as-Subki (w. 771H) dalam kitab "Tabaqatusy-Syafi`iyyah" menulis antara lain:-

  • Adapun di Hejaz, dari mulai lahirnya mazhab Syafi`i sampai ke hari ini (yakni masa Imam as-Subki tersebut), urusan mahkamah, urusan penyebaran agama dan keimanan adalah di tangan ulama-ulama Syafi`iyyah. Sejak 563 tahun yang lalu (yakni dikira sehingga zaman Imam as-Subki tersebut), di masjid Rasulullah s.a.w. di Madinah, orang-orang menyampaikan ajaran agama (bertabligh) dan sembahyang adalah atas dasar anak bapa saudara Junjungan Nabi s.a.w., iaitu Muhammad bin Idris asy-Syafi`i, membaca qunut dalam sembahyang Subuh, menjaharkan basmallah, mengifradkan qamat (yakni menunggalkan lafaz iqamah selain lafaz "qad qamatish sholatu" ) dan lain-lain, dan Nabi s.a.w. melihat dan mendengar (yakni menurut 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah bahawa Junjungan Nabi s.a.w. hidup (dengan kehidupan barzakhiyyah yang sempurna) dalam kubur baginda, mendengar dan melihat kepada sesiapa yang mengucapkan salam kepada baginda). Ini suatu bukti bahawa mazhab ini adalah benar di sisi Tuhan.

Wahai Sunniyun Syafi`iyyun, mari kita istiqamahkan qunut, tambahan pula pada zaman yang penuh fitnah dan pancaroba ini. Mari kita tadah tangan, awal-awal pagi lagi dengan khudu` dan khusu` memohon kepada Allah:

Ya Allah, kupohonkan hidayah,sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri hidayah;

Kupohon keafiatan,sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri keafiatan;

Kupohon perlindungan, sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri perlindungan;

Berkatilah semua yang telah Engkau anugerahkan kepadaku;

Dan peliharalah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan;

Kerana sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan segala sesuatu, bukan yang ditetapkan;

Tak akan hina orang yang Engkau kasihi;

Dan tak akan mulia orang yang Engkau musuhi;

Tuhan kami, Engkau Maha Suci dan Maha Tinggi;

Segala puji bagiMu atas segala yang telah Engkau tetapkan;

Aku memohon ampunan dan bertaubat kepadaMu.

Jumaat, Januari 06, 2006

10 hari pertama Dzul Hijjah

Saat masuk bulan Dzul Hijjah, para jemaah haji telah mula berkumpul di kota suci Makkah menekuni amal-amal sholeh. Sebenarnya tuntutan untuk menambah amal-amal sholeh adalah kepada semua umat Islam, lebih-lebih lagi dalam 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah ini. Hal ini dinyatakan dalam sabdaan Junjungan s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dengan darjat hasan gharib shohih di mana Junjungan s.a.w. bersabda bahawa:

  • "Tidak ada hari di mana amal sholeh dalamnya lebih dikasihi Allah dari (amal sholeh yang dikerjakan pada) hari-hari yang 10 ini (yakni 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah)". Para sahabat bertanya: "Dan tidak juga jihad pada jalan Allah ? (yakni, adakah jihad pada jalan Allah di bulan lain dapat menandingi beramal sholeh pada 10 hari tadi ?)" Junjungan s.a.w. menjawab:- "Tidak juga berjihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjihad) dengan diri dan hartanya, lalu tidak pulang lagi dengan demikian akan sesuatu (yakni dia terbunuh syahid dengan diri dan hartanya)."

Imam at-Tirmidzi juga meriwayatkan satu hadis lain yang berdarjat hasan gharib bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

  • "Tidak ada suatu hari yang paling dikasihi Allah untuk beribadah kepadaNya melebihi hari-hari 10 Dzul Hijjah, menyamai puasa sehari daripada hari-hari tersebut (selain hari raya haji) dengan puasa setahun, dan qiyam (beribadat malam) pada setiap malam daripadanya dengan qiyam pada malam lailatul qadr."

Allahu Akbar, besarnya fadhilat. Tapi zaman kita ini, kalau dikatakan sesiapa yang beribadah malam diberi RM1000 semalam, rasa-rasanya lagi ramai yang tak tidur malam beribadah sebab nak dapat RM1000. Kebendaan telah menguasai diri kita. Ganjaran pahala yang tak nampak dek mata, sudah dianggap tidak bernilai. Sedangkan ciri-ciri orang beriman itu antaranya "beriman dengan yang ghaib". Dosa dan pahala adalah termasuk benda ghaib yang tak nampak dengan pandangan mata biasa. Ini yang membezakan kita umat beriman dengan orang-orang kafir yang hidup semata-mata mengaut keuntungan duniawi.

Dunia yang fana telah dianggap setara bahkan lebih dari akhirat yang kekal abadi, sedangkan Allah menyatakan bahawa "akhirat itu lebih utama dari dunia". Apa itu dunia ? Dunia itu jalan menuju akhirat, dunia itu ladang untuk akhirat, singkatnya dunia itu untuk akhirat. Jadi hakikatnya adalah akhirat bukan dunia.

Oleh itu hidup kita di dunia adalah untuk mencari bekalan akhirat dengan mengerjakan amal akhirat walaupun berbentuk pekerjaan duniawi. Oleh itu serba-serbi amal perbuatan kita di dunia hendaklah dijadikan ibadah, sama ada masuk dalam kategori ibadah khusus atau ibadah umum. Sembahyang jadi amal akhirat, kerana ada juga sembahyang yang hanya jadi pekerjaan dunia iaitu sembahyang kerana riya` dan sebagainya yang mana ianya bukan lagi jadi amalan akhirat walaupun bentuknya amal akhirat. Bekerja di pejabat dengan baik dan niat yang betul serta tidak melanggar peraturan syarak berupa pekerjaan dunia tetapi diberi pahala amal akhirat. Adakah kita hanya mahu hasil usaha titik peluh kita hanya diterima di dunia sahaja ? Kerja hanya dapat gaji hujung bulan sahaja ? Makan hanya dapat kenyang sahaja ? Kalau itu sahaja yang jadi tuntutan, apa bezanya kita dan kambing ? Kambing makan, kita makan; kambing tidur, kita tidur; kambing kawin, kita kawin; kambing tak sembahyang, kita pun tak sembahyang, kan confirm serupa dengan kambing walaupun tak sama bentuk. Jangan marah, mudah-mudahan kita berjaya menjadi manusia yang sempurna (insan kamil) bukan kambing yang sempurna, kerana nanti kena korban pulak kita.