Isnin, Oktober 11, 2021

Shalawat Qamaril Wujud

Shalawat Qamaril Wujud adalah lafaz shalawat yang dinisbahkan kepada wali quthub Tanah Jawa iaitu Habib Abu Bakar bin Muhammad as-Saqqaf @ Habib Abu Bakar Gresik. Bahkan inilah satu daripada dua amalan yang sering dijazah dan disebarkan beliau kepada umum. Begitulah juga dengan Habib Abdul Qadir BilFaqih dan anakanda beliau Habib Abdullah BilFaqih rahimahumullah juga sering mengajar, menyebar dan mengijazahkan shalawat ini untuk dijadikan amalan. Maka, shalawat ini telah masyhur di rantau kita dan telah dicatat dalam berbagai buku himpunan shalawat yang dikarang oleh ulama dan penulis lokal. 

Maka hendaklah kita banyak bershalawat ke atas Rasul Teragung, Junjungan  Nabi Besar, Sayyidina wa Mawlana Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan apa jua shighah dan lafaznya, istimewa dalam bulan kelahiran baginda. Mulianya bulan Rabi`ul Awwal adalah kerana kelahiran Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kelahiran baginda mengangkat darjat bulan ini dan kelahiran baginda ini diumpamakan sebagai permulaan musim semi @ musim bunga, ketikamana bumi diindahkan dengan tumbuh, mekar dan semerbak harumnya bunga - bungaan. Mudah - mudahan taman - taman di hati kita turut mekar berbunga - bunga dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan dengan kehadiran bulan Rabi`ul Awwal. 

Akhirul kalam, formula untuk menjadi orang yang muqarrabin, kita hayati sekelumit pesanan daripada Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti rahimahullah dalam khatimah bagi kitab beliau Alamat Kiamat pada halaman 84 - 85:-
...."Wahai tuan yang mulia, jikalau tuan mahu selamat pada dunia dan akhirat dan hendak jadi akan jumlah daripada orang yang muqarrabin, hendaklah tuan banyak akan shalawat atas Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada waktu hendak berbuat apa - apa pekerjaan. Maka sekurang - kurangnya "Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad, wa `ala aalihi wa shahbihi wa sallim." Maka amalan ini sudah mujarrab bagi orang yang beramalannya. Dan setengah daripada awrad yang menjadi akan orang yang muqarrabin itu diamalkan shalawat Dala-ilul Khairat dan segala doa al-Hizbul A'dzam dan "Yaasiin" beserta doanya dan baca "al-Burdah" beserta doanya, maka sekalian itu sudah mujarrab.
Shalawat Qamaril Wujud

Rabu, Oktober 06, 2021

Sanad Tasbih Habib Ahmad

Ada di kalangan awliya` yang mempunyai pengalaman - pengalaman tersendiri berkait dengan tasbih yang digunakan untuk berzikir. Di antara pengalaman tersebut adalah mimpi - mimpi benar (rukyatun shodiqah) bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang ada kaitan dengan tasbih. Di antaranya seperti yang dicatat dalam kitab Tadkiirun Naas pada halaman 162 sebagai berikut:-  Dan telah berkata Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas radhiyaAllahu `anhu:- "Sesungguhnya bagiku sanad yang hampir (sanadan qariban) kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam pemberian tasbih (yakni untuk digunakan berzikir). Satu ketika, aku bermusafir bersama rombongan dari Hudaidah. Dalam perjalanan, kami ditimpa kesulitan yang bersangatan. Ketika aku berbaring tidur, aku melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam datang kepadaku, lalu baginda mengambil tasbih yang ada bersamaku dengan tangan baginda yang mulia, mengangkatnya dan meletakkannya di tanganku seraya menyuruh membaca: "Astaghfirullaha li dzan(m)bi (Aku memohon keampunan Allah bagi dosaku)" berulang - ulang kali. Aku pun terjaga, lalu kuulang - ulangkan zikir tersebut, maka terhasillah kelepasan dari kesulitan yang menimpa.
Tasbih adalah wasilah untuk berzikir, maka hukumnya adalah mengikut hukum maksud dan tujuan penggunaannya. Lazimnya seseorang yang sedang memegang atau membawa tasbih akan teringat untuk menggunakannya berzikir kepada Allah. Maka secara tidak langsung ia menolong seseorang untuk ingat dan berzikir kepada Allah. Menurut sebahagian ulama, harus dan sah ditanggung atas makna tasbih itu, ungkapan as-subhah / as-sibhah pada hadits marfu` yang diriwayatkan Imam ad-Dailami rahimahullah dalam Musnad al-Firdaus, di mana dikatakan bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai bersabda:
"Sebaik - baik mudzakkir (yakni pengingat untuk berzikir) adalah as-subhah (tasbih)". 
Bagi sesetengah pula, terutama yang tidak suka atau anti - tasbih, mereka mempunyai pandangan dan pemahaman yang berbeza, bahkan ada yang memaudhu`kan hadis tersebut. Itu hak mereka dan ini pula hak kami. Tiadalah kami menjadikan hujah diri kami menggunakan tasbih untuk berzikir, tapi kami hanya mencontohkannya daripada para guru dan masyaikh kami yang menggunakannya tanpa mempermasalahkannya.

Namun, perlu juga disebut di sini bahawa ada masa atau ketika, di mana seseorang tidak digalakkan atau makruh untuk memutar - mutar tasbihnya berzikir. Umpama ketika guru sedang memberi pelajaran atau kuliah, maka murid dan pendengar hendaklah fokus kepada pelajaran, bukan menggerak - gerakkan tasbihnya berzikir. Apatah lagi jika yang disampaikan itu ilmu - ilmu yang fardhu `ain atau fardhu kifayah atau ilmu - ilmu yang bermanfaat. Hal ini disebut juga dalam Tadzkiirun Naas dan diceritakan oleh Shahibul Anfas Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah (penyusun Ratib al-Aththas dan guru Imam al-Haddad) bahawa guru beliau Syaikh Husain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim rahimahumullah ketika melihat anak - anaknya / murid - muridnya menggerak - gerakkan tasbih ketika belajar, beliau berkata: "Lepas  / Simpan dahulu tasbih, baginya ada masa lain untuk menggunakannya." Yakni sewaktu belajar atau mendengar kuliah ilmu, tidak perlulah memutar - mutar tasbih, tumpukan dahulu perhatian kepada ilmu dahulu. Ini perlu diberikan perhatian, kerana ada yang seolah - olah "meremehkan" kuliah - kuliah pengajian dengan memutar - mutarkan tasbihnya untuk berzikir dan mengabaikan kuliah tersebut. Bahkan, ada yang memutar-mutar  tasbih berzikir, sedangkan khatib sedang berkhutbah. Lainlah jika dia tidak faham bahasa si khatib kerana khatib berkhutbah dalam Bahasa Tamil dan dia tidak memahaminya. Bawalah tasbih bersama di mana sahaja kita berada, jika handphone sentiasa di bawa bersama ke mana - mana kita pergi, maka begitulah juga dengan tasbih, agar sentiasa kita diingatkan untuk berzikir dan bershalawat. Mudah-mudahan jari - jemari kita yang memegang dan menggerak - gerakkan biji - biji tasbih berzikir dan bijian - bijian serta tali temali tasbih turut menjadi saksi bagi kita.  Mudah -mudahan dapat diambil faedahnya dan bermanfaat hendaknya.

Isnin, Oktober 04, 2021

Ratib Haddad - Hb Abdullah

Antara majlis yang pernah dimulazamah faqir adalah majlis rohah yang dibuat setiap minggu di kediaman al-Habib Dr. Muhammad al-Habsyi, jazahullahu ahsanal jaza`. Materi pengisian rohah tersebut adalah berdasarkan kitab - kitab yang masyhur di kalangan para saadah Ba `Alawi, iaitu Sabilul Muhtadin fi dzikri ad`iyyati Ashabil Yamiin berserta dengan al-`Ilmun Nibraas karangan Habib `Abdullah bin `Alawi bin Hasan al-`Aththas rahimahullah dan Syarhul `Ayniyyah karya Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi rahimahullah. Majlis akan dimulai dengan membaca Ratibul Haddad dan alhamdulillah tsumma al-hamdulillah, telah faqir perolehi ijazahnya daripada Dr. Muhammad al-Habsyi, yang memperolehinya daripada datuk beliau, Mufti Seiwun, dan guru beliau al-Habib Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad rahimahumullahu ta`ala jami`an. Manakala teks ratib yang digunakan adalah berpandukan buku kecil yang disusun oleh Habib Abdullah bin Hasan bin Husain asy-Syathiri rahimahullah.

