Penciptaan Agung
Imam 'Abdur Rahman bin 'Ali yang terkenal dengan nama Imam Ibnul Jawzi ulama besar bermazhab Hanbali yang dilahirkan pada tahun 509/510H di Baghdad. Beliau adalah pengarang dan daie yang terkenal yang banyak menyedarkan umat serta ramai yang memeluk Islam di tangannya. Beliau adalah guru kepada Ibnu Qudamah al-Maqdisy yang masyhur itu.Tersebutlah dalam karya beliau yang berjodol "al-Wafaa bi ahwaalil Musthofa s.a.w." akan kisah penciptaan Junjungan Nabi s.a.w. yakni penciptaan benih asal jasad baginda s.a.w. Kisahnya adalah sebagai berikut:-
عن كعب الأحبار قال: لما أراد الله تعالى أن يخلق محمداً صلى الله عليه وسلم أمر جبريل عليه السلام أن يأتيه فأتاه بالقبضة البيضاء التي هي موضع قبر رسول الله صلى الله عليه وسلم، فعجنت بماء التَّسْنيم، ثم غمست في أنهار الجنة، وطيف بها في السموات والأرض، فعرفت الملائكة محمداً وفَضْله قبل أن تعرف آدم، ثم كان نور محمد صلى الله عليه وسلم يُرى في غُرَّة جبهة آدم. وقيل له: يا آدم هذا سيد ولدك من الأنبياء والمرسلين.
فلما حملت حواء بشيت انتقل عن آدم إلى حواء، وكانت تلد في كل بطن ولدين إلا شيتاً، فإنها ولدته وحده، كرامة لمحمد صلى الله عليه وسلم. ثم لم يزل ينتقل من طاهر إلى طاهر إلى أن ولد صلى الله عليه وسلم.
Daripada Ka'ab al-Ahbar: " Tatkala Allah ta'ala berkehendak untuk menciptakan Nabi Muhammad s.a.w., Dia memerintahkan Jibril a.s. untuk membawakan segenggam tanah putih yang merupakan tanah tempat Junjungan Nabi s.a.w. dimakamkan nanti. Maka diulilah tanah tersebut dengan air Tasniim (air syurga) lalu dicelupkan ke dalam sungai-sungai syurga. Setelah itu, dibawakan dia berkeliling ke serata langit dan bumi. Para malaikat pun mengenali Junjungan Nabi s.a.w. dan keutamaan baginda sebelum mereka mengenali Nabi Adam a.s. Ketika nur Junjungan Nabi s.a.w. kelihatan di kening dahi Nabi Adam a.s., dikatakan kepadanya: "Wahai Adam, inilah sayyid (penghulu) keturunanmu daripada para anbiya' dan mursalin.
Tatkala Siti Hawa mengandungkan Nabi Syits berpindahlah Nur Muhammad tersebut kepada Siti Hawa. Siti Hawa yang biasanya melahirkan anak kembar setiap kali hamil, tetapi pada hamilnya ini dia hanya melahirkan seorang anak sahaja iaitu Nabi Syits kerana kemuliaan Junjungan Nabi s.a.w. Maka sentiasalah berpindah-pindah Nur Muhammad daripada seorang yang suci kepada orang suci yang lain sehinggalah baginda dilahirkan.
Begitulah keistimewaan penciptaan Junjungan Nabi s.a.w., sama ada penciptaan roh baginda yang agung, juga penciptaan asal benih bagi jasad baginda yang mulia lagi suci. Patutlah peluh baginda merupakan wangian yang teristimewa lagi penuh keberkatan kerana benih bagi jasad baginda telah diuli dan diadun serta dicelup dengan air Tasniim dan sungai-sungai syurga. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Ummu Sulaim telah mengumpul titisan peluh Junjungan Nabi s.a.w. demi memperolehi keberkatan baginda s.a.w. Allahu .. Allah, mari kita banyakkan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kerana ucapan tersebut yang berhubung kait dengan Junjungan Nabi s.a.w. pun turut menghasilkan keberkatan dan keharuman yang istimewa yang boleh dihidu oleh sekalian makhluk selain jin dan manusia.
نور القلوب يزيد عند صلاتنا
للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد
صلوا على ذاك النبي الأفضل
للهاشمي فنوره لا ينجلي
فضياؤنا من ضوء نور محمد
صلوا على ذاك النبي الأفضل
Cahaya hati bertambah ia tatkala kita sholawatkan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi
Nabi keturunan Hasyim cahayanya tak akan sirna sekali-kali
Maka sinar cahaya kita adalah daripada sinar cahaya Nabi
Bersholawatlah atas nabi yang terutama itulah Junjungan Nabi
اللهم صل على النبي الهاشمي سيدنا محمد
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما
وعلى اله و صحبه و سلم تسليما
*****************************
Tiada ulasan:
Catat Ulasan