Rabu, Januari 04, 2006

Tempat Lahir Junjungan s.a.w.


Pada tanggal 12 Rabi`ul Awwal Tahun Gajah, terbit cahaya gilang gemilang menerangi kediaman Siti Aminah di Kampung Syib 'Ali saat beliau melahirkan Junjungan mulia s.a.w. Rumah telah kelahiran Junjungan s.a.w. yang bersejarah tersebut telah dipelihara oleh umat baginda dan dijadikan tempat ziarah yang di mana doa-doa dikatakan mustajab di situ.

Sejarahwan Makkah kurun ke-3, al-Azraqi, dalam kitabnya "Akhbar Makkah", jilid 2 mukasurat 160, menyatakan bahawa antara tempat-tempat di mana dimustahabkan solat di dalamnya ialah Mawlid an-Nabi, iaitu tempat kelahiran Junjungan s.a.w. Menurutnya lagi, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh al-Khaizuran, bonda Khalifah Musa al-Hadi dan Khalifah Harun ar-Rasyid dari Kerajaan Bani Abbas. Lihat gambar lama di atas nampak kelihatan kubah masjid tersebut. Masjid ini berdiri sejak masa Abbasiyyah sehinggalah diruntuhkan oleh puak Wahhabi, pemusnah kubur dan masjid. Rupa-rupanya bukan Hindu kat India sahaja yang meruntuhkan masjid, geng anak Pak Wahhab pun apa kurangnya.

Ulama tafsir terkemuka, an-Naqqash dinukilkan oleh Syaikh Taqiyuddin al-Fasi dalam kitabnya "Syifa` al-Gharam bi Akhbaril Baladil Haram", jilid 1 mukasurat 199, sebagai berkata bahawa doa di tempat lahir Junjungan s.a.w. tersebut dimustajabkan pada tengahari Isnin.

Ibnu Jubayr, setiausaha Gabenor Granada, Andalus, mencatat dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya menyatakan bahawa pada setiap hari Isnin bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan dibuka dan ramai manusia yang datang berziarah dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi) kerana pada bulan tersebut Junjungan s.a.w. dilahirkan.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya "al-Mawlid asy-Syarif al-Mu`adzdzham", Syaikh Ibnu Zahira al-Hanafi dalam "al-Jami' al-Lathif fi Fasl Makkah wa ahliha", ad-Diyabakri dalam "Tarikh al-Khamis" dan Syaikh an-Nahrawali dalam "al-I'lam bi a'lami Bait Allah al-haram", menulis senario sambutan Mawlid Nabi s.a.w. di Makkah seperti berikut:-
  • Setiap tahun tanggal 12 Rabi`ul Awwal, selepas sembahyang Maghrib, keempat-empat qadhi Makkah (yang mewakili mazhab yang empat) bersama-sama orang ramai termasuk segala fuqaha, fudhala` (orang kenamaan) Makkah, syaikh-syaikh, guru-guru zawiyah dan murid-murid mereka, ru`asa' (penguasa-penguasa), muta`ammamin (ulama-ulama) keluar meninggalkan Masjidil Haram untuk pergi bersama-sama menziarahi tempat Junjungan Nabi s.a.w. dilahirkan. Mereka berarak dengan melaungkan zikir dan tahlil(mungkin di sini asalnya tradisi orang kita mengadakan perarakan Mawlid). Rumah-rumah di Makkah diterangi cahaya pelita dan lilin. Orang yang turut serta amat ramai dengan berpakaian indah serta membawa anak-anak mereka sekali. Setiba di tempat kelahiran tersebut, ceramah khas bersangkutan Mawlidin Nabi disampaikan serta kebesaran, kemuliaan dan mu'jizat Junjungan diceritakan. Setelah itu, doa untuk Sultan, Amir Makkah dan Qadhi Syafi`i (ini adalah kerana mazhab Syafi`i adalah yang paling dominan di Hejaz sebelum penjajahan Wahhabi) dibacakan dengan penuh khusyu' dan khudu`. Setelah hampir waktu Isya`, barulah mereka berarak semula pulang ke Masjidil Haram untuk menunaikan sholat Isya`.

Beginilah meriah sambutan Mawlid di Makkah pada zaman tersebut. Malangnya setelah penjajahan Wahhabi, perayaan Mawlid dianggap sebagai bid`ah dhalalah yang menyesatkan. Inilah juga fatwa Bin Baz yang diikuti pengikut mereka hatta di Malaysia ini seperti Dr. Abdullah Yasin khadam kedutaan Saudi Arabia di Kuala Lumpur. Banyak-banyak negara Islam dalam dunia ini, hanya Saudi sahaja yang beranggapan mawlid Nabi bid`ah, negeri lain cuti umum tapi Saudi tidak merai dan membesarkannya. Yang peliknya sewaktu Condoleeza Rice datang ke Saudi tahun lepas, hari jadinya yang ke-51 diraikan dengan kek harijadi sebagaimana dilaporkan oleh akhbar "Daily Times" bertarikh 14 November, 2005 dengan tajuk berita "Saudis suprise Condi Rice with birthday cake."

Jadi ikut fatwa Wahhabi dan Bin Baz, Mawlid yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia dahulu dan sekarang adalah bid`ah dhalalah yang menyebabkan pelakunya sesat dan masuk neraka. Jadi pada pandangan mereka, ramai umat Muhammad ini masuk neraka, dalam syurga nanti hanya Ibnu Abdul Wahhab, Bin Baz dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Masuk akal ke ??????????

Ya RasulAllah, li syafa`ah.

Tiada ulasan: