Selasa, Januari 31, 2006

Hadis Jarir - Penjelasan Tuan Guru Haji Ahmad



Hadis Jarir yang membawa maksud "Kami mengira orang berhimpun kepada ahli keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengkebumiannya adalah daripada ratapan (an-niyahah)." Hadis ini menjadi hujjah bagi meng"haram" atau me"makruh" membuat kenduri arwah kematian selepas matinya seseorang. Adakah ini pemahaman yang difahami oleh para ulama kita ?

Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (1902 - 1996) memberi penjelasan dalam kitabnya "Khulasah al-Mardhiyyah fi Masail al-Khilafiyyah" antara lain menyatakan bahawa kalimah "minan-niyahah" dalam hadis tersebut ditanggung maknanya sebagai "min asbabin niyahah" iaitu "setengah daripada sebab ditakutkan jadi niyahah. Maka bukanlah diri berhimpun dan buat makan itu niyahah sungguh kerana jikalau niyahah sungguh tentulah ulama kata haram kerana tiada ada niyahah yang makruh sama sekali" (yakni jika semata-mata berhimpun dan berjamu itu termasuk ratapan, maka sudah tentu ulama akan terus menghukumnya haram dan bukan makruh kerana tidak ada niyahah yang hukumnya makruh. Jadi dihukumkan bid`ah makruhah kerana boleh jadi sebab bagi ratapan atau boleh membawa kepada ratapan, jadi kalau ikut kaedah ushul ini yang menjadi 'illah bagi dihukumkan bid`ah makruhah tersebut, jika 'illah ini hilang maka hukumnya juga turut berubah). Soalnya, adakah kenduri arwah yang orang kita buat bersifat sedemikian ? Adakah kenduri kita menjurus kepada ratapan ?

Selanjutnya Tuan Guru Haji Ahmad menyebut:-
  • "...Sebuah hadis yang meriwayatkan dia Imam Ahmad rahimahUllah ta'ala dengan sanad yang sahih dan Abu Daud daripada 'Aashim bin Kulaib daripada bapanya daripada seorang laki-laki daripada Anshar berkata ia: "Keluar kami sahabat nabi serta Rasulullah s.a.w. pada menghantarkan jenazah orang mati kepada kubur. Maka aku nampak akan Rasulullah s.a.w. menyuruh orang yang menggali kubur dengan katanya: "Perluas olehmu daripada pihak dua kakinya, perluas olehmu daripada pihak kepalanya". Maka tatkala balik Nabi daripada kubur berhadap kepadanya (yakni datang kepada Nabi) seorang yang (mem)persilakan Nabi ke rumah daripada suruhan perempuan si mati itu. Maka Nabi serta sahabat pun silalah (yakni datanglah) ke rumahnya. Maka dibawa datang akan makanan, maka (meng)hantar Nabi akan tangannya, yakni menjemput Nabi akan makanan bubuh ke mulut dan (meng)hantarlah segala sahabat akan tangannya".......Hadis ini menyatakan Nabi sendiri serta sahabat berhimpun makan di rumah orang mati kemudian (yakni selepas) balik tanam orang mati.......Jadi berlawan hadis ini dengan hadis Jarir yang menunjuk atas tegah berhimpun makan di rumah orang mati kemudian daripada tanam mayyit..........Setengah riwayat tak dak lafaz "ba'da dafnihi" (kemudian daripada tanamnya) [yakni hadis Jarir ada khilaf dalam riwayatnya kerana ada riwayat yang tidak menyebut "ba'da dafnihi"). Maka orang tua-tua kita tanggungkan bahawasanya makruh itu berhimpun makan di hadapan mayyit jua. Inilah jalanan orang tua-tua kita. Sebab itulah orang kita tidak berjamu sewaktu ada mayyit di atas rumah, dan jika darurat kepada berjamu juga seperti bahawa suntuk masa, diberjamu pada rumah yang lain daripada rumah yang ada mayyit padanya........Alhasil, hukum berhimpun di rumah ahli mayyit dan membuat ahli mayyit akan makanan, berjamu makan semata-mata dengan tidak qasad bersedekah daripada mayyit atau baca al-Quran niat pahala kepada Allah, makruh tanzih selama ada mayyit di atas rumah itu."

Perkataan ulama kita yang menghukum berhimpun dan berkenduri makan selama 7 atau 40 hari sebagai bid`ah makruhah diihtimal maksudnya jika perbuatan tersebut dibuat semata-mata menjalankan adat kebiasaan yang jika tidak dilaksanakan akan menjadi cemohan masyarakat bukan dengan niat "ith`aam 'anil mayyit" dan sebagainya. Atau ianya boleh membawa kepada niyahah yang diharamkan atau kesedihan yang berlarutan. Oleh itu, larangan tersebut tidaklah bersifat mutlak tetapi mempunyai qayyid yang menjadi 'illah pada hukum tersebut. Dalam pada itu, Imam Ibnu Hajar dalam "Fatwa Kubra"nya menyatakan bahawa jika seseorang berbuat kenduri tersebut semata-mata menjalankan adat untuk menolak cemohan orang-orang jahil dan menjaga kehormatan dirinya maka tidaklah ianya dianggap sebagai bid`ah madzmumah. Nanti aku postkan lain kali.

Seorang saudara menghantar risalah yang dalamnya nukilan perkataan Imam asy-Syafi`i yang menyatakan "Aku benci diadakan ma'tam, iaitu himpunan walaupun tidak ada tangisan mereka, kerana sesungguhnya pada yang sedemikian itu memperbaharui kedukaan dan membebankan tanggungan". Membaca nas perkataan Imam asy-Syafi`i ini jelas menunjukkan tidak mutlaknya kebencian tersebut kerana ianya dikaitkan dengan "membaharui kesedihan" dan "membebankan". Apa kata jika, perhimpunan dilakukan adalah dalam rangka mendoakan si mati, bersedekah buat pihak si mati, menghibur ahli keluarga si mati, dan tidak menjadi beban kepada keluarga si mati yang berkemampuan ? Adakah Imam kita asy-Syafi`i masih membencinya ?
Jadi kalau ada yang berbuat kenduri seperti itu rupanya maka makruhlah kita datang hadir. Bahkan jika digunakan tirkah anak yatim atau tirkah waris yang tidak redha atau sebagainya makan haram kita hadir. Jadi hukumnya kena lihat case by case, bukan main pukul rata haram atau makruh atau harus.

Isnin, Januari 30, 2006

Selamat Tahun Baru

Mudah-mudahan tahun baru menjelang tiba ini membawa kebahagiaan buat aku dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah. 1427, tahun alif dalam taqwim. Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnul Jauzi (bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w. Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikanNya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ada juga yang fatwakan bid`ah baca doa awal dan akhir tahun, lalu mereka sambut dengan ceramah. Sebenarnya ceramah pun bid`ah jugak kawan. Mana ada Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah sambut tahun baru. Aku ingat waktu belajar dulu, ada satu kumpulan Islam yang pusatnya di sebuah negeri di utara Semenanjung tempat Raja kita sekarang bertakhta. Geng-geng ni tak nak tarawih 20 rakaat dan tak nak sholawat-sholawat antara rakaat-rakaat tarawih seperti yang biasa dibuat oleh orang kita. Jadi dia orang buat 8 rakaat dan setiap 4 rakaat diselangi dengan tadzkirah. Kat kampung aku pun ada bekas pembesar yang telah kecewa sebab kalah pilihanraya buat tarawih 8 rakaat tanpa sholawat-sholawat. Sebelum tarawih diadakan ceramah dan tadzkirah. OOOOOOOO sholawat-sholawat bid`ah, yang ceramah-ceramah dan tazkirah tu apa ? Ada ke Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah atau tadzkirah sebelum tarawih ? Mengata dulang paku serpih, mengata orang ekau yang lebih.

Bagi yang kata bid`ah, tok sah lah buat. Esok kamu pergilah pejabat sorang-sorang sebab kalau sambut tahun baru bid`ah, maka bercuti sempena tahun baru pun bid`ah jugak. Jangan marah.

Ahad, Januari 29, 2006

Kenduri Arwah - Khilafiyyah Lapuk

Kenduri arwah yang biasa diamalkan oleh orang kita bagi ku adalah satu isu khilafiyyah. Maka sepatutnya ia tidak digunakan untuk memecah persatuan dan perpaduan umat. Elok dihabiskan masa kamu untuk menegah kemungkaran yang nyata di depan mata yang tidak ada sebesar habuk pun khilaf pada haramnya seperti budaya konsert hiburan berlebihan yang lumrah berlaku dalam masyarakat.

