Jumaat, November 05, 2021

Barzanji - Habib `Alwi

Habib `Alwi bin Thahir al-Haddad rahimahullah ulama yang terkenal dengan keilmuannya. Beliau antara ulama yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana sepanjang hayat beliau telah merantau ke banyak tempat hatta di Afrika untuk menyebarkan ilmu dan dakwah. Beliau pernah dilantik menjadi mufti negeri oleh Sultan Johor sebanyak dua kali sebagai mufti ketiga dan keenam bagi Negeri Johor. Mudah - mudahan Allah mencucurkan rahmat yang tiada hentinya ke atas beliau serta menempatkan beliau bersama shalihin.

Selain giat berdakwah dan mengajar, Habib `Alwi bin Thahir rahimahullah turut menyempatkan masa untuk menulis dan mengarang. Bahkan beliau memiliki karya yang banyak dan fatwa - fatwa beliau pun ada yang sudah dibukukan. Antara yang menghimpun fatwa - fatwa beliau adalah pihak Jabatan Agama Islam Johor yang diterbitkan dalam 2 jilid dengan jodol "Fatwa - Fatwa Mufti Kerajaan Johor. Dalam himpunan fatwa tersebut, beliau rahimahullah ada menyentuh sedikit sebanyak mengenai Mawlid al-Barzanji dan faqir kongsikan di sini kerana masih ada yang melecehkan karangan Sidi Ja'far al-Barzanji rahimahullah, Mufti Madinah al-Munawwarah, guru dan khatib di Masjid Nabawi. Mawlid beliau telah menempa nama yang harum semerbak dan masyhur di seantero dunia, ulama dan awam membacanya untuk mencari keberkatan dan kecintaan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menghayati ketinggian martabat, sirah kehidupan dan perjuangan baginda. Namun sangat dikesali akan sikap segelintir dan sesetengah "ilmuwan" yang gagal atau pura - pura gagal untuk memahami makna dan ibarat kitab Mawlid al-Barzanji tersebut. Ada yang katanya "alim" namun awal ibarat kalam pengarangnya yang menyebut:- "Abtadi-ul imla`a bismidz Dzatil `Aliyyah", pun sudah tidak difahami, bahkan disalahfahami, entahlah samada memang betul - betul tak faham atau sengaja buat - buat tak faham, sebagai satu pelecehan atau penghinaan terhadap pengarang dan pembaca Mawlid tersebut. Ada lagi yang katanya "professor", tapi gagal faham makna ibarat:- " ....an-Nuril mawshufi bit taqaddumi wal awwaliyyah", sehingga tergamak menuduh Imam Barzanji sesat kerana mengatakan Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu qadim seperti Allah ta`ala, yakni wujud tanpa ada permulaan. Allahu ... Allah, bila masanya Imam Barzanji kata Nur Muhammad itu qadim, kamu yang salahfaham dan kesalahfahaman mu itu yang sesat dan menyesatkan. 

Dalam jilid ke-2 himpunan fatwa tersebut, pada halaman 251, Habib Alwi bin Thahir rahimahullah menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
 "....Dan berkenaan Mawlid al-Barzanji, bukanlah wajib dan bukan sunnat. Tetapi wajib atas tiap - tiap muslim mengetahui sesuatu daripada tarikh perjalanan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, samada daripada kitab Mawlid al-Barzanji atau kitab - kitab lainnya. Dan Mawlid Barzanji itu dimustahabkan (disukai) kerana padanya menyebutkan sirah dan perjalanan dan sifat - sifat Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Maka tidaklah sia - sia sesiapa yang membaca Mawlid al-Barzanji, asalkan niatnya betul dan murni. Mudah-mudahan dengannya kita diberi kefahaman terhadap sirah dan ketinggian martabat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta dianugerahkan ma'rifatur rasul dan peningkatan mahabbatur rasul, mencintai baginda dengan sebenar - benarnya, sehingga dapat bersama, berhimpun dan mendampingi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam di syurga tertinggi .... Allahumma aaamiin.

PM ke-8 Baca Rawi I

Isnin, November 01, 2021

Ratibul Haddad - Tokku Melaka

Alam Melayu tidak pernah kurang daripada tokoh - tokoh ulama, awliya` dan shalihin, namun ramai yang tidak terkenal dan dikenali. Yang tahu, tahu; Yang mencari tahu, akan mendapat tahu; Yang tak mahu tahu, akan terus tak tahu. Kemasyhuran di sisi manusia, bukan matlamat mereka, hanya redha Allah yang menjadi dambaan mereka. Tuan Sayyid Embun atau lebih terkenal dengan gelaran Tokku Melaka rahimahullah merupakan ulama titihan daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beliau adalah Sayyid Ahmad bin Muhammad @ Tokku Tuan Pahang bin Husain bin Musthafa bin Syaikh bin Musthafa bin `Ali Zainal `Abidin bin `Abdullah bin Syaikh bin `Abdullah al-`Aydrus ( `Aydrus al-Akbar) bin Syaikh Abu Bakar as-Sakran dan Syaikh Abu Bakar as-Sakran adalah wali besar yang tiada asing nasabnya terus bersambung kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid `Abdul Rahman al-`Aydrus rahimahullah sudah cukup tersohor, bahkan jika disebut sahaja Terengganu, maka nama ulama yang pertama muncul di kepala kita adalah beliau. Ayah mertua beliau adalah Tokku Melaka ini. Tokku Melaka juga meninggalkan beberapa karya tulis, antaranya:- al-Fawaaid, Hidayatul `Awaam, Targhibul `Ibaad, Targhibur Rijaal fi kasbil halaal dan Ta'riful Khallan fi Tajwidil Quran. Tokku Melaka tutup usia pada 30 Shafar 1315H dan dimakamkan di Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Mudahan - mudahan rahmat Allah terus mengalir kepada beliau sehingga ke Hari Pembalasan..... al-Fatihah.

Tokku Melaka rahimahullah memiliki dua karya yang menyentuh Ratibul Haddad. Karangan khusus beliau mengenai ratib tersebut dinamakan Targhibul `Ibaad fi qiraati Ratib al-Haddad yang masih berbentuk manuskrip tulisan tangan dalam 104 halaman. Isi kandungannya berkisar tentang pengertian, kelebihan dan cara mengamalkan Ratibul Haddad agar para pembaca ratib tersebut tahu sedikit sebanyak mengenai kelebihan dan erti segala zikir yang terkandung dalam ratib tersebut. Kitab ini disempurnakan karangannya pada 7 DzulHijjah, 1301H. Sebelumnya, Tokku Melaka telah memuatkan bacaan Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif di akhir kitab beliau, al-Fawaaid tarjamah Kitab ash-Shalah wal `Awaaid yang selesai penulisannya pada 27 Shafar 1260H.

Di dalam karangan beliau yang berjodol al-Fawaid tersebut, beliau mengakhirinya dengan memuatkan bacaan lengkap Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif. Pada halaman 55 kitab tersebut, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
....Terlintas pula atas hati faqir bahawa hendak disuratkan kemudian daripada ini akan Ratib al-Haddad nafa`anaAllahu bihi serta wiridnya yang kecil kemudian daripadanya kerana faqir mendengar adalah padanya kelebihan yang amat besar lagi amat banyak di dalam dunia dan akhirat, lagi memberi manfaat bagi orang yang mengekalkan atas keduanya itu di dalam dunia dan akhirat. (Seperti barang yang) telah berkata oleh yang empunya ratib ini, iaitu habib yang `alim lagi `allaamah lagi quthub yang besar, iaitu Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad nafa`aAllahu bihil muslimin, katanya: "Barangsiapa yang mengekalkan ia atas membaca ratib kami ini, nescaya dikurniakan dia mati atas sebaik - baik mati." Dan lagi dipeliharakan dia daripada pencuri dan terbakar dan tenggelam di laut. Dan adalah membaca akan dia serta berjemaah itu terlebih afdhal daripada seorang. (Maka apa - apa) faedah yang terlebih daripada mati atas iman dan terpelihara daripada pencuri dan terbakar dan karam dan lagi banyaklah segala faedahnya, setengah daripadanya dipeliharakan negeri yang dibawa ratib itu daripada kejahatan seteru, dan setengah, dipelihara akan orang yang membawa ratib daripada sengat oleh ular dan kala dan sebagainya, dan jika disengat akan dia tiada memberi mudarat ia akan dia seperti barang yang mengkhabarkan yang demikian itu oleh segala orang yang mengamalkan dia, daripada segala orang yang musafir di laut dan di darat. Lainnya daripada segala faedahnya, maka tiadalah faqir memanjangkan dia di sini. Maka barangsiapa yang hendak mengetahui akan sekalian yang demikian itu, maka hendaklah dilihanya pada kitab manaqibnya dan pada syarah ratib itu. Maka seyogianya janganlah ditinggalnya orang yang hendak kemenangan di dalam dunia dan akhirat. (Dan adalah ratib ini) dibaca kemudian daripada sembahyang Isya` , tiap - tiap malam dan tiap - tiap bulan melainkan pada bulan puasa, maka iaitu dibaca kemudian daripada sembahyang Maghrib. Dan jika dibaca pula kemudian daripada sembahyang Subuh, iaitu terlebih baik dan terlebih sempurna daripadanya.....
Semoga bermanfaat dan dapat istiqamah dalam beramal.

