Sapa Kapiaq?????
Kita diperintahkan oleh Allah SWT agar sentiasa menjaga adab dan menghormati Junjungan Nabi SAW. Sekali-kali kita tidak dibenarkan untuk menyakiti akan hati baginda yang suci. Maka kenapa, ada segelintir yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung mencarik kehormatan Junjungan Nabi SAW. Tanpa segan silu dan rasa bersalah, mereka memfatwakan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan SAW yang mulia adalah kafir dan diazab dalam neraka.
Puak-puak ini mendakwa mereka mengikut hadits yang shohih, tetapi kenapa pula mereka meninggalkan ayat al-Quran. Tidakkah mereka mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum kerasulan Junjungan Nabi SAW. Adakah mereka lupa ayat Allah dalam surah al-Isra` ayat 15 yang berbunyi:-
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً
" ... Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah."
Apakah mereka tidak mengetahui bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW wafat sebelum Baginda Muhammad SAW dinobatkan sebagai utusan Allah. Juga apa maslahatnya pada umat atau apa faedahnya kita menimbulkan isu yang boleh mencarik hati Junjungan Nabi SAW? Kalau kita tiada apa-apa yang elok dan molek hendak dikatakan berkaitan ayahanda dan bonda Junjungan SAW, bukankah elok kalau kita diam sahaja. ... Allahu ... Allah.
Inilah akibatnya apabila berhujjah dengan satu atau dua hadits tanpa melihat kepada ajaran Islam secara keseluruhan dan bersepadu, baik dari aspek aqidah, syariah dan lain-lainnya. Inilah akibat dari pembelajaran mereka berdasarkan ajaran memisah-misahkan Tawhid, akhirnya mata mereka jadi cemey sehingga tidak dapat melihat dengan sempurna. Tidakkah mereka melihat segala dalil yang ada dalam Islam seperti dalil ayat yang menunjukkan bahawa ahlul fatrah itu tidak diazab? Di manakah mereka meletakkan ayat tersebut. Mereka juga gagal memahami pandangan JUMHUR ULAMA berhubung isu tersebut, sehingga mereka bertindak khianat dengan memproklamir bahawa pendapat yang mereka pegangi itu adalah pendapat jumhur ulama sedangkan hakikatnya bukan begitu. Mereka juga tidak segan-segan menuduh bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW sebagai selamat adalah pandangan Syi`ah. Binawe punya manusia, bila dituduh Wahabau mereka marah dan tuduh pihak penuduh bermudah-mudah menghukum mereka. Tapi depa sendiri mudah-mudah je nak menuduh orang lain. (Maap le bahso ese ni, jangankan bahasa, ikut darjat kepanasan hari ini, nak gocoh pun seeeeeeeeeeeeeeettttt).
Wahai ikhwah yang budiman, ketahuilah oleh kamu sekalian bahawa JUMHUR ULAMA AHLUS SUNNAH WAL JAMA`AH merajihkan bahawa ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setidak-tidaknya termasuk dalam golongan AHLUL FATRAH dan tidak diazab oleh Allah SWT. Inilah pendapat JUMHUR, manakala pendapat yang menyatakan mereka kafir itu adalah pendapat yang dhoif yang marjuh. Manakala penisbahan pendapat ini kepada Imam Abu Hanifah juga bermasalah, kerana dalam kebanyakan naskhah "Fiqhul Akbar" yang sampai kepada kita tidak pun ada pernyataan yang menghukumkan kafir ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW. Ramai ulama-ulama Hanafi, antara Syaikh Muhammad Zahid al-Kawthari rahimahUllah, telah menolak penisbahan pernyataan tersebut kepada Imam Abu Hanifah. Bahkan Mulla 'Ali al-Qari yang dikatakan sebagai menyokong pernyataan tersebut pada permulaannya telah menarikbalik pernyataannya itu syarahnya atas kitab "asy-Syifa`". Hal ini insya-Allah, akan kita tulis kemudian. Zaman kita sekarang ini, kalau ada yang berani dan tidak segan silu mengkafirkan ayahanda dan bonda Junjungan SAW maka biasanya mereka terdiri daripada kalangan pengikut dan pemuja anak Pak Wahab.
Sebenarnya, telah banyak penulisan ustaz-ustaz kita berhubung perkara ini, antaranya yang telah ditulis oleh al-Fadhil Sidi Abu Zahrah dalam blog beliau yang boleh dirujuk di sini. Di sini ese cuma nak menambahkan lagi khazanah ilmu kita dengan mendatangkan perkataan ulama-ulama lain berhubung perkara ini. Buat permulaannya ese, nukilkan perkataan Syaikh Manshur Ali Naashif yang berjodol "at-Taajul Jaami' lil Ushuuli fi ahaaditsir Rasul shallaAllahu 'alaihi wa sallam", karya yang telah diberi pengiktirafan oleh ramai ulama besar. Bahkan ianya diberi kata sambutan oleh Mufti Mesir pada zamannya Syaikh Muhammad Bakhit dan juga Syaikh Yusuf ad-Dajwi rahimahumAllah. Pada halaman 382, beliau, rahimahUllah, menulis:-
"Ziarahnya Junjungan Nabi SAW ke kubur bonda baginda, iaitu as-Sayyidah Aminah binti Wahb rahimahAllah wa radhiya 'anha. Dan tatkala Junjungan Nabi SAW berziarah ke kuburnya, baginda telah menangis kerana bondanya meninggal dunia sebelum kedatangan Islam dan memperolehi nikmatnya. Dan Allah ta`ala tidak mengizinkan NabiNya untuk memohon keampunan bonda baginda kerana untuk beristighfar memohon keampunan bagi seseorang memerlukan syarat orang tersebut hendaklah beragama Islam sedangkan bonda baginda wafat atas agama kaumnya. Ini tidaklah menafikan yang bonda baginda SAW itu masuk ke syurga kerana sesungguhnya beliau termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH, dan JUMHUR ULAMA berpandangan bahawa mereka (yakni ahlul fatrah) ini adalah golongan yang selamat dari azab Allah, sebagaimana firman Allah - Dan tiadalah Kami mengazabkan sesuatu kaum melainkan setelah diutuskan kepada mereka seorang rasul - iaitu kepada sekalian umat. Bahkan telah warid dan shohih di sisi pemuka-pemuka kasyaf bahawasanya Allah ta`ala telah menghidupkan kedua ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW setelah kerasulan baginda, lalu mereka berdua beriman dengan baginda, maka dari itu disimpulkan bahawasanya kedua mereka adalah daripada ahli syurga. Telah bersyair sebahagian ulama:-
Telah kuyakini yang ayahanda serta bonda Junjungan Nabi
Dihidupkan Tuhan al-Karimul Bari
Hingga atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian itu tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Junjungan Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dialah yang lemah dan dari hakikat berlepas diri
Ulama-ulama kita seperti Imam as-Sayuthi dalam "Masalikul Hunafa` fi Walidayy al-Musthofa" menjelaskan bahawa pendapat rajih yang dipegang oleh Jumhur Ulama adalah setidak-tidaknya dengan 3 alasan, iaitu: (i) ayahanda bonda Junjungan termasuk ahlul fatrah; (ii) mereka atas agama al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala; (iii) mereka dihidupkan sebentar oleh Allah dan menyatakan kesaksian mereka atas tawhid dan risalah. Dan Imam as-Sayuthi telah memenuhkan alasan-alasan ini dengan hujjah naqli baik berupa ayat-ayat al-Quran maupun hadits dan atsar. Silalah tuan-tuan telek akan hujjah beliau di sana. Maka tidak benar jika dikatakan bahawa pendapat yang menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan SAW selamat hanya beralasankan kepada hadits dhoif yang memberitakan tentang mereka dihidupkan sebentar.Hingga atas kebenaran kerasulan baginda mereka bersaksi
Maka kejadian sedemikian itu tadi
Adalah suatu kemuliaan bagi Pilihan Allah Junjungan Nabi
Justru sesiapa yang mendhaifkan akan khabaran ini
Maka dialah yang lemah dan dari hakikat berlepas diri
Dan perkara ini (yakni perkara menghidupkan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi SAW) bukanlah sesuatu yang mustahil dan pelik (dinisbahkan kepada kekuasaan mutlak Allah, yakni ianya termasuk perkara yang mumkin dan bukannya mustahil). Maka kelebihan Allah itu luas dan kemuliaan yang dianugerahkan kepada kekasihNya adalah berlebih-lebih lagi dan jauh lebih luas.
Allahu ... Allah, berhentilah daripada menyakiti hati Junjungan Nabi SAW dengan memburuk-burukkan ayahanda, bonda, kaum kerabat dan para sahabat baginda. Sesungguhnya kita tidak ada hak untuk memperkatakan apa-apa selain kebaikan bagi insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk menjadi ayahanda, menjadi bonda, menjadi kerabat dan sahabatnya Junjungan Nabi SAW. Apakah Allah tersalah pilih ???? سبحان الله.
Akhirul kalam, maka tersebut dalam kitab "Tahqiiqul Maqaam 'ala Kifaayatil 'Awaam" kitab ilmu tawhid karangan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar (baca betul-betul ya .. " ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah" bukan ulama Syi`ah), Syaikhul Islam, Syaikhul Azhar, Syaikh Ibrahim al-Baijuri rahimahUllah, pada halaman 13, setelah beliau menerangkan pendapat yang RAJIH menyatakan ayahanda dan bonda Junjungan Nabi adalah termasuk dalam kalangan AHLUL FATRAH YANG SELAMAT, menceritakan bahawa al-Qadhi Abu Bakar ibnul 'Arabi rahimahUllah, salah seorang ulama besar Malikiyyah, telah ditanyai berhubung seseorang berkata yang ayahanda Junjungan Nabi SAW itu berada di neraka. Maka al-Qadhi telah menjawab bahawa orang tersebut adalah MAL`UUN (kalau bahasa kita kita kata "melaun" yakni orang yang kena laknat) kerana Allah ta`ala telah berfirman: " Sesungguhnya orang - orang yang menyakiti Allah dan rasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan bagi mereka azab siksa yang menghina." Dan sebesar-besar perkara yang menyakiti Junjungan Nabi SAW adalah mengatakan bahawa ayahanda baginda berada di neraka.
Allahu ... Allah, hentikan menyakiti Baginda Nabi SAW.
2 ulasan:
Salam...satu penjelasan yang begitu ilmiah. Tetapi kenapa golongan mereka ini tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama lain dan sewenang-wenangnya menyakiti Baginda Rasulullah? Siapakah mereka sehingga begitu berani mengkufurkan kedua ayah bonda Rasulullah. Sesungguhnya mereka begitu berani untuk menempah tempat di neraka Allah s.w.t
Mereka dah jauh sosat.Macam mana nak dapek hidayahnya.ALahai Wahabi.
Catat Ulasan