Rabu, Disember 14, 2016

Atsar Sayyidah 'Aisyah

Satu masa dahulu sempat dikecohkan yang kononnya di atas Kubah Hijau yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam terdapat "kubur" yang kononnya milik seseorang yang cuba untuk memusnahkan kubah tersebut. Ternyata kisah tersebut adalah tidak benar dan struktur yang berada atas Kubah Hijau tersebut adalah penutup lubang jendela yang dibuat atas kubah tersebut.

Perbuatan membuat lubang atas atap atau kubah yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah perkara baru. Bahkan, telah menjadi "sunnah" orang - orang Madinah al-Munawwarah untuk membuat lubang atas atap atau naungan yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai sarana bertawassul dengan baginda dan beristisqa kepada Allah ta`ala. Perkara ini dilakukan atas anjuran Ummul Mukminin, Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha sebagaimana diriwayatkan atsarnya oleh gurunya Imam al-Bukhari rahimahullah, iaitu Imam ad-Darimi rahimahullah dalam musnad atau sunannya yang masyhur. Imam ad-Darimi rahimahullah meriwayatkan atsar tersebut dalam "bab : ma akrama Allahu ta`ala nabiyahu shallaAllahu `alaihi wa sallam ba'da mawtihi" (perkara-perkara yang Allah ta`ala muliakan nabiNya shallaAllahu 'alaihi wa sallam setelah kewafatan baginda".  Pada halaman 227, juz 1, "Musnad ad-Darimi" atau lebih dikenali dengan "Sunan ad-Darimi" dinyatakan atsar yang dinisbahkan kepada Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha, hadis mauquf yang menurut pentahqiq kitab "Musnad ad-Darimi" tersebut, iaitu Syaikh Husain Salim Asad ad-Darani, segala perawinya adalah orang - orang yang tsiqah. Dinyatakan dalam atsar tersebut sebagai berikut:-
Abul Jawza' Aws bin 'Abdillah berkata: "Penduduk Madinah al-Munawwarah telah menghadapi musim kemarau yang teruk, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha. Sayyidah 'Aisyah berkata kepada mereka: "(Pergilah) kamu melihat kubur Nabi  dan buatkan satu lubang atasnya (yakni atas atap yang menaungi makam yang mulia) yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap di antara kubur tersebut dengan langit." Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh-tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqi" (yakni tahun pecah-pecah, melambangkan kesuburan kerana kulit - kulit unta peliharaan mereka seolah-olah pecah akibat kegemukan).
Atsar ini menunjukkan keharusan bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda. Ianya juga menunjukkan bahawa keberadaan makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam itu sentiasa berada di bawah naungan sesuatu. Inilah yang dijelaskan oleh para ulama kita antaranya oleh Imam as-Samhudi rahimahullah. Bahkan dalam kitabnya yang masyhur, "Khulashaatul Wafa bi Akhbari Daaril Musthafa shallaAllahu `alaihi wa sallam", al-Imam 'Ali bin Abdullah bin Ahmad al-Hasani as-Samhudi (844 - 922H), pada halaman 289 - 290, menyatakan tiada syak lagi bahawa makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah dalam keadaan beratap sejak awal permulaannya lagi ( fi shadril awwal). Maka dari kerana itulah Imam ad-Darimi telah meriwayatkan atsar Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha yang menyuruh membuka satu lubang atas naungan tersebut sebagaimana dinyatakan di atas tadi. Selanjutanya, Imam as-Samhudi menukilkan perkataan az-Zain al-Maraghi yang menyatakan:-
Perbuatan membuka lubang ini ketika kemarau adalah sunnah (tradisi) penduduk Kota Madinah sehinggalah sekarang (yakni sehingga ke zaman beliau tersebut). Mereka membuka lubang pada kubah yang menaungi hujrah (bilik makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ) .......  (ini adalah kerana) di antara makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam dengan langit ianya dihalang oleh atap (oleh kerana itulah mereka perlu membuat lubang tersebut).
Setelah membawa pernyataan daripada az-Zain al-Maraghi tersebut, Imam as-Samhudi menyatakan bahawa pada zaman beliau, tradisi membuka lubang tersebut telah ditukar kepada membuka pintu pada dinding yang berbetulan menghadap wajah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Manakala lubang yang dibuat pada atap atau kubah tersebut dijadikan jendela berpenutup yang juga dapat dibuka untuk beristisqa ketika kemarau.

Atsar Sayyidah 'Aisyah ini turut dinukilkan dalam berbagai karya para ulama kita. Ianya turut dimuatkan dalam kitab himpunan hadis yang masyhur seperti "Misyakatul Mashabih", manakala dalam syarahnya, "Mirqaatul Mafaatiih", pada juz 11, halaman 95 -96, hadis yang ke 5950, Mulla 'Ali al-Qari telah memberikan komentar yang menarik. Mulla 'Ali al-Qari turut menjelaskan bahawa Abul Jawza` adalah Aws bin 'Abdillah al-Azdi seorang tabi`in yang masyhur daripada kalangan penduduk Bashrah dan beliau telah mendengar dan meriwayatkan hadis daripada Sayyidatina 'Aisyah, Sayyidina Ibnu 'Abbas dan Sayyidina Ibnu 'Umar radhiyaAllahu `anhum ajma'in. Mulla 'Ali al-Qari turut menyatakan bahawa ada ulama yang berpendapat perbuatan membuat lubang atas atap tersebut dan membiarkan makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam terdedah terus menghadap langit adalah sebagai menyatakan kesungguhan untuk meminta syafaat baginda (mubaalaghah fil istisyfaa' bi hi). Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ketika langit melihat makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mengalirlah air di segenap wadi akibat tangisannya (yakni tangisan langit yang berupa air hujan) (anna as-sama` lamma ra-at qabr an-Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam saala al-wadi min buka-iha). Di antara ulama kita di Nusantara yang menukilkan atsar ini adalah Hadhratusy Syaikh Kiyai Hasyim al-Asy`ari dalam kitabnya "an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" pada halaman 73 sebagai dalil untuk mengharuskan bertawassul dan beristighatsah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Oleh itu, diharap kita dapat memahami kedudukan sebenar perkara yang berhubung kait dengan Kubah Hijau yang menaungi makhluk yang paling mulia Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya kemuliaan makam baginda telah terpelihara sejak baginda bersemayam di sana sehinggalah ke hari ini, walaupun terdapat suara-suara sumbang yang tidak suka dengan keberadaan kubah tersebut akibat salah memahami akan hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Fahamilah wahai saudara sekalian, atap atau kubah yang menaungi makam yang mulia ini telah wujud sejak zaman awal lagi dan telah berkesinambungan sejak lebih dari 1000 tahun. Yang berubah hanyalah, bilangan naungan tersebut, rupa bentuk, saiz dan warnanya sahaja. Apakah para ulama yang jutaan, jika tidak billionan, jumlahnya sejak zaman dahulu lagi, tidak tahu kedudukan hukum membuat naungan atau atap atau kubah atas makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam? Jika ianya adalah mutlak haram, maka kenapa mereka hanya berdiam diri ?



Isnin, Disember 12, 2016

Jumaat, Disember 09, 2016

Khulaashatul Asraar

Sempena bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, faqir ingin menulis sedikit mengenai satu karya tulis ulama Melayu yang membicarakan tentang hukum, kelebihan dan adab bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab yang faqir maksudkan berjodol "Khulaashatul Asraari fi Fadhilatish Shalaati was Salaami `ala Sayyidil Abraar" yang ditulis oleh seorang ulama besar keturunan Fathani Darus Salam yang bernama al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Rahman al-Fathani rahimahullah.

Ustaz Ismail bin Che Daud dalam majalah "Pengasuh" Bil. 513, Muharram - Safar 1412H /  Julai - Ogos 1991M menyatakan bahawa Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani dilahirkan sekitar tahun 1829M. Namun menurut kajian almarhum Ustaz Wan Muhammad Shaghir rahimahullah, beliau dilahirkan sekitar tahun 1813M (1228H). Syaikh 'Abdul Qadir dilahirkan dalam lingkungan keluarga ulama, bahkan Tok Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dan Syaikh 'Abdul Qadir bin Abdul Rahim al-Fathani @ Syaikh 'Abdul Qadir Bukit Bayas (Trengganu) rahimahullah adalah termasuk keluarga rapat beliau. Beliau memulakan pengajian asasnya di berbagai pondok di Fathani Darus Salam dan lebih lama memondok di Pondok Pauh Bok, Fathani Darus Salam, yang merupakan pondok tua yang telah melahirkan banyak ulama besar antaranya Syaikh 'Abdul Shamad al-Falimbani dan Syaikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

Tatkala pecah perang antara Fathani dengan Siam, maka Syaikh 'Abdul Qadir yang berusia belasan tahun itu telah dibawa berhijrah ke Pulau Duyung Kecil, Trengganu dan kemudian beliau bersama-sama gurunya, Tok Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani meneruskan perjalanan mereka ke Mekah. Turut serta dalam penghijrahan ke Mekah tersebut adalah bayi yang bernama Muhammad bin Ismail yang merupakan anak angkat dan cucu saudara Tok Syaikh Daud al-Fathani. Bayi inilah yang kelak setelah dewasa terkenal sebagai Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani @ Syaikh Muhammad Shaghir al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani rahimahullah, ulama besar yang menulis kitab "Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain" yang masyhur. Dari segi hubungan kekeluargaan, Syaikh Abdul Qadir adalah bersepupu dengan Syaikh Nik Mat Kecik kerana ibu mereka adalah adik-beradik kandung. 

Maka membesarlah Syaikh 'Abdul Qadir di bawah asuhan Tok Syaikh Daud al-Fathani dan para ulama Haramain di antaranya adalah Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Muhammad Haqqi Nazili, Syaikh Ahmad As`ad ad-Dihan, Syaikh Sayyid Amin Ridhwan dan ramai lagi. Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani pula adalah sahabat rapat beliau sewaktu belajar di Mekah. Setelah tamat pengajian, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani telah diamanahkan untuk mengisi pengajian-pengajian dalam Masjidil Haram dan juga di rumah beliau sendiri di Mekah. Maka mulalah beliau duduk mengajar para murid yang datang dari berbagai pelosok dunia, dari sekecil-kecil kitab sehinggalah kepada kitab-kitab besar. Selain mengajar kitab-kitab 'Arab, beliau juga memberi perhatian khusus untuk mengajar kitab-kitab Jawi karangan para ulama terdahulu. Bahkan beliaulah perintis untuk mengumpul, mentahqiq, mentashih dan menyebar kitab-kitab Jawi yang akhirnya kerja ini diteruskan oleh murid beliau Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah.

Keilmuan dan ketokohan Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani amat terserlah sehingga beliau dianggap sebagai khalifah Tok Syaikh Daud al-Fathani. Maka setelah pemergian Tok Syaikh Daud al-Fathani, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani telah menjadi rujukan pertama dan utama para ulama Nusantara. Ini dikeranakan beliau adalah seorang ulama yang menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan lagi ahli syariat dan haqiqat yang sempurna.

Syaikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Rahman al-Fathani rahimahullah tutup usia pada awal bulan DzulHijjah tahun 1315H (1898M) di kota suci Mekah. Maka pergilah beliau ke hadhrat Ilahi dengan meninggalkan ramai murid, antaranya Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan Syaikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani. Beliau turut meninggalkan sekurang-kurangnya 14 karangan, antaranya:-
  1. al-Mawahibul Makkiyyah tajwidil ada-iyyah;
  2. Terjemahan kitab "Lujainud Dani" manaqib Syaikh Abdul Qadir Jilani;
  3. ad-Durrul Munazhzham;
  4. Risalah Pada Menyatakan Wada` Bulan Ramadhan;
  5. Raudhuz Zawahir;
  6. Kitab Membuka Fal; dan
  7. Khulashaatul Asrar.
Berbalik kepada "Khulaashatul Asraari fi Fadhilatish Shalaati was Salaami `ala Sayyidil Abraar", kitab ini telah selesai beliau tulis pada 22 Rabi`uts Tsani 1306H (1888M). Ianya dicetak kali pertama oleh Mathba`ah al-Miriyah al-Makkiyyah al-Mahmiyyah, Mekah pada tahun 1310H (1892M). Kitab ini memuatkan tulisan mengenai hukum, kelebihan dan adab bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Syaikh 'Abdul Qadir dalam menulis kitab ini telah merujuk kepada kitab-kitab besar seperti "Ihya` 'Ulumiddin", "Khazinatul Asrar", "Fathul Mubin", "Tanbihul Ghafilin", "asy-Syifa`", "Durrul Mandhudh","ar-Raudhul Faiq" dan banyak lagi. Syaikh 'Abdul Qadir dalam kitab ini setelah mukaddimah, mendatangkan bab-bab yang menghuraikan ayat mengenai shalawat, hadis dan riwayat tentang anjuran dan kelebihan bershalawat, adab orang bershalawat dan akhirnya ditutup dengan mendatangkan berbagai shighah shalawat yang warid daripada nash hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam  dan juga beberapa shighah shalawat yang datang daripada ulama. Kitab yang cetakannya dalam 104 halaman mukasurat ini diakhiri dengan shighah Shalawat al-Munjiyyah yang berkat.

Sebagai penutup, faqir ingin berkongsi satu faedah yang disebut dalam kitab ini. Ketika membicarakan dua maqam bagi mengucapkan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, Syaikh 'Abdul Qadir menjelaskan bahawa maqam pertama adalah di mana seseorang yang bershalawat dan bersalam itu menggunakan shighah mukhathabah yakni secara khithab atau dialog bersemuka seumpama diucapkan as-shalatu was salamu 'alaika Ya RasulAllah. Ianya dilakukan dengan penuh kesungguhan dan kehadiran hati, dengan mentakzimkan dan membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seolah-olah baginda hadir di hadapan kita. Soal samada Junjungan shallaAllahu 'alaihi wa sallam hadir atau tidak pada zahirnya, bukanlah persoalan kita, apa yang dipentingkan dan dititikberatkan adalah upaya kita untuk menghadirkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yakni yang penting adalah kita mengistihdharkan seolah-olah baginda hadir di hadapan kita, maka diharap dengan sedemikian akan timbul kesungguhan dan kekhusyukan hati ketika melafazkan ucapan shalawat dan salam ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam disertai takzim, mahabbah, kasih sayang, asyik rindu, penuh adab kesopanan demi membesarkan dan mentakzimkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selanjutnya Syaikh 'Abdul Qadir rahimahullah  menganjurkan agar seseorang mengucapkan salam ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebanyak 100 kali setiap hari. Pada halaman 90, Syaikh 'Abdul Qadir al-Fathani rahimahullah menukilkan sebagai berikut:-

...Maka menyebut ia akan shalawat dan salam dengan jalan khithab artinya berkata-kata di hadapannya beserta dengan merendahkan dan menghinakan dirinya dan membesarkan hadhratnya yang mulia dan yang eloknya pada maqam ini bahawa ia mengucap "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakaatuh" seperti barang yang di dalam tasyahhud sembahyang. Maka barangsiapa yang berkehendak sejahtera pada dirinya dan anak buahnya dan hartanya dan sejahtera daripada kebinasaan dunia dan akhirat dan keluasan rezeki pada usahanya dan perniagaannya dan tanamannya dan inkisyaf dan futuh pada zahir dan batin dan hampir pada Allah dan kasih pada hati segala manusia dan dimudahkan atas sakaratul maut dan keluar nyawanya seperti keluar urat rambut daripada tepung yang diuli, maka hendaklah ia membaca tiap-tiap hari seratus kali : "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakaatuh" dengan jalan muraqabah yang tersebut itu....

