Rabu, April 08, 2020

Berkat Yaasin Untuk Wabak

Surah Yaasin adalah satu surah yang sudah lazim menjadi amalan umat Islam, bukan sahaja di alam Melayu tetapi di seluruh jagat umat ini. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan, walaupun ada segelintir manusia pelik yang tidak senang melihat umat membacanya. Ulama dahulu mengajak umat beramal walaupun hanya seminggu sekali, kerana mereka memahami situasi dan kedhaifan umat. Ulanyak sekarang lain pula pola fikirnya, mereka mengganyak umat yang beramal sehingga mengakibatkan umat yang dhaif meninggalkan beramal. Nak baca Yaasin malam Jumaat dah kena bid`ah, nak baca al-Kahfi tak mampu, akhirnya balik melengung depan TV atau sambung bersembang. Eloklah umat yang dhaif membaca Yaasin seminggu sekali daripada hanya menunggu orang membacakannya kepada mereka ketika nazak nanti. Jangan disalahgunakan dalil - dalil yang benar untuk menghasilkan kebatilan. Dah elok masjid / surau menjadikan yaasinan setiap malam Jumaat sebagai wirid yang telah berkelangsungan sekian lama, engkau putuskan wiridan tersebut dengan ceramah yang entah apa - apa isi kandungannya, ceramah yang tidak setara dengan satu huruf pun daripada surah Yaasin. Ini kalau ikut geram ese, tak ke sudah ...... Namun balik kepada topik, bersempena dengan malam pertengahan bulan Sya'ban (Nishfu Sya'ban), para ulama kita turut menganjurkan antara lain, pembacaan surah Yaasin lalu diiringi dengan membaca doa Nishfu yang masyhur. Perkara ini telah tuntas dibahaskan dan tidak perlu untuk diungkit kembali. Sesiapa yang ingin meneruskan amalan ulama ini, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, maka tidak ada sesiapa yang mewajibkannya.

Sebagaimana yang telah diutarakan, ulama dahulu cerdas dan bijak, mereka menganjurkan sesuatu yang mudah untuk diamalkan orang awam, lalu dipilihnya surah Yaasin yang memang sudah sebati di kalangan awam. Surah Yaasin adalah surah yang ringan untuk dibaca dan mempunyai fadhilat yang besar. Antaranya, surah ini dikenali sebagai satu wasilah untuk memohon dipermudahkan segala urusan, hatta urusan sakaratul maut yang dahsyat, sehingga dianjur oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk dibacakan surah yang mulia ini kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut (nazak). Surah Yaasin juga memiliki kelebihan di mana sesesiapa yang membaca surah ini sekali, maka seumpama dia membaca seluruh al-Quran itu sepuluh kali, sebagaimana disebut dalam beberapa hadis. Riwayat tersebut, walau apa statusnya, samada shahih atau hasan atau dhaif, menunjukkan sabit warid kelebihan membaca surah Yaasin. Maka tidak hairanlah, surah ini menjadi wirid dan amalan yang sebati dengan masyarakat Islam amnya, tidak hanya dalam masyarakat Melayu sahaja. Syaikh Hamaami Zaadah rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, Tafsir Surah Yaasin, menyatakan, antara lain:- "...Di mana sahaja surah Yaasin ini dibaca atau ditafsir (dikaji dan dipelajari), Allah ta`ala akan mengangkat daripada mereka bala bencana, kemarau, kegawatan ekonomi (kenaikan harga barangan dan inflasi), tha`un, penularan wabak dan penyakit, demi kehormatan (kemuliaan) surah ini...."

Marilah kita menjadikan surah ini sebagai wirid kita, samada harian atau mingguan. Ingat pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebaik -baik amalan itu yang berkekalan walaupun sedikit. Sungguh hairan jika ada yang membenci orang yang menjadikan surah ini wiridnya, hatta hanya wirid mingguan. Mungkin ini antara yang menjadi penyebab turunnya berbagai bala bencana atas umat ini. Allahu ... Allah, mudah - mudahan apa yang dinyatakan oleh Syaikh Hamaami rahimahullah tersebut dijadikan kenyataan dan diangkatkan segala bala dan wabak yang sedang melanda umat manusia ketika ini.

Jumaat, April 03, 2020

Dua Sisi Sedekah

Dalam suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), di mana kita duduk berkurung (boleh baca: terkurung atau dikurung), maka ada seorang pendakwah hafizahullah yang ligat ke sana ke mari untuk membantu dan / atau memberi bantuan kepada pelbagai pihak, terutama yang memerlukan. Beliau turut memaparkan aktivitinya dalam medsos (media sosial), lalu perbuatan beliau tersebut mendatangkan kritikan daripada sesetengah oknum dalam masyarakat, sehingga ada yang tergamak menuduh beliau tidak ikhlas. .... Allahu ...Allah. Maka faqir tulis entri ini bukanlah untuk menuduh sapa - sapa atau sebagai pembelaan kepada ustaz tersebut, hanya buat renungan agar kita lebih melihat kepada diri kita berbanding menjadi qadhi untuk menghukum orang lain, apatah lagi jika urusan tersebut bukan dalam wilayah kita, bahkan bukan pun dalam wilayah insan untuk diputuskan. Ikhlas atau tidak, itu urusan Qadhi Rabbul Jalil yang Maha Mengetahui. Urusan kita adalah bertolong bantu atas kebajikan dan ketakwaan. Ustaz tersebut telah melakukan sesuatu yang mungkin kita tidak mampu untuk melakukannya. Jika beliau tidak ikhlas, ya sudah, doain aja, biar dijadikan beliau ikhlas, mudah - mudahan dengan doa kita tersebut, disekutukan kita dalam kebajikan yang beliau lakukan. Daripada kita mengkritik dan mengutuk, apatah lagi secara terbuka, saudara kita tersebut, elok didoakan. 

Ingat wahai saudara, pada sedekah itu ada dua sisi. Satu sisi menghadap kepada Qadhi Rabbul Jalil, yang Maha Suci, yang tidak menerima amalan sedekah yang tidak ikhlas, bukan bertujuan mencari keredhaanNya semata - mata. Satu sisi lagi ianya bertumpu kepada penerima sedekah, iaitu hambanya Qadhi Rabbul Jalil, yang tidak mengurus urusan ikhlas atau tidak sesuatu sedekah itu. Dari sisi hamba ini, setiap sedekah yang diterima pasti akan menggembirakan hatinya. Maka, dalam bersedekah itu, setidak - tidaknya, ada dua ganjaran, iaitu: (1) pahala sedekah (tsawabu ash-shadaqah) dan (2) pahala menggembirakan orang (tsawabu idkhal as-surur). Apatah lagi jika penerima sedekah itu muslim mukmin, atau ada harapan untuk menjadi muslim mukmin belakangannya nanti. Oleh itu, sekali lagi ditegaskan bahawa menggembirakan si penerima sedekah itu memiliki ganjaran pahala lain selain daripada pahala bersedekah itu sendiri. Menurut ulama, seseorang yang bersedekah dengan riya` tidak akan mendapat pahala sedekahnya itu, namun dia masih berkemungkinan mendapatkan pahala dari perbuatan menggembirakan si penerima sedekah. Dikatakan juga bahawa pahala menggembirakan orang ini tidak dibatalkan oleh riya`, yakni orang yang bersedekah dengan riya` pun tetap akan memperolehinya, in sya Allah..... Allahu ... Allah.

Guru Sekumpul @ Kiyai Haji Muhammad Zaini bin Abdul Ghani rahimahullah, ulama Banjar yang masyhur dengan ilmu dan kewalian, pernah berkata: "Bersedekah apabila riya`, kita tidak dapat pahala sedekah tersebut, tetapi pintangan (yakni kebetulan) menyenangi hati orang yang menerimanya, di situ kita dapat pahalanya." Ini bukan pandangan pribadi beliau, bahkan adalah ajaran yang terkandung dalam syariat al-Mustafa yang mulia. Untuk berkongsi lagi, faqir nukilkan tulisan seorang lagi ulama besar yang sempat faqir lihat, mudah - mudahan bermanfaat.

Imam al-`Allaamah 'Ali bin Muhammad al-Ujhuri al-Maliki rahimahullah (967 - 1066H), ulama besar, murid Imam Ramli, diberi gelaran Nuruddin, Syaikh al-Malikiyyah, `Alamul Irsyad dan Barakatuz Zaman, dalam "Fadhailu Syahri Ramadhan", menyatakan pada halaman 159, antara lain, sebagai berikut:- " ...Ganjaran pahala kerana menggembirakan orang dengan bersedekah (yakni pahala menggembirakan penerima sedekah) tidak dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`..... Bahawasanya pahala yang terhasil kerana gembiranya penerima sedekah mendapatkan sedekah tersebut tidak dibatalkan oleh riya`, berbeza dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dibatalkan oleh riya`, (yakni pahala menyebabkan kegembiraan dalam hati penerima sedekah itu tidak dibatalkan oleh riya`, lain halnya dengan pahala sedekah itu sendiri, di mana ianya dapat dibatalkan atau dihapuskan oleh riya`.) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menjelaskan tentang  ganjaran pahala menggembirakan hati si penerima sedekah dengan sabdaan baginda: "Bahawasanya antara amalan untuk meraih keampunan Allah adalah memasukkan kegembiraan dalam hati orang beriman,"(yakni menggembirakan hati orang mukmin)." Dan dalam satu lagi hadis: "Amalan - amalan yang paling dikasihi Allah, setelah amalan - amalan fardhu, adalah memasukkan kegembiraan atas orang Islam," ( yakni menggembirakan hati orang Islam). ......"

Kalian bayangkan, betapa kegembiraan keluarga dengan anak kecil, yang tinggal berhari-hari atas jejantas, ketika menerima bantuan. Rasanya bukan depa sahaja yang gembira, kita yang duduk terkurung dalam rumah pun turut gembira melihat mereka dibantu.... Allahu .... Allah. Maka, diharap sesiapa yang mampu bersedekah atau membantu, seperti yang dilakukan oleh pendakwah tadi, hafizahullah, teruskanlah. Buatlah dengan ikhlas semampunya atau belajarlah berbuatnya dengan ikhlas. Sesiapa yang tidak berkemampuan atau belum berkemampuan, tolongilah saudara kamu dengan doa yang ikhlas juga. Mudah - mudahan semuanya diredhai Allah dan diselamatkan daripada segala bencana, dunia dan akhirat. Faqir tutup dengan menukil hadis marfu` yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani rahimahullah dalam al-Mu'jam al-Awsath dengan sanad hasan  bahawa Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu menyatakan: "Amalan yang paling utama (afdhal) adalah menggembirakan hati orang beriman, seperti memberinya pakaian untuk menutup auratnya, atau menghilangkan kelaparannya dengan kekenyangan, atau memenuhi hajat keperluannya."

Isnin, Mac 30, 2020

Li Khamsatun - Imam Qalyubi

Dua bait syair "Li Khamsatun" sebenarnya telah ratusan tahun beredar dan tertulis dalam kitab dan amalan ulama kita terdahulu. Bukan sahaja di rantau Nusantara, tapi di lain - lain belahan dunia Islam seperti Mesir, Hejaz dan Indo-Pak. Dalam entri ini, faqir menukilkan dua bait syair "Li Khamsatun" dengan sedikit perbezaan lafaz sebagaimana dicatat oleh seorang ulama besar Ahli Sunnah wal Jama`ah yang menjadi pegangan dan panutan pengikut mazhab Syafie. Beliau adalah al-Imam al-'Allaamah Abul `Abbas, Syihabuddin, Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (w. 1069 / 1070H) yang lebih dikenali dengan panggilan Imam Qalyubi rahimahullah. Beliau adalah antara murid Imam Ramli rahimahullah. Beliau banyak menulis dan di antara karangan beliau yang masyhur adalah Hasyiah al-Qalyubi yang menjadi teks dan rujukan para ulama dan penuntut ilmu sejak sekian lama. Beliau juga mempunyai karya - karya lain yang bernilai dan "Tuhfatur Raghib fi sirati jama`ah min a'yaani ahlil baitil athaa-ib" adalah salah satu karya beliau mengenai kemuliaan ahli bait dan beberapa pemuka mereka ridhwanullah `alaihim ajma`in. 

Imam Qalyubi rahimahullah pada khatimah (penutup) kitab tersebut mencatat beberapa mada-ih (syair puji-pujian) dan  bait - bait tawassul dengan ahli bait. Pada halaman 52 kitab Tuhfatur Raghib tersebut, beliau menyatakan sebagai berikut:- "(Diceritakan) oleh sekumpulan shalihin bahawa sesiapa yang membaca dua bait syair berikut semasa kesusahan (tertimpa bala bencana) atau pada masa thaun (penularan wabak penyakit), Allah akan melepaskan kesusahannya dan menjaganya daripada thaun (wabak), iaitu: Li khamsatun uthfi bihim * naaral kuruubil haathimah; Al-Musthafa wal Murthada wab-naahuma wa Faathimah. (Ada bagiku lima orang untuk dijadikan wasilah memohon kepada Allah dengan keberkatan mereka agar dipadamkan api kesusahan yang membinasakan; iaitu Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, Baginda Imam `Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidatina Fathimah radhiyaAllahu `anhum)

Sekali lagi ditegaskan bahawa Imam Qalyubi rahimahullah adalah pengikut Ahli Sunnah wal Jama`ah dan bukannya pengikut Syiah yang sesat. Maka, jika pun terdapat syair - syair di kalangan Ahli Sunnah yang ada persamaan dengan syair - syair golongan Syiah, maka hendaknya jangan terus disesatkan. Selagimana bait - bait syair itu tidak melampaui pegangan Ahli Sunnah wal Jama`ah, menurut kacamata para ulamanya, maka tidak menjadi masalah untuk dibaca. Namun, jika ianya keterlaluan dan melampau, maka korang bakar sahajalah. 

Ahad, Mac 29, 2020

Himbauan Ketua Umum NU



KH Said Aqil, Ketum PBNU (ketum tu bukan daun ketum, tapi Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama) buka cerita bahawa beliau telah menerima ijazah doa Li Khamsatun daripada seorang ulama besar iaitu KH Mahrus Ali, Lirboyo, Kediri, rahimahullah. 

***************************
KH Mahrus Ali, Pengasuh PP Lirboyo






Rabu, Mac 25, 2020

Li Khamsatun - Kiai Mustaqim


Doa ini sering dituduh sebagai amalan Syiah atau berbau Syiah. Sebenarnya tuduhan tersebut datangnya daripada mereka - mereka yang kurang memahami isu Sunni dan Syiah. Lalu mereka membuat kesimpulan cetek, bahawa setiap yang membesarkan Sayyidina Ali, Sayyidah Fatimah dan Imam Hasan dan Imam Husein radhiyaAllahu `anhum, terus dihukumkan sebagai Syiah....Allahu ... Allah.... dangkalnya. Sedangkan pengagungan dan penghormatan terhadap ahli bait Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidak kurang dalam ajaran Sunni sejati, sehingga ada ulama kita Ahli Sunnah wal Jama`ah membolehkan penggunaan kalimah 'alaihis (`alaihas) salam selepas menyebut atau menulis akan nama - nama ahli kisa` tersebut. Walaupun ianya tidak kerap atau lazim digunakan oleh mereka. Contohnya, Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, jilid 1, halaman 192, menyebut 'Ali `alaihis salam dan dalam jilid 2 halaman 301, menyebut Fathimah `alaihas salam. Adakah Imam al-Bukhari rahimahullah telah menjadi pengikut Syiah?????

Ustaz Ahmad Haris Suhaimi hafizahullah pada notakaki bagi thesis sarjana beliau dengan jodol Tautsiqus Sunnah baina asy-Syi`ah al-Imamiyyah wa Ahl as-Sunnah menyatakan pada halaman 60 bahawa penggunaan kalimah `alaihis (`alaihas) salam buat ahli bait Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah satu perbuatan bid`ah munkarah, ianya adalah masyru` di sisi sebahagian ulama kita dan mereka adakala menggunakannya dalam karya - karya mereka. Maksudnya, sebahagian para ulama kita tidak mempermasalahkan sangat jika `alaihis salam digunakan untuk ahli bait (yakni lebih merujuk kepada para pemuka ahli bait seperti ahli kisa) kerana kemuliaan mereka dan hampirnya kekerabatan mereka dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun ini tidaklah bermakna penggunaan sedemikian menjadi kelaziman mereka dalam setiap karya mereka. Cuma adakalanya mereka menggunakannya dalam sebahagian karya mereka. Lazimnya, mereka, sebagaimana ulama Sunni lainnya, akan menggunakan kalimah taradhdhi - radhiyaAllahu `anhu (`anha / `anhuma / `anhum) - atau karramaAllahu wajhah khusus untuk Sayyidina Ali radhiyaAllahu `anhu. Apa yang faqir ingin jelaskan adalah semata-mata memuliakan ahli kisa` dan ahli bait,  tidak menjadikan seseorang itu Syiah kerana Ahli Sunnah wal Jama`ah pun sangat memuliakan mereka.