Ahad, Oktober 31, 2021

Ijazah ? - Hb Abdullah Muhdhor

Dalam membaca atau mengamalkan Ratibul Haddad, tidaklah perlu kepada ijazah (yakni keizinan atau kebenaran khusus) daripada mana - mana pihak. Imam al-Haddad radhiyaAllahu `anhu telah memberikan izin am kepada umum, maka sesiapa sahaja boleh membaca dan mengamalkannya. Ijazah Ratibul Haddad adalah untuk tabarrukan sahaja dan bagi mewujudkan mata rantai sanad zahir dengan Imam al-Haddad, si penyusunnya. Di samping itu, ijazah khusus itu gunanya untuk memantapkan bacaan dan cara atau kaifiat bacaan, seperti, dalam bacaan Ratibul Haddad zikir "Aamannaa billahi wal Yawmil Akhir, Tubna ilaAllahi baathinan wa dzaahiran", kalimah "dzaahiran" itu diwaqaf dengan dibaca "dzaahir" bukannya "dzaahira", kerana begitulah caranya daripada Imam al-Haddad mengikut lahjah Kabilah Rabi`ah. Namun, jika diamalkan tanpa ijazah tersebut pun tidak menjadi masalah, dan tetap mempunyai pertautan dan bersambung dengan Imam al-Haddad selaku penyusunnya, di mana ianya termasuk ilmu yang bermanfaat yang disebarkan dan beliau mempunyai sahamnya sebagai penunjuk ke jalan kebajikan. Oleh itu, jangan jadikan ijazah sebagai alasan untuk tidak beramal. Ada sesetengah kalangan termasuk juga yang mengaku dirinya daripada keluarga Ba `Alawi menjadikan alasan untuk tidak mengamalkan ratib kerana tidak memiliki ijazah khusus......Allahu ..Allah. Ingat ijazah itu untuk memantapkan, bukan untuk dijadikan halangan dan alasan tidak beramal. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam taufiq dan hidayah daripadaNya.

Jawapan Hb Abdullah al-Muhdhor tentang ijazah

Jumaat, Oktober 22, 2021

Tafrihush Shibyan

Syaikh Husein Nasir al-Mas`udi al-Banjari atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Husein Kedah rahimahullah adalah seorang tokoh ulama Tanah Air yang amat terkenal. Beliau mempunyai karya - karya tulis yang bernilai dan menjadi panduan serta rujukan umat beragama. Di antara karya beliau berkaitan dengan kisah mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah Tafrihush Shibyaan

Pada halaman 2 kitab tersebut, Tuan Husein menukilkan dan menyatakan sebagai berikut:- (Ketahui olehmu) bahawasanya mengamat-amati dengan perbuat Maulud Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu daripada sebesar - besar qurubat yang mendamping akan dirinya kepada Allah ta`ala. Bermula yang demikian itu hasil ia dengan perbuat jamu makanan akan muslimin atau membaca Quran atau dzikrullah atau membaca shalawat atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau membaca kisah bagi Maulud Nabi seperti barang yang sudah masyhur dengan yang diamal akan dia. (Maka tak dapat tiada) daripada niat dengan sebagai perbuatan yang tersebut itu membesarkan dan menyukakan bagi beranak Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta qashad ia akan hari peranaknya atau malamnya dan bulannya dengan `ainnya."

