Ahad, Disember 25, 2005

Syaikh Fadhlullah Suhaimi - Pembela Sunni


Ikhwah, bertahun dahulu (mungkin hingga kini) fitnah dan mehnah yang melibatkan Arqam telah menconteng arang bukan sahaja kepada pertubuhan tersebut tetapi sedikit sebanyak menyentuh pribadi-pribadi lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka seperti Sayyidisy-Syaikh Kiyai Agung dan anak-anaknya. Sehingga mereka dan amalan serta thoriqah mereka disinonimkan dengan Arqam, sedangkan kedua-dua pihak itu tidak sama. Aku terpanggil untuk menjelaskan kepada ikhwah bahawa Kiyai Agung dan anak-anaknya adalah ulama yang berpegang teguh dengan i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Ku perturunkan di sini beberapa petikan dari "Ringkasan 'Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah" mukasurat 82 - 85 berhubung Syaikh Fadhlullah karangan murid dan menantunya, Pehin Mufti Haji Ismail:-
  • Di antara ulama kita di Tanah Melayu dan di Tanah Jawa, yang membela Ahlus Sunnah wal Jama`ah, ialah al-'Allamah al-Murabbi al-Khabir wal Khathibul Qadir wad Da`ie al-Basyir ila Allah s.w.t. asy-Syaikh Muhammad Fadhlullah ibn asy-Syaikh Muhammad as-Suhaimi yang terkenal dengan Muhammad Fadhlullah Suhaimi al-Azhari rhm. Keturunan daripada Bani BaSyaiban dari Hadhramaut dan datuk neneknya berpindah ke Tanah Jawa bertempat di Kota Bondowoso, Resident Basuki, Jawa Timur. Menurut kitab "Khulaashahul Atsir fi A'yaanil Qarnil Haadi 'Asyar" karangan al-'Alim al-Adib Muhammad Amin bin Fadhlullah al-Muhibbi yang mati tahun 1111H telah menyebutkan bahawa setengah Bani BaSyaiban telah meninggalkan Hadhramaut semenjak kurun 10 Hijrah ke India dan Makkah. Dan tersebut juga dalam kitab "Iidhaahu Asraari 'Uluumil Muqarrabiin" karangan Sayyidina Muhammad al-'Aydrus ahadul 'ulama-il-'aarifiin yang mati di bandar Surat, India tahun 1031H. Dan menurut kata ulama yang mengetahui bahawa Bani BaSyaiban tiada ada pada masa ini di Hadhramaut. Dan menurut majalah "ar-Raabithah" yang diterbitkan di Jakarta pada tahun 1347, Tahun yang Pertama, Bilangan 8 - 9, bahawa BaSyaiban itu adalah keturunan Sayyidina al-Faqih al-Muqaddam Muhammad Ba'Alawi.
  • Asy-Syaikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi diperanakkan di Singapura kerana kedua ibu bapanya telah berhijrah ke Singapura. Dan ia telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1964M (1384H) di Singapura berumur 78 tahun, rahimahUllahu ta`ala.
  • Asy-Syaikh Muhammad Fadhlullah diketahui belajar di Makkah al-Mukarramah dan di al-Azhar, Mesir, pada masa sebelum peperangan dunia yang pertama. Pada masa di Mesir dia jadi pengarang akhbar "al-Ittihad" diterbitkan 3 bulan sekali dalam bahasa Melayu, dan menjadi pengurus Syarikat al-Ittihad dan Mathba`ah al-Ittihad. Dan dia telah mengarang kitab "Pelajaran Tauhid" yang telah dicetak di mathba`ah Syarikat al-Ittihad pada 10 Rejab 1332H (1914M).
  • Pada tahun 1916M, dia menjadi guru besar di Madrasah as-Saqqaf, Jalan Sultan, Singapura.......... Kemudian asy-Syaikh Fadhlullah pergi ke Tanah Jawa. Di sana ia membuka sekolah-sekolah 'Arab, kemudian ia balik ke Singapura dan membuka tempat percetakan di Singapura dan di Johor Baharu, dan mengarang kitab-kitab dan mengeluarkan majalah "Jasa" di Johor Baharu. Kemudian ia membuka sekolah 'Arab Kuliyyah al-'Aththas di Johor Baharu dengan anjuran al-Muhsin al-Ghuyur Datuk as-Sayyid Hasan bin Ahmad al-'Aththas......
  • Kuliyyah al-'Aththas itu berjalan dari tahun 1931 hingga tahun 1937 kemudian disambung dengan Kuliyyah al-Firdaus di Singapura sehingga Jepun menakluki Tanah Melayu bulan Disember tahun 1941 mengajar ilmu guru dan ilmu qadhi.
  • Asy-Syaikh Fadhlullah seorang yang petah bercakap dan berkhutbah, dan guru yang bijak mendidik dan mengasuh anak-anak murid. Seorang yang kuat mempertahankan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan dapat meredakan puak-puak yang bertelingkah di Tanah Melayu pada tahun-tahun 20-an yang dibangkitkan oleh kaum muda seperti majalah "Pembela Islam" Bandung, kitab Soal-Jawab dan lain. Dan pernah berdebat dengan Ahmad Hasan Bandung yang condong pada faham Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam suatu majlis perdebatan di Pulau Pinang pada tahun 50-an.
  • Asy-Syaikh Fadhlullah telah banyak mengeluarkan anak-anak murid dari sekolah-sekolahnya di Johor Baharu, di Singapura dan di Jawa. Pernah ia diam di Kelantan masa penjajahan Jepun, dan ia pernah menjadi mudir (pengetua) Kuliyyah al-Lughah wad Din, Pekan, Pahang pada tahun 1955 dan tahun-tahun berikutnya.
  • Di mana ia diam dan tinggal, dia mengadakan kelas pelajaran, seperti di Johor Baharu dia mengajar tafsir al-Qur`an karangannya kepada orang ramai. Dan di Kelantan, Kota Baharu dia mengadakan kelas pelajaran agama dan mempunyai murid-murid di sana.
  • Masa di Singapura ia menjadi Imam Jumaat di Masjid Ma'ruf dekat Masjid Sultan, Cylde Street, sebuah masjid yang lama lepas Masjid Sultan dengan membaca khutbah Jumaat dari karangannya sendiri. Pada masa itu belum ada orang mengarang khutbah sendiri dan membahaskan perkara-perkara yang berbangkit dalam seminggu lepas seminggu itu. Dan khutbah-khutbahnya itu telah dicetak dan dipakai di setengah negeri Tanah Melayu. Dan jika tuan ada di sana maka tuan akan melihat pada makmum yang datang dari jauh-jauh memenuhi masjid yang begitu luas itu. Dan Masjid Ma'ruf itu masih dijagai oleh keluarganya sehingga masa kita ini dan keluarganya menjadi Imam Jumaat pada tiap-tiap hari Jumaat.
  • Bagaimana kita kata bahawa asy-Syaikh Muhammad Fadhlullah itu seorang yang pandai bercakap dan berkhutbah dan bijak berdebat mematahkan hujjah-hujjah lawannya. Dan seorang pendidik yang mahir mendidik anak-anak murid ke arah agama, arah budi pekerti yang baik, dan akhlak yang disuruh, sebagaimana ayahandanya Kiyahi Agung Muhammad Suhaimi pandai mendidik dan mengasuh anak muridnya dan pengikut-pengikutnya sehingga berpanjang selama 40 tahun di Singapura dan di Klang, Selangor.
  • Kerana minatnya mendidik dan mengasuh dan hidup cara beragama dan bersemangat dengan agama yang telah ia alami ketika ia berada di Mesir dan di Tanah Jawa yang kedua-dua negeri itu bergelora dan hangat dengan semangat agama menentang penjajahan. Maka ia meninggalkan anak-anak murid yang bersemangat berdiri di atas kaki sendiri dan masuk berbagai-bagai lapangan pendidikan, guru, pemimpin kaum, ahli siasah dan peniaga, menurut 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah 'aqidah yang biasa dianut dan dipegang oleh penduduk Tanah Melayu, Sumatera dan Jawa. Antara kitab-kitab yang diajarnya ialah seperti kitab 'aqidah "Ummul Barahin" karangan al-Imam as-Sanusi, kitab yang menerangkan 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dan manakala masalah-masalah yang berbangkit yang dibawa oleh kaum muda yang berlawanan dengan 'aqidah dan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah maka al-'Allamah itu menerangkan kepada anak-anak muridnya akan kata-kata mereka yang isykal dan membawa kata-kata Ahlus Sunnah wal Jama`ah atau kata-kata jumhur ulama pada perkara-perkara yang menjadi isykal itu dalam satu nota berasing.
  • Manakala terbit kitab "Buah Kuliah al-Attas" yang mengandungi bahas-bahas dan perkara isykal yang dibangkitkan oleh kaum muda dan lain-lain puak, maka Ahmad Hasan Bandung pengarang majalah "Pembela Islam" telah mencabar Kuliyyah al-'Aththas, Johor Baharu itu dalam siarannya kerana barangkali berlawan dengan pendapatnya dalam majalah "Pembela Islam" dan "Soal - Jawab" itu, walaupun "Buah Kuliyyah al-'Aththas" bercakap dengan cara am tiada menyentuh mana-mana pihak.......
  • Dengan tegas asy-Syaikh Fadhlullah menerangkan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan pegangan ahli bid`ah dan kaum muda. Maka perkara yang membawa pecah belah pandangan dan fikiran masyarakat umat Islam di Tanah Melayu dapat diatasi dengan baik.
  • Al-'Allamah asy-Syaikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi itu telah menjadi anggota majlis mesyuarat agama di Jabatan Agama Johor dalam suatu masa yang panjang sebelum Peperangan Dunia Kedua dan lepasnya........
  • Asy-Syaikh Fadhlullah telah mengarang kitab-kitab sebanyak 35 buah, dalam tauhid, agama Islam, tarikh, masalah-masalah agama yang menjadi isykal yang dibangkitkan oleh kaum muda dan menterjemahkan kamus "al-Munjid" bagi Perpustakaan Betawi, Indonesia, dan mengarang tafsir al-Qur`an, dan masalah-masalah pada mengalih pandangan umat Islam dalam kehidupan dan pencarian menurut Islam dan menyuruh umat Islam mengambil ajaran Islam dalam tadbir negeri.........
  • Kehidupan asy-Syaikh Fadhlullah adalah sederhana. Sederhana dalam makan minum, sederhana dalam pakaian, sederhana dalam gerak geri, sederhana dalam fikiran dan dalam keputusan yang diambilnya.

RahimahUllahu ta`ala war-dhaah,

wa jazaahu 'anil muslimin khairal jaza`

......al-Fatihah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu alaikum

Saya appreciate atas website ini. Mohon kiranya dapat lebih mengulas mengenai keluarga as-Suhaimi BaSyaiban.
Bagaimana caranya mendapatkan buku-buku yang dijadikan rujuka atau sumber tulisan dalam website ini. Terima kasih

Wassalam