Kenapa kita sakit hati dengan orang bertahlil, berkenduri arwah, membaca yaasin di rumah dan di masjid. Tidakkah menjadi fatwa songsang, kita hukumkan orang baca yaasin malam jumaat sebagai masuk neraka ? Jika fatwa ini betul, maka neraka akan penuh dengan orang baca yaasin dan bertahlil. Ingat senang kamu nak bawa fatwa ini atas pundakmu. Sanggup kamu bawak?

Kalau kamu tidak suka membuat kenduri arwah, itu hak kamu. Aku yang suka buat, pun ada hak. Sewaktu ayahku meninggal, juga dibuat kenduri arwah 7 hari, bahkan berterusan sampai 30 hari kerana kebetulan ayahandaku meninggal pada 1 Ramadhan, maka keluargaku meneruskan kenduri sehingga hujung Ramadhan. Hal ini kami lakukan tanpa merasa susah dan dengan tujuan mendoakan yang telah pergi berharapkan cucuran rahmat Allah ke atasnya dan sekalian umat.

Oleh itu, tolonglah berhenti menghukum orang lain. Syurga dan neraka bukan milik kita untuk diberi kepada sesiapa yang kita kehendaki. Syurga - Neraka kepunyaan Allah, oleh itu kita mohon kepadaNya akan syurga dan minta perlindungan dari neraka.

Aku di sini hanya ingin menunjukkan beberapa hujjah pegangan orang yang berkenduri arwah. Bukan untuk membatalkan hujjah orang yang menentangnya. Aku sekadar mahu mengatakan kepada kamu, jika kamu punya hujjah, kami juga punya hujjah. Ya sudah, biarkan kami beramal dengan keyakinan kami seperti kami membiarkan kamu beramal dengan hujjah kamu.

Jumaat, Januari 27, 2006

Hadis Thawus


Thawus al-Yamani adalah seorang tabi`in terkemuka dari kalangan ahli Yaman. Beliau bertemu dan belajar dengan 50 - 70 orang sahabat Junjungan Nabi s.a.w. Thawus menyatakan bahawa orang-orang mati difitnah atau diuji atau disoal dalam kubur-kubur mereka selama 7 hari, maka adalah mereka menyukai untuk diberikan makanan sebagai sedekah bagi pihak si mati sepanjang tempoh tersebut.

Hadis Thawus ini dikategorikan oleh para ulama kita sebagai mursal marfu' yang sahih. Ianya mursal marfu' kerana hanya terhenti kepada Thawus tanpa diberitahu siapa rawinya daripada kalangan sahabi dan seterusnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. Tetapi oleh kerana ianya melibatkan perkara barzakhiyyah yang tidak diketahui selain melalui wahyu maka dirafa'kanlah sanadnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. Para ulama menyatakan bahawa hadis mursal marfu' ini boleh dijadikan hujjah secara mutlak dalam 3 mazhab sunni (Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dalam mazhab kita asy-Syafi`i ianya dijadikan hujjah jika mempunyai penyokong (selain daripada mursal Ibnu Mutsayyib). Dalam konteks hadis Thawus ini, ia mempunyai sekurang-kurangnya 2 penyokong, iaitu hadis 'Ubaid dan hadis Mujahid. Oleh itu, para ulama kita menjadikannya hujjah untuk amalan yang biasa diamalkan oleh orang kita di rantau sini, iaitu apabila ada kematian maka dibuatlah kenduri selama 7 hari di mana makanan dihidangkan dengan tujuan bersedekah bagi pihak si mati.

Hadis Thawus ini dibahas oleh Imam Ibnu Hajar dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah" jilid 2 mukasurat 30. Imam besar kita ini, Syaikh Ahmad Ibnu Hajar al-Haitami as-Sa'di al-Anshari ditanya dengan satu pertanyaan berhubung sama ada pendapat ulama yang mengatakan bahawa orang mati itu difitnah/diuji atau disoal 7 hari dalam kubur mereka mempunyai asal pada syarak.

Imam Ibnu Hajar menjawab bahawa pendapat tersebut mempunyai asal yang kukuh (ashlun ashilun) dalam syarak di mana sejumlah ulama telah meriwayatkan (1) daripada Thawus dengan sanad yang shahih dan (2) daripada 'Ubaid bin 'Umair, dengan sanad yang berhujjah dengannya Ibnu 'Abdul Bar, yang merupakan seorang yang lebih besar daripada Thawus maqamnya dari kalangan tabi`in, bahkan ada qil yang menyatakan bahawa 'Ubaid bin 'Umair ini adalah seorang sahabat kerana beliau dilahirkan dalam zaman Nabi s.a.w. dan hidup pada sebahagian zaman Sayyidina 'Umar di Makkah; dan (3) daripada Mujahid.

Dan hukum 3 riwayat ini adalah hukum hadis mursal marfu' kerana persoalan yang diperkatakan itu (yakni berhubung orang mati difitnah 7 hari) adalah perkara ghaib yang tiada boleh diketahui melalui pendapat akal. Apabila perkara sebegini datangnya daripada tabi`i ianya dihukumkan mursal marfu' kepada Junjungan Nabi s.a.w. sebagaimana dijelaskan oleh para imam hadits. Hadits Mursal adalah boleh dijadikan hujjah di sisi imam yang tiga (yakni Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan juga di sisi kita (yakni Syafi`i) apabila ianya disokong oleh riwayat lain. Dan telah disokong Mursal Thawus dengan 2 lagi mursal yang lain (iaitu Mursal 'Ubaid dan Mursal Mujahid), bahkan jika kita berpendapat bahawa sabit 'Ubaid itu seorang sahabat nescaya bersambunglah riwayatnya dengan Junjungan Nabi s.a.w.

Selanjutnya Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa telah sah riwayat daripada Thawus bahawasanya "mereka menyukai/memustahabkan untuk diberi makan bagi pihak si mati selama tempoh 7 hari tersebut." Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa "mereka" di sini mempunyai 2 pengertian di sisi ahli hadis dan usul. Pengertian pertama ialah "mereka" adalah "umat pada zaman Junjungan Nabi s.a.w. di mana mereka melakukannya dengan diketahui dan dipersetujui oleh Junjungan Nabi s.a.w."; manakala pengertian kedua pula ialah "mereka" bermaksud "para sahabat sahaja tanpa dilanjutkan kepada Junjungan Nabi s.a.w." (yakni hanya dilakukan oleh para sahabat sahaja).

Ikhwah jadi kita dimaklumkan bahawa setidak-tidaknya amalan "ith'aam" ini dilakukan oleh para sahabat, jika tidak semuanya maka sebahagian daripada mereka. Bahkan Imam ar-Rafi`i menyatakan bahawa amalan ini masyhur di kalangan para sahabat tanpa diingkari. Amalan memberi makan atau sedekah kematian selama 7 hari mempunyai nas yang kukuh dan merupakan amalan yang dianjurkan oleh generasi awal Islam lagi, jika tidak semua sekurang-kurangnya sebahagian generasi awal daripada kalangan sahabi dan tabi`in. Oleh itu, bagaimana dikatakan ianya tidak mempunyai sandaran.

Imam as-Sayuthi juga telah membahaskan perkara ini dengan lebih panjang lebar lagi dalam kitabnya "al-Hawi lil Fatawi" juzuk 2 di bawah bab yang dinamakannya "Thulu' ats-Tsarayaa bi idhzhaari maa kaana khafayaa" di mana antara kesimpulan yang dirumusnya pada mukasurat 194:-