Mudah-mudahan entri ini sedikit sebanyak memberikan maklumat yang berguna bagi segala ikhwah yang budiman yang ingin menghampirkan diri kepada Allah ta`ala dan Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun hendaklah segala maklumat itu dijadikan panduan untuk jadi amalan dan pakaian kita, barulah maklumat tersebut menjadi ilmu bermanfaat yang bakal menghasilkan buah-buah yang manis lagi enak untuk dinikmati di Darul Baqa` kelak.



Ahad, Disember 04, 2016

20 Sunnat Ab`adh

Secara kasar, umum mengetahui bahawa berqunut dalam shalat fardhu Subuh ( dan i'tidal rakaat terakhir shalat sunnat witir pada pertengahan kedua bulan Ramadhan) adalah antara sunnat ab`adh yang sangat-sangat dituntut perlaksanaannya menurut Mazhab Syafi`i. Selain daripada itu, umum juga mengetahui bahawa bacaan tahiyyat awal juga termasuk sunnat ab`adh. 

Para ulama telah memperincikan bahawa terdapat 20 perkara yang dianggap sebagai sunnat ab`adh di mana jika ditinggalkan salah satu daripadanya maka sunnatlah dijabar atau ditampung dengan sujud sahwi. 20 perkara tersebut adalah sebagai berikut:-
  1. membaca tahiyyat awwal;
  2. duduk ketika membaca tahiyyal awwal;
  3. membaca shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah membaca tahiyyat awwal;
  4. duduk ketika membaca shalawat tersebut;
  5. membaca shalawat ke atas Aali Muhammad mengiringi ucapan shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas membaca tahiyyat akhir;
  6. duduk ketika membaca shalawat atas Aali Muhammad pada tahiyyat akhir;
  7. membaca qunut (dalam Shalat Subuh & Witir pertengahan kedua Ramadhan)
  8. berdiri ketika membaca qunut;
  9. membaca shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas qunut;
  10. berdiri ketika membaca shalawat tersebut;
  11. membaca shalawat ke atas Aali Muhammad mengiringi shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah qunut;
  12. berdiri ketika membaca shalawat ke atas Aali tersebut;
  13. membaca shalawat ke atas sahabat Nabi mengiringi shalawat ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah qunut;
  14. berdiri ketika membaca shalawat ke atas sahabat tersebut;
  15. membaca salam ke atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam beserta shalawat setelah qunut;
  16. berdiri ketika membaca salam tersebut;
  17. membaca salam ke atas Aali Muhammad setelah qunut;
  18. berdiri ketika membaca salam tersebut;
  19. membaca salam ke atas sahabat setelah qunut;
  20. berdiri ketika membaca salam tersebut.
Inilah 20 sunnat ab`adh yang perlu kita amalkan agar sempurna ibadah kita tanpa perlu ditampung dengan sujud sahwi. Untuk ucapan shalawat dan salam di akhir qunut, maka memadailah dengan shighah yang biasa diamalkan, iaitu wa shallaAllahu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala aalihi wa shahbihi wa sallam yang merangkumi ucapan shalawat dan salam ke atas baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ke atas 'Aali Muhammad dan ke atas para sahabat baginda.

