Isnin, Jun 15, 2009

Bendung Fahaman Kelirukan Golongan Arus Perdana

Islam liberal, gerakan Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme antara ancaman ummah

ISLAM arus perdana sedang berhadapan tentangan dan cabaran daripada gerakan aliran pemikiran baru yang mengancam akidah, akhlak serta moral yang menjadikan agama kurang atau tidak berkesan dalam hidup masyarakat.

Ia menjadikan masyarakat terlalu bersifat kebendaan berlebihan hingga melihat semua perkara sebagai barangan selain berpecah belah akibat fahaman pelbagai jenis yang bercanggah dengan pemikiran arus perdana.

Hingga ada yang melihat agama sebagai pemusnah kerana kegagalan menjayakan matlamat agama sebagai penasihat yang dihuraikan dalam pemikiran arus perdana Islam ditambah pula gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar mempengaruhi NGO negara secara negatif.

Itulah antara perkara yang dibincangkan pada sesi terakhir Konvensyen Pendakwah Negara 2009 oleh tokoh akademik Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Gerakan Aliran Pemikiran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam' menjelaskan cabaran gerakan membabitkan fahaman serta cara berfikir seperti Islam liberal, gerakan Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme dan mengagungkan selebriti.

Menyentuh Islam liberal, ancaman terhadap peradaban Islam aliran arus perdana datang daripada buku yang mengetengahkan beberapa tokoh liberal dalam Islam yang menentang Islam dari dalam Islam itu sendiri.

Ini termasuk pendekatan yang dikehendaki kelompok itu dalam menafsirkan Islam secara teguh, mengikut konteks dan sesuai dengan peradaban manusia yang sedang serta terus berubah dengan mempertikaikan apa yang sudah ditetapkan syariah.

Antaranya, umat Islam tidak boleh melihat dirinya sebagai masyarakat atau umat yang terpisah daripada golongan lain kerana manusia adalah keluarga sejagat yang disatukan oleh kemanusiaan. Kesan daripadanya, hukum Islam yang membezakan kedudukan umat Islam dengan bukan Islam diubah berdasarkan sifat manusia yang sejagat.

Begitu juga pendekatan mengaitkan Nabi SAW dengan mistos yang dikagumi melalui pendirian Ulil Abshar dalam buku suntingannya Islam Liberal and Fundamental bahawa Rasul Muhammad SAw adalah tokoh sejarah yang harus dikaji dengan kritis kerana Baginda manusia biasa yang ada kelemahan. Sedangkan, ia bercanggah dengan al-Quran, sunnah dan ijmak ulama iaitu nabi bersifat maksum.

Dalam hubungan dengan gerakan Syiah, walaupun fatwa melarang pergerakan itu, Dr Uthman berkata, akidah yang pada pokoknya berlawanan dengan arus perdana akidah Islam itu berkembang secara senyap.

Katanya, akidah itu mengkafirkan sahabat Rasulullah SAW dan implikasinya boleh meruntuhkan Islam kerana sahabat adalah pemimpin umat yang menyampaikan al-Quran, sunnah serta sejarah awal Islam.

Banyak lagu unsur dalam pergerakan itu yang menyalahi akidah seperti al-Quran Siti Fatimah (Mushaf Fatimah) yang menjadi pegangan Syiah Imamiah yang ada sekarang, mengamalkan kawin mutaah hingga ke tahap ia boleh dilakukan dengan isteri orang hanya hukumnya makruh.

"Akidah ini sedang berkembang secara senyap dan mesti berwaspada supaya Muslimin Ahlissunnah tidak terikut dengan ajaran mereka kerana ia memusnahkan agama serta menjadi ancaman kepada keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, gerakan Wahhabiah juga mencabar Ahlissunnah dan negara dengan sikap mereka yang terkenal mudah mengkafirkan atau mensyirikkan serta membidaahkan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.


Katanya, fesyen berfikir dan memahami agama seperti itu tidak boleh dibiarkan berkembang kerana akan menimbulkan banyak masalah termasuk menyebabkan kekeliruan seolah mereka adalah Ahlissunnah yang sebenar, sementara yang lainnya tidak.

Dr Uthman berkata, umat Islam juga perlu berhati-hati dengan ancaman lain seperti pemikiran sekular, budaya kebendaan yang secara diam turut menggugat pemikiran akibat pengaruh daripada luar tamadun Islam sendiri.

Katanya, langkah menyeluruh perlu diambil termasuk mempelajari Islam arus perdana Ahlissunnah supaya ajaran yang dijamin benar dan kekal hingga hari kiamat difahami, menjadi neraca intelektual, akhlak dan rohani.

Gerakan dakwah menyeluruh perlu dilakukan semua golongan dan memasukkan fahaman Ahlissunnah dalam sistem pendidikan akidah, epistemologi dan kerangka peradaban supaya selari pendekatan Islam Hadhari.

Pendedahan mengenai aliran yang mencabar Islam arus perdana juga perlu dilakukan kepada semua lapisan masyarakat Islam terutama golongan terpelajar dan NGO melalui seminar, bengkel serta bahan penerbitan.

- oleh Hasliza Hassan dipetik dari Berita Harian Online

Tiada ulasan: