Hadiah Bacaan - TG Nik Aziz
Kita diajar untuk sentiasa ingatkan arwah saudara - saudara seagama yang telah meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka - mereka yang sudah putus amal diri mereka, melainkan beberapa perkara. Selain daripada mendoakan mereka, maka dianjurkan juga oleh jumhur ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah agar kita bersedekah buat mereka, samada dengan material atau dengan membacakan ayat - ayat suci al-Quran, zikir dan shalawat. Tradisi menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada arwah orang - orang mati daripada kalangan muslimin muslimat telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam di dunia ini. Bukan sahaja alam Melayu, tapi seluruh pelusuk dunia Islam. Tradisi tahlilan bukan sahaja diamalkan di rantau kita sahaja, bahkan di negara - negara lain juga, hatta di Algeria, Tunisia, Maghribi (Morocco) dan sekitarnya yang tidak pernah bersentuhan dengan budaya Hindu pun melakukannya dengan gaya dan kaedah mereka sendiri namun isinya sama, iaitu menghadiahkan pahala bacaan Quran, shalawat, zikir, bersedekah dan mendoakan si mati. Jadi puak yang mentohmah bahawa tahlilan itu berasal dari budaya Hindu atau cuba menyamakan kenduri tahlil kita dengan tradisi Hindu, adalah keliru, tersasar dan menyimpang jauh dari kebenaran.
Mari kita sama - sama dengar sedikit cuplikan daripada pengajian almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berdasarkan kepada beberapa "hadis" yang dinukil dalam at-Tadzkirah fi Ahwalil Mawta wa Umuril Akhirah @ Tadzkirah al-Qurthubi. Perlu diingat bahawa walau apa pun pertikaian ulama mengenai status hadis - hadis ini, ia tidak memberi kesan atas hukum boleh dan harus bahkan mustahab untuk membacakan ayat - ayat suci al-Quran serta zikir - zikir lalu dihadiahkan pahalanya kepada orang mukmin yang telah meninggal dunia. Ini adalah kerana keharusan tersebut adalah berdasarkan kepada nas - nas lain yang muktabar.
Maka janganlah cepat melatah jika dua hadis yang terkandung dalam kitab tersebut atau kitab - kitab lainnya dianggap dhaif atau bermasalah bahkan dikatakan sebagai mawdhu oleh sesetengah ulama. Tenang - tenang aja dan bacalah al-Fatihah untuk segala arwah kaum muslimin. Dua hadis yang faqir maksudkan adalah sebagai berikut:-
- Diriwayatkan oleh as-Silafy daripada hadis Sayyidina `Ali bin Abi Thalib radhiyaAllahu `anhu berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang melalui kawasan perkuburan dan membaca Surah al-Ikhlash 11 kali lalu dihadiahkan pahalanya kepada segala arwah orang mati, dia akan diberi ganjaran pahala menurut bilangan orang - orang yang telah mati".
- Dikatakan sebagai diriwayat daripada hadis Anas, khadam Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang berkata: Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Apabila seorang mukmin membaca Ayatul Kursi dan menjadikan pahalanya untuk ahli kubur, maka Allah akan memasukkan ke dalam setiap kubur orang mukmin dari Timur ke Barat 40 nur serta dilapangkanNya akan kubur - kubur mereka. Diberikan Allah kepada si pembaca tadi (seumpama) pahala 60 nabi, diangkatkan darjatnya menurut bilangan orang - orang mati tersebut dan diberikan baginya untuk setiap orang mati tersebut 10 pahala kebajikan.
Mengenai ganjaran - ganjaran tersebut, maka terpulanglah kepada kemurahan Allah ta`ala semata. Jika dikatakan seumpama diberi pahala 60 nabi, maka jangan jump to conclusion yang kita mendapat seratus persen pahala segala amalan dan perjuangan serta dakwahnya para nabi tersebut. Jangan pula hendak disamakan diri kita dengan para nabi yang mulia lagi maksum. Pahala Nabi tersebut tidak diperincikan dalam riwayat tersebut, mungkin pahala yang dimaksudkan adalah pahala tidurnya para nabi atau pahala debu yang melekat di pakaian mereka ketika berjalan, umpama. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apa - apa pun, jika benarlah riwayat tersebut, maka mutlak atas Allah memberikan apa jua ganjaran menurut kehendakNya. Maka teruskanlah berbuat ihsan kepada segala arwah saudara - saudara kita dengan banyak berdoa dan bersedekah untuk mereka. Akhir kata faqir sudahi dengan pesanan Tuan Guru Nik Aziz rahimahullah sebagai bukti beliau tidak anti itsal ats-tsawab atau hadiah pahala kepada si mati. Antara pesan beliau:...."Baca QulhuwaAllah ka sepatah, Ayat Kursi ka sepatah, Hei Tuhanku hadiah pahala ini pada orang kubur....." Harap dengar elok - elok pengajian Tuan Guru, mudah - mudahan bermanfaat.
Klip Ceramah TG Nik Abdul Aziz
(Hadiah Bacaan Kepada Arwah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan