Tasbih & Baik Sangka
Imam Abu Nu`aim (w.430H) rahimahullah meriwayatkan dalam karya beliau yang masyhur Hilyatul Awliya` wa Thabaqatul Ashfiya`, juz ke-9, halaman 136, daripada Abu Muhammad bin Hayyan daripada Muhammad bin Muhammad bin Yazid daripada Abu Thahir daripada Harmalah yang menyatakan bahawa beliau mendengar Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu berkata: "Aku belum melihat sesuatu yang lebih bermanfaat bagi (menghadapi) wabak selain ucapan tasbih".
Ucapan subhanaAllah itu patinya adalah pengukuhan pegangan iktiqad keimanan dan keyakinan kita bahawa Allah subhanahu wa ta`ala maha suci daripada segala aib kekurangan dan segala yang tidak layak denganNya, termasuklah daripada sebarang kelemahan. Maka pada ucapan tasbih itu ada dua aspek yang perlu kita beri perhatian, iaitu at-tanzih (aspek pensucian) dan as-salb (aspek penolakan atas segala aib / kelemahan) bagi Zat yang Maha Suci. Oleh itu, ketika ditimpa wabak, janganlah kita hilang punca sehingga lupa bahawa wabak itu berlaku dengan ketentuan Allah jua. Maha Suci Allah daripada berlakunya sesuatu wabak tanpa kehendak dan ketentuanNya. Jangan juga kita lupa bahawa wabak itu hanyalah satu sebab yang dijadikan Allah untuk mematikan kita, sedangkan hakikat yang mematikan kita adalah Allah subhanahu wa ta`ala, Dialah Allah al-Muhyi, Zat yang menghidupkan dan Dialah juga Allah al-Mumit, Zat yang mematikan.
Maka dengan banyak bertasbih, diharap dapat meluruskan pegangan kita, serta hilang kerungsingan dan kekalutan kita ketika menghadapi wabak. Dan tidaklah jauh jika diharapkan juga bahawa dengan ucapan tasbih tersebut, Allah menyelamatkan daripada wabak dan seumpamanya. Paling penting selamat batin rohani daripada tergelincir, berbanding hanya selamat zahir jasmani semata-mata. Apa - apa pun semuanya mengikut ketentuan dan kehendakNya, namun kita diajar supaya sentiasa husnudz dzan dengan Allah subhanahu wa ta`ala. Mudah - mudahan dengan baik sangka / harapan dengan Allah akan menarik segala kebaikan. Ingat pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh para muhaddits, antaranya Imam as-Sayuthi dalam al-Jami`us Shaghir, hadis ke-6051, dengan sanad yang shahih, bahawa Allah subhanahu wa ta`ala berfirman: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapKu, jika dia bersangka baik, maka baginya (kebaikan); Dan jika dia bersangka buruk, maka baginya (keburukan)."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan