Pautan & Tawakkal
Junjungan Nabi telah mengajar umat bahawa tidak berlaku penularan penyakit berjangkit itu melainkan dengan kekuasaan dan kehendak Allah ta`ala semata - mata. Kita diajar sejak awal bahawa yang Maha Berkuasa dengan kekuasaan yang mutlak hanya Allah ta`ala, hanya Dia sahaja yang memberi bekas dan merupakan al-Faa`il al-Mukhtar, yakni Zat yang bebas melakukan apa jua mengikut kehendakNya tanpa terpaksa atau dipaksa, Dia bebas untuk melakukan apa sahaja atau meninggalkannya. Oleh itu, kala mana Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Laa `adwa" ..... yakni "tidak ada penyakit berjangkit", maka bukanlah maksud baginda untuk menafikan wujudnya atau berlakunya penularan penyakit berjangkit atau wabak seperti thaun dan seumpamanya. Apa yang dimaksudkan adalah membetulkan pegangan dan iktiqad kita agar jangan sampai beriktiqad bahawa sesuatu penyakit itu boleh menular atau merebak dengan sendirinya, tanpa kehendak dan keizinan Allah yang Maha Kuasa. Seolah - olah penyakit atau virusnya itu mempunyai kuasa sendiri. Jadi penularan wabak itu memang wujud dan berlaku, namun ianya semua dengan kuasa dan kehendak Zat yang Maha Agung dan bukannya atas kuasa penyakit atau virus atau kuman itu sendiri. Inilah pegangan dan iktiqad kita, namun tidaklah pula bermakna kita disuruh meninggalkan segala ikhtiar dan sebab.
Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengajar untuk kita untuk menjalankan ikhtiar dan sebab dalam menangani penularan penyakit berjangkit. Umpamanya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegah kita masuk ke tempat di mana berlakunya penularan wabak dan melarang kita keluar jika sekiranya wabak menular di tempat kita. Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam juga menyuruh kita melarikan diri daripada pesakit kusta seperti kita lari daripada singa. Semuanya ini adalah sarana untuk kita berikhtiar dan mencari jalan atau sebab dalam mencegah atau menghindar atau mengelak atau menyelamatkan diri daripada ketularan wabak penyakit. Namun, pada masa yang sama, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah memegang tangan pesakit kusta dan makan bersamanya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam turut mengajar satu doa untuk dibaca ketika seseorang makan bersama pesakit kusta. Dari sudut ini, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menegaskan bahawa sesuatu penyakit itu tidak ada kuasa untuk berjangkit melainkan dengan kehendak Allah ta`ala semata-mata, maka hendaklah kita mengimani hal ini dengan jazam. Maka imbangilah antara dua perkara tersebut, agar pegangan dan perlakuan kita selari dengan ajaran Islam. Dalam menjalankan usaha ikhtiar, jangan pula kita sampai ke tahap seolah - olah menuhankan virus atau penyakit tersebut, seolah - olah kita beranggapan virus tersebut ada kuasa untuk berjangkit atau untuk mematikan. Ingat bahawa yang memberi bekas hanya Allah `azza wa jalla. Jalankanlah segala sebab, usaha dan ikhtiar sebagaimana yang disyariatkan, namun pergantungan mutlak hendaklah kepada Allah semata-mata. Berpaut hanya kepada Allah dan bertawakkallah kepadaNya dengan sebenar - benar tawakkal.
Di sini, faqir nukilkan mutiara dari kitab Tuhfatuz Zakirin karya Imam asy-Syaukani yang mensyarahkan Hisnul Hasin bagi Imam Ibnu al-Jazari. Mudah - mudahan ada manfaatnya. Imam Ibnu al-Jazari menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika makan bersama dengan orang yang berpenyakit kusta atau penyakit berjangkit, baginda membaca: "Dengan nama Allah, hal keadaan aku berpaut / bersandar / bergantung semata-mata dengan Allah dan bertawakkal kepadaNya (Bismillah, tsiqatan billah, wa tawakkulan `alaih)." Imam asy-Syaukani menjelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi dan Imam Ibnu Hibban daripada Sayyidina Jabir radhiyaAllahu `anhu yang menyatakan bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam telah memegang tangan seorang pemuda (iaitu Mu`aiqib bin Abi Fathimah) yang menghidap penyakit kusta, lalu memasukkannya ke dalam hidangan makanan (yakni untuk makan bersama baginda), seraya bersabda: "Makanlah dan bacalah dengan nama Allah, hal keadaan aku bergantung dengan Allah dan bertawakkal kepadaNya." Ini adalah lafaz sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi yang dinilai shahih oleh Imam Ibnu Hibban. Selain daripada itu, Imam Ibnu Majah turut meriwayatkan hadis yang semakna daripada Sayyidina Jabir radhiyaAllahu `anhu. Selanjutnya, Imam asy-Syaukani menjelaskan bahawa riwayat ini (pada zahirnya seolah - olah) menyalahi hadis - hadis yang menyuruh lari atau menghindari pesakit kusta. Namun, boleh difahami bahawa anjuran untuk menghindari pesakit kusta tersebut tidak berlaku ke atas orang yang tidak terkesan dengan penyakit tersebut ketika makan bersama mereka (yakni mereka yang mempunyai daya tahan yang tinggi atau telah mengambil langkah - langkah penjagaan yang sewajarnya) dan juga ia tidak mendatangkan waham-waham kepadanya (yakni jangan sampai perbuatannya tadi boleh mengakibatkan dia waham atau ragu, antaranya atas kekuasaan mutlak Allah ta`ala, jika sekiranya sesuatu berlaku ke atas dirinya)....
Oleh itu, fahamilah dengan sebaiknya dan daripada hadis tersebut, dapatlah kita panduan, di mana jika kita terpaksa pergi ke tempat - tempat yang berlaku penularan wabak penyakit atau kita terpaksa berinteraksi dengan mereka - mereka yang terkena penyakit tersebut, maka selain menjalankan usaha, ikhtiar dan sebab zahir, hendaknya diamalkan bacaan tersebut dengan penuh keimanan, keyakinan dan tawakkal kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Ingat dan imankanlah bahawa yang memberi bekas hanya Allah semata - mata. Mudah-mudahan segala penularan diredakanNya dan segala kerisauan dihilangkanNya.
Oleh itu, fahamilah dengan sebaiknya dan daripada hadis tersebut, dapatlah kita panduan, di mana jika kita terpaksa pergi ke tempat - tempat yang berlaku penularan wabak penyakit atau kita terpaksa berinteraksi dengan mereka - mereka yang terkena penyakit tersebut, maka selain menjalankan usaha, ikhtiar dan sebab zahir, hendaknya diamalkan bacaan tersebut dengan penuh keimanan, keyakinan dan tawakkal kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Ingat dan imankanlah bahawa yang memberi bekas hanya Allah semata - mata. Mudah-mudahan segala penularan diredakanNya dan segala kerisauan dihilangkanNya.
2 ulasan:
Terima kasih sidi. Pencerahan yg pd waktunya
InsyaAllah Ya Sidi
Catat Ulasan