Selasa, April 28, 2020

Penterjemah Mukhtaar al-Ahadits

Di Tanah Melayu, antara ulama yang telah memanfaatkan umurnya untuk memberi khidmat kepada hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah almarhum Ustaz Haji Abdul Halim bin Haji Noh atau lebih terkenal dengan nama Ustaz Abdul Halim al-Hadi mengikut panggilan yang diberi guru beliau, Syaikh Abdullah Fahim rahimahullah. Ustaz Haji Abdul Halim al-Hadi dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada tahun 1904M. Beliau merupakan antara murid awal Syaikh Abdullah Fahim dan mempunyai hubungan yang erat dengan gurunya tersebut, sehingga beliau dijadikan sebagai anak angkat. Bahkan, beliau dipelawa oleh Syaikh Abdullah Fahim untuk tinggal di Kepala Batas bersama dengan rakan - rakan beliau, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Tuan Guru Haji Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol dan Tuan Haji Ghazali Abdullah. Ustaz Abdul Halim juga sempat menuntut ilmu di Makkah al-Mukarramah dan beliau cenderung dengan pengajian hadis. Di antara guru - guru beliau di sana, adalah Syaikh Ali al-Maliki, Syaikh Mukhtar 'Atharid Bogor dan Syaikh Umar Hamdan al-Mahrasi  rahimahumullah, yang semuanya andalan dalam ilmu hadis. Di antara jawatan yang pernah disandang oleh Ustaz Haji Abdul Halim al-Hadi adalah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Idrisiyah, Kuala Kangsar dan Madrasah Daeratul Ma`arif al-Wathaniyyah, Kepala Batas. Beliau juga pernah dilantik menjadi mudir Madrasah Daeratul Ma`arif tersebut, Imam / Khatib di masjid Jami` al-Badawi dan ahli jawatankuasa fatwa Pulau Pinang. Ustaz Abdul Halim al-Hadi meninggal dunia pada 3 Mei, 1981, rahimahullah dan meninggalkan beberapa karya tulis, antaranya:- (i) Tajdzibu Athrafil Hadits; (ii) Ilhamul Bari; (iii) Idhah al-Kalam; dan (iv) Risalah Pengajaran Ugama.
Di antara rupa khidmat almarhum Ustaz Abdul Halim al-Hadi untuk hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah dengan menterjemahkan karya - karya hadis dalam Bahasa Melayu, agar segala mutiara yang keluar daripada lisan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dapat difahami dan digarap oleh bangsa Melayu kebanyakan. Dalam mukaddimah bagi Ilhamul Bari, beliau menulis:- ..." Sesungguhnya saya dengan keluaran kitab Shahih al-Bukhari yang tidak seperti ini diharap akan terlepas tanggungan saya di sisi Tuhan dan di sisi kaum Islam bangsa saya yang sedang ingin hendak meneguk pengertian makna hadis". Ilhamul Bari Syarhu Shahih al-Bukhari Bahasa Melayu adalah karya beliau sebagai terjemahan bagi kitab Shahih al-Bukhari ke Bahasa Melayu dengan diberi syarah secara ijmal (ringkas). Beliau menulisnya dalam 10 penggal dan mengandungi terjemahan 1365 hadis Shahih al-Bukhari, dimulai dari awal Shahih al-Bukhari pada kitab Bad-u al-Wahyi sehingga Bab Ma Ja-a fi Qatl an-Nafs dalam kitab Janaiz. Walaupun, Ustaz Abdul Halim al-Hadi tidak sempat menyempurnakan terjemahan bagi semua hadis dalam kitab Shahih al-Bukhari, namun usaha beliau tersebut amat bernilai dan sebagai tambahan kepada perbendaharaan hadis dalam Bahasa Melayu. Karya beliau ini juga adalah antara karya awal dan perintis kepada penterjemahan kitab Shahih al-Bukhari ke Bahasa Melayu. Usaha beliau turut mendapat penghargaan dan pujian guru beliau, almarhum Syaikh Abdullah Fahim. Dalam mukaddimahnya Syaikh Abdullah Fahim rahimahullah menyatakan, antara lain: ..."Sebenarnya kami telah lihat syarah Shahih al-Bukhari yang telah disusun oleh saudara kami, Abdul Halim al-Hadi, dengan Bahasa Melayu. Maka kami dapati bahawa susunannya itu bagus dan sesuai, bahkan terang dengan seterang - terangnya bak kata pepatah:- "sudah terang lagi bersuluh.". Terus kami hantar namanya dengan Ilham al-Bari ila Tarjamah Shahih al-Bukhari."