Ustaz Haris Suhaimi turut menyebut beberapa ulama yang pernah menggunakan kalimah `alaihis salam atau `alaihas salam dalam karangan mereka setelah menyebut nama ahli kisa`. Di antaranya adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Bukhari, Imam ath-Thabari, Imam Hammad, Imam al-Baqilani, Imam Abu Nu`aim, Imam Abu Manshur `Abdul Qadir al-Baghdadi, Imam Muhammad bin Abdul Wahid al-Maqdisi @ Dhiyauddin al-Maqdisi al-Hanbali, Imam Abul Husain al-Malathi asy-Syafie, Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani, Imam asy-Syahrastani dan Imam ath-Thahawi rahimahumullah. Namun penggunaan sedemikian agak janggal di sisi kebanyakan ulama kita, di mana kebanyakkan ulama kita mengkhususkannya untuk para nabi dan malaikat `alaihimus salam sahaja. Namun tidak ada yang menghukumkan semata - mata menggunakan `alaihis salam kepada Sayyidina `Ali menjadikan seseorang itu sebagai Syiah. Sebagai contohnya, Imam an-Nawawi rahimahullah hanya menghukumkan perbuatan tersebut sebagai makruh tanzih sahaja.

Oleh itu, hati - hatilah bila kita hendak menghukum saudara seiman seaqidah sebagai sesat, apatah lagi jika dihukumkan dengan syirik atau kufur. Ketahuilah bahawa sekadar menyebut ahli kisa`, tidak menjadikan seseorang itu Syiah yang sesat. Ulama sepakat bahawa ahli kisa` itu termasuk dalam kalangan orang - orang shalih, bahkan pemukanya para shalihin. Tidakkah telah sampai riwayat kepada kita bahawa di antara sebab bagi turunnya rahmat adalah dengan menyebut - nyebut orang shalih? Samada riwayat itu hadis atau atsar atau kalam tabi`in atau kalam Imam Sufyan ibnu 'Uyainah atau kalam Imam Ibnu Mubarak, maka itu di luar perbahasan kita sekarang. Apa yang penting adalah riwayat tersebut memang ada, bahkan telah masyhur. Maka menyebut nama ahli kisa` ertinya menyebut dan memperingati orang shalih. Maka termasuklah dalam pengertian dzikrush shaalihin yang diharap dengannya akan turun rahmat Allah ta`ala.

Kesimpulannya, doa li khamsatun telah masyhur menjadi amalan ulama kita terdahulu. Namun, setelah ilmu dan sistem perubatan moden berkembang pesat, juga dengan jarangnya berlaku wabak - wabak yang epidemik atau pandemik, maka amalan ini mula luntur dalam masyarakat. Dalam suasana semasa, dengan tercetusnya pandemik covid-19, amalan ini muncul kembali. Jika dahulu ianya hanya menjadi amalan segelintir pengikut thariqat, namun sekarang para ulama dan kiyai menimbulkannya semula ke tengah masyarakat. Bahkan, dikhabarkan bahawa amalan ini pernah diajar dan diijazahkan oleh tokoh besar Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari, pengasas Nahdlatul Ulama, kepada murid dan santri beliau ketika berlaku wabak. Hal ini, antaranya, sebagaimana penjelasan Kiyai Mustaqim Askan yang menerimanya daripada KH Syansuri Badawi, Tebuireng, yang menerimanya daripada Hadhratusy Syaikh.  Oleh itu, jika kita beramal dengan doa ini, bukanlah kita Syiah. Sebenarnya kita mengamalkan amalan yang telah diajar, diijazah dan diterima daripada ulama kita terdahulu yang merupakan pendokong totok Ahli Sunnah wal Jama`ah. Maka kurangkanlah perbalahan, tingkatkan ketakwaan dan amalan, mudah - mudahan Allah kabulkan hajat permintaan kita, dipadamkanNya wabak yang menular dan diselamatkan kita semua daripada kebinasaan.

***********************************
Ijazah Doa Li Khamsatun oleh Kiyai Mustaqim

Selasa, Mac 24, 2020

Tasbih & Baik Sangka

Imam  Abu Nu`aim (w.430H) rahimahullah meriwayatkan dalam karya beliau yang masyhur Hilyatul Awliya` wa Thabaqatul Ashfiya`, juz ke-9, halaman 136, daripada Abu Muhammad bin Hayyan daripada Muhammad bin Muhammad bin Yazid daripada Abu Thahir daripada Harmalah yang menyatakan bahawa beliau mendengar Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu berkata: "Aku belum melihat sesuatu yang lebih bermanfaat bagi (menghadapi) wabak selain ucapan tasbih".

Ucapan subhanaAllah itu patinya adalah pengukuhan pegangan iktiqad keimanan dan keyakinan kita bahawa Allah subhanahu wa ta`ala maha suci daripada segala aib kekurangan dan segala yang tidak layak denganNya, termasuklah daripada sebarang kelemahan. Maka pada ucapan tasbih itu ada dua aspek yang perlu kita beri perhatian, iaitu at-tanzih (aspek pensucian) dan as-salb (aspek penolakan atas segala aib / kelemahan) bagi Zat yang Maha Suci. Oleh itu, ketika ditimpa wabak, janganlah kita hilang punca sehingga lupa bahawa wabak itu berlaku dengan ketentuan Allah jua. Maha Suci Allah daripada berlakunya sesuatu wabak tanpa kehendak dan ketentuanNya. Jangan juga kita lupa bahawa wabak itu hanyalah satu sebab yang dijadikan Allah untuk mematikan kita, sedangkan hakikat yang mematikan kita adalah Allah subhanahu wa ta`ala, Dialah Allah al-Muhyi, Zat yang menghidupkan dan Dialah juga Allah al-Mumit, Zat yang mematikan.

Maka dengan banyak bertasbih, diharap dapat meluruskan pegangan kita, serta hilang kerungsingan dan kekalutan kita ketika menghadapi wabak. Dan tidaklah jauh jika diharapkan juga bahawa dengan ucapan tasbih tersebut, Allah menyelamatkan daripada wabak dan seumpamanya. Paling penting selamat batin rohani daripada tergelincir, berbanding hanya selamat zahir jasmani semata-mata. Apa - apa pun semuanya mengikut ketentuan dan kehendakNya, namun kita diajar supaya sentiasa husnudz dzan dengan Allah subhanahu wa ta`ala. Mudah - mudahan dengan baik sangka / harapan dengan Allah akan menarik segala kebaikan. Ingat pesanan Junjungan Nabi  shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh para muhaddits, antaranya Imam as-Sayuthi dalam al-Jami`us Shaghir, hadis ke-6051, dengan sanad yang shahih, bahawa Allah subhanahu wa ta`ala berfirman: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapKu, jika dia bersangka baik, maka baginya (kebaikan); Dan jika dia bersangka buruk, maka baginya (keburukan)."


Ahad, Mac 22, 2020

Kelebihan Tasbih

Ucapan tasbih adalah zikir yang mudah untuk kita lakukan. Namun, perlulah dilakukan dengan penuh penghayatan, biar apa yang dilafaz di lidah juga ditancap dalam hati sanubari dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawasanya Allah jalla wa `azza adalah Zat yang Maha Suci daripada segala kekurangan, keaiban, kelemahan, dan sebagainya yang mencarik ketinggian dan kesucian Zat yang Maha Suci tersebut.

Muhaddits agung, amirul mu'minin fil hadits, ikutan dan panutan umat, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani rahimahullah menulis dalam karangannya Badzul Maa`un bahawa pada sesetengah naskhah kitab al-Hilyah ada riwayat daripada Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu bahawa sebaik - baik ubat untuk mengubati (penularan) tha`un adalah ucapan tasbih. Dikatakan sedemikian kerana zikirullah adalah sebab untuk mengangkat hukuman dan kebinasaan, sebagaimana firman Allah dalam surah ash-Shaafaat ayat 143: "Maka kalaulah ia bukan dari orang - orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih)", [yakni dinyatakan sebab atas keselamatan Nabi Yunus `alaihis salam dalam perut ikan sehingga dikeluarkan adalah kerana baginda `alaihis salam adalah orang yang sentiasa bertasbih kepada Allah, di mana baginda merayu kepada Allah dengan ucapan zikirnya yang masyhur "la ilaha illa anta, subhaanaka (Maha Suci Engkau), inni kuntu minadz dzaalimiin", yang turut mengandungi ucapan tasbih.] Diriwayatkan juga daripada Ka`ab bahawa: "SubhanaAllah itu mencegah azab." Pernah seseorang dihukum dengan hukuman sebat (yakni atas kesalahan takzir) di hadapan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu. Tatkala sebatan pertama, lelaki tersebut mengucap "subhanaAllah", lalu Sayyidina 'Umar memaafkannya dan melepaskannya dari sebatan selanjutnya.....
Maka perbanyakkan zikir kepada Allah, mudah -mudahan diberi keselamatan bagi diri kita, keluarga kita dan sekalian umat. Amalkan ucapan - ucapan tasbih, istimewa pula tasbih Nabi Yunus `alaihis salam tersebut.  Baca dengan penuh ketulusan dan penghayatan.