Jumaat, November 04, 2016

Faedah Dari Fathur Rabbani

Shalawat al-Fatih atau "al-Yaquutatul Faridah" (Permata Tunggal atau Permata Langka) memang sudah sinonim dengan pengamal Thariqat Tijaniyyah. Namun ianya bukanlah milik ekslusif mereka, shalawat ini sebenarnya telah tersebar sebelum Sidi Ahmad Tijani rahimahullah lagi dengan beberapa variasi lafaz atau shighah. Ianya telah menjadi amalan umat Islam, samada yang berafiliasi dengan Tijani atau bukan. Contohnya kalimah "al-Fatih li ma ughliq" tercatat dalam satu shighah yang dinisbahkan kepada Sayyidina 'Ali radhiyaAllahu 'anhu.  Oleh itu, sekadar menambah perbendaharaan kita, faqir nukilkan pengertian kalimah "al-Fatih lima ughliq". Penjelasan ringkas ini dinukil daripada kitab "al-Fathur Rabbani" karya Syaikh Muhammad bin Abdullah bin Hasanain asy-Syafie ath-Thashfaawi at-Tijani rahimahullah, di mana pada halaman 54 dinyatakan:-


(Pembuka bagi apa yang tertutup) iaitu baginda telah membuka segala apa yang tertutup daripada kewujudan. Jika bukan kerana baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam, tidaklah wujud segala yang mawjud (yakni segala makhluk yang diwujudkan Allah ta`ala). Segala makhluk tidak akan dikeluarkan daripada 'adam (yakni ketidakwujudan) kepada wujud (yakni jika bukan kerana baginda tidaklah diciptakan segala makhluk). Maka bagindalah satu-satunya sebab bagi kewujudan sekalian makhluk. Sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sebab bagi limpahan rahmat Allah ke atas segala yang mawjud, jikalau bukan kerana kewujudan baginda shallaAllahu 'alaihi wa sallam tiadalah rahmat bagi yang mawjud. Maka baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang membuka segala rahmat dan nikmat yang selama ini tertutup, samada yang berbentuk ni'matul ijaad (yakni nikmat - nikmat asas yang berupa kewujudan seperti wujudnya diri kita daripada tiada kepada ada atau wujudnya keimanan diri dan sebagainya) maupun ni'matul imdad ( yakni segala nikmat yang diperlukan untuk melestari atau mengekal atau menambahbaik ni'matul ijaad (nikmat kewujudan) seperti umur yang panjang, rezeki yang luas, husnul khatimah ketika mati dan sebagainya).

Allahu ... Allah, sesungguhnya teramatlah besar alaqah atau pertautan kita dengan Junjungan Nabi shallaAllahu alaihi wa sallam. Saking kuatnya pertautan tersebut, maka menjadi kewajipan kita untuk mengucapkan salam ke atas baginda shallaAllahu alaihi wa sallam dengan shighah mukhathabah (yakni secara dialog bertemu muka) iaitu ketika mengakhiri shalat dalam lafaz tahiyyat akhir yang menjadi rukun shalat dengan ungkapan "as-salamu `alaika ayyuhan Nabiyyu wa rahmatullahi wa barakatuh", diucapkan seolah-olah kita berhadapan dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan terungkap di lisan kita "salam atas mu wahai Junjungan Nabi". Maka wajar bagi kita untuk menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dianjur dan diperintah oleh Allah ta`ala. Berusahalah agar jangan sampai ada satu detik hubungan kita dengan baginda shallaAllahu alaihi wa sallam terputus. Jika terputus, bersegeralah untuk mempertautkannya kembali dengan sentiasa ingat bahawa Allah `azza wa jalla Tuhan yang mewujudkan kita, ingat bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu alaihi wa sallam yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Allah `azza wa jalla yang memberikan rahmat dan baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah rahmatNya yang teragung bagi sekalian alam termasuklah diri kita insan kerdil. Allahu .... Allah.

Isnin, Oktober 24, 2016

Timbangan Yang Sempurna


Sebagai hamba yang lemah, serba kekurangan dan kedhaifan, pasti sifat kurang itu dibawa hatta ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan atau amalan atau urusan atau ibadah. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa memohon agar Allah `azza wa jalla menerima segala amalan kita walaupun keadaannya dipenuhi pelbagai kekurangan dan kecacatan. Allah azza wa jalla dalam surah al-Baqarah ayat 127 berfirman, yang kira-kira maksudnya: " Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:  Wahai Tuhan kami ! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." Allahu ... Allah, lihat sahaja bagaimana dua manusia agung ini, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihimash shalatu was salam, nabi serta rasul yang maksum, tatkala melaksanakan pekerjaan yang suci iaitu perintah Allah membina Baitullah, di tempat yang paling suci, Kota Mekah, namun tetap kedua mereka bermunajat memohon agar Allah ta`ala menerima amalan mereka. Lalu di manakah kedudukan kita ? Sewajarnya hamba yang lemah yang dhaif yang banyak kekurangan dan taqshir lagi melazimi dosa dan maksiat, pasti 100000000000 kali wajar dan patut untuk merayu agar Allah yang Maha Agung menerima amalan kita yang penuh kekurangan ini. Sesungguhnya nilainya sesuatu amalan itu adalah atas kabul dan penerimaannya di sisi Allah. Sedekah yang hanya sekupang dua tetapi diterima di sisi Allah adalah besar nilainya di akhirat nanti berbanding sedekah 2.6 billion yang tidak diterima di sisi Allah.

Imam Nawawi rahimahullah menukilkan dalam kitabnya yang masyhur "al-Adzkar" pada halaman 427 bahawa diriwayatkan dalam "Hilyatul Awliya" daripada Sayyidina Ali radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Sesiapa yang suka (amalannya) ditimbang (yakni dikira) dengan timbangan yang sempurna, maka hendaklah dia membaca di akhir majlisnya atau ketika dia berdiri (untuk meninggalkan sesuatu majlis, yakni kinayah bagi selesainya sesuatu pekerjaan atau urusan atau amalan atau ibadah):-
Juga telah warid lagi beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan dalam "Mushannaf Abdur Razzaq ash-Shan`aani" dan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam "Kitabud Du`a", bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membaca ayat-ayat ini selepas shalat. Imam ad-Dailami rahimahullah pula mendatangkan riwayat daripada Sayyidina 'Ali karramaAllahu wajhah yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang suka amalannya ditimbang dengan timbangan yang sempurna pada Hari Kiamat, maka hendaklah dia membaca setelah selesai shalat : (ayat tersebut tadi, yakni ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat)." 

 Allahu... Allah, maka ada ulama yang menamakan ayat-ayat 180 - 181 surah ash-Shaaffaat ini sebagai "al-Mikyaalul Awfa" yakni "timbangan yang sempurna". Oleh itu adalah dianjurkan agar pembacaan ayat atau zikir ini diamalkan di akhir setiap majlis kebajikan atau pada penghujung doa atau ketika selesai menunaikan shalat dan lain-lain ibadah, dengan harapan agar Allah `azza wa jalla menerima segala ibadah dan amalan kebajikan tersebut dan memberikan ganjaran pahala yang sempurna atas ihsan dan rahmatNya semata-mata.

Selasa, Oktober 11, 2016

12 + 1 Amalan `Asyura`

Imam Syamsuddin Abul Mahasin Muhammad bin Khalil bin Ibrahim al-Masyisyi al-Qaawuqji rahimahullah adalah seorang faqih, muhaddits, sufi dan ulama besar bermazhab Hanafi yang dilahirkan pada tahun 1224H atau 1225H /1810M. Beliau ini digelar sebagai "Musnid bilad asy-Syam" atas ketokohan dan penguasaannya dalam ilmu - ilmu hadits. Karya tulis beliau amat banyak, dari kitab-kitab besar sehinggalah ke risalah-risalah kecil. Maka antara risalah tulisan beliau adalah "Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin fi ma yuthlabu fi yawmi 'Asyura`". Dalam risalah ini beliau mencatatkan beberapa amalan yang dianjurkan pada Hari `Asyura` dan antaranya adalah 12 amalan yang beliau ambil daripada apa yang dinukil oleh Imam 'Ali al-Ajhuri al-Maliki rahimahullah, ulama besar Maliki yang wafat di Mesir pada tahun 1066H.