Apa yang dinukil oleh Tuan Husein tersebut adalah sebagaimana nukilan para ulama kita terdahulu. Ulama kita amat mengambil berat dan memberikan perhatian khusus kepada Maulud Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka menyatakan bahawa ianya merupakan sebesar - sebesar jalan untuk kita bertaqarrub dengan Allah `azza wa jalla dengan mengasihi, mencintai, membesar dan mengagungkan wasilah terbesar untuk kita meraih keredhaan Allah. Pandangan ini semestinya berbeza dengan ulama Wahabi - Najdi, penjilat keluarga Saud, yang membid`ahsesatkan bahkan mensyirikkan maulud nabi. Maka hendaklah kita tetap berpegang teguh dengan ulama kita, bakulsampahkanlah fatwa songsang puak Najdi tersebut.

Menyambut atau merayakan atau meraiekan maulud boleh dilakukan dengan apa jua amalan kebajikan seperti bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, bershalawat dan membaca atau mendengar kisah - kisah mawlid dan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Segala amalan ini terwujud dalam majlis - majlis sambutan maulud yang dilakukan dalam masyarakat Islam, baca Quran ada, berzikir ada, bershalawat ada, bersedekah dan makan - makan pun biasanya ada. Dan semua ini dilakukan dengan niat membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menzahirkan sukacita kita atas kelahiran Nabi yang membawa rahmat bagi sekalian alam. Teristimewa sekali apabila sambutan maulud tersebut dilakukan tertentu pada hari atau malam atau bulan di mana Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan. Maka jika sepanjang tahun, kita mungkin disibukkan dengan berbagai urusan dan pekerjaan, maka setidak - tidaknya pada hari yang bertepatan dengan kelahiran baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam di bulan Rabi`ul Awwal, kita menyempatkan diri untuk membaca atau mendengar riwayat kisah bagaimana manusia luarbiasa yang bernama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan ke muka bumi sebagai rahmat. Benarlah kata pujangga: "Aku hairan melihat orang yang mengaku punya hati nurani, tetapi tidak gembira dan bersukacita dengan kedatangan Pembawa Petunjuk Ilahi."

Rabu, Oktober 20, 2021

Mawlid Penangkal Wabak II

Lanjutan dari entri - entri sebelumnya, sebagaimana yang disebut terdahulu, antara sebab Syaikh Makhdum Kabir Zainuddin al-Ma'bari `alaihi rahmatul Bari menyusun Manqush Mawlid adalah permintaan penduduk Ponnani (Kerala) sedang diancam penularan wabak thaun (kolera). Bahkan dikatakan begitu dahsyatnya wabak tersebut sehingga ramai yang mati mendadak. Permintaan tersebut dipenuhi Makhdum Kabir dengan tersusunnya Manqush Mawlid tersebut. Lalu disuruhlah agar mawlid tersebut dibaca di masjid - masjid dan rumah - rumah penduduk. Maka dengan jah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan berkat mawlid tersebut, mereka diberi keselamatan daripada ancaman  wabak tersebut. Semenjak itu, Manqush Mawlid telah dibaca turun temurun oleh masyarakat Islam di Malabar. Boleh tuan - tuan setelah ini mendengar klip ceramah Ustaz Bashir al-Azhari hafizahullah mengenai perkara ini di hujung entri ini.

Keampuhan bermawlid sebagai wasilah dan sarana bermunajat kepada Allah memohon perlindungan dan keselamatan daripada bala bencana telah terbukti dan banyak diceritakan dalam karangan - karangan ulama kita. Maka membaca mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tak kira apa jua mawlidnya bolehlah dijadikan ikhtiar untuk tujuan tersebut. Membaca mawlid tidaklah memerlukan kita berhimpun ramai - ramai dan melagukan segala qashidah dan madaih. Berhimpun beramai - ramai bukanlah kemestian untuk kita membaca dan menghayati bacaan mawlid, bahkan seorang diri atau bersama anak isteri sahaja pun memadai untuk membaca mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ada di antara ulama kita yang sentiasa membaca mawlid dan menjadikannya sebagai wirid tetap setiap minggu. Antara ulama kita di Nusantara yang amat mengambil berat akan amalan ini adalah Kiyai Agung Syaikh Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi qaddasaAllahu sirrahul `aziz yang istiqamah membaca Mawlid Dibaie pada setiap malam Isnin dan Mawlid Barzanji pada setiap malam Jumaat. Beliau juga telah mengarang sebuah kitab kecil berbahasa `Arab mengenai kelebihan membaca mawlid berjodol an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilati qiraa-ati mawlidi Khairil Bariyyah `alaihi afdhalush shalaati wa azkat tahiyyah. Diceritakan bahawa beliau tidaklah pernah meninggalkan amalan tersebut hatta sewaktu bermusafir dan walaupun hanya seorang dua sahaja yang hadir dalam majlis bacaan mawlid tersebut. Ingatlah bahawa pembacaan mawlid tersebut adalah untuk diri kita sendiri dahulu, agar diri kita sentiasa menghayati sirah dan peri kehidupan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta membesar dan mengagungkan baginda sepanjang usia. 

Dalam suasana pandemik, boleh sahaja dibaca mawlid - mawlid yang mudah, seperti Barzanji karangan Mufti Madinah al-Munawwarah dahulu, samada dibaca keseluruhan atau sebahagian daripadanya. Ketika sampai kepada mahalul qiyam (tempat berdiri), berdirilah, jika dapat, dan bacalah shalawat - shalawat yang lazim seperti ....ShallaAllahu `ala Muhammad .... atau Ya Nabi, salamun `alaika ...... atau Thala`al Badru `alaina ..... beberapa kali, sebelum melanjutkan bacaan atau terus ditutup dengan membaca doanya yang berkat. Mudah - mudahan ada keberkatan dan manfaatnya bagi kehidupan kita di dunia dan akhirat. Usah dihiraukan kata - kata sinis seperti:- "Baik baca Quran daripada baca mawlid", katakan sahaja bahawa:- "Kita baca Quran hari - hari, baca mawlid sekali - sekali"

Klip Ceramah Ustaz Bashir al-Azhari

Isnin, Oktober 18, 2021

Manqush Mawlid

Sempena 12 Rabi`ul Awwal, faqir mengucapkan Selamat Menyambut Maulud Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada semua yang membaca coretan di blog ini. Mudah - mudahan kita mendapat syafaat baginda nanti di negeri yang abadi. Hari ini faqir akan menulis sedikit mengenai karya mawlid yang ada dalam khazanah Islam yang kaya. Jika di rantau alam Melayu, kitab mawlid yang paling terkenal dan dibaca merata adalah kitab Mawlid Barzanji, manakala bagi syair atau qasidah pujian biasa nya dilagukan daripada kitab mawlid Syaraful Anam. Hal ini telah menjadi amalan dan tradisi umat Islam kita zaman berzaman, terutama sekali ketika menyambut Rabi`ul Awwal, bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka berkumandanglah pembacaan Mawlid Barzanji dan Syaraful Anam di surau dan masjid. Bahkan di tempat faqir, biasa diadakan pertandingan bacaan rawi Barzanji, zikir / qashidah Syaraful Anam dan Marhaban. Semuanya diadakan untuk menyemarakkan cinta rasul dan membesarkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan niatnya itu diperbenarkan dan dituluskan semata-mata kerana Allah `azza wa jalla.

Di India Selatan, juga Sri Lanka, mereka juga mempunyai karya mawlid kegemaran selain Barzanji dan seumpamanya. Ada dua karya mawlid yang masyhur dan jadi pilihan mereka. Di kawasan sekitar Tamil Nadu, Nagore dan Sri Lanka, Subhana Mawlid karya Syaikh al-Khathib Muhammad al-Madani rahimahullah atau menurut segelintir dinisbahkan kepada Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, jadi pilihan. Mawlid ini cukup mereka gemari sehingga dikenali juga sebagai Mawlid Tamil. Manakala bagi kawasan pantai Malabar, Ponnani, Kerala, mereka mempunyai tradisi pembacaan Manqush Mawlid sehingga dikenali sebagai Mawlid Malabar. Faqir ingin mengketengahkan Mawlid Malabar ini kerana ia masih kurang dikenali di rantau kita berbanding Mawlid Tamil yang sudah agak tersebar dengan dibaca di masjid - masjid India dalam negara.

Manqush Mawlid adalah karangan seorang ulama besar dan wali yang tersohor, Syaikh Zainuddin bin Ali bin Ahmad al-Ma'bari al-Malibari al-Funnani atau terkenal dengan gelaran Syaikh Makhdum Kabir atau Makhdum Awwal rahimahullah. Beliau dilahirkan sekitar tahun 871H dan wafat pada tahun 928H. Antara karangan beliau yang masyhur dan tersebar di seantero dunia Islam termasuklah Dunia Melayu adalah nazam Hidayatul Adzkiya` ila Thariqil Awliya`, nazam ilmu tashawwuf yang masyhur dan banyak disyarahkan termasuklah oleh ulama Nusantara. Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah mensyarahkan nazam ini dengan jodol Salaalimul Fudhala` 'ala Hidayatil Adzkiya` ila Thariqil Awliya` dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi @ Sidi Bakri al-Makki rahimahullah menulis syarahnya dengan jodol Kifaayatul Atqiya` wa Minhajul Ashfiya`. Syaikh Zainuddin Makhdum Kabir ini adalah datuk kepada pengarang Fathul Mu`in, iaitu Syaikh Zainuddin al-Malibari @ Makhdum Shaghir bin Muhammad al-Ghazali bin Zainuddin @ Makhdum Kabir rahimahumullah. Maka Syaikh Zainuddin al-Ma'bari inilah penulis Manqush Mawlid menurut keterangan kebanyakan ulama Malabar, sebagaimana ditegaskan oleh almarhum Syaikh Shadaqatullah yang digelar sebagai Tajul `Ulama dalam Nushratul Anaam. Dalam jawapan beliau atas pertanyaan nombor 697, antaranya mengenai pengarang Mawlid al-Manqush, menyatakan bahawa menurut keterangan yang beliau perolehi daripada guru - guru beliau, pengarang mawlid tersebut adalah asy-Syaikh al-`Allaamah al-Makhdum al-Kabir Zainuddin al-Ma'bari yang ditulis ketika Ponnani dan kawasan sekitarnya dilanda wabak kolera. Dikisahkan bahawa Manqush Mawlid ini dikarang atas permintaan para penduduk Ponnani untuk dibaca sebagai wasilah memohon keselamatan daripada wabak penyakit. Bahkan di zaman - zaman wabak, para ulama Malabar sering menganjurkan agar banyak membaca Manqush Mawlid. Namun bagi segelintir ulama Malabar seperti Syaikh Ibrahim Musliyar dalam syarah beliau bagi mawlid tersebut hanya menisbahkannya sebagai karangan sebahagian ulama Malabar tanpa menyebut namanya. 

Selanjutnya, mawlid ini dikenali sebagai Manqush Mawlid atau Mawlid al-Manqush yang ertinya "karya atau karangan kisah mawlid yang ringkas (ikhtishar) atau pendek (iqtishar)" kerana Makhdum Kabir telah meringkaskan atau memendekkannya daripada sumber kitab - kitab besar yang muktamad di sisi beliau. Karangan mawlid ini memang cukup mudah dibaca, ringkas dan pendek, namun padat isinya lagi nikmat dan lazat untuk didengar umpama halwa bagi telinga. Ada juga yang menyatakan bahawa "manqush" diambil dari kata "naqasha" yang bererti "kurang atau tidak sempurna (imperfect)" kerana sifat tawadhu yang ada pada Makhdum Kabir. Beliau merasakan bahawa mawlid karangannya tersebut banyak kekurangan dan jauh daripada kesempurnaan yang layak untuk memuji dan membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bagi Syaikh Ibrahim Musliyar, beliau menamakan mawlid ini sebagai Mawlid al-Mankus dari kata "nakasa" dengan huruf "kaf" dan "sin", dan bukannya dengan "qaf" dan "shad", yang bermaksud "jatuh tersembam" atau "tersungkur" kerana di dalamnya ada menyebut kisah berhala - berhala jatuh tersembam ketika kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Manqush Mawlid telah mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat awam, para ulama pun sedemikian, malah mereka mensyarahkannya dengan lisan dan tulisan. Di antara syarah bagi mawlid ini, selain yang ditulis oleh Syaikh Ibrahim Musliyar, adalah yang ditulis oleh Syaikh Abbas bin Muhaimid al-Kananghadi (Kochangadi) dengan jodol al-Bunyaanul Marshush fi syarhil Mawlid al-Manqush. Begitulah sekelumit mengenai mawlid yang berkat ini, mari sama - sama kita hayati bacaannya dengan irama merdu India Selatan sambil membaca shalawat. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Manqush Mawlid

Sabtu, Oktober 16, 2021

Shalawat Anasiyah

Shalawat ini dinamakan oleh sesetengah sebagai Shalawat Anasiyah @ al-Anasiyah kerana diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu yang merupakan sahabat dan khadam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Menurut Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam Afdhalush Shalawat `ala Sayyidis Saadaat bahawa Syaikh Abu Bakar Muhammad Jabr telah meriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:-
Sesiapa yang mengucapkan (shalawat): "Allahumma shalli `ala Muhammad wa `ala aalihi wa sallim", sedangkan dia dalam keadaan berdiri, diampuni dosanya sebelum dia duduk; Dan jika dia dalam keadaan duduk, diampuni dosanya sebelum dia berdiri.
Syaikh Yusuf rahimahullah turut memuatkan Shalawat Anasiyah ini dalam Sa`adatud Daarain, pada halaman 239  himpunan shalawat yang ke-6 bagi Syaikh asy-Syihab Ahmad al-Malawi rahimahullah dengan menggunakan lafaz siyadah yakni Sayyidina Muhammad. Syaikh asy-Syihab Ahmad al-Malawi (1088 - 1181H) adalah seorang ulama besar al-Azhar yang juga merupakan seorang muhadits dan faqih bermazhab Syafie.

Dan perlu juga dijelaskan bahawa dalam bab shalawat atau bab doa, kalimah - kalimah seperti "aali Muhammad" (keluarga Muhammad) atau "aalihi" (keluarga baginda), seumpama dalam shalawat tadi, diperluaskan maknanya untuk mencakup semua dan setiap orang mukmin (kullu mukmin). Jadi diartikan "aalihi" itu sebagai "semua dan setiap orang yang beriman dengan baginda shallaAllahu `aalihi wa sallam atau pengikut atau umat baginda yakni ummatul ijabah (umat yang menerima kerasulan baginda)". Maka 'wa `ala aalihi" itu bukan hanya "dan ke atas keluarganya", namun diartikan sebagai "dan ke atas setiap umat baginda yang beriman".  Inilah pandangan yang dipilih oleh bukan seorang daripada kalangan ulama kita, termasuklah Imam an-Nawawi radhiyaAllahu`anhu. Dengan sedemikian, ketika bershalawat tersebut dengan disertai "aalihi", kita tidak hanya mendoakan keluarga langsung Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tapi juga mendoakan seluruh umat yang beriman dan mengakui kerasulan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka bertambah - tambahlah lagi gandaan pahalanya nanti. Ungkapan "aali Muhammad" turut mencakup akan para sahabat yang mulia ridhwanullah `alaihim. Jika ditambah dengan "ashhaabihi" atau "shahbihi", maka itu adalah untuk penegasan dan takkid sahaja, terutama sekali ketika bermaharajalelanya puak pembenci sahabat  - sahabat Nabi seperti Syiah dan seumpamanya, juga untuk membezakan kita dengan golongan - golongan yang sesat tersebut. Begitulah kedudukannya, melainkan jika ada qarinah yang menunjukkan sebaliknya atau dalam bab - bab fiqh seperti bab zakat di mana "aali Muhammad" itu, menurut pandangan mazhab kita, adalah mereka - mereka daripada Bani Hasyim dan Bani Muthallib. Manakala dalam bab - bab fadhail, kelebihan, keutamaan, pujian dan kemuliaan, maka 'aali Muhammad" itu biasanya merujuk kepada keluarga langsung atau terdekat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam terutama sekali alul aba` atau ahlul kisa` iaitu Sayyidina `Ali, Sayyidatina Fathimah, Imam Hasan dan Imam Husain `alaihimus salam.

Mudah - mudahan shalawat yang pendek ini dapat dijadikan tambahan pada amalan kita. Janganlah kita lalai menjadikan ucapan yang amat mudah ini sebagai amalan. Setidak - tidaknya, sebelum duduk baca dulu sekali dan begitulah juga sebelum berdiri. Mudah - mudahan berguguran dosa - dosa kita berkat shalawat dan jah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.