Selain Ilhamul Bari, yang merupakan terjemahan bagi sebuah karya hadis klasik, Ustaz Abdul Halim mempunyai sebuah lagi karangan dalam bidang hadis yang merupakan terjemahan bagi sebuah kitab himpunan hadis karangan seorang ulama yang sezaman dengan beliau. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang peka dan mengetahui perkembangan semasa dalam bidang hadis. Himpunan hadis tersebut berjodol Mukhtaarul Ahaadits an-Nabawiyyah wal Hikam al-Muhammadiyyah. Kitab ini adalah karangan seorang ulama keluaran al-Azhar asy-Syarif, seorang tokoh pendidik dan sasterawan, as-Sayyid asy-Syaikh Ahmad bin Ibrahim bin Musthafa al-Hasyimi al-Qurasyi rahimahullah. Beliau dilahirkan di Kota Kaherah, Mesir, pada tahun 1878M dan menimba ilmu di Universiti al-Azhar. Di antara guru beliau ialah Syaikh Hasunah an-Nawawi, Syaikh Salim al-Bisyri dan Syaikh Muhammad Abduh rahimahullah. Selain menjadi pendidik, beliau juga banyak berkarya terutama sekali dalam bidang ilmu bahasa sehingga beliau digelar al-adib (sasterawan). Di antara karya - karya beliau:- Jawahirul Balaghah, as-Sa`adah al-Abadiyyah fi asy-Syari`atil Islamiyyah, Jawahirul Adab, dan Mizan adz-Dzahab fi Shina`ati Syi'ril `Arab.  Beliau wafat di Kota Kaherah pada tahun 1943M rahimahullah.


Ustaz Abdul Halim telah menyiapkan terjemahan Mukhtaar Ahaadits tersebut pada hari Rabu, 9 Rabi`ul Akhir, 1357H bersamaan 8 Jun, 1938. Terjemahan tersebut telah diberi jodol:- Tajdzibu Athrafi al-Hadits. Kitab ini ditulis dalam 2 penggal dengan menggunakan huruf jawi dan kini telah pun ada cetakan yang dirumikan untuk memudahkan kalangan yang tidak mahir jawi. Bersempena dengan puasa dan juga untuk tabarrukan, faqir nukilkan sebuah hadis dari Tajdzibu Athraf, penggal 2, halaman 105,  yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani rahimahullah yang terjemahannya: "Bermula tidur orang puasa itu ibadah, diamnya tasbih, amalnya berganda, doanya mustajab, dosanya terampun."

Faqir nukilkan hadis ini dan menyedari bahawa ada pihak yang meremeh hadis tersebut, kerana kelemahan yang ada pada sanadnya. Namun, pengakuan mereka bahawa hadis tersebut adalah dhaif, membuktikan bahawa ianya bukanlah hadis maudhu atau palsu. Kebanyakan ulama yang menjadi sumber inspirasi dan rujukan mereka, seperti Syaikh al-Albani, pun berpendapat bahawa hadis ini hanya dhaif. Di samping itu, ada juga yang menafsirkan seolah - olah hadis tersebut menganjurkan orang berpuasa untuk membanyakkan tidur, sedangkan tafsiran tersebut jelas terbit daripada salahfaham mereka tentang makna hadis. Dhaifnya status sanad hadis ini bukanlah masalah kerana hadis tersebut termasuk dalam hadis fadhail dan bukannya hadis ahkam. Ulama tidak mengeluarkan hukum sunnat atau wajibnya berpuasa daripada hadis tersebut. Ulama juga tidak ada yang menghukumkan sunnat tidur ketika berpuasa menurut hadis tersebut. Hadis ini hanya diselit dan diguna oleh para ulama ketika berbicara mengenai kelebihan atau fadhilat berpuasa. Tiada ulama yang menjadikan hadis ini sebagai hujah atas wajibnya berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kewajipan puasa Ramadhan itu ada dalilnya sendiri yang kuat lagi qathie. Hadis ini semata - mata memperikan kelebihan berpuasa dan bukannya kelebihan tidur. Penekanannya adalah pada ibadah puasa dan bukannya tidur, seharusnya yang difahami adalah :- Jika sahaja tidurnya orang yang berpuasa itu ibadah, maka betapa pula jaganya untuk melakukan ibadah khusus seperti sembahyang atau melakukan ibadah umum seperti melaksanakan tanggungjawab, bekerja atau berusaha mencari rezeki yang halal, sudah barang tentu jaganya tersebut akan diberi nilaian ibadah yang berlebih - lebih lagi. Oleh itu, belajarlah memahami ilmu hadis dan makna hadis dengan benar dan betul melalui para ulama kita yang muktabar. Selamat berpuasa, selamat beribadah dan juga selamat tidur, kerana tidur itu juga boleh jadi ibadah asalkan kena syaratnya. Di samping itu, dengan tidur juga, sebahagian manusia beroleh keselamatan daripada dosa mulut, dosa mata, dosa telinga dan seumpamanya. Dari satu sudut pula, hal ini juga mengisyaratkan kepada keistimewaan ibadah puasa berbanding ibadah lain seperti shalat, kerana dalam melaksanakan ibadah puasa, kita boleh tidur, sedangkan tidur dalam shalat tu saja cari penyakit. Apa - apa pun berpadalah dan jangan pandang sebelah mata dengan tidur, kerana tidur kamu, samada tidur malam atau tidur siang (manaamukum bil laili wan nahaar), adalah antara ayaatullah, tanda - tanda kebesaran, kekuasaan dan kemurahan Allah ta`ala. Maka ambillah pengajaran dan bersyukurlah.
******************
Surah ar-Ruum 
(Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)