Dalam mukaddimahnya, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menyatakan:- " Telah menukil al-Ustaz 'Ali al-Ajhuri al-Maliki bahawa ada 12 amalan yang dituntut (yakni dianjurkan) untuk dilakukan pada Hari 'Asyura`, iaitu:-
  1. Puasa;
  2. Shalat Nafilah (yakni memperbanyakkan shalat sunnat seperti Sunnat Mutlak dan sebagainya;
  3. Sedekah;
  4. Mandi;
  5. Bercelak;
  6. Menziarahi orang sakit;
  7. Bersilatur rahim;
  8. Menziarahi ulama dan orang shalih;
  9. Meluaskan atau melapangkan perbelanjaan bagi keluarga;
  10. Memotong kuku;
  11. Menyapu kepala anak yatim (yakni berbuat baik kepada anak yatim);
  12. Membaca Suratul Ikhlas 1,000 kali.
Dan ditambah satu lagi amalan atas amalan-amalan ini, iaitu amalan membahagi-bahagi bubur biji-bijian (yakni bersedekah dengan masakan biji-bijian atau bubur seumpama bubur 'Asyura). Maka sewajarnya bagi setiap orang yang cintakan jalan akhirat untuk meraih keberuntungan pada hari ini (yakni Hari `Asyura`) dengan mengamalkan amalan-amalan yang mulia ini.

Selanjutnya dalam risalah tersebut, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menjelaskan bahawa walaupun nas yang tsabit mengenai amalan-amalan khusus pada Hari 'Asyura` hanyalah pada dua amalan sahaja iaitu berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga, namun amalan-amalan selain keduanya tersebut masih boleh diamalkan walaupun hanya berdasarkan kepada hadis-hadis dhaif dan riwayat-riwayat yang mankurah (riwayat yang lemah di mana perawinya dihukum sebagai pelaku kesalahan yang keji atau banyak lupa dan lalai atau nyata kefasikannya) kerana ianya sudah terkenal dan masyhur diamalkan di sisi para awliya` dan juga kerana ianya termasuk dalam bab fadhailul a'maal serta wujud dalil-dalil umum yang menganjurkan amalan-amalan tersebut dilakukan tanpa terikat dengan waktu-waktu yang tertentu. 

Contohnya, mengenai bubur 'Asyura, pada halaman 84, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menulis sebagai berikut:- Dan adapun memasak bubur biji-bijian, maka amalan ini kembali atau dapat dihubungkan dengan anjuran untuk melapangkan atau meluaskan perbelanjaan atas ahli keluarga, fakir dan miskin. Di mana ianya juga masuk dalam umum sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Apabila engkau memasak lauk, maka banyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada jiranmu." Dan sabdaan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah silatur rahim, shalatlah pada waktu malam ketika orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan penuh kesejahteraan."

Allahu ... Allah, namun di akhir zaman ini ada sahaja benda pelik yang difatwakan oleh kelompok yang terlebih bijak. Sehingga sampai  ada yang memfatwakan haram membuat bubur 'Asyura` kerana dikatakan menyerupai atau berasal daripada tradisi Syiah. Malaslah nak layan fatwa yang terlampau ini, pendek kata sesiapa yang rasa tak nak makan bubur 'Asyura, tak jadi masalah, pergilah makan KFC atau McDonald atau duduklah bersembang sambil minum-minum kat Starbuck.