Rabu, April 20, 2022

Jaaliyatul Kadar

Jaaliyatul Kadar adalah untaian nazam karya yang biasa dinisbahkan kepada Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah, Sayyidi Imam al-Barzanji Sayyid Ja'far rahimahullah. Namun sebahagian pengkaji menyatakan bahawa nazam ini sebenarnya karangan Sayyid `Ali bin Hasan al-Barzanji rahimahullah yang merupakan saudara kandung Sidi Ja'far bin Hasan al-Barzanji tersebut. Sayyid Ali al-Barzanji rahimahullah  dilahirkan di Madinah al-Munawwarah dalam tahun 1133H. Beliau berguru antaranya dengan saudaranya Sidi Ja'far, mufti Madinah, Syaikh Atha`, asy-Syihab Ahmad al-Asybuli, Syaikh Muhammad ath-Thayyib, Syaikh Muhammad al-`Ujaimi, Syaikh Muhammad al-Banani al-Maghribi dan Syaikh Muhammad al-Faasi rahimahumullah. Sidi Ali al-Barzanji menjalani hidupnya dengan beruzlah daripada pergaulan dan sering melakukan khalwat menyendiri untuk beribadah. Beliau meninggal dunia di Madinah pada hujung kurun ke-12H.

Berbalik kepada nazam tadi, ianya mengandungi nama - nama para pejuang Badar dan syuhada` Uhud ridhwanullahi `alaihim ajma`in. Telah menjadi amalan sebahagian ulama dan shalihin untuk membacanya, istimewa pada tanggal 17 Ramadhan bersempena terjadinya perang Badar al-Kubra, atau pada bila - bila masa sahaja ketika berhajat atau terkena musibah atau dirundung bala. Tidak kurang yang menjadikan wirid mingguan atau bulanan, bahkan harian. Menurut setengah ulama yang mengamalkan nazam ini, membaca atau membawa nazam ini adalah mujarrab sebagai wasilah bagi memperolehi perlindungan Allah dan menghilangkan kesusahan, bahkan ianya diumpamakan sebagai hishnun hashin (benteng pertahanan yang kukuh) dari segala bala bencana dan sebagainya. Inilah juga yang dinyatakan sendiri oleh Sidi Barzanji dalam mukaddimah nazamnya tersebut. Mudah - mudahan yang mendengarnya juga memperolehi manfaat dan keberkatan serta ditunaikan segala hajat dan cita - cita, berkah jah tuah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam  dan para sahabat baginda terutamanya para pejuang Badar dan syuhada` Uhud ridhwanullahi `alaihim ajma`in.

Jaaliyatul Kadar

Tiada ulasan: