Khamis, Julai 03, 2014

Berkat Takzim

Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah suatu amalan yang tidak harus kita tinggalkan selagi hayat dikandung badan. Ianya umpama nyawa bagi kita, tak terbayang hidupnya jiwa seseorang mukmin, jika shalawat tidak menjadi sebahagian daripada dirinya. Betapa tidak, tanpa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tidaklah kita mendapat hidayah dan taufiq Allah ta`ala untuk mengenalNya dan menjalankan segala ketentuan hukumNya yang mulia. Justru, wajar dan patut kita merafa`kan rasa syukur kepada Allah `azza wa jalla dan berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika sahaja kita disuruh berterima kasih dengan "wang ihsan" kerajaan Datuk Najib Tun Razak, kenapa pula tidak kita berterima kasih kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang membawa kita kepada kebahagiaan di dua negeri. Antara cara untuk mengungkapkan terima kasih kita kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam  adalah dengan bershalawat.

Bershalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah satu sebab yang besar untuk meraih rahmat dan keredhaan Allah ta`ala. Bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah `azza wa jalla untuk membukakan pintu hidayah dan taufiqNya berkat shalawat kepada seseorang hatta tatkala dia hendak mati. Maka dengan hidayah dan taufiq tersebut, matilah dia dalam keadaan sempat bertaubat kepada Allah `azza wa jalla. Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Baari dalam karya beliau yang masyhur, "Irsyadul `Ibad ila Sabilir Rasyad" pada halaman 61 menukilkan seperti berikut:-

Dikisahkan bahawa seorang ahli maksiat daripada Bani Israil ketika dia mati, mayatnya telah dicampak atau dibiarkan sahaja oleh kaumnya (yakni kaumnya enggan menguruskan jenazahnya kerana menurut mereka dia adalah seorang fasiq yang tidak harus diurus jenazahnya).  Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa `alaihis salam supaya baginda memandikan mayatnya dan menyembahyangkannya dan Allah berfirman kepada Nabi Musa ``alaihis salam: " Sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepadanya." Nabi Musa `alaihis salam bertanya: "Ya Tuhan, apakah sebabnya bagi yang sedemikian?" Allah berfirman: "Bahawasanya pada satu hari dia telah membuka kitab Taurat dan mendapati dalamnya akan nama Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, lalu dia mengucapkan sholawat ke atasnya, maka sebab itulah Aku mengampunkannya."
Allahu .... Allah.... ini bukan kisah mistik yang dilaporkan dalam majalah picisan. Ini adalah kisah yang diceritakan oleh para ulama yang muktabar. Ingat sekali lagi bahawa, bukanlah mustahil bagi Allah ta`ala yang berkuasa mutlak untuk membukakan pintu rahmat dan taubatnya kepada seseorang hanya kerana bershalawat. Oleh itu, jangan kita remehkan sesuatu amal kebajikan sekecil apa pun dia, kerana mungkin di situ letaknya pandangan rahmat Allah `azza wa jalla kepada kita. Begitu juga, jangan dipandang ringan sesuatu maksiat, kerana mungkin maksiat yang kecil itu jadi penyebab kita terperosok ke neraka, na`udzubillah tsumma na`udzubillah. Sentiasalah berusaha untuk tetap istiqamah atas ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan, mudah-mudahan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Rabu, Julai 02, 2014

Sambung Tarawih - Fatwa Kedah

Bulan Ramadhan, bulan yang mulia di mana kita digalakkan untuk mempertingkatkan lagi amalan - amalan sunnat terutama sekali shalat-shalat sunnat kerana setiap amalan sunnat dalam bulan ini diberi ganjaran fardhu. Sesungguhnya ganjaran fardhu itu terlalu amat besar kerana 1000 sunnat pun tidak akan dapat mencapai ganjaran fardhu yang satu. Antara shalat sunnat yang dikhususkan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini adalah shalat Tarawih. Telah jadi amalan kita bahawa ianya dilaksanakan dengan 20 rakaat dan disudahi dengan 3 rakaat Witir. Namun kekadang ada di antara kita yang menghadiri jemputan ke majlis - majlis iftar di mana mungkin atas sebab - sebab tertentu seperti kesuntukan masa, maka penganjurnya hanya melaksanakan shalat Tarawih 8 rakaat sahaja sebelum dilanjutkan dengan witir sebanyak 3 rakaat. Maka persoalan yang timbul: Apakah setelah kita menunaikan shalat Witir tersebut, kita boleh menyempurnakan bilangan rakaat tarawih kita sehingga cukup 20 rakaat, yakni dengan menambah lagi 12 rakaat? 

"Himpunan Fatwa 2 Negeri Kedah Darul Aman" yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Shahibus Samahah al-`Alim al-`Allaamah Dato` Mursyid Diraja Dato` Paduka (Dr.) Syaikh `Abdul Majid bin Mohd Noor, pada halaman 21 mencatatkan sebagai berikut:-

Mengerja Tarawih Selepas Witir.
Mengerjakan Tarawih delapan rakaat dan Witir, selepas itu digenapkan Tarawih dengan dua belas rakaat lagi bagi mencukupi dua puluh rakaat.

Jawatankuasa berpendapat sah mengerjakan Tarawih selepas Witir dan sah Tarawih yang digenapkan menjadi dua puluh rakaat yang diselangi dengan Witir tetapi menyalahi kaifiat yang afdhal, iaitu disempurnakan Tarawih dahulu selepas itu dikerjakan Witir samada terus selepas Tarawih atau dilakukannya pada akhir malam.
Oleh itu, bagi sesiapa yang berkemampuan, janganlah melepaskan peluang untuk memperbanyakkan sujud kepada Allah `azza wa jalla dalam bulan yang mulia ini. Walau apa pun perkataan mengenai bilangan rakaat shalat Tarawih, namun memperbanyakkan sujud, yakni dengan melakukan shalat - shalat nafil, itu adalah tsabit suruhannya dalam nas yang shahih.

Isnin, Jun 30, 2014

Hadiah Emas

Dalam "al-Mu'jam al'Awsath", Imam ath-Thabrani rahimahullah meriwayatkan dengan sanad jayyid daripada Sayyidina Anas radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah mendengar seorang lelaki Badwi  berdoa dalam shalatnya dengan berkata:- "Wahai Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar, Tuhan yang tidak dicampuri sebarang prasangka, Tuhan yang tidak dapat disifati dengan sempurna oleh orang yang cuba mensifatiNya, Tuhan yang tidak berubah oleh segala kejadian, Tuhan yang tidak dipengaruhi peredaran masa, Tuhan yang mengetahui beratnya segala gunung, timbangan segala lautan, bilangan segala titisan hujan, bilangan segala dedaun pohon, bilangan segala yang dilitupi kegelapan malam, bilangan yang diterangi siang hari, Tuhan yang tidak terlindung daripadaNya satu lapisan langit dengan lapisan langit yang lain, satu lapisan bumi dengan lapisan bumi yang lain, lautan tidak dapat menyembunyikan dasarnya dan gunung tidak dapat menyembunyikan isinya, jadikanlah sebaik-baik umurku kesudahannya dan sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hariku adalah hari aku bertemu denganMu". Setelah lelaki tersebut selesai berdoa, Junjungan Nabi shallaAllahu ` alaihi wa sallam memanggilnya dan memberikan hadiah berupa emas kepadanya. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda kepada lelaki tersebut: " Aku menghadiahkan emas itu kerana baiknya pujianmu kepada Allah `azza wa jalla".

Allahu ... Allah,  betapa indahnya akhlak Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Walaupun si Badwi tadi berdoa dan memuji Allah ta`ala dengan pujian yang disusunnya sendiri, jauh sekali baginda murka. Sebaliknya diberinya hadiah sebagai penghargaan kepada si Badwi tersebut. Tidak pun Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menegahnya. Berbeza sungguh dengan sesetengah puak pada zaman kita, yang bermudah-mudah menyalah atau membid`ahkan orang lain dengan label "shalawat bid`ah" atau " doa yang tidak warid" dan sebagainya. Belajarlah menghargai orang lain  daripada akhlaknya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, jangan jadi orang yang suka menyalah-nyalah apa yang belum tentu salah. Sungguh sesetengah kelompok dalam Malaysia nampaknya suka menyalah-nyalahkan amalan yang telah diterima daripada ulama, namun pada masa yang sama, perkara-perkara yang terang nyata salah bertentangan dengan hukum, tak pun mereka hiraukan .... Allahu ... Allah. Cukuplah ini sebagai tanda bahawa umur dunia dah semakin ke penghujungnya, moga Allah selamatkan kita dunia dan akhirat.

Ahad, Jun 29, 2014

Ahlan Ya Ramadhan

Selamat menyambut bulan yang mulia, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Bulan di mana pintu - pintu syurga dibuka luas bagi sekalian umat, manakala pintu - pintu neraka ditutup rapat. Maka ianya merupakan peluang keemasan bagi sesiapa sahaja yang inginkan kebahagiaan yang abadi di darul baqa`. Ini adalah antara keistimewaan bulan Ramadhan. Sedangkan dalam bulan - bulan selainnya, pintu - pintu syurga dibukakan dan pintu - pintu neraka ditutup untuk orang - orang yang tertentu sahaja atau yang melakukan amalan - amalan tertentu sahaja. Oleh itu, janganlah dibiarkan pintu-pintu syurga yang telah dibuka seluar-luasnya oleh Allah `azza wa jalla dalam bulan Ramadhan ini begitu sahaja tanpa ada usaha untuk kita memasukinya. Selamat menjalani ibadah puasa dan mempertingkatkan ketaatan kepada Allah, moga berkekalan dan berterusan hatta ya'tiyakal yaqiin. Allahumma ... aamiiin.

Selasa, Jun 24, 2014

Shalat Di Jami`

Masjid yang ada didirikan padanya shalat Jumaat, maka ianya diistilahkan sebagai Masjid Jami`. Manakala masjid yang tiada shalat Jumaat padanya dinamakan sebagai Masjid Jamaah.  Namun perlulah diketahui bahawa samada sesuatu tempat itu adalah masjid atau bukan, tertakluk kepada hukum - hakam yang tertentu yang disebut dalam kitab - kitab fiqh terutama sekali dalam bab waqaf dan ahkam al-masajid. Silalah tuan - tuan rujuk babnya kepada tuan - tuan guru di luar sana.

Kewujudan shalat jamaah pada setiap waktu yang lima atau kewujudan shalat Jumaat pada sesuatu binaan atau tempat itu tidak memestikan binaan atau tempat itu dihukumkan sebagai Masjid Jami` atau Masjid Jama`ah. Ianya tertakluk kepada beberapa syarat lagi yang disebut dalam kitab-kitab yang muktabar. Oleh itu, janganlah bermudah-mudah menghukum sesebuah binaan yang diwaqaf atau dibina untuk surau dianggap sebagai masjid. Keperluan membezakan antara masjid dan bukan masjid adalah penting kerana ianya melibatkan perbezaan hukum yang lain seperti hukum i'tikaf, hukum shalat tahiyyatul masjid, hukum perempuan haid duduk padanya dan lain - lain lagi. Masjid adalah masjid walaupun ianya tidak didirikan shalat Jumaat padanya. Bagi mushalla atau surau, maka selagi ianya tidak menepati ketentuan hukum - hakam masjid, maka ianya bukanlah masjid, walaupun didirikan Shalat Jumaat padanya. Nak tahu apa ketentuan hukum tersebut, silalah mengaji berpandukan kitab - kitab yang muktabar. 

Secara umumnya, beribadah dalam masjid jami` adalah lebih afdhal dari masjid jamaah, surau dan mushalla. Ini adalah kerana ganjaran shalat pada masjid jami` memiliki gandaan pahala berbanding dengan masjid jamaah atau lainnya. Dalam "Sunan Ibnu Majah", jilid 1, halaman 447, Imam Ibnu Majah radhiyaAllahu `anhu meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:-

Shalat yang didirikan oleh seseorang lelaki di rumahnya adalah dinilai dengan satu shalat. Shalatnya di masjid qabilah (yakni masjid jamaah) dinilai dengan 25 shalat. Shalatnya di masjid jami` (yakni masjid yang didirikan padanya sholat Jumaat, dinilai dengan 500 shalat. Shalatnya di Masjidil Aqsa, dinilai dengan 50,000 shalat. Shalatnya di masjidku (yakni Masjid an-Nabawi) dinilai dengan 50,000 shalat. Shalatnya di Masjidil Haram dinilai dengan 100,000 shalat.
Hadis ini walaupun dianggap dhoif oleh kebanyakan ulama, namun tiadalah apa-apa kesalahan untuk menggunakannya dalam perkara fadhail semata-mata. Dan kena juga kita fahami bahawa ganjaran ini adalah lain daripada ganjaran pahala shalat berjemaah yang digandakan dengan 25 atau 27 darjat berbandingkan shalat sendirian. Antara hikmat shalat yang didirikan di satu tempat mempunyai nilaian yang berbeza dengan di tempat lain adalah agar kita bermotivasi untuk mencari yang lebih berbanding yang kurang. Namun, gandaan yang tidak nampak dek mata ini, sering diremehkan. Nampaknya mengejar imbalan akhirat yang berganda, tidaklah seghairah mengejar habuan duniawi yang fana..... Allahu ... Allah.