Khamis, April 23, 2020

TG Haji Chik Kedah

Nama penuh ulamak besar Kedah ini ialah Tuan Guru Haji Chik Bin Ahmad al Qadahi dan beliau dilahirkan di Kuala Kangkong, Simpang Empat, Kedah.
Mendapat ilmu agama di Pondok Kenali dan Pondok Bermin selama beberapa tahun.
Diantara gurunya ialah :
1. Tok Kenali;
2. Tok Bermin;
3. Syeikh Abdullah Fahim.
Tuan Guru Haji Chik alim 4 mazhab dan beliau alim "Tanah Jawi" bermaksud kealiman beliau digarap hanya di Tanah Jawi tidak mengembara ke Tanah Arab. Tuan Guru Haji Chik merupakan seorang wali mastur yang hanya dikenali oleh orang² tertentu sahaja ketika beliau masih hidup. Selain dari itu, beliau juga pakar didalam ilmu falak sehinggakan dirumahnya ada taqwim yang dibuat sendiri. Beliau juga pakar ilmu faraidh. Apabila mengajar faraidh, Tuan Guru akan menggunakan guruih api sahaja.
Kehidupan Tuan Guru biasa sahaja. Diriwayatkan Tuan Guru hanya makan nasi bersama air sejuk atau berlaukkan garam. Paling sedap makanannya ialah nasi dengan berlaukkan telur. Beliau juga melarang anak anak muridnya memakan makanan yang ada di dalam tin seperti ikan sardin kerana ia boleh menumpulkan otak dan hafalan ilmu. Minuman hariannya juga daripada telaga yang beliau gali sendiri, dengan erti kata lain beliau tidak minum air yang datang dari paip.

Fizikal Tuan Guru Haji Chik hanya bertubuh kecil, rendah dan mukanya seiras dengan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Pakaiannya hanya kain pelekat. Kadang kadang tidak memakai baju dan ada kain basahan di bahu. Beliau cukup garang tapi hatinya amat lembut. Seperti kata orang² lama "garang mulut sahaja".
Antara karomah Tuan Guru ialah, beliau dikurniakan ingatan yang kuat dan mampu jawab satu persatu masalah hukum tanpa belek kitab. Jawapannya pasti disertakan dengan muka surat lengkap dengan barisnya sekali sungguhpun ketika itu beliau sudahpun menjangkau usia lebih 90 tahun.
Berikut merupakan antara kitab karangannya :
1. Sullamus Sibyan - Fekah;
2. Luqtotus Sughra - Faraid;
3. Risalah Faraid - Asas Faraid;
4. Paku Iman - Usuluddin;
5. Luqtotul Awrad - Perubatan.
Tuan Guru Haji Chik Kodiang meninggal dunia ketika berusia 104 tahun dan dikebumikan di Masjid Al Ridzwaniah, Kodiang.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
(Dipetik dari laman Nahdlatul Ulama Malaysia - Official)

Selasa, April 21, 2020

Li 'Asyratun - KH Fathullah

Qashidah Li 'Asyratun sebagaimana yang tercatat dalam terjemahan Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah bagi Ratib al-'Aththas yang berkat susunan wali quthub almarhum Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Aththas yang dinamakan 'Aziizul Manaal wa Fathu Baabil Wishaal. Sebenarnya Aziizul Manaal wa Fathu Baabil Wishaal  atau terjemahannya "sesuatu yang bernilai yang sukar untuk diperolehi dan kunci pembuka pintu penghubung kepada Allah" adalah antara nama bagi merujuk kepada Ratib al-'Aththas, nama - nama lain yang diberikan kepadanya oleh para ulama, antaranya:- (i) Hishnus Hashin (Benteng yang kukuh); (ii) al-Kibrit al-Ahmar (Belerang merah); (iii) Zubdatul Adzkar (Pati segala zikir): (iv) Maghnaathisul Asraar li man waadzaba 'alaihi bil laili wan nahaar (Magnet penarik segala asrar bagi sesiapa yang sentiasa mengamalkannya pada malam dan siang); (v) at-Tiryaq al-Mujarrab (Penawar yang mujarrab); dan (vi) Manhalul Manaal wa Fathu Baabil Wishaal (Sumber untuk mencapai dan kunci bagi pintu penghubung kepada Allah). Memandangkan tujuan utama karangan KH Fathullah Harun tersebut adalah sebagai terjemahan kepada Ratib al-'Aththas, maka dinamakan ia dengan nama ratib tersebut sahaja. Terhimpun juga dalam buku tersebut beberapa amalan dan zikir lain termasuklah Qashidah Li 'Asyratun dan Hizbul Bahr bagi Syaikh Abul Hasan `Ali asy-Syadzili rahimahullah. Mudah - mudahan keberkatannya berkelanjutan sehingga ke akhir masa.

**************************

Sabtu, April 18, 2020

KH Fathullah Harun

Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah atau lebih akrab dipanggil sebagai Pak Kiyai oleh masyarakat di tempat faqir adalah salah seorang ulama yang lama menabur bakti kepada masyarakat kami. Beliau rahimahullah yang nama lengkapnya KH Fathullah Harun bin Haji Harun bin Haji Murtadho lahir di Jakarta sekitar tahun 1913. Pendidikan agama secara formal beliau dapatkan dengan memasuki Madrasah Unwanul Falah, Kwitang, yang diasuh dan diasas oleh Habib Ali bin Abdul Rahman al-Habsyi @ Habib Ali Kwitang yang terkenal dengan kealiman dan kewaliannya. KH Fathullah Harun juga sempat menjalani pendidikan akademik di Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO) sekolah Belanda. Sungguh pun demikian, menuntut dan mendalami ilmu agama tetap beliau teruskan dengan Habib Ali Kwitang, Habib Ali bin Husain al-'Aththas (Habib Ali Bungur), Habib Alwi bin Thahir al-Haddad (mantan Mufti Johor), Mu`allim Thabrani Paseban dan Guru Mahmud Romli rahimahumullah. Berkat didikan para gurunya, beliau menjadi seorang alim dan diizinkan untuk mengajar dan berdakwah. Keilmuan beliau terserlah sehingga guru beliau Habib Ali Bungur rahimahullah turut mengkagumi anak muridnya itu. Beliau dalam satu kesempatan di hadapan ribuan manusia, telah mempersaudarakan KH Fathullah Harun dengan Habib Muhammad (anak kandung Habib Ali Bungur) bersama dua lagi ulama Betawi, iaitu KH Abdullah Syafi`i dan KH Thohir Rohili, yang tiada lain tujuannya selain daripada memperkukuh dan memperluaskan dakwah Islamiyyah.


KH Fathullah Harun mempunyai pertautan erat dengan Malaysia, terutama sekali Kuala Lumpur dan Kuching. Asal mula dakwah beliau di Malaysia adalah sekitar tahun 1956 atas jemputan dan dorongan guru beliau Habib Alwi bin Thahir al-Haddad rahimahullah yang pada masa itu menjawat jawatan mufti di Johor. Ketika berdakwah di Malaysia, terjadi konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia mengakibatkan beliau tidak dapat pulang ke Indonesia. Murid - murid beliau meminta agar beliau tetap sahaja bermukim di Malaysia. Akhirnya beliau memutuskan untuk tinggal sahaja di Malaysia. Selama 14 tahun beliau berdakwah dan mengajar di Kuala Lumpur, terutama sekali di masjid Kampung Baru. Beliau menjadi perintis kepada pengajian selepas Subuh atau Kuliah Subuh yang dimulakan di masjid tersebut pada setiap minggu. KH Fathullah Harun juga pernah dilantik menjadi Imam Masjid Negara. Sekitar tahun 1979, bermulalah hubungan khusus antara beliau dengan Sarawak, apabila atas jemputan Tun Abdul Rahman Ya'kub, ketika itu menjawat jawatan ketua menteri, KH Fathullah Harun berhijrah ke Kuching, Sarawak. Di Kuching, beliau giat mengajar dan memberikan ceramah - ceramah agama. Beliau juga pernah dilantik menjadi imam Masjid Bahagian Kuching (masjid negeri ketika itu) dan pernah juga dilantik menjawat jawatan pemangku Mufti untuk beberapa waktu. Beliau menaburkan jasa di bumi Sarawak sehingga sekitar tahun 1985, sebelum kembali semula ke Semenanjung.

KH Fathullah Harun rahimahullah tutup usia di Makkah ketika menunaikan ibadah umrah di bulan Ramadhan. Jenazah beliau dimakamkan di tanah perkuburan Ma`la hampir dengan makam Sayyidatina Khadijah al-Kubra ummul mu'minin radhiyaAllahu `anha. Kisah bagaimana beliau mendapat keberuntungan tersebut dicatat dalam Genealogi Intelektual Ulama Betawi, halaman 170 - 171 seperti berikut:-  KH Fathullah Harun wafat pada usia 74 tahun di hari keenam bulan Ramadhan tahun 1987 di kota Makkah. Ia dikuburkan di pemakaman Ma'la, Makkah di samping kuburan ibunda Siti Khadijah. Ada cerita menarik pada proses pemakamannya itu yang menunjukan bagaimana Allah SWT memuliakannya. Pada hari ia wafat, wafat juga ulama terkemuka setempat. Kedua jenazah pun sama - sama disholatkan di tempat dan waktu yang sama. Sedangkan di Perkuburan Ma'la, sudah disiapkan dua kuburan yang sudah digali. Untuk ulama terkemuka setempat disiapkan persis di samping kuburan ibunda Siti Khadijah. Sedangkan untuk almarhum KH Fathullah Harun disiapkan di tempat yang lain. Pada saat jenazah diangkat dan sampai di samping kuburan ibunda Siti Khadijah, ternyata jenazah yang diangkat bukanlah jenazah ulama setempat, melainkan jenazah KH Fathullah Harun. Ada peraturan tidak tertulis di Perkuburan Ma'la, yaitu jika jenazah sudah berada di perkuburan, maka ia harus dikuburkan di tempat jenazah ditaruh dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Selain daripada murid dan zuriat anak keturunan, KH Fathullah Harun juga meninggalkan beberapa buah karangan, antaranya:-  (i) Untuk Apa Manusia Dijadikan; (ii) Panduan Mengenal Allah Dan RasulNya; (iii) Terjemahan Washiyyatul Musthafa lil Imam `Ali karramaAllahu wajhah; (iv) Perjalanan Ke Tanah Suci; (v) Terjemahan 'Azizul Manal wa Fathu Baabil Wishaal; (vi) Miftahus Sa`adah; dan (vii) Terjemahan Nazam Hidayatul Adzkiya` ila Thariqil Awliya`. Mudah - mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Kiyai Haji Fathullah Harun sentiasa dan menempatkan beliau di kalangan para shalihin... Allahumma aamiin .....al-Fatihah.




Jumaat, April 17, 2020

Qashidah Li `Asyratun

Habib Ahmad bin Muhammad bin 'Alawi al-Muhdhar rahimahullah adalah sosok ulama yang menjadi panutan dan ikutan umat. Beliau mempunyai silsilah keturunan yang bersambung dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Keluarga beliau yang disebut sebagai marga al-Muhdhar terkenal dengan ilmu dan kewaliannya. Beliau adalah ayahanda kepada Habib Muhammad al-Muhdhar Bondowoso yang masyhur di Tanah Jawa. Habib Ahmad dilahirkan di kampung ar-Rosyid, Do`an, Hadramaut, pada tahun 1218H dan wafat 1304 di Quwairah / Guweireh, Hadhramaut. Beliau telah dididik dalam lingkungan keluarga berilmu dan taat beragama. Beliau telah hafal al-Quran sejak berusia 7 tahun lain. Guru - gurunya amat ramai, di antara mereka Habib Shalih bin 'Abdullah al-'Aththas, Habib 'Umar bin Abu Bakar bin 'Ali al-Haddad, Habib 'Abdullah bin 'Aydrus al-Baar, Habib Ahmad bin 'Umar BinSumaith, al-`Allaamah Syaikh 'Abdullah bin Ahmad BaSaudan, al-'Allaamah Syaikh Sa`id bin Muhammad Ba'syin dan Habib Hasan bin Shalih al-Jufri @ Habib Hasan al-Bahar rahimahullah. Beliau juga berkesempatan untuk menimba ilmu dengan para ulama Haramain, di antaranya, Syaikh 'Umar Abdurrasul al-'Aththar, Syaikh Muhammad Shalih ar-Rais az-Zamzami (mufti Syafie Mekah), Syaikh Ahmad ash-Shawi (pengarang Tafsir ash-Shawi) dan Syaikh 'Abdur Rahman al-Kuzbari (ulama hadis terkemuka) dan ramai lagi rahimahullah.

Habib Ahmad al-Muhdhar menghabiskan umurnya untuk mentaati Allah ta`ala dengan melaku amal ibadah, di samping menyebarkan ilmu. Ibadahnya seperti shalat, membaca al-Quran, zikir dan shalawat amat banyak. Diceritakan bahawa ketika Habib Ahmad membaca kisah Rabi`atul Adawiyyah rahimahallah menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan 7000 kali khatam dalam liang tersebut, maka Habib Ahmad tidak mahu kalah, beliau menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan di dalamnya 8000 kali khatam. Namun, beliau masih sempat menyisih waktunya untuk menulis, mengarang dan mengajar para santri. Di antara santri beliau, selain anak - anaknya sendiri, adalah Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas, Habib Thahir bin 'Umar al-Haddad, Habib 'Aydrus bin 'Umar al-Habsyi dan ramai lagi rahimahullah. 

Syair, qashidah, wasiat, zikir, ratib dan shalawat yang beliau susun telah masyhur dan dinukil dalam kitab para ulama. Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Hasan al-'Aththas rahimahullah dalam karya beliau yang menghimpunkan wirid, zikir, shalawat, ratib dan doa yang masyhur di kalangan Saadah Ba`Alawi yang dinamakan sebagai  Sabil al-Muhtadin fi dzikri ad`iyyah ashhab al-yamin, turut memuatkan ratib, zikir, hizib, shalawat dan doa gubahan Habib Ahmad al-Muhdhar. Antara yang tercatat adalah shalawat yang dikarang Habib Ahmad al-Muhdhar mengikut susunan huruf hijaiyyah yang dinamakan al-Bab al-Maftuh lid dukhul wa as-Sullam al-Muwashshil li kulli sul fi ash-shalaati 'ala Asyrafi Marsuul. Himpunan shalawat dengan gaya bahasa yang ringkas, namun tinggi sastera dan dalam pengertian serta maknanya, telah diterjemah dan dicetak dalam Bahasa Melayu / Indonesia oleh Synergy Media dengan jodol Selawat Pelindung diambil daripada terbitan Indonesia dengan jodol Shalawat Sapujagat. Namun sayang seribu kali sayang, Kata Pengantar yang tertulis dalamnya mengandungi rujukan dan jarum Syiah, maka hati - hati bila membaca kata pengantar tersebut. Kata Pengantar ini bukannya tulisan Habib Ahmad al-Muhdhar. Habib Ahmad al-Muhdhar adalah ulama yang berjalan atas jalan para salaf Bani 'Alawi, di mana mereka adalah pengikut Ahli Sunnah wal Jama`ah dan bermazhab Syafie. Bahkan beliau menutup shalawat tersebut dengan mendoakan para Saadah Alawiyyin yang bermazhab Sunni dengan katanya: ....wa `ala Saadatina al-'Alawiyyin al-Husainiyyin as-Sunniyyin.....( dan ke atas para pemuka 'Alawi keturunan Husain yang sunni)....,  sila tuan - tuan baca sendiri. Ambillah perhatian dan hati - hati dengan dakyah Syiah yang bertopengkan ahli bait.

Mengenai qashidah Li `Asyratun, ini adalah antara bait - bait qashidah yang telah disusun oleh Habib Ahmad al-Muhdhar. Bahkan, ianya adalah antara qashidah beliau yang paling banyak dibaca. Beliau rahimahullah turut memuatkan qashidah ini dalam himpunan yang dinamakan an-Nafhatul 'Anbariyyah fi Lailatil Ihda 'Asyariyyah yang biasa dibaca dalam majlis haul atau hadrah memperingati Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah radhiyaAllahu `anha. Imam Ahmad al-Muhdhar mempunyai pertautan yang erat dengan Sayyidah Khadijah al-Kubra radhiyaAllahu `anha. Beliau telah mempelopori majlis peringatan atau haul bagi Sayyidah Khadijah yang biasa diadakan pada setiap tanggal 11 haribulan qamariyyah. Majlis yang biasa disebut sebagai Hadrah Ihda 'Asyariyyah sempena kewafatan Sayyidah Khadijah pada hari yang ke-11 (Sayyidah Khadijah wafat pada 11 haribulan Ramadhan) berkelanjutan sehingga ke hari ini dan tersebar bukan sahaja di Hadhramaut, bahkan di Hejaz, Afrika dan Nusantara. Jika bait Li Khamsatun hanya tawassulan untuk mencegah wabak penyakit, Li 'Asyratun  ini mungkin lebih "angker" lagi dalam sudut pandang puak anti - tawassul (baca: Wahabi), sebab tawassulnya adalah dari kepanasan api neraka bukan setakat kepanasan wabak. Menurut sebahagian asatizah, antaranya Habib Abdurrohman BilFaqih hafizahullah, ketika terjadi penularan wabak, maka kalimah "naaral Jahiim" bolehlah diubah kepada "harral waba`" sebagaimana ijazah yang beliau perolehi. Dalam qashidah Li 'Asyratun, tawassulnya ada 10, iaitu (i) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam; (ii) Sayyidina 'Ali; (iii) Sayyidina Hasan; (iv) Sayyidina Husain; (v) Sayyidah Fathimah; (vi) Sayyidah Khadijah; (vii) Sayyidah Aisyah; (viii) Sayyidah Maryam; (ix) Sayyidah Asiah (isteri Fir`aun yang menjadi ibu angkat Nabi Musa `alaihis salam), radhiyaAllahu `anhum dan Sayyidina Jibril `alaihis salam. Maka tidak boleh dituduh qashidah ini sebagai amalan Syiah, kerana ternyata tawassulnya juga kepada Sayyidah Aisyah radhiyaAllahu `anha sedangkan Syiah amat memusuhi dan membenci beliau. Confirm Syiah tak baca, yang deme baca versi lain walaupun memiliki persamaan. Versi yang kita amal, kita tak ambik daripada Syiah, kita dapat daripada para ulama kita yang Sunni semuanya.

Qashidah ini juga telah masyhur diamalkan dan dibaca dalam majlis - majlis zikir dan ratib. Para ulama menukilkannya dalam karangan mereka terutama karya - karya yang membahas atau menghimpun zikir dan ratib yang masyhur di kalangan Ba 'Alawi. KH Fathullah Harun rahimahullah menukilkan qashidah ini dengan sedikit perbezaan lafaz dalam karya terjemahan beliau bagi 'Aziizul Manaal yang telah beredar sejak 1967 lagi. Begitu juga Habib Ahmad bin 'Abdul Rahman BaHusein dalam Majmu`ah Mubarakah turut memuatkan qashidah ini. Maka tiada lagi keraguan  bahawa qashidah ini dianjurkan pembacaannya oleh para ulama kita. Mudah - mudahan ada manfaatnya sebagai wasilah meraih rahmat dan pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.

********************
Qashidah Li 'Asyratun
(Benua Afrika)

Li Khamsatun - Habib BilFaqih

Ini pula ijazah dua amalan untuk mencegah wabak penyakit. Amalan ini disampaikan oleh Habib Abdur Rohman bin Abdullah bin Abdul Qadir BilFaqih hafizahullah. Beliau adalah anakanda almarhum Habib Abdullah BilFaqih justru menjadikan beliau cucu kepada almarhum Habib Abdul Qadir BilFaqih yang kedua mereka terkenal dengan keilmuan, terutama dalam bidang hadis dan juga kewalian. Menurut Habib Abdur Rohman, inilah amalan yang disuruh oleh Habib Abdul Qadir untuk diamalkan ketika berlaku penularan wabak. Amalan pertama berupa bait Li Khamsatun dan amalan kedua adalah qashidah Li `Asyratun yang merupakan karangan Habib Ahmad bin Muhammad bin Alawi al-Muhdhar rahimahullah. Jangan khuatir, mereka - mereka ini semuanya Ahli Sunnah wal Jama`ah tanpa sebarang keraguan.

Jumaat, April 10, 2020

Li Khamsatun - Ulama Turki

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Dhiya-uddin, Ahmad bin Mustafa bin Abdul Rahman al-Kumsyakhanawi  @ al-Kumusyakhanawi @ al-Kamsyakhanawi atau dalam lahjah Turki biasa dirujuk sebagai Syaikh Ahmed Ziyaeddin Gumushanevi  Hazratleri rahimahullah adalah antara ulama  ternama Turki. Beliau dilahirkan di Emirler, Gumushane, Turki, dalam tahun 1228H / 1813M dan wafat di Istanbul pada 7 DzulQaedah 1311 / 13 Mei 1893, rahimahullah. Atas perkenan Sultan Abdul Hamid II, sultan Khilafah Uthmaniyyah ketika itu, beliau dimakamkan dalam kawasan Masjid Sulaimaniyyah, bersebelahan dengan makam Sultan Sulaiman al-Qanuni.

Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi adalah ulama besar Ahli Sunnah wal Jama`ah, sufi, mursyid Thariqat Naqsyabandi, ahli hadis dan seorang mujahid yang pernah berjihad menentang Russia. Imam Muhammad Zahid al-Kautsari rahimahullah, Syaikhul Islam terakhir Khilafah 'Uthmaniyyah, amat mengkagumi beliau, bahkan memuji beliau dengan berbagai gelaran. Beliau disebut sebagai mujaddid Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah dengan cabang Dhiya-iyyah yang mengambil sempena gelar beliau. Beliau juga aktif menulis dan meninggalkan beberapa karangan yang bermutu. Di antara yang masyhur adalah kitab Jaami`ul Ushuul fil Awliya yang kerap dijadikan rujukan. Almarhum Tuan Husein Kedah dalam karangan beliau Ushulut Tawhid menyatakan bahawa antara rujukan beliau adalah kitab  Jaami`ul Ushuul fil Awliya bagi Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi. Begitu juga almarhum Buya Muhibbuddin Waly al-Khalidi sering merujuk kepada kitab ini dalam pengajaran dan karangan beliau. Dalam ilmu hadis pula, kitab beliau "Ramuz al Ahadits" sering dirujuk dan menjadi teks para pengajar dan pelajar hadis di Turki. 

Dalam bab akidah dan iktiqad Ahli Sunnah wal Jama`ah, antara karya peninggalan beliau adalah kitab berjodol Jaami`ul Mutun fi Haqqi Anwaa`ish Shifaatil Ilahiyyah wal `Aqaa-idil Maaturidiyyah wa Alfadzil Kufri wa Tashhiihil A'maalil 'Ajiibiyyah, sengaja faqir nukilkan sepenuhnya untuk menggambarkan isi kandungannya dan sebagai penegasan bahawa al-Kumsyakhanawi adalah pendokong mazhab al-Maaturidiyyah daripada Ahli Sunnah wal Jama`ah. Selain daripada itu, Syaikh Ahmad al-Kumsyakhanawi juga mengarang banyak lagi karangan, antaranya: Ruhul `Arifin, Lawami`ul-Uqul, Gharaib al-Ahadits, Lathaiful Hikam, Hadits al-Arba`in, Najaatul Ghafilin, Dawa-ul Muslimin, Nataaijul Ikhlas, Majmu`atul Ahzab wal Awrad dan al-`Abir fil Anshari wal Muhajir.

Syaikh Ahmad rahimahullah juga mempunyai karya yang terhimpun di dalamnya berbagai macam wirid, hizib, qashidah, doa dan munajat daripada berbagai sumber. Himpunan ini adalah dalam tiga juzuk tebal dan dinamakan Majmu`atul Ahzab wal Awrad. Pada juz ke-2, halaman 505 - 506, beliau menukilkan Hizbun li Daf`ith Thaa`un wal Wabaa` wa Kulli `Ilal  yang merupakan rangkaian amalan untuk menolak tha`un dan wabak penyakit. Hizib ini dimulakan dengan bait Li Khamsatun. Jelas bahawa membaca dan mengamalkan bait tersebut bukanlah sesuatu yang taboo di kalangan Ahli Sunnah. Oleh itu, janganlah diperlekehkan orang yang menjadikannya sebagai amalan, apatah lagi jika dituduh sebagai Syiah yang sesat. Amalan bertawasul kepada ahli kisa` bukanlah sesuatu yang ditegah dalam ajaran Ahli Sunnah wal Jama`ah. Bahkan amalan membaca bait Li Khamsatun diteruskan hingga ke generasi kita sekarang, apatah lagi sejak diuji dengan Covid19.

Seorang lagi ulama kenamaan Turki, yang namanya disanjung - sanjung oleh para pejuang dan pendokong organisasi - organisasi dakwah dan partai - partai Islam.  Tokoh yang terkenal berani dan digeruni oleh Ataturk dan regim sekular, Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi rahimahullah. Beliau turut menukilkan bait  Li Khamsatun dalam salah satu surat beliau kepada sahabat dan muridnya. Hal ini dapat dilihat dalam al-Malaahiq Fi Fiqhi Da'wah an-Nuur pada halaman 81. Melalui surat bertarikh 14 Naisan (April) 1934, hari Rabu, beliau dalam jawapan ringkas terhadap pertanyaan tentang Alul `Abaa` (gelar lain bagi Ahli Kisa` yang lima iaitu Junjungan Nabi  shallaAllahu `alaihi wa sallam, Imam 'Ali, Imam Hasan, Imam Husain dan Sayyidah Fathimah radhiyaAllahu `anhum) menulis antara lain: "Dan telah berkata seorang yang memiliki keutamaan  bahawa untuk ikhtiar mencari kesembuhan (istisyfa`) dan syafaat pertolongan (istisyfaa')  hendaklah dibaca: Li khamsatun uthfi biha naaral wabaa-il haathimah; al-Mushthafa wal Murtadha wabnaahumaa wa Faathimah." Adakah Syaikh Badi`uzzaman telah jadi Syiah!!

Mudah-mudahan makin jelas kepada kita status dan kedudukan dua bait Li Khamsatun yang masyhur tersebut. Semoga dengan berkah alil `abaa`, Allah ta`ala menyelamatkan kita dan sekalian umat dari segala penyakit dan wabak. Semoga Allah merahmati sentiasa para ulama kita, wa bil khusus Syaikh Ahmed Ziyaeddin Gumushanevi Hazratleri dan Syaikh Badi`uzzaman Sa`id an-Nursi...al-Fatihah.