Khamis, Oktober 05, 2006

Sholawat Syifa`

Aku postkan di sini dua shighah Sholawat Syifa` atau dikenali juga sebagai Sholawat Thibbiyyah yang masyhur. Dinamakan sedemikian yang membawa erti penawar atau ubat kerana dalamnya terkandung tawassul kita dengan Junjungan Nabi s.a.w. yang diumpamakan sebagai keafiatan bagi segala tubuh dan penawarnya, cahaya bagi segala mata dan sinarnya, makanan bagi segala roh dan santapannya. Imam 'Arif billah Sayyidisy Syaikh Ahmad ash-Showi dalam mensyarahkan makna sholawat ini telah membuat kesimpulan antaranya:-
"Maknanya secara menyeluruh ialah bahawasanya Allah ta`ala menjadikan atas tangan baginda s.a.w. (sebab) untuk menolak kemudaratan yang zahir dan yang batin, yang berupa urusan akhirat maupun urusan dunia, sebagaimana telah dijalankan (dijadikan) atas tangan baginda (sebab bagi) berbagai manfaat. Inilah maknanya tashrif Allah bagi baginda di dunia dan di akhirat, atas batasan yang difirmankan Allah ta`ala pada hak Nabi 'Isa a.s.: "Dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu" (surah al-Maaidah:110), maka apa yang tsabit berlaku pada Sayyidina 'Isa a.s., maka ianya juga (harus terjadi atau dijadikan) bagi Junjungan Nabi s.a.w. dengan berlebih lagi."
Sholawat ini telah lama beredar dan diamalkan masyarakat Islam, bukan sahaja di rantau kita tetapi juga di benua-benua lain di mana ada umat yang beriman. Diamalkan bukan sahaja oleh masyarakat awam, tetapi juga oleh para ulama ikutan, bahkan mereka menganjurkan pembacaannya untuk ubat hati dan afiat badan dan cahaya mata. Inilah antara kelebihan mengamalkan sholawat yang berkat ini menurut kata ulama kita ("ulama dan protaz mereka" akan menyesatkan bahkan mensyirikkan kita, gasak demelah). Selain memperolehi keutamaan bersholawat, kita akan dilindungi Allah dari penyakit-penyakit, sama ada penyakit hissi maupun penyakit maknawi yang lebih kronik lagi, insya-Allah wa bi idznihi demi kemuliaan Junjungan s.a.w. yang kita sebut-sebut dalam sholawat tersebut sebagai wasilah untuk tujuan itu. Renungilah tulisan Ustaz Abu 'Ali al-Banjari Ahmad Fahmi al-Maliki dalam muqaddimah untuk terjemahannya bagi Qasidah Burdah yang berkat:-
"....Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w. maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda dan dengan berkat Baginda yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."
Dan satu kelebihan lagi Sholawat ini ialah sebagaimana apa dikatakan oleh Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani:-
"Dan setengah daripadanya ini shighah (yakni shighah Sholawat Syifa`) yang amat baik, sayogia dijadikan penawar bagi segala isim dan dzikir yang panas-panas."
Posting ini aku berhenti kat sini, nak tahu bab isim dan dzikir yang panas nantilah dulu, man-man insya-Allah ada rezeki aku buat posting lain, kalau tak sabar pergilah mengaji dengan tok-tok guru yang ramai di luar sana. Yang kat Kelantan, bolehlah duduk mengaji antaranya dengan Tuan Guru Haji 'Abdullah Haji 'Abdur Rahman, Lubok Tapah (moga Allah lanjutkan usianya), insya-Allah, beliau arif berhubung persoalan ini. Bagi yang tak arif, jangan melenting dahulu, ingat ilmu itu luas dan bukan sekadar pengetahuan kita sahaja.

اللهم صل و سلم على سيدنا محمد و على آله و أصحابه


Rabu, Oktober 04, 2006

Imsak 2


Sabit perihal imsak sebelum fajar dinihari
Sekadar bacaan 50 ayat Qurani
Dengan bacaan sedang tiada lambat tiada pula berlari
Dihukumkan sunnat pada ulama bijak bistari
Demi mengikut perlakuan Junjungan Nabi
Riwayat daripada Imam al-Bukhari
Dengan sanad boleh dipegangi
Muslim bin Ibrahim mengkhabari
Daripada Hisyaam daripada Qataadah daripada Anas sahabi
Daripada Zaid bin Tsabit yang diredhai
Bahawa Junjungan bersama Zaid bersahur sekali
Selesai bersahur Junjungan berdiri pergi
Menuju kepada sholat dihadiri
Sahabi Anas membuka mulut menanyai
Berapa kadar waktu berlalu pergi
Antara azan dan sahurnya Junjungan Nabi
Soalan dijawab Zaid sahabi
Kadar 50 ayat Qurani

Wahai Ikhwah yang bijak laksana
Tiliklah kamu kepada hadits tertera
Nescaya faham kamu seketika
Jelas kamu saksikan kalimah diguna
Antara azan dan sahur terang dinyata
Tiada lain maksudnya di sana
Masuk Subuh itulah kehendaknya
Maka fahamilah benar-benar wahai saudara
Tatkala azan berkumandang di udara
Junjungan Nabi sudah siap sedia
Untuk menghadap Allah Tuhan yang Esa

Ikhwah, bukanlah hasratku untuk memperpanjangkan persoalan imsak ini. Tetapi telingaku tidak cukup tebal untuk mendengar tohmahan yang kononnya tiada ulama yang menyatakan kesunnahan menetapkan imsak beberapa minit sebelum fajar. Lalu dijualkanlah nama ulama-ulama kita dan kitab-kitab mereka, yang kononnya telah ditelaah tetapi yang dihajati tidak dijumpai. Lalu ditohmahlah perkara ini hanya pandai-pandai ulama Tanah Jawi rantau sini kerana konon di negeri 'Arab ianya tidak diketahui. Sedangkan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani rhm. dalam "Fathul Baari" tatkala mensyarah maksud hadits di atas antara lain menyatakan:-

وقال القرطبي: فيه دلالة على ان الفراغ من السحور كان قبل طلوع الفجر...

"Dan telah berkata Imam al-Qurthubi: "Padanya (yakni dalam kandungan hadits di atas) bukti atas bahawasanya selesai daripada sahur adalah sebelum terbitnya fajar...." Jadi jelas dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi bahawa selesainya sahur Junjungan Nabi s.a.w. menurut hadits di atas ialah sebelum terbitnya fajar (qabla thulu`il fajri), yang memberi maksud bahawa tidaklah Junjungan s.a.w. terus-menerus bersahur sehingga terbit fajar. Selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani juga menyatakan bahawa:-

فعدل زيد بن ثابت عن ذلك إلى التقدير بالقراءة إشارة إلى أن ذلك الوقت كان وقت العبادة بالتلاوة

"Maka disamakan Zaid bin Tsabit akan yang demikian itu dengan ukuran pembacaan al-Quran sebagai isyarat bahawa waktu tersebut (yakni waktu senggang antara selesai sahur dan azan) adalah waktu untuk ibadah membaca al-Quran." Jadi bukanlah waktu itu untuk mengunyah makanan lagi, inilah yang dimaksudkan. Al-'Allaamah Badruddin al-'Ayni rhm. pula dalam "'Umdatul Qari" menyatakan:-

حديث زيد بن ثابت يدل على ان الفراغ من السحور كان قبل الفجر بمقدار قراءة خمسين آية

"Hadits Zaid bin Tsabit menunjukkan atas bahawasanya selesai daripada sahur adalah sebelum fajar dengan kadar pembacaan 50 ayat." Beliau juga menulis:-

... إن فيه تأخير السحور إلى أن يبقى من الوقت بين الآذان و اكل السحور مقدار قراءة خمسين آية..فمن حيث يدل على أنهم كانوا يستعجلون به حتى يبقى بينهم و بين الفجر المقدار المذكور..

"Bahawasanya padanya (yakni pada hadits Zaid tersebut) mentakhirkan sahur sehingga tinggal waktu antara azan dan makan sahur itu kadar pembacaan 50 ayat... maka dari situ ianya menunjukkan bahawasanya mereka (Junjungan Nabi s.a.w. dan sahabat ) menyegerakan dengan bersahur sehingga tinggal (masa) antara mereka dan fajar kadar yang tersebut." Yakni Junjungan dan sahabat berhenti bersahur dalam keadaan masa antara mereka dengan fajar itu kadar pembacaan 50 ayat dan tidaklah bermaksud yang mereka mentakhirkan sahur sehingga terbitnya fajar shodiq.

Imam an-Nawawi rhm. dalam "Syarah Muslim" tatkala mensyarahkan hadits yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Bakar bin Abu Syaibah yang kandungannya hampir sama dengan hadits Imam al-Bukhari di atas dengan perbezaannya bahawa dalam lafaz al-Bukhari dinyatakan "berapa kadar masa antara azan dan sahur" dan dalam hadits Muslim pula digunakan "berapa kadar masa antara keduanya", menyatakan:-

و فيه الحث على تأخير السحور إلى قبيل الفجر

"... padanya (yakni dalam hadits tersebut) terkandung anjuran untuk mentakhirkan sahur sehingga sedikit sebelum fajar", ( yakni kita mengakhirkan makan sahur ke waktu yang hampir dengan fajar di mana selesainya kita bersahur masih berbaki sedikit waktu sebelum fajar shodiq terbit). Tidaklah Imam an-Nawawi menyatakan bahawa mentakhirkan makan sahur itu sehingga terbit fajar, tetapi mentakhirkan sahur sehingga sedikit sebelum fajar. Perhatikanlah, dan bertitik tolak dari pemahaman di ataslah maka ulama kita menetapkan adanya waktu imsak yang sunnat untuk menyelesaikan makan sahur (yakni bagi yang telah bersahur). Tuduhan bahawa hanya ulama Jawi sahaja yang menetapkan waktu imsak ini tidaklah benar, kerana hal ini termaktub dalam kitab-kitab ulama Timur Tengah, sama ada yang disebut secara direct atau indirect, sewajarnya tuan-tuan tidak baca kitab-kitab secara sepintas lalu dan sendiri-sendiri tanpa merujuk kepada tuan-tuan guru yang pernah mengaji kitab-kitab tersebut, nanti berlaku salah faham akan nash kitab-kitab yang tuan-tuan baca. Jika tuan-tuan hanya mengaji hadits, maka janganlah mencampuri urusan fiqh yang mungkin tuan-tuan belum mahir akan selok-belok dan istilah yang digunakan oleh para fuqaha`. Untuk lebih jelas kedudukannya dalam mazhab kita, lihatlah keterangan Al-'Allaamah Sayyid 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam bi syarhi Mursyidil Anaam" juzuk 4 halaman 59 yang menyebut:-

قال الرملي كابن حجر بعد ذكرهما الحديث: و فيه ضبط لقدر ما يحصل به سنة التأخير اه. أي فالأفضل أن يؤخره بحيث يفرغ منه و الباقي من الليل قدر خمسين آية

"Telah berkata Imam ar-Ramli rhm. seperti (kata) Imam Ibnu Hajar rhm. selepas menyebut kedua mereka akan hadits Zaid bin Tsabit tersebut: " Dan padanya (yakni terkandung dalam hadits tersebut) penetapan bagi kadar yang menghasilkan dengannya kesunnahan mentakhir sahur. Iaitu yang afdhalnya bahawa ditakhirkannya sahur tersebut sehinggalah sekira-kira selesai daripadanya (yakni selesai daripada bersahur) dan masih berbaki malam (yakni masih belum terbit fajar shodiq) sekadar (pembacaan) 50 ayat.

Nah, jelas kedudukan dan pegangan dalam mazhab kita bahawa sunnat mentakhirkan bersahur sehinggalah ke waktu selesainya bersahur dan jarak untuk terbit fajar hanya kadar 10 -15 minit sahaja, dan senggang masa 10 - 15 minit ini sunnat untuk kita memulakan imsak sebagai menurut perlakuan Junjungan Nabi s.a.w. dan untuk ihtiyath berhati-hati. Tetapi ini tidaklah bermakna yang makan sahur sehingga masuk waktu Subuh dengan terbit fajar shodiq itu sebagai perkara yang ditegah, kerana sebagaimana dinyatakan dahulu kewajipan imsak hanya berlaku apabila terbit fajar shodiq waktu Subuh. Sekali lagi aku ulang, biar faham benar-benar bahawa dalam mazhab kita, berhenti atau selesai makan sahur kira-kira kadar pembacaan 50 ayat yang sederhana (kira-kira 10 - 15 minit) adalah sesuatu yang afdhal (utama) dan mandub (sunnat) dan bukanlah sesuatu yang wajib. Tidaklah kita menghukumkan ianya sebagai kewajipan untuk berimsak kerana zahir nash ayat al-Quran dan hadits yang lain membolehkan makan sehingga terbitnya fajar shodiq. Menurut ulama kita lagi adalah dihukumkan bid`ah munkarah untuk kita mewajibkan imsak beberapa minit sebelum fajar, ini dapat kita lihat dalam keterangan kitab "Fathul 'Allam" tersebut. Fahami betul-betul hal ini, berimsak kadar sedikit sebelum fajar dianggap sunnat semata-mata dan mewajibkan imsak pada masa tersebut sedangkan fajar shodiq belum terbit adalah bid`ah munkarah. Oleh itu jika seseorang bangun tidur dan masih berbaki 5 minit sebelum masuknya waktu Subuh, maka tidaklah menjadi kesalahan dan tegahan untuk dia bersahur asalkan jangan makan sahur sampai terbitnya fajar shodiq dan tidaklah boleh kita menghalangnya. Fahamilah wahai ikhwah yang budiman.

Dan pendapat agar berhenti bersahur sebelum terbit fajar ini juga dapat dilihat dalam aqwal mazhab yang lain. Contohnya, Syaikh Abu as-Su`uud ad-Dusuuqi al-Maliki dalam "Haasyiah ad-Dusuuqi" juzuk 1 halaman 503 menyatakan:-

و تأخير السحور أي للثلث الأخير من الليل و يدخل وقت السحور بنصف الليل الأخير و كلما تأخر كان أفضل،
فقد ورد أن النبي صلى الله عليه و سلم كان يؤخره بحيث يكون
ما بين فراغه منه و بين الفجر قدر ما يقرأ القارئ خمسين آية


"Dan mentakhirkan sahur iaitu ke pertiga akhir malam, dan masuknya waktu untuk bersahur dengan pertengahan malam yang akhir dan jika diakhirkan ianya adalah afdhal. Maka telah warid bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. telah mengakhirkan sahur sehingga kira-kira selesainya baginda daripada bersahur dan terbitnya fajar (masa) kadar apa yang dibaca si pembaca 50 ayat."

Sebagai keterangan tambahan, ada juga pendapat segelintir ulama (kata qil) yang berpegang bahawa kewajipan imsak berlaku sebelum terbitnya fajar shodiq, sebagaimana disebut oleh Ibnu Rusyd dalam "Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtashid" juzuk 2, mukasurat 37 di mana beliau, berhubung kata qil ini, menyatakan:-

و من ذهب إلى انه يجب قبل الفجر فجريا على الإحتياط و سدا للذريعة و هو اورع القولين

"...Dan mereka yang berpendapat bahawasanya imsak itu wajib sebelum fajar shodiq, maka pendapat mereka ini adalah berdasarkan kepada ihtiyath dan saddudz dzarii`ah dan ianya adalah pendapat yang lebih wara` (berhati-hati) antara dua pendapat tersebut..."

Walau bagaimanapun, pendapat ini adalah kata qil yang tidak dipegangi dalam mazhab kita dan mazhab jumhur. Mazhab kita dan mazhab jumhur tidaklah mewajibkan imsak sebelum terbit fajar ini, hanya kita memandang sunnat dan afdhal untuk berhenti sahur kira-kira 10 - 15 minit sebelum terbit fajar. Oleh itu isu ini bukanlah perkara asasiyyah yang wajar untuk diperbesarkan. Ada banyak lagi isu-isu lain yang perlukan tenaga dan pemikiran kita. Apa untungnya umat dengan jika penetapan tersebut dihukumkan sebagai bid`ah yang sesat (i.e. pada puak tersebut bila bid`ah semestinya dholalah). Tidak ada faedahnya, sebaliknya ianya menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan membawa kepada keretakan ukhuwwah. Oleh itu, demi bulan yang mulia ini hentikanlah kerja kutuk mengutuk dan bid`ah membid`ah sesama umat, semua pekerjaan ini tidak memberi apa-apa faedah buat umat.

الله اعلم

Sabtu, September 30, 2006

Berzikirlah


Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: "Ucapan yang paling dikasihi Allah ada empat, iaitu:- SubhanAllah wal Hamdulillah wa La ilaha illa Allah wa Allahu Akbar". Inilah kalimah-kalimah yang paling dikasihi Allah, yang sewajarnya sentiasa basah bibir kita menyebutnya. Setidak-tidaknya didisiplinkan diri kita untuk mengucapkannya 100 kali pagi dan 100 kali petang, agar kita memperolehi kebajikan yang banyak. Sibuk mana pun kita, cubalah disiplinkan diri, disela-sela waktu yang kita ada. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan dalam "Sunan", juzuk 5, halaman 288 - 289, sepotong hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

من سبح الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حج مائة حجة، ومن حمد الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن حمل على مائة فرس في سبيل الله أو قال غزا مائة غزوة، ومن هلل الله مائة بالغداة و مائة بالعشي كان كمن أعتق مائة رقبة من ولد إسماعيل، و من كبر الله مائة بالغداة و مائة بالعشي لم يأت في ذلك اليوم أحد بأكثر مما أتى به إلا من قال مثل ما قال أو زاد على ما قال

"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang menunggang 100 ekor kuda di jalan Allah, atau disabdakan baginda "orang yang berperang 100 peperangan (jihad)"; Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia umpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."

Besar sungguh rahmat dan kemurahan Allah, sungguh Allah itu asy-Syakuur, amalan yang sedikit dan ringan diganjariNya dengan berlipat-lipat kali ganda. Masih mahu lari ke tuhan-tuhan lainkah kita, ketuhanan yang palsu semuanya, selain Allah al-Haq. Kerajaan bagi bonus sebulan gaji, kita sudah gembira (yang tak gembira tu, kena demand le lebih kat Pak Lah), naik gaji 10%, kita gembira, Ini Allah balas ganjaran entah berapa peratus lipat gandanya (yang faham matematik kira sendiri, aku dah tak cukup jari nak kira), tak percaya lagikah kita kepada kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya yang beramal. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi hamba-hamba yang taat beramal kebajikan, Allah tidak akan mempersia-siakan amalan hamba-hambaNya yang tulus beramal.



Jumaat, September 29, 2006

Shalawat Badawi

Inilah shalawat masyhur yang dinisbahkan kepada Wali Quthub Sidi Ahmad a-Badawi rahimahullah. Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani rahimahullah dalam kitabnya "al-Jawharul Mawhub" halaman 29 menulis, antara fadhilat shalawat ini seperti berikut:-
Telah menyebut kebanyakan daripada orang yang 'arifin bahawasanya shalawat ini telah mujarrab bagi menunaikan segala hajat dan membukakan bagi segala dukacita dan menolakkan segala bala` dan menghasilkan segala anwar dan asrar. Dibacakan dia tiap-tiap hari 100 kali.
Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Afdhalush Shalawat" juga membuat nukilan sebagaimana di atas daripada Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah dengan sedikit tambahan, iaitu:-
.....bahkan sholawat ini mujarrab untuk segala sesuatu dan bilangan wiridannya ialah 100 kali setiap hari. Sewajarnya para muridin memulakan suluk mereka dengan shighah sholawat ini .....
Sebahagian ulama, termasuklah Kiyai Agung Muhammad bin 'Abdullah as-Suhaimi BaSyaiban, telah memasukkan ucapan salam dengan menambahkan kalimah "sallim" dalam shalawat tersebut, dan shighah inilah yang biasa kita dengar kerana telah dipopularkan dengan irama yang mendayu menusuk qalbu. Bagi yang suka beramal silalah, sesiapa yang tidak suka, maka janganlah membuat dosa mengeji dan mencaci orang yang membaca shalawat ke atas Nabi yang ummi yang menjadi nur segala anwar dan penyuluh umat dalam kegelapan.

Ya Allah, limpahkan sholawat
Serta salam kesejahteraan
Atas nur (cahaya) segala nur
Sir (rahsia) segala sir
Ubat segala penyakit
Pembuka pintu kesenangan
Junjungan Mawlana Muhammad yang terpilih
Bersama ahli keluarga baginda yang suci bersih
Dan para sahabat baginda yang baik berbudi
Sholawat dan salam sebanyak bilangan
Ni'mat Allah dan kelebihanNya.

Rabu, September 27, 2006

Nabi Khidhir - 4

Satu lagi posting berhubung NabiyUllah Khidhir a.s., mudah-mudahan dengan menyebut nama baginda a.s. dalam bulan yang mulia ini kita akan dapat keberkatannya. Kebetulan aku baru dapat sebuah buku karangan Allamah Syaikh Muhammad al-Jazri dengan jodol "al-Hisnul Hasin" ( الحصن الحصين ) yang diterjemah oleh Maulana Muhammad Rafeeq ibni Maulana Ahmed Hathurani dan diberi kata pengantar oleh Maulana Muhammad Taqi Usmani. Kitab asalnya memang aku kenali, tetapi aku tidak pernah memiliki dan mentelaahnya secara terperinci kerana aku merasakan bahawa ianya karangan berisikan doa dan zikir semata-mata. Rupa-rupanya tentang NabiyUllah Khidhir a.s. pun ada disebut pengarangnya pada halaman 228 di mana dinyatakan bahawa pada hari kewafatan Junjungan Nabi s.a.w., Nabi Khidhir a.s. telah menziarahi jenazah baginda yang mulia serta mengucapkan kata-kata takziah dan nasihat kepada para sahabat. Untuk lebih jelas, biar aku nukilkan semula apa yang disebut dalam buku itu, di bawah subtitle "Condolence of Sayyidona Khidr a.s.":-
According to the Hadeeth, the day Rasoolullah (Sallallaahu-alayhi-wasallam) passed away, a powerful-looking, beautiful and handsome man with a white beard came leaping across the necks of people till he reached where the sacred body of Rasoolullah (Sallallaahu-alayhi-wasallam) lay. He wept bitterly and turned towards the Sahabah (RA) and said the undermentioned words. Aboo Bakr (RA) and Ali (RA) said that he was Khidr (AS). The words are as follows:- "Surely, Allah alone grants patience in every misfortune and compensation for anything lost and substitute for anything destroyed. Return to Allah alone and flee towards Him only. In times of difficulty, His gaze is set on you (and He does not forsake you). Understand this because a genuinely unfortunate and miserable person is one who is not given any compensation for his misfortune."

Sebagaimana yang aku jelaskan dalam posting-posting terdahulu berhubungan, isu berterusan hayat NabiyUllah Khidhir sehingga masa ini adalah masalah khilafiyyah ulama. Jika ada ulama yang menafikan hayatnya sekarang, maka ada ulama lain yang mensabitkannya. Jadi tidak perlulah isu ini dijadikan punca perbalahan yang tidak berkesudahan, dan yang lebih parah lagi perbalahan yang membawa kepada kutuk-mengutuk dan keji-mengeji. Berhubung hadits mengenai ziarah dan takziah Nabi Khidhir ini, insya-Allah di lain posting aku akan nukilkan kalam ulama berhubung dengannya. Allahu a'laam.

مدد يا نبي الله يا الخضر عليه السلام

Selasa, September 26, 2006

Imam Haji Morshidi

Datuk Hakim Imam Haji Morshidi yang nama penuhnya ialah Abang Haji Morshidi bin Abang Haji Narudin (Nuruddin) bin Datuk Bandar Haji Bolhasan. Beliau dilahirkan di Kuching pada tahun 1877.

Beliau melanjutkan pengajian agamanya ke Makkah al-Musyarrafah dan menjadi murid kepada ramai ulama ternama di sana seperti Syaikh Haji Uthman bin Abdul Wahhab as-Sarawaki, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Mukhtar Bogor, Syaikh Muhammad Sa`id BabShail dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi. Setelah menahun di Kota Makkah selama kira-kira lapan tahun, pulanglah beliau ke Sarawak untuk menabur jasa mendidik anak bangsanya dengan menjadikan Masjid Tambi atau Masjid India atau nama rasminya sekarang Masjid Bandar Kuching sebagai pusat kegiatan dakwahnya. Di situlah juga Datuk Imam Haji Morshidi membuka sebuah madrasah pada tahun 1917 yang dinamakan sebagai Madrasah al-Mursyidiyyah ditukar namanya kepada Madrasah Islamiah. Dari Madrasah ini telah lahir ramai tokoh masyarakat dan agama, bahkan kebanyakan Mufti-Mufti Negeri menerima pendidikan formal agama dan Bahasa Arab dari madrasah ini, termasuklah mufti sekarang Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi. Pada tahun 1939, berpulanglah Datuk Imam Haji Morshidi ke rahmatUllah di Kuching dengan meninggalkan banyak anak murid dan alhamdulillah, almarhum ayahandaku sempat menimba ilmu dengan beliau. Oleh itu sedikit sebanyak pertautan titihan ilmu itu sampai juga kepadaku.

Sebenarnya Sarawak seperti negeri-negeri lain mempunyai ramai ulama keluaran Makkah, tetapi sejarah hidup mereka dan perjuangan serta dakwah mereka tidak banyak diketahui. Pendakwah Sarawak ada yang pergi berdakwah di kawasan-kawasan negara jiran seperti Kalimantan, dan terdapat juga tradisi berfaqir dilakukan oleh ulama-ulama Sarawak. Aku berharap anak-anak negeriku ini akan membuat usaha untuk mencari dan mendokumentasikan riwayat-riwayat hidup dan perjuangan tokoh-tokoh agama seperti Datuk Imam Haji Morshidi, Datuk Hakim Keramat, Tuan Guru Haji Baha`, Tuan Guru Haji Daud Abdul Ghani, Tuan Guru Haji Saleh Arif dan ramai lagi. Biarlah sejarah hidup mereka diketahui oleh anak bangsa kita, agar boleh dijadikan contoh dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di tanah air ini. Menulis riwayat hidup para ulama dan sholihin adalah satu tugas yang mulia, bahkan ada ulama yang menyatakan bahawa jika seseorang menulis riwayat hidup seorang waliyUllah, kelak di hari kiamat dia akan bersama dengan wali tersebut. Ini kata-kata ulama, kalau nak percaya, percayalah, kalau tidak apa boleh buat, cuma ingat-ingatlah pada sabdaan Junjungan s.a.w. hadits baginda yang shohih bahawa "seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya." Aku terlalu dhoif dan tidak berkemampuan untuk menjalankan kerja ini, banyak cerita dan riwayat lisan yang kudengar sewaktu nembiak dolok, udah ingat-ingat lupak di ingatan. Antara yang aku masih ingat ialah mengenai cerita berkenaan Tuan Guru Haji Baha` yang meninggal sewaktu berfaqir di Batang Samarahan, alhamdulillah, aku berkesempatan bergaul dengan muridnya yang kini sudah berusia lebih 80 tahun yang menceritakan bagaimana mereka berdayung dari Batang Samarahan dengan mudahnya mudik ke Kuching membawa jenazah almarhum. Sayang sampai ke saat ini riwayat dan kisah dakwah ulama-ulama ini masih samar dan tidak dipedulikan berbanding dengan tokoh-tokoh politik semasa. Mudah-mudahan Allah menyirami roh Datuk Imam dan segala arwah para ulama serta sekalian muslimin dengan cucuran hujan rahmat dan keredhaan yang berkekalan sehingga ke hari pertemuan ........al-Fatihah.

Ahad, September 24, 2006

Martabat Puasa

Sempena keberadaan kita dalam bulan yang mulia ini. Mari kita lihat sejenak martabat amalan kita ini. Agar dengan itu boleh kita tahu dan tingkatkan kualitinya. Jangan hanya perkara dunia sahaja yang kita mahu peningkatan, tetapi soal akhirat dan amal ibadah, kita tak ambil pusing atau ambik ala kadar saja., tapi nak masuk syurga tanpa hisab, nakkan syurga firdaus yang tertinggi.....Allahu .... Allah.

Ikhwah, Fadhilatul Ustadz al-Imam as-Sayyid Muhammad Zaki Ibrahim dalam tulisannya "Khulaashah Ahkam ash-Shiyaam" menulis, antara lain:-
Puasa di sisi Ahlul Haq (khasnya ahli tasawwuf) ada 4 jenis (martabat):-
  1. Shiyaamul 'Awaam: menahan diri daripada keinginan syahwat perut dan kemaluan;
  2. Shiyaamu Khawaashil 'Awaam : menahan diri daripada dua keinginan di atas serta menjauhi segala perkataan dan perbuatan yang diharamkan.
  3. Shiyaamul Khawaash: apa yang telah disebutkan di atas ditambah dengan menahan diri daripada selain dzikir dan ibadah;
  4. Shiyaamu Khawaashil Khawaash: puasa daripada selain Allah, dan puasa ini tidak ada berbuka padanya melain tatkala hari pertemuan dengan Allah nanti.
Puasa hanya daripada keinginan syahwat, perut dan kemaluan, adalah puasa orang awam, puasa orang yang masih melakukan berbagai kelalaian (shaumul ghoofilin). Puasa ini jika ditambah dengan menahan diri daripada melakukan segala perkara yang haram, maka ianya menjadi puasa orang salik ( shaumus saalikiin : orang yang benar-benar mahu berjalan mencari keredhaan Allah). Puasa salik pula jika disertakan dengan menjaga hati daripada selain Allah dari perkara-perkara keduniaan (dunia dalam erti sesuatu yang tidak berfaedah untuk akhirat atau yang tidak menjadi amal akhirat), maka ianya menjadi puasanya orang arif (shaumul 'aarifiin). Puasa orang awam akan batal dengan makan dan minum, puasa orang salik dengan melakukan dosa kecil dan puasa orang arif dengan ingat kepada selain Allah.
Jadi dikategori manakah martabat puasa kita? Bulan puasa baru bermula, jadi masih ada masa untuk membuat peningkatan. Harap-harap puasa kita tidak sentiasanya menduduki tempat tercorot dalam carta, dengan hanya menahan daripada makan-minum semata-mata, sedangkan anggota-anggota lain masih melakukan berbagai dosa dan maksiat, mulut hanya puasa tak makan nasik tapi masih makan bangkai dengan mengumpat dan sebagainya .. Allahu .. Allah. Peringkat kita, jika tidak keseluruhan 29 - 30 hari-hari Ramadhan menjadi puasa kategori A, maka setidak-tidaknya hendaklah ada 1 atau 2 atau 3 atau beberapa hari daripada tidak ada langsung. Insya-Allah, satu kebaikan akan menarik kepada kebaikan yang lain. Tingkatkan usaha dalam mencari keredhaan Ilahi. Akhirul kalam renungilah sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah secara marfu`:-

ليس الصيام من الأكل و الشرب، و إنما الصيام من اللغو و الرفث
Bukanlah puasa itu daripada makan dan minum (semata-mata), sesungguhnya puasa itu daripada segala lagha (kelalaian) dan rafats (kekejian).

اللهم تَقَبَّلْ مِناَّ صِيَامَ شَهْرِ رَمَضَانَ عَلَى مَا كَانَ فِيْهِ مِنْ تَسَاهُلِناَ