Jumaat, Jun 13, 2014

Penipuan ...

Orang kafir kalau nak menipu pengguna Islam kat Malaysia Darul Hab Halal ini taklah sesusah mana. Ini adalah kerana sikap pengguna yang sering memandang ringan hukum halal haram dalam bab ini. Tengok je "cap ketayap" ke atau "cap masjid", terus di"halal"kan walaupun yang memberi jaminan "ditanggung halal" itu orang kafir. Begitu juga tengok dalam kedai apek tu pekerja - pekerjanya semuanya bertudung, maka kita pun terus melantak tanpa was-was walaupun tokey kedai tu orang kafir.

Sepatutnya kita perlu berhati-hati dengan setiap produk atau kedai makan yang diurus oleh orang kafir. Peniaga yang tidak beretika akan menggunakan berbagai taktik kotor untuk menarik pelanggan. Ese tahu ada satu kedai ais kacang kat tempat ese tinggal dulu, yang diuruskan oleh apek kafir. Ramai Melayu Islam duduk melantak kat kedai tersebut walaupun premis tersebut tidak mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Agama. Pekerja - pekerja premis tersebut ramai yang bertudung, maka sebab itu Pak Aji Mak Aji pun datang bertandang di kedai mengkedarah apek kafir tersebut. Petangnya, belum pun kedai ditutup masing - masing pekerja premis tersebut menanggalkan tudung mereka. Rupa - rupanya tudung tadi hanyalah uniform bekerja mereka. Bahkan ada di antara pekerja yang bertudung itu adalah orang bukan Islam. Bertudung tadi hanyalah taktik untuk mengelabui mata pelanggan Islam. Allahu ... Allah....... Melayu sudah kena ......

Oleh itu, kita seharusnya menitikberat kehalalan makanan yang kita makan. Nak mencari makanan halal kat Malaysia ni taklah susah. Jabatan - Jabatan Agama telah mengeluarkan pengiktirafan halal pada banyak produk. Maka lihatlah siapa yang mengeluarkan produk tersebut, jika saudara seagama maka berbaik sangkalah yang ianya adalah halal. Jika produk orang kafir, lihatlah dulu samada ada logo halal yang diiktiraf, bukannya logo halal apek. Kalau logo halal Jabatan Agama pun diaorang tipu, maka itu di luar kawalan kita, setidak-tidaknya kita telah berusaha. Diharap pihak Jabatan Agama sentiasa menjalankan pemantauan mereka, sebab itu adalah termasuk dalam perkara yang telah diamanahkan umat kepada mereka. Mudah - mudahan Allah mengukuhkan lagi kedaulatan Islam dalam negara kita yang tercinta.

Rabu, Mei 21, 2014

Fadhilat Puasa Rejab - Ibnu Rajab

Imam Ibnu Rajab atau nama penuhnya `Abdul Rahman bin Syihabuddin Ahmad bin Rajab bin `Abdul Rahman al-Baghdadi ad-Dimasyqi al-Hanbali rahimahullah adalah salah seorang ulama Hanbali yang dilahirkan sekitar tahun 736H. Beliau banyak meninggalkan karangan yang bermutu termasuklah dalam bidang hadits. Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah dalam "Lathoiful Ma'aarif" walaupun hadits-hadits berhubung kelebihan berpuasa secara khusus dalam bulan Rejab tidak sahih, akan tetapi ada riwayat daripada Abu Qilaabah yang menyatakan:-

في الجنة قصر لصوام رجب
"Dalam syurga ada mahligai dikhususkan 
 bagi orang-orang yang berpuasa dalam bulan Rajab."

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa Abu Qilaabah adalah sebesar-besar tabi'in, maka tidaklah dia berkata sedemikian melainkan ianya telah disampaikan kepadanya (yakni apa yang beliau nyatakan tadi bukanlah daripada dirinya namun beliau telah menerimanya sahabat yang menerimanya pula daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.). Mudah - mudahan sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab yang mulia ini akan menerima balasan yang besar daripada Allah `azza wa jalla.