Ziarah Maqam Junjungan
- Saya perturunkan di sini perkataan pengarang kitab "at-Tajul Jami' lil Usul fil ahaaditsir Rasul" asy-Syaikh Mansur 'Ali Nasif berhubung dengan soal menghadiahkan pahala bacaan al-Fatihah kepada Rasulullah s.a.w. iaitu setelah diterangkan cara-cara menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. dan dua orang sahabat baginda, Abu Bakar dan Umar r. 'anhuma, hendaklah orang menziarah ikut berdiri menghadap maqam lalu dia membaca al-Fatihah dan surah Yasin atau apa saja ayat al-Qur`an kemudian dihadiahkan pahala bacaannya itu kepada roh Nabi s.a.w. dan dua orang sahabatnya yang terbesar kemudian barulah ia mendoakan bagi diri dan orang tuanya dan bagi siapa yang dikehendakinya dan seterusnya untuk sekalian muslimin dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Jadi setelah mengucapkan salam dan sholawat seperti yang masyhur diamalkan, baik yang pendek maupun yang panjang. Kita digalakkan untuk menghadiahkan pahala surah kepada Junjungan s.a.w. dan 2 sahabat tersebut. Jangan pula disedekahkan pahala tersebut kepada mereka, kerana apalah martabat kita hendak bersedekah kepada Junjungan s.a.w. insan kamil mukammil tersebut. Kita niatkan hadiah, kerana hadiah diberi dengan tujuan untuk memuliakan sedangkan sedekah diberi dengan tujuan menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Umum masyarakat kita tahu, tapi sesetengahnya tergelincir lidah mungkin bila hendak memulakan tahlil arwah mengatakan " kita sedekahkan al-Fatihah dan tahlil kepada Junjungan Nabi dan sekalian muslimin", ini tidak wajar perlu ditukar kepada "kita hadiahkan......" Begitu juga dalam doa tahlil ada yang menyelitkan "sadaqatan mutaqabbalah" (sedekah yang diterima), bahkan sesetengah buku tahlil dan Yasin juga tercetak begitu, maka itu juga tidak wajar jika untuk ditujukan ke hadhrat Junjungan s.a.w. Jadi eloklah dibuangkan sahaja kalimah tersebut atau ditukar dengan kalimah "tuhfatan kaamilah" (hadiah yang sempurna).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan