Khamis, Jun 26, 2008

Hukum Anak Yang Keguguran

Berkata Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathani rhm. dalam "al-Bahrul Waafi wan Nahrush Shofi" halaman 212:-

(Dan adapun) anak yang guguran yang belum sempurna bulannya lagi tiada diketahui akan hidupnya dengan berteriak atau bergerak atau bernafas lagi belum nyata kejadiannya maka tiada wajib padanya sesuatu, bahkan haram sembahyang atasnya dan sunnat dibungkuskan dia dengan kain dan ditanamkan dia dan harus diberikan bagi kucing dan umpamanya.

(Maka jika) diketahui akan hidupnya dengan nyata salah suatu daripada tanda yang tersebut itu, maka hukumnya seperti yang besar. Maka wajib dimandikan dan dikafankan dan disembahyangkan dan ditanamkan dia kerana yakin hidupnya dan mati ia kemudian daripadanya.

Dan jika nyata kejadiannya jua, maka wajib dimandikan dan dikafankan dan ditanamkan dengan tiada sembahyang atasnya.

(Dan adapun) anak yang gugur kemudian daripada sudah sempurna bulannya, maka hukumnya seperti yang besar. (Kata) Syaikh Ramli, manakala sampai ia enam bulan wajib padanya barang yang wajib pada yang besar, iaitu dikerjakan empat perkara yang tersebut itu (yakni mandi, kafan, sembahyang dan tanam).
Untuk memudahkan pemahaman hukum-hukum yang berlaku terhadap anak atau janin yang keguguran, maka ini ambo nukilkan lagi keterangan dan rumusan dari "Fathul 'Allaam" juzuk 3 halaman 298 -299 karya 'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Lathif al-Jurdaani (w. 1331H/1913M) murid Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri, seperti berikut:-

Keguguran 6 bulan ke atas:-

  • Jika anak yang keguguran itu sudah cukup bulan, iaitu 6 bulan qamariyyah yang merupakan sekurang-kurang tempoh kehamilan, maka yang muktamad dalam mazhab kita asy-Syafi'i, wajib dikerjakan ke atasnya apa yang wajib atas mayyit orang dewasa, iaitu wajib dimandikan, wajib dikafan, wajib disembahyangkan dan wajib dikebumikan. Tanpa mengira sama ada anak keguguran itu hidup tatkala dia keluar lalu kemudian mati, tanpa mengira sama ada sudah berupa atau berbentuk manusia atau belum. Asal 6 bulan ke atas, wajib dikerjakan 4 perkara tersebut. Ini qawl yang muktamad dalam mazhab dan dipegang oleh Imam ar-Ramli dan Imam al-Khathib.
  • Manakala Imam Ibnu Hajar pula mengikut fatwa guru beliau, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari, berpendapat bahawa jika anak yang keguguran itu keluar dalam keadaan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hidup, yakni keluar sudah mati, maka haram disembahyangkan, hanya wajib dimandikan, dikafan dan ditanam sahaja. Pendapat inilah yang disokong oleh Imam al-Qalyubi.
Keguguran di bawah 6 bulan:-

  • Jika janin yang keguguran itu keluar dalam keadaan mati DAN tidak berupa atau berbentuk seperti manusia, yakni tidak ada tanda-tanda kehidupan padanya tatkala dia keluar seperti menangis, bergerak atau bernafas, dan tidak pula dia mempunyai bentuk atau rupa seperti manusia, yakni mungkin ianya berbentuk seperti segumpal daging, maka tidaklah wajib apa-apa atasnya hanya harus (yakni mubah) dimandikan atau dibasuh dan sunnat dibungkus dengan kain dan sunnat ditanam. Manakala sembahyang atasnya dihukumkan haram.
  • Jika janin yang keguguran itu ketika keluar zahir padanya tanda-tanda hidup, maka wajib dilakukan ke atasnya 4 perkara sepertimana yang dilakukan terhadap mayyit orang dewasa. Jika keluar hidup, walaupun tidak mempunyai rupa anak Adam, maka wajib 4 perkara.
  • Jika janin yang keguguran itu ketika keluar tidak menzahirkan yakni tidak kelihatan tanda-tanda hidup padanya, tetapi dia mempunyai rupa atau bentuk manusia, maka wajib dikerjakan padanya 3 perkara iaitu dimandi, dikafan dan ditanam. Manakala sembahyang atasnya hukumnya haram.
Sebagai ringkasan untuk memudahkan ingatan maka kita lihat rumusnya yang disyairkan oleh sebahagian ulama:-

Anak keguguran seperti orang dewasa
Tatkala wafat hukumnya
jika zahir tanda hidup ketika keluarnya

Jika tersembunyi tiada zahir tanda hidupnya
Tapi nyata kejadiannya rupa manusia
Dikerja tiga perkara padanya selain sholat tertegah adanya

Jika tersembunyi jua akan kejadiannya
Maka padanya tiada wajib apa-apa
Hanya dibungkus dan ditanam sunnat hukumnya.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalaamu'alaikum...

boleh ke saya copy paste petikan2 tazkirah diblog ini dan kongsi dengan sahabat2 saya melalui email..??

Abu Muhammad berkata...

wa 'alaikumus salam,

tafadhdholi silakan

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,saya ada kemyuskilan sedikit di sini.kebanyakan laman yang saya baca semua dituliskan tanam tetapi tidak nyatakan tempatnya.adakah ia di tanam di tanah perkuburan @ cukup sekadar di tanam di belakang rumah.tq