  • Sesungguhnya sunnat memberi makan 7 hari. Telah sampai kepadaku (yakni Imam as-Sayuthi) bahawasanya amalan ini berkekalan diamalkan sehingga sekarang (yakni zaman Imam as-Sayuthi) di Makkah dan Madinah. Maka zahirnya amalan ini tidak pernah ditinggalkan sejak masa para sahabat sehingga sekarang, dan generasi yang datang kemudian telah mengambilnya daripada generasi terdahulu sehingga ke generasi awal Islam lagi (ash-shadrul awwal). Dan aku telah melihat kitab-kitab sejarah sewaktu membicarakan biografi para imam banyak menyebut: " dan telah berhenti/berdiri manusia atas kuburnya selama 7 hari di mana mereka membacakan al-Quran".
  • Dan telah dikeluarkan oleh al-Hafidz al-Kabir Abul Qasim Ibnu 'Asaakir dalam kitabnya yang berjodol "Tabyiin Kadzibil Muftari fi ma nusiba ilal Imam Abil Hasan al-'Asy'ariy" bahawa dia telah mendengar asy-Syaikh al-Faqih Abul Fath NashrUllah bin Muhammad bin 'Abdul Qawi al-Mashishi berkata: "Telah wafat asy-Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi pada hari Selasa 9 Muharram 490H di Damsyik. Kami telah berdiri/berhenti/berada di kuburnya selama 7 malam, membaca kami al-Quran pada setiap malam 20 kali khatam."

Ikhwah, "ith`aam" ini boleh mengambil apa jua bentuk. Tidak semestinya dengan berkenduri seperti yang lazim diamalkan orang kita. Jika dibuat kenduri seperti itu, tidaklah menjadi kesalahan atau bid`ah, asalkan pekerjaannya betul dengan kehendak syarak.

Khamis, Januari 26, 2006

Kenduri Arwah - Lujnah Ulama Fathani


Dalam buku"Ulama Besar Dari Fathani" susunan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, disebut kisah seorang ulama Fathani Darussalam, Haji Abdullah Bendang Kebun yang menulis sebuah kitab berjodol "al-Kawaakibun-Nayyiraat fi Raddi Ahlil-Bida` wal 'Aadaat" di mana beliau memfatwakan bahawa buat makan kematian atau kenduri arwah selepas kematian itu bid`ah makruhah dan boleh menjadi haram. Fatwanya ini lebih kurang sama dengan fatwa-fatwa tokoh-tokoh anti tahlil dan kenduri arwah zaman kita ini.

Fatwa ini telah membuat keluh-kesah dan perpecahan dalam masyarakat di wilayah-wilayah Fathani yang rata-rata mengamalkan tradisi bertahlil dan berkenduri arwah ini. Menyedari hakikat ini, maka Lujnah Ulama Fathani telah mengambil inisiatif untuk mengadakan mudzakarah dan mesyuarat berhubung isu ini yang dihadiri oleh 17 orang ulama ternama Fathani termasuklah Haji Abdullah Bendang Kebun tersebut.

Yang Dipertua Lujnah, Tuan Guru Haji Abdur Rahman mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berjalan dengan lancar serta membuahkan keputusan dan natijah yang memuaskan. Setelah hujjah-hujjah pihak yang menentang dan menyokong dikemukakan, mesyuarat tersebut telah mencapai keputusan dan mengeluarkan satu resolusi pada 21 Januari 1974 yang antara lain menyebut:-

  1. Ahli si mati membuat makanan kerana kematian untuk sedekah pahala kepada mayyit dengan ketiadaan menyeru (mengundang - p) oleh mereka, hukumnya sunnat dengan ittifaq Lujnah Ulama Fathani.
  2. Ahli si mati membuat makanan dan memanggil mereka itu akan manusia pergi makan kerana qasad sedekah pahalanya, dan (meng) hadiah (kan) pahala jamuan itu kepada mayyit, maka hukumnya boleh (harus) kerana masuk dalam nas ith`aam yang disuruh dalam hadits Thaawus, kerana ith`aam itu melengkapi jamuan di rumah si mati atau di tempat lain.
  3. Ahli si mati membuat makanan di rumahnya atau di rumah si mati pada hari mati atau pada hari yang lain kerana mengikut adat istiadat, tidak kerana qasad ibadah dan niat pahalanya kepada mayyit, maka hukumnya makruh dengan ittifaq ahli Lujnah Ulama Fathani.

  4. Ahli si mati membuat makanan daripada tirkah yang bersabit dengan umpama hak anak yatim atau kerana dipaksa ahli si mati membuatnya dengan tidak sukarelanya dan ikhlas hatinya, maka hukumnya haram dengan ittifaq ahli Lujnah Ulama Fathani.

