Kisah Tasmi'
Rasanya kita semua sudah sedia maklum akan kisah Sayyidina `Umar RA dengan asal muasal pensyariatan azan bagi sholat fardhu yang lima. Kali ini dinukilkan pula kisah hubungan pensyariatan ucapan tasmi` dengan seorang lagi tokoh sahabat yang paling utama, iaitu Sayyidina Abu Bakar RA. Kisah ini dinukilkan dari karya ulama besar Syaikh `Abdullah asy-Syarqawi rahimahullah, ulama bermazhab Syafie yang dilahirkan pada tahun 1150H dan wafat sekitar tahun 1226H. Beliau adalah Syaikhul Azhar yang ke-12. Selain kealimannya, beliau juga terkenal dengan keberaniannya sebagai seorang mujahid yang memimpin jihad menentang penjajahan Perancis ke atas bumi Mesir.
Syaikh asy-Syarqawi rahimahullah dalam "Hasyiah asy-Syarqawi 'ala Tuhfatith Thullaab" pada halaman 205 karya tersebut, Syaikh Syarqawi rahimahullah meriwayatkan sebagai berikut:-
Bahawa hikmah pada pensyariatan ucapan tasmi` ini (yakni ucapan sami`aAllahu li man hamidah) adalah kerana Sayyidina Abu Bakar RA yang tidak pernah sekali pun luput sholat berjemaah berimamkan Junjungan Nabi SAW telah terlewat pada satu hari, ketika waktu sholat Asar, untuk hadir ke masjid. Sayyidina Abu Bakar mengira bahawa dia akan terluput berjemaah dengan Rasulullah SAW. Maka gundahlah hatinya lalu dengan berlari-lari anak beliau bergegas menuju ke masjid. Peristiwa ini berlaku sebelum datang tegahan untuk berlari-lari anak untuk pergi ke masjid. Setiba di masjid, Sayyidina Abu Bakar mendapati bahawa Junjungan Rasulullah SAW sedang bertakbir untuk rukuk. Lalu Sayyidina Abu Bakar mengucapkan hamdalah : "Alhamdulillah", lalu bertakbir dan mengikut Junjungan SAW rukuk. Maka turunlah malaikat Jibril AS kepada Junjungan Nabi SAW yang sedang rukuk seraya berkata: "Wahai Muhammad, Allah telah mendengar orang yang memujiNya, maka ucapkanlah "sami`a Allahu liman hamidah". Lalu Junjungan Nabi SAW ketika bangkit dari rukuk baginda mengucapkan ucapan tasmi` tersebut. Sebelum peristiwa ini, adalah Junjungan Nabi SAW bertakbir sebelum rukuk dan bertakbir juga ketika bangkit dari rukuk. Oleh itu, pertukaran daripada takbir kepada tasmi` ketika bangkit dari rukuk menjadi sunnah sejak peristiwa tersebut berkat perbuatan Sayyidina Abu Bakar RA.Jika kita telusuri sirah Junjungan Nabi SAW dan para sabahat baginda, nescaya kita dapati banyak lagi cerita di mana amalan atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang sahabat dipandang baik oleh Junjungan Nabi SAW, bahkan ianya menjadi sebab bagi melahirkan satu sunnah. Di antara kisah - kisah tersebut adalah seperti kisah sholat sunnat wudhu yang dilakukan oleh Sayyidina Bilal RA, kisah sholat sunat sebelum dibunuh yang dilakukan oleh Sayyidina Khubaib RA dan kisah kelakuan masbuk yang dilakukan oleh Sayyidina Mu`adz RA. Sesungguhnya Junjungan Nabi SAW adalah makhluk Allah yang paling mulia dan bukanlah akhlak baginda untuk dengan sewenang - wenangnya menyesatkan setiap perbuatan yang baik yang dilakukan oleh seseorang. Dalam kisah - kisah tersebut tak dak pulak riwayat yang Junjungan Nabi SAW bersabda kepada mereka, terjemah dalam loghat Kedah: "Awat hangpa buat lagu tu ? Hangpa nak buat bid`ah kaaa?" Allahumma sholli wa sallim `alaihi wa `ala aalihi wa ashhabih.
4 ulasan:
maaf tuan tak kena dengan tajuk.tapi penting ni http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/20106-apa-yang-tersirat-disebalik-konflik-di-syria Saya mengakui ketokohan dan keilmuan TG Presiden tapi tak bermakna fakta yang tidak tepat harus didiamkan saja.Kata TG: “Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A.” Memang benar fakta Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dengan Imam Jaafar al-Sodiq.Namun Sayyidina Jaafar al-Sodiq r.a bukanlah pelopor Syiah Imamiyah.Bahkan beliau dan ulama2 Ahlul Bait lain yang dinobatkan sebagai Imam oleh Syiah Imamiyah adalah sebenarnya ulama Ahli Sunnah wal Jamaah!!!
kupasan dan sandaran hujah yg mudah bg menolak golongan wahabi disamping pengenalan kpd ulama2 besar kita. semoga Allah membalas atas usaha yg mulia
Pelopor Syiah Ja'fariyyah bukanlah Imam Ja'far as-Shadiq RA tetapi pengasas Syiah Ja'fariyyah adalah ABU JA'FAR MUHAMMAD BIN AL-HASAN BIN AL-FARRUKH AS-SAFFAR AL-A'RAAJ AL-QUMMI (mati tahun 290H).
Ramai yang terkeliru dengan kerana kunyah Abu Ja'far tersebut lalu membuat kesimpulan bahawa ianya merujuk kepada Imam Ja'far ash-Shadiq. Sedangkan kunyah Imam Ja'far adalah Abu Abdullah.
Betul tu sheikh..ramai yg keliru sebab tak mengkaji kitab..asal nama serupa aja..tuduh..itu satu fitnah
Catat Ulasan