Buku kecil ratib tersebut dinamakan al-Irsyad fi asrari wa fawaa-idi ratib al-Habib `Abdillah bin `Alawi al-Haddad. Buku saiz poket sekitar 30 halaman memaparkan Ratibul Haddad dengan amat sederhana dan ringkas sehingga mudah diamalkan, tanpa fawaatih yang panjang berjela - jela. Habib `Abdullah asy-Syathiri memulakan buku kecil tersebut dengan menulis antara faedah dan rahsia Ratibul Haddad sebagai berikut, pada halaman 2 - 3:- 
Di antara faedah - faedah dan rahsia Ratib al-Haddad:-
(1) al-Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad telah mengatur ratibnya dan menganjurkan orang ramai di Hadhramaut membacanya di masa antara Maghrib dan `Isyak demi menentang seruan - seruan ulama sesat yang datang ke Hadhramaut dari luar negeri. Orang ramai pun mengamalkan bacaan Ratib al-Haddad itu. Dengan izin Allah ta`ala, seruan ulama sesat itu menjadi lemah dan akhirnya tidak berjaya. Oleh itu barangsiapa mengamalkan Ratib al-Haddad ini dengan betul dan ikhlas, in sya Allah, ia dilindungi Allah ta`ala dari segala bala` bencana dan kesusahan

(2) Segala zikir dan doa di dalam Ratib al-Haddad ini adalah sah dan betul dipetik daripada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, kecuali bilangan kalinya. Tuan punya ratib ini menjadikan zikir (Astaghfirullah...) empat kali dan zikir (Ya Dzal Jalaali wal Ikram .....) tujuh kali dan zikir (La ilaha illa Allah) lima puluh kali dan zikir - zikir yang lain tiga - tiga kali. Kadar bilangan - bilangan ini adalah untuk meringankan pembacanya. Kerana zikir yang pendek dan kekal itu lebih afdhal daripada zikir yang panjang tetapi tidak kekal.

Mudah - mudahan dapat kita amalkan ratib yang berkat ini. Amalkanlah ikut kemampuan, ingat kaedah: "apa yang tidak dapat diambil semua, jangan ditinggal semua". Amalkan setiap hari atau seminggu sekali atau sebulan sekali, in sya Allah, ada manfaatnya.

Jumaat, Oktober 01, 2021

Shalawat Karamil Ushul

Syaikh Yusuf an-Nabhani rahimahullah ada menukilkan sebuah lafaz atau shighah shalawat yang dinamakan sebagai Shalawat Karamil Ushul yang ertinya "Shalawat ke atas Junjungan Nabi yang memiliki leluhur yang mulia". Shalawat ini beliau catat dalam kitab yang masyhur menghimpunkan berbagai rupa bentuk shighah shalawat, yang dinamakan Sa`aadatud Daarain, pada Shalawat ke-99 himpunan Imam ad-Dardir. Sungguh para leluhur Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam semuanya manusia - manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Inilah pegangan yang faqir ambil bersesuaian dengan pandangan kebanyakan mufassir dan ulama yang menjadi panutan umat. Susur galur baginda yang mulia sejak Nabi Adam dan Siti Hawa `alaihimas salam sehinggalah kepada Sayyidina `Abdullah dan Siti Aminah radhiyaAllahu `anhuma semuanya manusia - manusia yang suci daripada mensyirikkan Allah. Di antara leluhur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, ada yang bertaraf nabi lagi rasul, manakala yang lainnya mukmin yang bertakwa atau setidak - tidaknya ahlul fatrah yang beroleh keselamatan. Termasuklah ayah kandung Nabi Ibrahim, manakala Azar yang dinyatakan sebagai kafir dalam al-Quran hanyalah ayah saudara (paman) Nabi Ibrahim `alaihis salam.  Tidak dinafikan ada yang berpendapat sebaliknya, namun itu bukanlah pendapat yang faqir ikuti, demi memuliakan nasab keturunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hal ini telah dibincang dan dibahas panjang lebar oleh para ulama, maka terpulanglah kepada masing - masing mengikut keyakinannya.

Berbalik kepada Shalawat Karamil Ushul, dinyatakan dalam kitab tersebut bahawa shalawat ini memiliki keutamaan dan kelebihan yang sangat besar. Sesiapa yang banyak membacanya akan memperolehi kasih - sayang, kecintaan dan mahabbah daripada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dikatakan oleh sesetengah masyaikh, shalawat ini juga menjadi wasilah untuk mempermudahkan rezeki hissi dan maknawi, jika istiqamah diamalkan setiap hari sekurang - kurangnya 10 kali. Mudah - mudahan dapat bertambah lagi amalan kita.

Shalawat Karamil Ushul


Khamis, September 30, 2021

KH Abdul Muthalib

Ketika kecil dahulu, di surau kami, diajarkan kepada kelas anak - anak, setiap Sabtu pagi, akan buku nipis, 65 halaman dengan jodol Sendi Islam. Buku ini membahaskan secara ringkas bagi pemula mengenai Syahadat, Sembayang, Puasa, Zakat dan Hajji menurut mazhab Syafi`ie. Guru kami yang mengajar dulu namanya al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Muhammad bin Abdul Ghaffar, mudah - mudahan diganjari Allah akan beliau dengan sebaik - baik ganjaran. Buku Sendi Islam tersebut yang menjadi antara teks yang digunakan oleh madrasah - madrasah yang bergabung di bawah Ittihadul Ma`ahidil Islamiyah (IMI) telah diberi kata sambutan oleh seorang ulama terkenal yang juga Ketua Majelis Luhur Ittihadul Ma`ahidil Islamiy, KH Idham Chalid rahimahullah.

Pengarang Sendi Islam adalah KH Abdul Muthalib Mohyidin rahimahullah. Beliau dilahirkan pada 18 Ogos 1918 di Amuntai, Kalimantan Selatan. Beliau dikenali sebagai seorang cendiakawan muslim yang bergiat aktif dalam bidang pendidikan. Sejak menamatkan pengajian di Pondok Modern Gontor, Ponorogo, pada tahun 1942, beliau terus menceburi bidang pendidikan dengan menjadi pengajar di Perguruan Islam Rakha Amuntai, kemudian dilanjutkan dengan mengajar di beberapa sekolah dan madrasah sebelum menjadi pensyarah Usuluddin di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Antasari sehingga beliau wafat pada tahun 10 April 1974 / 17 Rabi`ul Awwal, 1394. Kh Abdul Muthalib meninggalkan beberapa karangan menjadi jariah beliau kepada umat, antaranya: (1) Sendi Iman, (2) Risalah Usuluddin, (3) Pengetahuan Agama Islam, (4) Tahap - Tahap Kehidupan Manusia, dan (5) Tasawwuf Islami. Beliau disemadikan di Desa Palampitan, Amuntai, Kalimantan Selatan. Semoga rohnya dirahmati Allah sentiasa dan dikumpulkan bersama para shalihin.

Di antara yang menarik dalam buku kecil Sendi Islam ini adalah ia mengandungi shighah takbir hari raya digabungkan sekali dengan ucapan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah atau  berselang dengan takbir adalah sunnat dengan apa jua shighah shalawat, samada panjang maupun pendek. Jarang kita jumpa buku - buku agama zaman moden menampilkan lafaz takbir beserta shalawat sebegini. Mungkin kerana lazimnya masyarakat kita hanya melagu-lagukan takbir dengan irama khas yang syahdu dan mengasyikkan. Manakala shalawat setelahnya tidak dibaca atau dibaca senyap, sendiri - sendiri sahaja.

Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam setelah takbir hari raya atau di sela-sela antara takbir dipandang mustahab ebagaimana yang tersebut dalam Hasyiah Jamal dan juga dinukil oleh Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam Nihayatuz Zain pada halaman 109, yang menyatakan sebagai berikut: ...." Dan shighah takbir yang disukai ......(shighah takbir yang biasa diamalkan orang hingga ke lafaz wa hazamal ahzaaba wahdah)..... dan mustahab setelah itu bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana firman Allah: "Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu." (al-Insyirah:4), iaitu tiadalah Aku disebut melainkan engkau turut disebut bersamaKu. Dan (lafaz) shalawat yang menjadi adat kebiasaan adalah mengucapkan: "Allahumma shalli `ala Sayyidina Muhammad, wa `ala aali Sayyidina Muhammad, wa `ala ashhaabi Sayyidina Muhammad, wa `ala azwaaji Sayyidina Muhammad, wa `ala dzurriyati Sayyidina Muhammad, wa sallim tasliiman katsiira." Begitulah tuan puan keterangannya. Namun lafaz shalawat tidaklah baku teksnya, bebas dengan apa jua shighahnya, samada panjang atau pendek. Mudah - mudahan bermanfaat buat kita semua.

Shighah takbir yang biasa bagi ahli Mesir

Selasa, September 28, 2021

Ijazah Ratib - Buya Yahya


 

Isnin, September 27, 2021

Ratibul Haddad - TG Hj Sulong

Tuan Guru Haji Sulum @ Sulong rahimahullah, cicit kepada Tuan Minal al-Fathani (pengarang Kasyful Litsam dan `Aqidatun Najin), adalah antara pejuang dan ulama yang terkenal di Fathani Darus Salam. Beliau lahir sekitar tahun 1895 dan hilang ditangkap oleh Siam pada tahun 1954. Dipercayai yang beliau bersama 3 orang lagi termasuklah anak beliau telah dibunuh oleh Siam dan mayat - mayat mereka dicampak ke laut. Maka dimuliakanlah mereka dengan mati syahid dibunuh musuh yang ingin memadamkan obor suci Islam di bumi Fathani Darus Salam. Tuan Guru Haji Sulong mengikuti pengajian di Pondok Haji Abdul Rasyid Bandar, sebelum meneruskan pengajian ke Mekah al-Mukarramah pada tahun 1907, ketika berusia 12 tahun. Beliau sempat bertemu dan berguru dengan ulama terbilang, Tok Syaikh Wan Ahmad bin Musthafa al-Fathani rahimahullah yang masih mempunyai pertalian darah dengan beliau. Masa berguru dengan Tok Syaikh Wan Ahmad tidak lama kerana pada awal 1908, beliau berpulang ke rahmatullah. Di Mekah, Tuan Guru Haji Sulong belajar dengan ramai lagi masyaikh berbilang bangsa. Setelah 17 tahun mengaji di sana, barulah Tuan Guru Haji Sulong kembali menabur bakti dan berjuang di tanah kelahiran beliau, Fathani Darus Salam, yang ketika itu diancam proses siamisasi terhadap orang Melayu - Islam. Tuan Guru Haji Sulong tidak terkenal dengan karangan yang banyak atau penubuhan pondok pengajian yang gah, beliau lebih dikenali kerana perjuangan membela nasib umat dan agama dari ancaman kafir Siam sehingga nyawa jadi pertaruhan.

Di antara usaha ikhtiar Tuan Guru Haji Sulong adalah dengan menubuhkan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah al-Ma`arif al-Wathaniyyah yang begitu ditakuti oleh Siam sehingga diperintahkan untuk ditutup setelah hanya 3 tahun beroperasi. Bahkan, Siam pernah melarang Tuan Guru Haji Sulong untuk mengajar dan membaca kitab - kitab kepada umat Islam. Tuan Guru Haji Sulong pernah disumbatkan Siam ke penjara kerana perjuangannya untuk membela agama dan bangsa. Semua dugaan dan rintangan tersebut diharungi oleh beliau dengan tabah dan sabar serta penuh tawakkal kepada Allah `azza wa jalla. Mudah - mudahan Allah merahmati sentiasa Tuan Guru Haji Sulong dan memasukkan beliau ke syurga tanpa hisab. Untuk mengetahui lanjut kisah dan perjuangan beliau, bolehlah tuan puan cari di alam maya atau buku - buku penulisan, antaranya, Ulama Besar Dari Fathani karangan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani dan  Tuan Guru Haji Sulong Gugusan Cahaya Patani oleh Mohd. Zamberi Abdul Malek.

Tuan Guru Haji Sulong tidak banyak mengarang, kerana masanya lebih kepada perjuangan membela nasib umat dan agama yang sedang ditekan dan ditindas oleh kerajaan Siam. Setakat yang diketahui, beliau sempat menghasilkan tiga (3) buah karangan. Beliau menulis sebuah kitab dalam bidang usuluddin dinamakan Khulashatul Jawahir, sebuah lagi mengenai mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan jodol Cahaya Islam - Gugusan Mawlid Sayyidil Anam dan kitab terakhir beliau karang ketika dalam penjara di Ligor, berjodol Gugusan Cahaya Keselamatan. Tulisan terakhir beliau inilah yang paling masyhur dan digeruni oleh Siam, sehingga mereka mengharamkan penerbitannya dan menarikbalik serta memusnahkan segala naskhah yang beredar yang dapat diperolehi. Pada mukadimah kitab ini, Tuan Guru Haji Sulung menulis latar belakang penangkapan beliau pada 16 Januatri 1948 sehinggalah beliau dipenjarakan di Ligor. Beliau turut memuatkan senarai tuntutan rakyat Fathani kepada kerajaan Siam, sebagaimana yang dipersetujui dalam pertemuan ulama dan pemimpin Islam Fathani pada 1 April 1947. Kitab yang terdiri daripada  lima bab diakhiri dengan satu khatimah yang isinya:- Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi wali Allah yang besar Habib `Abdullah al-Haddad dan ratib baginya. Bagi memperkenalkan Ratib al-Haddad, Tuan Haji Sulong rahimahullah pada halaman 82, menulis sebagai berikut:- 
Ini ratib bagi Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, juga yang banyak manfaat dunia dan akhirat, lagi zahir berkatnya bagi mereka yang beramal akan dia. Iaitu diamal lepas sembahyang `Isyak dan Subuh. Dan jika diamalkan dengan perhimpunan ramai terlebih berkat daripada seorang diri. Berkata empunya ratib: "Barang siapa mengekali membaca ratib kami ini, dikurnia oleh Allah ta`ala akan dia atas sebaik -baik mati". Dan dipeliharakan daripada kebakaran rumahnya dan rumah yang sekampung dengan dia. Dan dipeliharakan daripada kecurian dan karam di dalam laut dan daripada kejahatan seteru dan daripada segala binatang - binatang yang bisa seperti ular dan kala dan lain - lain. Dan banyak lagi faedahnya, maka hendaklah beramal akan dia dengan berkekalan.
Begitulah serba sedikit tulisan Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani rahimahullah. Semoga bermanfaat dan marilah kita hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Tuan Guru Haji Sulong dan kepada para masyaikh kita terutama sekali yang ada dalam mata rantai amalan Ratibul Haddad, wa bil khusus, antaranya Habib Hamid bin `Alawi al-Kaaf yang menerimanya daripada Sayyid Muhammad Amin Kutubi yang menerimanya daripada Sayyid Husain `Aidid yang menerimanya daripada Sayyid `Idrus bin `Umar al-Habsyi yang menerimanya daripada Sayyid `Abdullah bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Imam Thahir bin al-Husain bin Thahir yang menerimanya daripada Sayyid `Umar Saqqaf as-Saqqaf yang menerimanya daripada Sayyid Hasan bin `Abdullah al-Haddad yang menerimanya daripada ayahandanya yang empunya ratib, Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddadridhwanullahi `alaihim ajma`in .... lahum minna al-Fatihah.