Menghukum sesuatu hendaklah dibuat secara teliti dan tafsil melihat rupa bentuk sesuatu, bukan menghukum secara membabi-buta dan main pukul rata haram dan bid`ah dhalalah sahaja. Lihat dahulu keadaannya, bagaimana hendak dihukumkan haram jika ahli mayyit yang telah aqil baligh dengan rela hati tanpa terpaksa dan tidak merasa susah untuk menjemput jiran-jiran dan kenalan untuk hadir ke rumah si mati untuk berdoa buat si mati dan kemudian dijemput makan yang semuanya diniatkan sebagai sedekah kepada si mati.

Yang ditentang oleh ulama kita ialah mereka yang menjalankannya sehingga menyusahkan diri dan keluarga si mati atau semata-mata menjalankan adat atau lebih jahat lagi dengan niat bermuka-muka atau riak. Ini yang difatwakan oleh Sayyidi Ahmad Zaini dalam "I`anathuth - Tholibin" yang sengaja dikelirukan oleh Ustaz Rasul yang dikasihi dengan sengaja meninggal menterjemahkan soalan yang dikemukakan kepada Sayyidi Ahmad dan jawapan beliau sepenuhnya. Menghukum haram secara total amatlah tidak wajar dan tindakan sembrono.

Akhirul kalam, satu soalan, adakah ulama-ulama Fathani yang membuat resolusi di atas tidak membaca kitab Tok Syaikh Daud dan Tuan Minal ? Siapa yang baca dan faham kehendak ibarat kitab-kitab tersebut ? Mereka atau yang dikasihi Ustaz Rasul kita ? Tepuklah dada masing-masing.

Allahumma hidayatan wa taufiqan ilal haqqi wash showab.

Rabu, Januari 25, 2006

Kisah Tuma al-Hakim

Lanjutan pentingnya berguru. Tuma al-Hakim satu hari baca hadits. Hadits tersebut berbunyi: "Al-habbatus sawda` syifa-un min kulli da`" (Habbatus sawda' penawar segala penyakit). Malangnya, dalam kitab si Tuma huruf "ba"nya tertambah satu titik lalu berubah jadi "ya", maka dibacalah oleh Tuma hadits tersebut sebagai "al-hayyatus sawda` syifa-un min kulli da`" (Ular hitam penawar segala penyakit). Lalu dicarikannya seekor ular hitam, akhirnya dia mati kerana racun ular. Inilah akibat belajar tak berguru.

Ilmu itu dengan belajar

Ikhwah, Junjungan besar s.a.w. berpesan bahawa: "Innamal 'ilmu bit ta`allum" (sesungguhnya ilmu itu dengan belajar). Ulama menyatakan bahawa ini antara dalil bahawa ilmu itu hendaklah diambil dengan belajar dengan guru yang benar, bukan semata-mata diambil dari buku-buku dan kitab-kitab sahaja. Sebab itu masyhur kalam para sufi yang menyatakan bahawa "Sesiapa yang tidak berguru maka syaithanlah jadi gurunya." Ustaz Abdullah al-Qari karang risalah mempertikaikan kalam tersebut. Ada betulnya dan ada kurangnya. Ada ilmu boleh kita ambil dari kitab-kitab dan buku-buku, tapi ada yang kena telaah dan tadah bawah panduan guru.

Pelik sungguh zaman ini, bebudak belajar 1 + 1, A B C kita hantar pergi tadika, pergi sekolah, antar tuisyen, tetapi kenapa bab-bab ilmu agama kita nak belajar dari membaca sahaja atau dengar-dengar ceramah sahaja. Kenapa malas berguru ? Ilmu dunia yang nyata pun kena belajar dengan cikgu, ilmu agama yang berhubung soal ghaib dan keimanan tentulah berlebih lagi.

Belajar dari kitab atau buku ni, ada bahayanya. Kekadang buku tu salah cetak, jadi kita pun ambik hukum berdasarkan keterangan dari kesilapan cetak. Tak ke haru biru ? Kat tempat aku banyak kitab "Mathla`ul Badrain" cetakan Thailand di mana ada kesilapan percetakan dalamnya. Antaranya tersebut dalam kitab cetakan tersebut bahawa orang yang terlupa atau tak sengaja atau tersalah lidah atau jahil hukum atau tidak sedar yang dirinya dalam sembahyang bila berkata-kata 60 kalimah tidaklah batal sembahyangnya. 60 kalimah itu silap cetak kerana sepatutnya ditulis 6 kalimah. Bayangkanlah jika ada orang yang hanya baca dan terus berhukum dengan cetakan yang salah itu.

Begitu juga dengan Hidayatus Salikin ada banyak kesilapan cetak yang boleh merubah maknanya. Contoh dinyatakan bahawa hendaklah orang yang pergi ke masjid dengan berlari-lari, sedangkan yang dimaksudkan ialah jangan berlari-lari, dalam cetakan huruf "jim" tertukar kepada huruf "dal". Tambah malang, bila kesilapan tersebut terus diulangi dalam transliterasi Hidayatus Salikin tersebut oleh Yang Mulia Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shoghir, mungkin kerana sifat amanahnya maka Tuan Guru tidak membuat pembetulan dalam transliterasi tersebut.

Begitu juga dalam cetakan Sabilal Muhtadin, terutama sekali cetakan Pustaka Nasional Singapura. Ada terhilang beberapa kalimah yang merubah makna dan hukum sekaligus.

Kitab-kitab terjemahan juga tidak terlepas dari kesalahan cetak dan kesilapan terjemah. Contohnya dalam terjemahan Kifayatul Akhyar cetakan Pustaka Nasional Singapura kalimah "dhubu`" atau dalam bahasa kita dubuk (sejenis binatang) diterangkan sebagai "semacam kijang".

Bahkan yang memeranjatkan kitab-kitab terjemahan Ustaz Syed Ahmad Semait pun berlaku kesilapan cetak dan terjemahan. Kesilapan yang amat nyata sehingga orang bodoh macam aku pun tahu ianya silap. Contohnya dalam terjemahan kitab "Al-Adzkar"nya di mana pada mukasurat 36 ada terjemahan sebagai "Dan boleh juga dibacakannya dalam menetapkan harga sesuatu barang (?????), kecuali jika dikasadkan bacaan itu sebagai bacaan Al-Quran" sedangkan terjemahan yang betul ialah "dan tidaklah berdosa (yakni bagi orang junub dan haid untuk membaca bismillah atau alhamdulillah dan lain-lain zikir Al-Quran) melainkan jika dikasadkan bacaan tersebut sebagai bacaan Al-Quran." Kekeliruan pada kalimah a-sa-ma dengan sa-ma-na.

Dua kali terperanjat apabila pada mukasurat 440 satu bab tersilap terjemahan. Bab yang sepatutnya diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila haiwan tunggangan terlepas" diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila kenderaan patah kakinya." Kalimah "YA IBADALLAH IHBISUU" diterjemahkan sebagai "Wahai hamba-hamba Allah ! Matikanlah binatang ini." (?????????) Kalimah ha-ba-sa yang membawa makna kurung diterjemahkan kepada menghapus nyawa. Kalimah wa-qa-fa yang membawa erti berhenti diterjemahkan sebagai terus mati. Logikanya kalau binatang patah kaki, buat apa nak istighasah suruh makhluk ghaib hapuskan nyawanya, kita sahaja ambik pisau dan sembelih binatang tersebut. Kome cari sendiri dulu, tak boleh nak faham khabar kat aku, kalau aku rajin nanti aku tulis lagi.

Sebab itulah kita disuruh berguru dan bertanya dengan ahlinya. Sekarang ada intelek Wahhabi hentam kenduri arwah dan jadikan kitab-kitab ulama kita sebagai dalil kononnya kenduri arwah yang kita dok biasa buat sebenarnya turut ditentang oleh ulama kita tersebut. Betul kah ????? Insya-Allah aku akan usaha jawab dengan terang di lain posting. Cuma di sini aku nak habaq, Rasul Dahri yang dok nukil kitab Kasyful Litsam, Furu` Masail, I`anathuth Tholibin, Sabilal Muhtadin, faham betul ke ibarat kitab-kitab tersebut. Pernah ke dia duduk menadah kitab-kitab tersebut dengan guru-guru yang muktabar bersambung sanad dengan pengarangnya ? Potong kuku aku kata tak pernah. Aku juga tahu sedikit sebanyak sejarah dan latar belakang Rasul Dahri kebanggaan Wahhabi tu, kawan-kawan yang mengenalinya ramai kat kampung aku, baik sewaktu dia di al-Juneid maupun waktu dia di Madinah.

Shohibus Samahah Datuk Abdul Kadir Hasan dari guru kampung sehingga jadi mufti mengajar ke sana ke mari Sabilal Muhtadin, tak pernah pulak dia haramkan kenduri arwah, niga, nujuh dan haul. Aku ingat waktu aku kecil aku juga sering ke rumahnya di Kampung No.6 untuk kenduri makan hol dan tahlil arwah. Guru Zaini @ Guru Sekumpul, yang merupakan zuriat Syaikh Arsyad al-Banjari pengarang kitab Sabilal Muhtadin, tak pernah mengharamkan kenduri arwah dan majlis tahlil. Hatta sewaktu beliau wafat, juga ditalqin, ditahlilkan sampai 7 hari. Ulama-ulama Fathani yang siang malam ajar kitab Tok Syaikh Daud dan Tuan Minal, tak faham ke ibarat Syaikh Daud dan Tuan Minal al-Fathani kerana mereka juga berkenduri arwah dan bertahlil. Apa bodo sangatkah ulama - ulama kita, tak faham dan tak reti baca kitab. Atau justru fahamlah mereka tahu kenduri yang dikritik para ulama tersebut bukannya seperti apa yang disangka oleh penyokong-penyokong Wahhabi anti tahlil itu. Ini semua ulama yang belajar kitab-kitab tersebut dengan menadah depan guru-guru mereka bersambung kepada pengarangnya, bukan mereka-mereka yang baca sendiri-sendiri, pastu "cut and paste" untuk hentam musuhnya.

Sama ke kenduri kita yang lebih merupakan "iddikhal as-surur li ahlil mayyit" (memasukkan kegembiraan kepada keluarga si mati) dengan kenduri yang seperti ma'tam atau wahsyah atau kiffarah yang disebut oleh para ulama kita yang kenduri-kenduri tersebut berorientasikan kesedihan dan ratapan ?????

Sama kah kenduri kita yang berupa "ith`amuth tho`am" (memberi makan atau bersedekah makanan yang merupakan sesegera sedekah diterima Allah sebagaimana disebut dalam hadis) secara sukarela dan ikhlas hati ahli mayyit dengan kenduri terpaksa atau yang membebankan sebagaimana dinyatakan oleh para imam kita ????

Adakah sunnah hanya hidup dengan kita menghantar makan kepada keluarga si mati ? Aku takut karang ramai sangat hantar makanan, sampai tak termakan pulak ahli si mati, berbuang pulak, takkah membazir. Apa tidak bolehkah penyediaan makanan sebagaimana disarankan oleh Junjungan s.a.w. untuk keluarga Ja'far yang tujuannya untuk meringankan beban dan menghilangkan kesedihan ditukar dengan kita memberi sumbangan ikhlas berupa wang ringgit (i.e. envelope kata orang kampung aku) yang juga bertujuan sama???? Nanti aku cuba tulis lebih panjang lagi, doakan agar Allah berikan aku kekuatan dan kelapangan.

Cuma aku nak sebut secara ringkas bahawa dalam kitab Fatawa Kubra al-Fiqhiyyah karangan Imam Ibnu Hajar jilid 2 mukasurat 30 berhujjah antara lain Thawus seorang tabiin yang besar menyatakan bahawa mereka (yakni ada dua pengertian bagi "mereka" iaitu pengertian pertama "mereka" diertikan termasuk Junjungan Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda; dan pengertian kedua hanya para sahabat dan tabiin sahaja) memustahabkan (menyukai) bersedekah makanan bagi si mati selama 7 hari pertama tersebut kerana si mati difitnah (diuji/disoal) selama 7 hari di kuburnya. Hal yang sama juga dapat dilihat dalam al-Hawi lil Fatawi karangan Imam as-Sayuthi. Insya-Allah, lain kali aku tulis panjang berhubung hal ini. Ingat ulama kita bukan bodoh dan mereka tak jual agama untuk keuntungan duniawi.
YA HAQ YA HAQ UNSHURNI 'ALAL HAQ